Rabu, Disember 24, 2014

Marhaban bir Rabi`

Bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir lagi. Maka patut dan wajar untuk kita memperhebatkan serta menggandakan lagi ingatan kita ke hadrat Junjungan sekalian alam shallaAllahu `alaihi wa sallam. Usahlah dipedulikan suara - suara sumbang yang bencikan umat yang bersyukur serta menzahirkan kesyukuran mereka atas kelahiran nikmat terbesar daripada Allah subhanahu wa ta`ala. Mari kita sibukkan diri menzahirkan rasa syukur kita dengan membesarkan dan memuliakan mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk menambahkan lagi kecintaan dan kerinduan kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Janganlah kita terpedaya dengan tipuan halus syaitan yang mengkehendaki kita supaya hanya tenggelam dalam perdebatan mengenai sambutan mawlid sehingga kita sendiri lalai daripadanya .... Allahu .... Allah. 

Pedulikanlah puak - puak pembenci mawlid ini, tok sah layan sangatlah. Kita ada sandaran yang kuat dan kukuh zaman - berzaman yang terdiri daripada para ulama muktabar yang menjadi sandaran umat. Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam "Husnul Maqshid fi Amalil Mawlid" ketika ditanya tentang hukum sambutan mawlid dalam bulan Rabi`ul Awwal, samada ianya amalan yang terpuji atau keji, dan adakah si pelakunya akan diberi pahala atau tidak, telah menjelaskan, antara lain, sebagai berikut:
"Bahawasanya pada dasarnya hukum amalan mawlid - di mana manusia mengadakan perhimpunann, membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran, membaca riwayat - riwayat mengenai kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta tanda-tanda mukjizat dan kebesaran baginda, lalu kemudian didatangkan jamuan untuk mereka makan sebelum bersurai, tanpa ada tambahan selain demikian, adalah bid`ah hasanah yang pelakunya diberi pahala, kerana terkandung dalamnya pengagungan kedudukan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan penzahiran kesukaan dan kegembiraan atas mawlid baginda yang mulia.
Maka, jelas bahawa mengadakan sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah suatu amalan yang terpuji yang bakal diganjari Allah ta`ala dengan syarat apa-apa yang dibuat dalam rangka mengadakannya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang mulia. Jika saja seseorang tidak dikeji jika dia menyambut ulang tahun kelahiran dirinya sebagai tanda bersyukur dan muhasabah, maka di mana salahnya jika seseorang itu untuk menyambut ulang tahun kelahiran manusia paling agung, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hanya pengikut penggembala unta dari Najd yang otaknya sekadar mampu menerobosi langit - langit khemahnya sahaja yang akan mengeji sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Membid`ahsesatkan sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun yang peliknya, perayaan ulang tahun kelahiran negara, mereka sambut pula dengan meriah. Mana letaknya otak meke - meke ini ......Allahu ... Allah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan