Selasa, November 06, 2018

Nazam Kanzul 'Ula

Di Trengganu ada tradisi rakyat yang dinamakan nabam atau nabang, iaitu pembacaan nazam-nazam atau syair-syair berisikan pujian ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Antara yang dibaca adalah nazam maulud yang dikarang oleh Tokku Tuan Besar, seorang ulama besar Trengganu. Di sesetengah tempat dalam negara kita, nazam maulud tersebut dipanggil sebagai Maulud Jawi. Tokku Tuan Besar atau nama sebenarnya Sayyid Muhammad bin Zainal 'Abidin bin Husain bin Musthafa al-'Aidrus adalah salah seorang ulama ahlul bait yang masyhur yang pernah menjadi Syaikhul Ulama dan Mufti Trengganu. Beliau dilahirkan pada tahun 1211H/1794M dan wafat pada 17 Muharram 1295H / 21 Januari 1878. Beliau adalah ayahanda kepada seorang lagi ulama dan wali besar iaitu Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad al-'Aidrus yang terkenal dengan gelaran Tokku Paloh ridhwanullahi 'alaihim ajma`in.

Kitab mawlid Tokku Tuan Besar ini dinamakan Kanzul 'Ula berbentuk nazam berbahasa Melayu yang indah dan berseni. Maka tidak hairan jika sesetengah pengkaji menggelar beliau sebagai Bapa Kesusasteraan Trengganu. Kini karya ini telah mula mendapat perhatian para ilmuwan menjadi topik kajian mereka. Di antaranya adalah thesis sarjana Ustaz Mohd Adli Ahmad Rosdi yang berjodol Ta`tsir Diwan Kanz al-'Ula Mawlid al-Barzanji Dirasah Muqaranah. Ustaz Rosni bin Samah pula telah menulis beberapa makalah mengenainya dan dalam Ta`tsir  al-Adab al-'Arabiy wa al-Islamiy fi Funun al-Adab al-Maliziy al-Hadits pada bab 3 beliau membincangkan pengaruh qasidah al-Burdah dan al-Hamziyyah atas Kanzul 'Ula. Puan Sakinah Abu Bakar pula telah menulis Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu yang mengkaji tradisi pembacaan kitab tersebut terutama sekali di Seberang Perai, Pulau Pinang. Nama nazam tersebut telah dinamakan sendiri oleh Tokku Tuan Besar sebagaimana dinyata pada awalnya seperti berikut:

Wa ba'du, inilah kitab Kanzul 'Ula namanya;
Pada menyatakan sifat al-Musthafa yang mulia.
Allah jua ku harap dengan menolong aku;
Atas nazamku ini pada khatam dia.
Dengan megah penghulu kita Muhammad yang besar;
Dan keluarganya yang suci dan sahabatnya yang mulia.

Sebagaimana dalam kitab-kitab maulud @ mawlid yang lain, maka Kanzul 'Ula  juga menyebut mengenai Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai makhluk Allah yang pertama diciptakan. Tokku Tuan Besar menyatakan:-

Nurnya itulah mula-mula makhluk yang jadi;
Dengan kehendak Tuhannya yang mengadakan dia.
Dan nur itulah asal bagi wujud yang lain;
Dan yang lainnya itu daripadanya ia.
Luh dan qalam dan arasy dan kursiNya yang luas;
Dan langit dan bumi dan syurga yang 'ulya.
Lagi pula neraka dan nur hati mukmin;
Dan nur mata yang zahir daripadanya ia.
Sungguh jika tiada itu Rasul yang lebih;
Maka alam ini pun tak ada wujudnya ia.

Sebagai galakan agar banyak bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Tokku Tuan Besar rahimahullah juga menyebut kelebihan bershalawat, antaranya:-

Maka banyakkan shalawat atas Rasul yang mulia;
Itu menunjuk juga atas kasihkan dia.
Maka banyaklah olehmu shalawatkan dia;
Kamu dapat rahmat dari Tuhan Yang Kaya.
Dengan shalawat yang satu rahmat turunlah ia;
Dengan sepuluh ganda dari Tuhan Yang Kaya.
Dengan sepuluh itu turun seratus ia;
Dengan seratus turun seribu ia.
Dengan seribu shalawat itu jadilah jasad;
Kamu atas api neraka itu haramlah ia.
Lagi tetaplah kamu dengan kata yang mulia;
Dalam masa hidupmu maka besarlah bahagia.
Lagi pula ditetap pada masa bertanya;
Oleh dua malaikat yang sangat mulia.
Lagi pada akhirat pula ditetap dia;
Masa amalmu itu pula dikira-kira dia.
Lagi masuklah kamu syurga itu yang mulia;
Maka jadilah kamu dari orang bahagia.
Lagi datanglah kamu oleh shalawatmu itu;
Atas titian dengan sangat bercahaya.
Luas kadar nur itu dari perjalanan;
Lima ratus yang ada dari tahunlah ia.
Allah berikan pula mahligai yang mulia;
Dengan bilang dibaca akan shalawat yang 'ulya.
Kamu banyakkan baca atau sedikit ia;
Dengan kadarmu baca itu dapatlah ia.
Lagi pula datanglah pada hadis yang lain;
Dari penghulu kita itu Rasul yang mulia.
Telah wahyukan dia oleh Tuhan Yang Mulia;
Dengan nyatakan besar pahala shalawat yang 'ulya.
Tidak ucapkan atasmu shalawat yang 'ulya;
Oleh seorang jua dari orang bahagia.
Maka melainkan telah Aku suratkan dia;
Maka empat ratuslah perang pada pahalanya ia.
Dan adalah tiap-tiap perang yang satu;
Itu sama akan empat ratuslah ia.
Daripada yang ada haji yang baik;
Maka inilah yang ada mafhum hadis yang mulia.

Mudah-mudahan bertambah kesungguhan kita menyambut mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan memperbanyakkan shalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, lebih-lebih lagi dalam bulan kelahiran baginda yang bakal menjelang tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan