Bersempena Hari 'Asyura yang bakal menjelang tiba, faqir kongsikan di sini nukilan dari kitab Nihayatuz Zain fi irsyadil mubtadi-in karya al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah, mudah-mudahan ada manfaatnya, guna menambah amalan kebajikan sebagaimana dianjurkan secara umum dalam banyak nas syarak yang mulia. Tutuplah telinga daripada mendengar kata-kata sumbang yang menghalangi kita beramal, biarkanlah anjing menyalak bukit dan biarkanlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Kata Syaikh Nawawi rahimahullah pada halaman 196 kitab yang berkat tersebut:
Kata Syaikh Nawawi rahimahullah pada halaman 196 kitab yang berkat tersebut:
Dan dinukilkan daripada sebahagian al-afaadhil (yakni orang-orang mulia yang memiliki kelebihan dan keutamaan) bahawanya amalan-amalan pada Hari 'Asyura ada 12 amalan: (i) shalat, dan yang awlanya didirikan Shalat Tasbih; (ii) puasa; (iii) sedekah; (iv) meluaskan nafkah perbelanjaan keluarga; (v) mandi; (vi) ziarah orang 'alim yang shalih; (vii) melawat orang sakit; (viii) menyapu kepala anak yatim; (ix) bercelak; (x) memotong kuku; (xi) membaca Surah al-Ikhlas 1000 kali dan (xii) bersilatur rahim. Telah warid hadis-hadis mengenai anjuran berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga pada Hari 'Asyura. Adapun amalan-amalan selain keduanya tidak ada dinyatakan dalam hadis-hadis (yakni hadis-hadis yang sahih atau hasan, kalau pun ada hanya disebut dalam hadis-hadis yang dhaif sahaja).
Telah menyebut Imam para muhadditsin Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Syarah al-Bukhari beberapa kalimat yang sesiapa yang membacanya pada Hari 'Asyura, maka hatinya tidak akan mati, iaitu ......(di sini Syaikh Nawawi mendatangkan wirid 'Asyura yang masyhur) .....
Telah menukil Sayyidi 'Ali al-Ajhuri bahawa sesiapa yang membaca pada Hari 'Asyura 70 kali : "HasbiyaAllahu wa Ni'mal Wakil, Ni'mal Mawla wa Ni'man Nashir", Allah ta'ala akan menjaganya dari kejahatan sepanjang tahun tersebut.Marilah kita rebut peluang yang ada, umur yang berbaki untuk menambah lagi amalan buat bekal di alam baqa nanti. Janganlah sampai kita masuk kubur tanpa bertemankan amalan-amalan shalih yang dianjurkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan pewaris - pewaris baginda iaitu para ulama yang mukhlashin.
Tkasih sidi. Mohon share
BalasPadam