Badrut Tamaam wan Nujuum ats-Tsawaaqib adalah karya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah yang isi kandungannya seperti kata Tok Syaikh adalah:- ... pada menyatakan setengah daripada kelakuan an-Nabi al-Musthafa Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan pada menyatakan barang yang bagi setengah daripada keluarganya dan sahabatnya daripada manaqib, ertinya segala kelebihan dan kelakuan yang kepujian.... Karangan ini telah beliau sempurnakan di Makkah pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 9 Rabi`ul Akhir 1307H / 3 November 1889M.
Dalam entri terdahulu, faqir telah berkongsi sedikit kandungan kitab tersebut. Maka sempena bulan mawlid, ingin faqir berkongsi lanjutan isi kitab tersebut mengenai roh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disebut Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang dijadikan Allah `azza wa jalla. Perkongsian ini faqir nukil dari halaman 3 sebagai berikut:
Maka kami berkata: (Telah datang di dalam hadis) bahawasa awal barang yang dijadikan Allah ta`ala itu nur nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan datang pada kaifiat menjadikan nur yang mulia itu beberapa riwayat yang berbilang-bilang. Dan hasil sekaliannya bahawasa Allah subhanahu wa ta'ala tatkala bergantung iradahNya dengan menjadikan sekalian makhluk, menjadilah Ia akan nur Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dahulu daripada dijadikan langit dan bumi, dan 'arasy dan kursiy, dan loh dan qalam, dan syurga dan neraka, dan malaikat dan sekalian yang lainnya, dengan bagian-bagian ribu tahun. Dan adalah dilihatkan nur itu di dalam padang 'alamul qudsi, maka pada setengah ketika disuruhkan dia dengan sujud, dan seketika dengan tasbih dan taqdis. Dan dijadikan baginya akan beberapa hijab, didiamkan dia di dalam tiap-tiap hijab itu beberapa masa yang panjang, mengucap tasbih ia bagi Allah ta`ala dengan tasbih yang tertentu. Maka kemudian daripada dikeluarkan dia daripada segala tirai itu, bernafas ia dengan beberapa nafas. Maka dijadikan daripada segala nafasnya akan sekalian roh anbiya` dan awliya` dan shiddiqin dan syuhada` dan sekalian mukminin dan sekalian malaikat.
(Dan kemudian) daripada menjadi Allah ta`ala akan Adam `alaihis salam daripada tanah dihantarNya akan nur itu pada dahinya. Kemudian berpindah nur itu kepada Nabi Syits 'alaihis salam, kemudian kepada Yaanisy. Dan demikianlah berpindah-pindah ia daripada segala bapa yang suci kepada segala anak yang baik hingga sampai ia kepada 'Abdul Muthallib dan tercemerlang ia pada mukanya. (Dan) dengan berkatnya, berhadap ia kepada Allah ta`ala pada ashabul fil dan mereka itu tentera yang datang daripada pihak Raja Habsyah dengan beberapa banyak gajah supaya meruntuh mereka itu akan ka'bah, maka dibinasa akan mereka itu dengan beberapa banyak burung ababil yang melontarkan mereka itu dengan beberapa banyak anak batu daripada neraka sijjil. (Kemudian) berpindah nur itu dan cemerlang ia pada dahi bapanya shallaAllahu `alaihi wa sallam, Sayyidina 'Abdullah adz-Dzabih dan digelarkan dia dengan "dzabih" ertinya sembelihan kerana bapanya 'Abdul Muthallib menghendaki sembelihkan dia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan