Ahad, Disember 01, 2019

Khiththah Mardhiyyah

Syaikh Ahmad al-Khatib bin 'Abdul Latif al-Minankabawi adalah seorang tokoh ulama Melayu yang telah menempa nama di kota suci Makkah al-Mukarramah. Beliau adalah murid kepada Sidi Ahmad Zaini Dahlan, mufti Makkah dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi, pengarang I`anatuth Thalibin. Beliau juga adalah guru kepada ramai pelajar, antaranya Syaikh Abdul Karim Amrullah, ayahanda Dr. Hamka. Atas ketinggian ilmunya, Syaikh Ahmad Khatib dilantik menjadi imam dan khatib bagi pengikut Mazhab Syafie pada maqam Ibrahim dalam Masjidil Haram yang mulia. Biografi beliau telah banyak ditulis dan dibukukan, antaranya oleh Dr. Mat Rofa Ismail dengan jodol "Biografi Agung Syeikh Ahmad al-Khatib al-Minankabawi". Tuan - puan yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai beliau, bolehlah mencari dan membaca tulisan tentang sejarah hidup beliau yang cemerlang tersebut. Selain memimpin shalat, mengajar dan memberikan fatwa, Syaikh Ahmad Khatib juga tidak lupa menghasilkan karya-karya tulis. Bahkan, hasil karangannya beliau menjangkau 47 buah kitab dan risalah dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu falak dan matematik. Sungguhpun sedemikian alimnya, beliau tetap sahaja, dalam hukum - hakam fiqh, bertaqlid kepada Mazhab Syafie. Contohnya dalam polemik yang dicetuskan oleh Kaum Muda pada masalah talaffuz bin niyyah (yakni hukum melafazkan niat "ushalli" sebelum memulakan shalat), Syaikh Ahmad Khatib rahimahullah telah mengarang satu risalah / kitab yang diberi jodol "al-Khiththah al-Mardhiyyah fi raddi syubhati man qaala bi bid`ati at-talaffuz bin niyyah" bagi mempertahankan Mazhab Syafie dan menjelaskan bahawa hukum melafazkan niat bukanlah bid`ah dhalalah sebagaimana dakwaan Kaum Muda (baca: Wahhabi).

Kitab al-Khiththah al-Mardhiyyah ini telah selesai dikarang di Makkah pada 14 Sya'ban 1327H dan dicetak untuk kali pertamanya di Mathba`ah at-Taraqi al-Majidiyyah, Makkah. Syaikh Ahmad Khatib walaupun ada kalanya bersikap terbuka dalam polemik "Kaum Tua" dan "Kaum Muda", namun semuanya dinilai beliau dengan sandaran ilmu yang benar. Beliau mengeluarkan pandangan berdasarkan ilmunya tanpa mempedulikan samada ianya berpihak kepada "Kaum Tua" atau "Kaum Muda". Maka tidak hairan, jika ada pandangan beliau yang selari dengan fahaman "Kaum Muda" seperti dalam beberapa masalah berhubung Thariqat Naqsyabandiyyah. Atas keterbukaan ini, maka tidak hairan jika ada di antara murid-murid beliau yang menjadi tokoh penting aliran "Kaum Muda" seperti Syaikh Haji Abdul Karim Amrullah, manakala ramai pula murid - murid beliau yang tetap menjadi pendokong setia "Kaum Tua". Berbalik kepada "al-Khiththah al-Mardhiyyah, Syaikh Ahmad Khatib rahimahullah telah menunjukkan ketegasan beliau dalam menolak fahaman Wahhabi yang disandarkan kepada pendapat panutan mereka, Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim. Pada halaman 24 risalah tersebut, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
"... Dan segala itu padalah bagi orang yang beriman pada menyatakan sesat Ibnul Qayyim dan gurunya Ibnu Taimiyyah dan jika seperti itu maka adalah saudara - saudara yang mengikut Ibnul Qayyim pada syubhahnya sesat pula. Maka Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim dan segala yang mengikut mereka itu ialah firqah yang telah keluar dari Ahlis Sunnah wal Jama`ah, yang memerangi mereka itu akan Ahlis Sunnah wal Jama`ah, dan mengkufurkan akan mereka itu, dan dinamai mereka itu Firqah al-Wahhabiyyah......" Mungkin ada yang tidak selesa dengan kata - kata dan kecaman keras Syaikh Ahmad Khatib terhadap Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim serta pentaqlid mereka, namun apa yang dilakukan oleh Syaikh Ahmad Khatib tersebut hanyalah sebagai memulangkan paku buah keras kepada mereka yang terlebih dahulu menghukum orang - orang yang tidak mengikut pandangan mereka sebagai sesat, syirik, kufur dan sebagainya. Oleh itu, jika kita tidak suka dikecam orang, maka janganlah suka mengecam orang. Janganlah bersikap seolah - olah kebenaran mutlak itu adalah milik kita seorang. Belajarlah untuk menghargai khilaf dan menghormati ijtihad para ulama yang muktabar walaupun mungkin ijtihad mereka tidak selari dengan pegangan kita. Mudah - mudahan Allah mencucuri rahmat yang berkekalan ke atas Syaikh Ahmad al-Khatib rahimahullah dan menjadikan ilmunya bermanfaat sehingga kesudahan masa.

Selasa, Oktober 08, 2019

Khatib Berthaylasan

Sejauh ingatan faqir, para khatib di tempat faqir sejak dahulu lagi apabila menyampaikan khutbah akan memegang tongkat dan memakai thaylasan, iaitu kain kelubung atas kepala atau dalam bahasa kami "makey kain sal atas palak". Jika selendang atau kelubung itu diletakkan atas bahu, maka ianya tidak dinamakan berthaylasan tetapi disebut sebagai memakai selendang atau rida`. Terhasil  asal sunnah pemakaian thaylasan ini dengan meletakkan selendang atau rida` tersebut atas kepala dan menyelubungi bahu serta belakang si pemakainya. Untuk kaifiat yang lengkap, boleh tuan - tuan rujuk kepada tok - tok guru dan rujuk umpamanya bab libas dalam kitab - kitab fiqh. Di tempat kami, berthaylasan adalah seolah - olah pakaian rasmi para khatib dan sebenarnya pemakaiannya adalah sesuatu yang elok dan baik serta dihukumkan sebagai mustahab / mandub / sunnat oleh para ulama. 

Memakai thaylasan atau kain kelubung kepala ini ada khilaf di kalangan ulama kita. Sebahagian kecil daripada ulama menghukumkan makruh memakainya kerana  dianggap menyerupai pakaian Yahudi. Di antara yang keras berpendapat sedemikian adalah Sulthanul Ulama, Syaikh `Izzuddin ibnu Abdis Salam rahimahullah, yang diriwayatkan sebagai pernah menegah para khatib di Jami` Umawi, Damsyik, daripada memakai thaylasan. Namun pendapat ini ditolak oleh kebanyakan ulama kita yang menghukumkan pemakaiannya sebagai mustahab / mandub / sunnat asalkan tidak menyerupai corak, rupa dan bentuk yang digunakan oleh kaum Yahudi. Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat berthaylasan bagi semua lelaki, tanpa mengira awam maupun khawas,  ketika melakukan ibadah seperti ketika shalat, ketika khatib berkhutbah dan seumpamanya. Manakala di luar shalat atau di luar perlaksanaan ibadah, yakni untuk pemakaian seharian, maka ianya hanya disunnatkan bagi ulama sahaja sebagai pemuliaan kepada ilmu dan agar ahlinya dapat dikenali. Maka kita dapat lihat ada ulama kita yang membiasakan diri mereka dengan memakai thaylasan seperti al-'Alim al-'Allaamah Baba Eil Spanjang al-Fathani hafizahullah. Bagi sesetengah pengikut Thariqat Naqsyabandiyyah pula, berthaylasan adalah dituntut ketika menjalankan zikir thariqat. Manakala bagi awam macam kita, berthaylasan di luar tu hanyalah semata - mata untuk mengelak dari teriknya panas matahari. Mungkin di antara hikmah berthaylasan ini adalah untuk membatas ruang lingkup pandangan mata dengan sedemikian diharap terjagalah mata daripada melihat segala aghyar yang mungkin dapat menarik perhatian atau mengganggu kekhusyukan.

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain pada halaman 140 berkaitan thaylasan menukil antara lain perkataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dalam Tanbihul Akhyar sebagai berikut: Adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidak meninggalkan untuk berthaylasan dan adalah panjang thaylasan baginda itu 6 hasta dan lebarnya 3 hasta. Thaylasan itu menyerupai rida` yang diletakkan atas kepala, dua bahu dan belakang (yakni menutupi kepala, dua bahu dan belakang) sebagaimana dinukilkan daripada Imam as-Sayuthi.

Berbalik kepada subjek asal entri ini, iaitu persoalan hukum khatib berthaylasan ketika menyampaikan khutbah di atas mimbar. Imam Ibnu Hajar rahimahullah pernah ditanya mengenai perkara ini dalam fatwa beliau dan jawapan beliau sebagaimana termaktub dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, juz 1, halaman 261 adalah sebagai berikut:-
Imam Ibnu Hajar telah ditanya tentang seorang khatib yang meninggalkan pemakaian thaylasan dan menganggap pemakaiannya tidak disunnatkan, maka adakah anggapannya tersebut benar atau salah? Maka Imam Ibnu Hajar menjawab dengan katanya: "Anggapan khatib tersebut tidak benar, bahkan yang benar adalah berthaylasan  itu sunnat sebagaimana dijelaskan oleh ramai para imam kita. Adalah Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah mempunyai karya tersendiri mengenai kesunnahan memakai thaylasan, di mana dihimpunkan dalamnya hadis - hadis yang warid serta penjelasan mengenainya juga penolakan terhadap pihak yang menyalahi pemakaiannya. Maka syukur kepada Allah atas usaha beliau tersebut. Adalah guru kami al-Imam al-Ustadz Abul Hasan al-Bakri saqaAllahu tsarahu sentiasa memakainya sejak mula lagi, ketika dalam pengajian dan selainnya. Maka perbuatan beliau telah ditentang oleh sesetengah manusia, lalu beliau bersungguh - sungguh menjawab tentangan mereka dengan mendatangkan segala riwayat yang menunjukkan atas sunnat (mandub) memakainya. Beliau telah menjelaskan kepada pihak yang menentang, bahawa yang ditentang oleh mereka itu sebenarnya adalah pemakaian thaylasan dengan sifat atau rupa yang tertentu (yakni bukanlah yang ditentang itu pemakaian thaylasan secara mutlak, tetapi pemakaiannya yang menyerupai pemakaian thaylasan Yahudi)........
Selanjutnya, Imam Ibnu Ziyad rahimahullah juga berpendapat memakai thaylasan adalah mustahab / sunnat bagi khatib ketika menyampaikan khutbah. Ini boleh kita lihat dalam fatwa beliau yang dikutip oleh Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur Ba`Alawi rahimahullah, mufti Hadhramaut dalam "Ghayatu Talkhish", yang dicetak di tepi Bughyatul Mustarsyidin pada halaman 103. Pada halaman tersebut tercatat sebagai berikut:

Adalah mustahab (sunnat) hukumnya bagi si khatib untuk memakai thaylasan (kain selubung atas kepala) dan al-Qadhi (iaitu al-Qadhi Abu 'Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwazi @ Qadhi Husain) telah menjelaskan bahawasanya adalah mustahab bagi setiap orang yang shalat memakai serban dan berthaylasan, di mana ianya (yakni pemakaian thaylasan) adalah syiar bagi para pemuka ulama. Mustahab menadah tangan ketika berdoa setelah dua khutbah (yakni ketika khatib berdoa pada hujung khutbah kedua) bagi khatib dan jemaah lain. Namun, jika si khatib khuatir dia akan terjatuh jika dia menadah tangannya ketika berdoa tersebut, maka tidaklah mengapa untuk dia meninggalkan menadah tangannya tersebut.
Oleh itu, eloklah bagi para khatib ketika menyampaikan khutbah memakai segala pakaian bagus meniru pakaian yang pernah digunakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, dengan kopiah, dengan serban, dengan rida` dan dengan thaylasan. Hal ini mungkin dapat menambahkan lagi haibah dan waqar si khatib sehingga lebih mantap dia berkhutbah. 

Isnin, September 30, 2019

Umpama Rakaat Lailatul Qadar

Allah azza wa jalla Tuhan yang Maha Pemurah telah membentang bagi kita berbagai amalan dan cara yang walau pun nampaknya kecil dan ringan, tetapi memiliki ganjaran yang amat besar. Di antaranya adalah shalat sunnat selepas Isya` (ba'diyyah Isya`) sebanyak 4 rakaat. Amalan ini yang memiliki ganjaran istimewa yang tersendiri. Telah datang berbagai riwayat mengenai fadhilat melaksanakannya, menunjukkan ganjarannya seumpama rakaat - rakaat shalat tersebut yang dilakukan pada Lailatul Qadar.

Oleh itu, ramai para ulama dan tuan - tuan guru kita berpesan agar menjadikan amalan ini sebagai amalan istiqamah kita.  Imam Habib Abdullah al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashaih ad-Diniyyah, turut berpesan agar kita menjaga amalan menunaikan shalat sunnat empat rakaat selepas Isya` ini. Pada halaman 138, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Hendaklah engkau melazimkan shalat sunnat empat rakaat selepas Shalat Isya`. Sesungguhnya padanya ada kelebihan yang banyak sebagaimana sabda Junjungan Nabi `alaihish shalatu was salam: "Empat rakaat selepas Shalat Isya` adalah seperti empat rakaat (yang dikerjakan) pada malam Lailatul Qadar." Satu rakaat pada malam Lailatul Qadar menyamai 30,000 rakaat pada malam - malam yang lain......
Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf, jilid 5, halaman 100, telah meriwayatkan beberapa atsar mengenai kelebihan shalat sunnat empat rakaat selepas Isya`. Atsar - atsar tersebut yang dihukumkan sebagai hadis marfu`, dengan berbagai darjat, antaranya sebagai berikut:-

7351 - ...... daripada Abdullah bin `Amru yang berkata: "Sesiapa shalat empat rakaat selepas `Isya` jadilah kadarnya seperti empat rakaat yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar."

7352 - ....... daripada Sayyidah `Aisyah yang berkata: "Empat rakaat shalat selepas Isya` menyamai yang seumpamanya pada malam Lailatul Qadar."

7353 - .....daripada Sayyidina 'Abdullah (iaitu Sayyidina Ibnu Mas`ud) yang berkata: "Sesiapa yang shalat 4 rakaat selepas shalat Isya` tanpa memisahkan antara rakaat-rakaatnya dengan salam (yakni dilakukan dengan satu salam sahaja) menyamai akan yang seumpamanya pada malam Lailatul Qadar."

Inilah beberapa atsar sahabat yang menunjukkan kelebihan menunaikan shalat empat rakaat tersebut. Mudah-mudahan menjadi galakan untuk kita beramal. Tentang shalat sunnat empat rakaat ini dan cara melaksanakan cara, ulama berbeza pendapat. Sebahagian ulama, seperti para ulama daripada kalangan Hanafiyyah, berpendapat bahawa ianya adalah shalat sunnat mutlak dan bukannya shalat rawatib selepas Isya` (sunnat ba`diyyah Isya`). Manakala sebahagian ulama daripada kalangan Syafi`iyyah dan Hanabilah menyatakan bahawa shalat tersebut adalah shalat sunnat ba`diyyah Isya`. Mereka juga berbeza pendapat tentang kaedah melakukannya. Sebahagian ulama menghukumkan ia lebih afdhal dilakukan di masjid sebelum pulang ke rumah, manakala yang lain menghukumkan afdhal dilakukan di rumah. Sebahagian ulama menghukum empat rakaat ini afdhal dilakukan secara berpisah dengan dua salam, manakala sebahagian lagi berpendapat ianya dilakukan sekaligus dengan satu salam sahaja sebagaimana dalam riwayat Sayyidina Ibnu Mas`ud tadi. Seterusnya yang menghukumkan afdhal dengan satu salam, berbeza lagi pendapat, sebahagian menyatakan afdhal dilakukan tanpa tahiyyat awal untuk membezakannya dengan shalat fardhu Isya`, manakala sebahagian lagi menganjurkan dengan tahiyyat awal. Walau apa pun perbezaan pendapat tadi, namun para ulama sekata menyimpulkan bahawa selepas shalat fardhu Isya`, kita dianjurkan untuk melaksanakan empat rakaat shalat sunnat yang mana empat rakaat ini dikadarkan atau diukur ganjarannya menyamai atau seumpama rakaat - rakaat sembahyang yang dilakukan pada Lailatul Qadar, malam yang penuh kemuliaan. Oleh itu, berusahalah untuk mengamalkannya serta melaziminya. 

Sabtu, Ogos 31, 2019

Wasiat Syaikh `Umar Maqdisi

Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah telah sebati dengan masyarakat kita di Nusantara. Namun, amalan ini tidaklah terbatas di rantau kita sahaja dan bukanlah perkara yang diada-adakan masyarakat Nusantara semata-mata. Pasti ada asal - usulnya jika kita kaji. Namun, apalah guna mengetahui asalnya jika hanya untuk diketahui sahaja, apa yang lebih penting ialah diamal dan dihayati akan doa - doa tersebut sepenuh hati agar dikabulkan Allah dan diberiNya segala yang dipinta.

Syaikh Hasan al-`Idwi al-Hamzaawi (wafat tahun 1303H) rahimahullah, seorang ulama besar al-Azhar bermazhab Maliki. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli hadis dan memiliki karangan yang mensyarahkan Shahih al-Bukhari setebal 10 jilid dengan jodol an-Nuurus Saari min faydhi Shahih al-Imam al-Bukhari. Syaikh Hasan dalam karya beliau yang mensyarahkan hadis musalsal mengenai 'Asyura yang berjodol an-Nafahaatun Nabawiyyah fi Fadhaa-il al-`Aasyuuriyyah pada halaman 68 menukilkan wasiat Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi berhubung Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun, di mana Syaikh 'Umar menyatakan sebagai berikut: "Sentiasalah guru - guru kami berpesan kepada kami untuk mengamalkannya sebagaimana mereka mengamalkannya (yakni mengamalkan doa akhir dan doa awal tahun tersebut) dan aku belum pernah meninggalkannya selama umurku." 
Wasiat tersebut juga dinukilkan oleh para ulama Jawi, antaranya Syaikh Abdul Hamid Qudus rahimahullah dalam Kanzun Najaah was Suruur pada halaman 68 dan  oleh almarhum Mufti Negeri Sembilan, Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id dalam Tuhfatul Awthaan wal Ikhwaan. Syaikh Ahmad rahimahullah pada halaman 40 kitab tersebut menukil sebagai berikut: Telah menyebut oleh al-'Allaamah ad-Dairabi di dalam Fawaaidnya, ia nukil daripada al-'Allaamah Jamaaluddin cucu Ibnul Jawzi daripada Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi akan doa bagi awal tahun dan doa bagi akhirnya, dan berkata ia: "Sentiasalah guru - guru kami berwasiatkan dengan itu doa dan membaca mereka itu akan dia dan tiada luput akan daku selama umur aku."

Maka, terpulanglah kepada tuan - tuan untuk mengikut anjuran dan pesanan tersebut. Nak ikut, ikut. Tak nak, tak payah. Tak jatuh dalam dosa kalau tak buat. Yang jatuh dalam dosa adalah bila kita larang dan/atau caci dan/atau keji akan hamba - hamba Allah yang mahu berdoa memohon kepada Allah. Ingat berdoa  adalah satu ibadah, bahkan ia adalah intipati ibadah.

Rabu, Ogos 28, 2019

Istighatsah Ketika Sakit

Ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah membenarkan berdoa kepada Allah ta`ala secara bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bahkan, perbuatan beristighatsah juga tidak dipermasalahkan oleh para ulama kita. Segala dalil dan hujah bagi perbuatan ini telah penuh dibicarakan dalam karya - karya dan fatwa - fatwa mereka. Antaranya adalah riwayat istighatsah yang dibaca setelah shalat hajat yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada seorang buta dalam riwayat yang masyhur, diriwayatkan oleh para ahli hadits di antaranya Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu dalam musnad beliau dengan sanad yang sahih.  Maka berterusanlah doa beristighatsah tersebut diajar dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke zaman kita sekarang.

Di kesempatan kali ini, faqir menukilkan kisah seseorang yang beristighatsah dengan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika beliau menderita sakit. Kisah ini terjadi setelah kewafatan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam karya beliau, Mujaabad Da'wah. Diriwayatkan pada halaman 85 sebagai berikut: Seorang lelaki telah datang kepada 'Abdul Malik bin Hayyan bin Sa`id bin al-Hasan bin Abjar (untuk mengadu mengenai sakit yang dihadapinya). Maka Ibnu Abjar memeriksa perut lelaki tersebut, lalu berkata: "Engkau menghidap penyakit yang tidak dapat diubat, iaitu penyakit ad-dubailah (seperti bisul atau ketumbuhan atau kanser). Lelaki tersebut pun berlalu pergi sambil berdoa sebanyak 3 kali dengan doa berikut: "Allah, Allah sahajalah Tuhanku dan tidaklah aku mensyirikkan sesuatu denganNya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi Pembawa Rahmat, Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia mengasihaniku dan merahmatiku atas apa yang aku hidapi dengan rahmat yang mencukupi bagiku daripada menagih simpati dan berharap kepada belas ihsan selainNya. " Kemudian dia pergi lagi bertemu dengan Ibnu Abjar dan setelah diperiksa, Ibnu Abjar berkata kepadanya: "Engkau telah sembuh dan tiada lagi bagimu penyakit".
Allahu .... Allah, Allah yang Maha Penyembuh yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sembuh atau tidak semuanya atas kehendak mutlak Allah ta`ala semata-mata. Kisah di atas dinukilkan hanya sebagai satu contoh menunjukkan bahawa berdoa dengan beristighatsah  kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam zaman berzaman.

Ahad, Ogos 04, 2019

Raatibah Jalaaliyyah

Dalam khazanah Islam dan umatnya, terdapat banyak dan berbagai amalan yang disusun oleh para ulama sebagai upaya untuk bertaqarrub mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Dan semestinya segala amalan yang muktabar itu sekali - kali tidak menyalahi akidah dan syariat serta mempunyai sumber dan sandaran, samada secara langsung maupun secara tidak langsung. Di wilayah - wilayah India Selatan seperti Tamil Nadu, Nagor, Kerala dan juga di pulau Sri Lanka terkenal dengan satu amalan  wirid yang dikenali sebagai Raatibatun Jalaaliyyatun @ Ratib Jalaaliyyah atau nama "gah"nya Raatibatun Jalaaliyyatun wa Wadzhifatun Haaliyyatun wa Maqaaliyyatun wa Adzkaarun Qaadiriyyatun. Amalan ini adalah rangkaian zikrullah, shalawat dan munajat yang disusun oleh seorang ulama dan wali yang terkenal, iaitu Quthubuz Zaman Sayyid Muhammad Mappillai Lebbai 'Aalim Waliyullah yang juga dikenali sebagai Imam `Arus dan Maadihush Shibtayn rahimahullah. Imam 'Arus atau nama penuhnya Sayyid Muhammad bin Ahmad Lebbai bin Miran Lebbai bin Ahmad Shadaqa al-Kirkari ash-Shiddiqi dilahirkan kira - kira tahun 1232H / 1816M dan wafat sekitar tahun 1316H / 1898M. Beliau merupakan keturunan Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau adalah seorang ulama besar yang diakui juga sebagai seorang wali yang banyak karamahnya. Beliau bermazhab Syafie dan kealiman beliau dapat dilihat dari karya - karya beliau yang melebihi 300 buah, kecil besar, dalam bahasa `Arab dan Arwi (Arab-Tamil) dalam berbagai bidang. Beliau rahimahullah memiliki beberapa karangan dalam Fiqh Syafie, di antaranya Fathul Matin, Fathus Salam, Fathud Dayyan dan Maghani Mulihat Tibyan.

Karya beliau Fathud Dayyan fi Fiqhi Khairil Adyan yang ditulis dalam Arwi telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris dan diberi kata pengantar oleh almarhum Prof. Dr. Abdul Majeed Mohamed Mackeen yang menyebut antara lain:- Mappilai Alim was an author of considerable standing and has to his credit a number of works ranging from writings on theology and law to Qur'anic exegesis. His magnum opus, however, is the well - known Maghani, a work of mature erudition intended as a commentary on Fath ad-Dayyan which it eventually superseded. .... His achievement lay in that, within the limits of the most orthodox presentation of Islam with details eschatology and rituals, he expounds with extreme conviction the most supreme issue of the Muslim divines were ever called upon to face - the non-dualistic theory of Ibn `Arabi. 

Imam 'Arus adalah seorang pendakwah yang gigih, berdakwah menyebarkan Islam dan mempertahankan akidah umatnya hatta ke ceruk - ceruk pendalaman. Beliau telah berdakwah ke kawasan - kawasan pendalaman Sri Lanka yang sukar untuk didatangi. Kesukaran tersebut tidak melemahkan semangat dakwahnya sehingga dikatakan bahawa di Sri Lanka sahaja beliau telah  berjaya membina dan membangun kira - kira 350 buah masjid serta madrasah. Maka tidak hairan, jika beliau adalah ulama yang amat berpengaruh di sana. Imam 'Arus juga adalah pengasas bagi Thariqah 'Aruusiyyah Qaadiriyyah yang merupakan furuk kepada Thariqah Qaadiriyyah yang masyhur dan berpengaruh di India Selatan dan berbagai daerah di dunia Islam. Ratib Jalaaliyyah yang beliau susun, antaranya menghimpunkan dua amalan ratib yang masyhur, iaitu Ratib al-Quthub al-Haddad dan Ratib al-Quthub Sayyid Muhammad al-Bukhari al-Jalali Thanggal radhiyaAllahu `anhuma. Sejak lebih kurang 150 tahun, Ratib Jalaaliyyah telah diamal dan dibaca secara berjemaah di masjid - masjid dan madrasah di Sri Lanka, Tamil Nadu, Kerala dan ianya telah tersebar ke berbagai pelusuk dunia termasuklah di Malaysia.

Di antara zikir - zikir yang terkandung dalam ratib tersebut,  ada satu shighah zikir yang biasa dirangkaikan dan dilantunkan dalam zikir - zikir munajat di tempat kita, bahkan dijadikan satu nasyid yang sering dikumandangkan. Ini berlaku sejak dulu lagi, ketika majlis - majlis qiyamulail berjemaah mula berkembang. Malangnya, zaman sekarang, ada pulak ustaz yang menyalahkan - nyalahkan zikir tersebut. Zikir yang perhamba maksudkan adalah shighah yang berbunyi: "Nur Muhammad, shallaAllah"Ada pihak yang mempermasalahkan shighah ini. Ada yang mengi'rabkannya secara nahwu dan sharaf, lalu membuat kesimpulan bahawa ianya janggal atau salah dari sudut bahasa yang mereka fahami. Geng yang allergik dengan Nur Muhammad tak payah cakap lagi, tak tunggu malam, langsung sesatkan ungkapan tersebut. Namun, dek kerana zikir tersebut telah melekat dalam masyarakat, maka nak dibuang payah, karang tak berbunyi pulak zikir munajat qiyamullail berjemaah mereka, lalu dibuatlah perubahan atau pertukaran pada shighah tersebut. Maka timbullah kalimah - kalimah ganti yang serasi dengan mereka seperti 'Ala Muhammad, ShallaAllah atau Nabi Muhammad, ShallaAllah dan seumpamanya. Perhamba nak komen banyak, perhamba tak reti, sebab mengaji tak tinggi. Hanya komen perhamba adalah shighah Nur Muhammad, ShallaAllah itulah yang dok tercatat dalam Ratib Jalaaliyyah susunan Imam 'Arus rahimahullah dan Nur Muhammad itu tiada lain selain daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu hendaknya kita berpada - pada dan berhati - hati dalam menyalahkannya. Tuan - tuan kena sedar, ingat dan perati, bahawa yang susun ratib tersebut bukanlah, maaf cakap, ustaz cap ayam. Tambahan pula, shighah tersebut telah lebih 150 tahun dibaca dan diamalkan manusia, khawwas dan awam. Maka adakah mereka semuanya tak reti ?

Jika pun nak dikatakan silap pada lafaz atau rangkaian shighah zikir: Hasbi Rabbi, JallaAllah; Maa fii qalbi, ghairUllah; Nur Muhammad, shallaAllahu tersebut, maka mungkin ianya adalah pada diri pembacanya dan bukannya pada shighah zikirnya. Silapnya adalah ketika si penzikir melantunkan maa fi qalbi ghairUllah (tiada sesuatu dalam hatiku selain Allah), hatinya malah penuh berisikan segala aghyar dan akdar. Maka di situlah kesilapan sebenarnya, bukan pada shighah zikirnya tapi pada kondisi si penzikir yang penuh kealpaan dan ghaflah. Makanya, tok - tok guru pesan, kalau boleh biarlah apa yang dilafaz dek lidah sama dengan apa yang terkandung dalam hati sanubari. Jika belum mampu, hendaklah diucapkan shighah zikir tersebut dengan niat dan harapan semoga apa yang diucapkan oleh lidah akan dizahirkan Allah dalam hati sanubari menjadi kenyataan sehingga benar - benar tiada lain di hati kita selain Allah. Atau setidak - tidaknya, shighah zikir tersebut diucapkan semata-mata dengan niat tabarrukan atau ittiba` atau menuruti atau mengajuk akan shighah yang pernah dilafazkan oleh para shalihin dengan harapan mudah - mudahan ada keberkatannya. Maka inilah pesanan tok - tok guru perhamba, mudah - mudahan dengan sedemikian, tidaklah kita dikecam sebagai pendusta kerana lain di lidah, lain pula yang di hati ..... Allahu .... Allah. Harap faham dan maklum, apa - apa pun jangan mudah menyalah - nyalahkan orang, apatah lagi jika yang disalah-salahkan itu tergolong daripada kalangan awliya` dan shalihin. Semoga manfaat dan keberkatan ratib tersebut dan penyusunnya terus mengalir atas sekalian umat.

Ahad, Jun 09, 2019

Doa & Ziarah Anak Derhaka

Dalam riwayat yang masyhur, atas ihsan dan rahmat Allah ta`ala, seseorang yang nyawanya masih dikandung badan sehingga ke saat rohnya, ketika hendak meninggalkan jasadnya sampai ke halqum (kerongkongnya), masih punya peluang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah jalla wa `ala. Oleh itu, jangan sekali - kali berputus asa daripada rahmat Allah. Bahkan jika seorang anak yang pernah menderhaka kepada ibu atau bapanya atau ibubapanya, tetap masih ada jalan pulang, walaupun setelah kedua orang tua tersebut tiada lagi di dunia. Anak derhaka masih boleh bertaubat kepada Allah dan berbakti kepada kedua orang tuanya tersebut. Antaranya adalah dengan banyak beristighar dan berdoa bagi kedua mereka, banyak beramal shalih dan bersedekah bagi pihak mereka, di samping jangan lupa untuk menziarahi pusara mereka ketika berkesempatan. Anak - anak yang shalih tidak perlu dituntut untuk mendoakan orang tuanya, kerana mendoakan orang tua itu adalah antara syarat bagi keshalihannya, bagaimana mungkin seseorang dianggap anak yang shalih jika sering melupakan orang tuanya. Justru yang perlu dituntut untuk berdoa bagi orang tuanya adalah anak - anak yang derhaka, kerana itulah jalan untuk menebus kesalahannya terhadap orang tuanya. Mudah - mudahan dengan sedemikian, taubatnya jadi benar, lalu dia menjadi orang dan anak yang shalih, yang doanya bermanfaat bagi kedua orang tuanya, maka dengan itu jadilah dia seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya. 

Syaikh Abdullah Basmeih rahimahullah, tokoh ilmuwan yang telah menghimpunkan antara karya hadis - hadis hukum dengan jodol Mastika Hadis, yang diterbit oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS dahulunya sebelum bertransformasi menjadi JAKIM sekarang) setelah disemak dan disahkan oleh Mufti Wilayah ketika itu, Syaikh Abdul Muhsin bin Haji Saleh rahimahullah, menulis dalam jilid kedua, halaman 428 - 429, antara lain, sebagai berikut:- 
Menziarahi kubur kaum kerabat terutama kubur ibubapa adalah sunnat muakkadah dan besar pahalanya - seperti diterangkan dalam hadis - hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibubapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yaasin di sisinya. Kelebihan mengenang ibubapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya - membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang shalih tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: anak derhaka yang telah kematian kedua ibubapanya, kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.
Oleh itu, jangan lupa untuk mendoakan kedua orang tua kita, tanpa batasan bilangan, had dan masa, cuma di waktu - waktu yang punya fadhilat terlebihlah utama. Bagi yang punya orang tua yang masih bernyawa, berbuatlah bakti kepada mereka di sini lagi, jangan menunggu setelah mereka berlepas ke sana. Ingat, jangan menunggu setelah ketiadaan mereka untuk melakukan kebaktian. Bagi yang telah tiada, maka rahmat Allah maha luas, peluang untuk meneruskan kebaktian tetap terbuka selagimana kita masih bernyawa. Mudah - mudahan kita dijadikan anak - anak yang menjadi penyejuk mata orang tuanya, Allahumma aaamiin.

Isnin, Jun 03, 2019

Ziarah Kubur Hari Raya

Telah menjadi amalan sebahagian, menziarahi kubur kaum kerabat dan sanak saudara mara mereka pada hari raya Aidil Fitri. Para ulama kita tidak mempermasalahkan perkara ini asalkan ianya dilakukan dalam rangka yang dibenarkan oleh hukum syarak serta terhindar dari perbuatan - perbuatan yang ditegah. Malangnya, terdapat segelintir manusia yang tidak setuju dengan perbuatan tersebut, bahkan menghukumnya sebagai haram kerana bid`ah menurut otak mereka. Amalan menziarahi kubur pada hari raya ini, bukanlah semata-mata amalan masyarakat Melayu. Ianya juga dilakukan oleh umat - umat Islam di tempat - tempat lain seperti di benua Indo-Pak dan sebagainya. Selain, adanya anjuran daripada ketentuan nas yang difahami oleh ulama sebagai menganjurkan ziarah kubur pada hari tersebut, maka faktor tabiat, emosi, fitrah manusia juga faktor kesempatan masa amat mempengaruhi perbuatan mereka menziarahi kubur ayah ibu dan sanak saudara mereka pada hari raya tersebut. Oleh itu, tidak seharusnya dicela akan perbuatan tersebut selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak yang mulia. Di manakah wujudnya dalil yang sharih mengharamkan ziarah kubur pada hari raya? 

Maka tidak perlulah kita ambil pusing dengan fatwa "bid`ah" puak - puak tersebut. Jika tuan - tuan kebetulan balik beraya di kampung, yang mungkin hanya setahun sekali tuan - tuan jengah, terdengar laungan takbir yang syahdu maka hati siapa yang tidak tersentuh, teringatkan mereka-mereka yang dahulunya bersama kita menyambut raya, namun kini telah tiada. Maka hiburkanlah hati tuan - tuan, luangkanlah sedikit masa untuk menziarahi mereka di tanah perkuburan. Sesungguhnya telah datang nas yang menyatakan bahawa ahli-ahli kubur juga suka, gembira dan senang dengan ziarah tuan - tuan sebagaimana suka dan gembiranya sanak - saudara tuan -tuan yang masih hidup menerima ziarah tuan - tuan. Selanjutnya faqir nukilkan nas kitab Tanwirul Qulub karya seorang ulama besar lagi wali mursyid, Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi asy-Syafi`i an-Naqsyabandi rahimahullah yang menganjurkan ziarah kubur pada hari raya yang mulia. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi pada halaman 275 kitab tersebut menyatakan, antara lain sebagai berikut:-  
Disunnatkan ziarah kubur kaum Muslimin bagi lelaki untuk mengingati kematian dan negeri Akhirat, juga untuk memperbaiki kerosakan hati dan untuk memberi faedah kepada si mati daripada hadiah pahala apa - apa yang dibaca daripada ayat - ayat al-Quran. Hukum sunnatnya ini berdasarkan kepada hadis Imam Muslim: (Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda): "Dahulu aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, (namun sekarang) kamu pergilah menziarahinya." Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Lihatlah kepada kubur-kubur dan ambillah iktibar tentang hari kebangkitan." Terutama untuk diziarahi adalah kubur para nabi, para wali dan orang - orang shalih. Perempuan dimakruhkan untuk menziarahi kubur kerana jiwa mereka halus dan sensitif sehingga mereka mudah tersentuh dan kurang sabar mengawal emosi mereka (di sini tuan - tuan hendaklah fahami dengan betul, makruhnya wanita menziarahi kubur tersebut bukanlah makruh atas ithlaq tetapi makruhnya ada `illahnya. Maka hukumnya adalah bersandar kepada `illah). Hukum makruh atas perempuan menziarahi kubur adalah selagimana tidak berlakukan perkara-perkara yang haram, jika berlaku yang diharamkan maka haramlah hukumnya. Namun, tetap disunnatkan bagi perempuan untuk menziarahi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan demikian pula kubur sekalian nabi, ulama dan wali (dan ada qawl dalam mazhab kita yang menghubungkan sunnat juga baginya untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya). Ziarah kubur sangat dituntut pada hari raya dan pada masa-masa mulai petang hari Khamis sehingga terbit matahari hari Sabtu.....
Tuan - tuan, anjuran menziarahi kubur pada hari raya bukan hanya disuarakan oleh para ulama mazhab kita sahaja. Para ulama Mazhab Hanafi juga mempunyai pandangan yang serupa. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam al-Fatawa al-Hindiyyah atau yang dikenali juga sebagai al-Fatawa al-`Alamkiriyyah @ Fatawa `Alamgiri yang menjadi rujukan dan sandaran dalam Mazhab Hanafi. Kitab ini telah disusun oleh sejumlah ulama atas arahan Maharaja Mughal yang shalih Maharaja Muhyiddin Muhammad Aurangzeb Alamgir rahimahullah. Dalam juzuk ke-5, pada halaman 430, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
... Dan hari - hari yang afdhal untuk menziarahi kubur ada empat; hari Isnin, hari Khamis, hari Jumaat dan hari Sabtu. Adalah baik / elok / hasan untuk menziarahi kubur setelah shalat Jumaat, pada pagi hari Sabtu sebelum terbit matahari dan pada awal siang hari Khamis, namun ada pendapat qil yang menyatakan bahawa pada akhir siangnya. Demikian juga afdhal ziarah kubur pada malam - malam yang diharapkan keberkatan terutama sekali Lailatun Bara-ah (yakni Malam Nishfu Sya'ban) dan demikian juga ziarah pada waktu - waktu yang diharapkan keberkatan seperti hari - hari sepuluh awal bulan Dzulhijjah, dua hari raya, hari `Asyura dan sekalian musim ibadah, sebagaimana yang disebut dalam al-Gharaaib.....
Teleklah tuan - tuan, bagaimana ulama kita telah menjelaskan antara masa - masa yang baik, yang elok, yang afdhal untuk menziarahi kubur adalah pada hari raya. Maka inilah antara sandaran kita untuk melakukan ziarah pada hari raya. Bagi yang tidak setuju, itu hak kamu dan jika kamu ada hak, kami pun ada hak. Kamu ikutlah ustaz kamu dan biarkan kami mengikut ulama kami. Namun dalam menziarahi kubur, hendaklah dijaga segala hukum - hakam dan adabnya, agar ziarah tersebut menjadi amalan shalih yang mendatangkan pahala serta mendekatkan lagi kita bertaqarrub kepada Allah `azza wa jalla.

Ahad, Mei 19, 2019

Khasiat Shalawat Badar

Di antara shalawat yang masyhur di rantau bumi Melayu adalah Shalawat Badar @ Badriyyah. Shalawat ini sering dilantunkan oleh pencinta Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di rantau Nusantara ini, terutama sekali di Pulau Jawa. Shalawat ini dimulai dengan shighah shalawat yang menyebut dua nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam iaitu Thaha dan Yaasin. Walaupun ada segelintir ulama menolak kedua - dua nama tersebut sebagai nama bagi Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun rata - rata ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak sedemikian. Bahkan, mereka berpandangan bahawa nama - nama tersebut boleh dinisbahkan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana ada riwayat mengenainya walaupun dhaif. Pihak Pejabat Mufti Wilayah dalam laman web rasminya dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-301 telah menyatakan bahawa YASIN DAN TAHA MERUPAKAN NAMA NABI MUHAMMAD SAW.  Untuk memudahkan rujukan, perhamba nukilkan sedikit tulisan dalam artikel tersebut yang menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
Berdasarkan soalan di atas, nisbah Yasin dan Taha kepada salah satu daripada nama nabi Muhammad SAW adalah datang daripada sebuah riwayat yang dinukilkan Imam al-Qadhi bin ‘Iyadh di dalam kitabnya al-Syifa tetapi dengan sighah tamridh[Lihat: al-Syifa, 448/1] Selain itu, ia juga dinukilkan oleh Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya [Lihat: Tarikh Dimashq, 28-29/3] dan Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kamil. [Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal, 509/4] Selain itu, dikatakan juga bahawa ia terdapat di dalam syair-syair arab.
Bagi menjawab persoalan ini, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan daripada ahli tafsir di dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Taha adalah salah satu daripada jumlah huruf al-Muqatha’ah yang terdapat pada permulaan banyak surah dan ia bukanlah daripada nama Nabi SAW. [Lihat: Taysir al-Karim al-Rahman, 501/1]
Adapun pandangan Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, pandangan yang menyatakan bahawa Taha adalah merupakan nama Nabi Muhammad SAW adalah pendapat yang diterima. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 1509/2] Manakala Yasin pula dikatakan ia adalah nama Nabi Muhammad SAW dan ia juga dikatakan sebagai huruf al-Muqatha’ah. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2144/3]
Justeru itu, kami katakan bahawa ulama’ berbeza pandangan dalam masalah ini dan kami juga menyatakan bahawa tidak menjadi masalah untuk memilih mana-mana pandangan di dalam isu ini kerana ia tidak melibatkan hukum-hakam atau usul di dalam aqidah.
Kesimpulannya, menisbahkan Rasulullah SAW dengan nama-nama yang baik tidak menjadi masalah walaupun ia datang daripada riwayat yang dhaif. Sebahagian para ulama’ bertasahul (tidak terlalu rigid) dalam masalah ini selagimana ia tidak menyentuh hal berkaitan halal haram dan usul aqidah. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan kekuatan dalam mencontohi sifat keperibadian Nabi Muhammad SAW. Amin.
Maka, diharap tidak timbul dalam masyarakat kita, suara - suara sumbang yang mengharamkan atau mempersendakan penisbahan kedua-dua nama tersebut kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Seterusnya kembali kepada Shalawat Badar atau Shalawat Badriyyah, ianya adalah susunan Kiyai Ali Mansur rahimahullah. Ia merupakan satu shighah shalawat yang disulami munajat kepada Allah memohon keselamatan, kesejahteraan, kemuliaan, pengabulan segala hajat dan pengampunan bagi sekalian umat dengan bertawassul kepada Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para mujahid terutama sekali para Ahli Badar yang mulia radhiyaAllahu `anhum.  

Pada kesempatan kali ini, faqir nukilkan khasiat mengamalkan Shalawat Badar @ Badriyyah ini menurut seorang ulama tempatan kita. Ulama tersebut adalah Kiyai Mohd Yasin Thoha al-Bakri rahimahullah. Sekelumit profil tokoh ini pernah dimuatkan Utusan Online pada 26 Januari, 2009 dan disiarkan dalam sisipan akhbar Utusan Malaysia. Di sini perhamba kongsikan sedikit mengenai tokoh ini. Kiyai Haji Mohd Yasin Thoha bin Haji Abu Bakar rahimahullah  dilahirkan kira-kira dalam tahun 1903 di Kampung Dukuhguna, Kecamatan Krengkeng Kewedanan, Cirebon, Jawa Barat. Beliau menerima didikan awal agama daripada ayahnya yang dikenali sebagai seorang pendakwah dan ahli sufi yang gemar berpuasa. Setelah itu, beliau dihantar mengikut pengajian pondok di Langgar, Kedah dan seterusnya ke Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah pulang dari mengikuti pengajian di pondok, beliau membantu ayahnya mengajar di Surau asy-Syafi`iyah di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak. Kiyai Haji Mohd Yasin adalah antara guru agama yang telah diberi tauliah untuk mengajar agama oleh Sultan Perak ketika itu. Dengan adanya tauliah tersebut, beliau semakin aktif berdakwah dan mengajar agama. Untuk tujuan tersebut, beliau telah mendirikan sebuah surau dan madrasah yang dinamakan Madrasah al-Yasiniyyah di Bagan Datuk. Namun, beliau sekali - kali tidak menjadikan aktiviti dakwah dan mengajar tersebut sebagai punca pendapatan dirinya. Sebaliknya, sumber pendapatan beliau adalah dengan melakukan kerja -kerja buruh, menghimpun dan mengait buah kelapa. Beliau juga memainkan peranan besar dalam menghadapi ancaman komunis yang melakukan keganasan kepada masyarakat di sekitar Bagan Datuk pada tahun 40-an. Kiyai Mohd Yasin rahimahullah tutup usia pada hari Selasa, 3 Oktober 1978 dan dikebumikan di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak. Mudah-mudahan Allah merahmatinya sentiasa dan menempatkannya bersama shalihin.

Di antara karya Kiyai Mohd Yasin Thoha adalah sebuah kitab yang berisikan amalan zikir, wirid dan doa yang dinamakan Senjata Mukminin. Kitab ini telah mendapat sambutan daripada beberapa ulama tempatan dan telah ditashih oleh anakanda Tok Kenali rahimahullah, Tuan Guru Haji Shalih @ Syaikh Muhammad Shalih Tok Kenali rahimahullah, yang mengajar dan bermastautin di Makkah al-Mukarramah. Dalam kata sambutannya, Syaikh Muhammad Shalih rahimahullah menyatakan, antara lain: "....Maka risalah ini sangat - sangat termesti diamalkan dia di segala masa dan segala tujuan. Kerana ia terhimpun daripada ayat - ayat al-Quran dan doa - doa di dalam Adzkar dan Hizbul A'dzam dan lain - lainnya. Syukurlah ke hadhrat Allah memberi taufik kepada penyusun risalah ini ditambah lagi kepada yang beramal dengan dia dan peserta-pesertanya." Kiyai Mohd Yasin Thoha al-Bakri telah menutup karangannya tersebut dengan Shalawat Badriyyah. Pada halaman halaman 82 - 83 beliau menyebut sebagai berikut:
Khasiat: Barang siapa mengamalkan Shalawat Badriyyah tiap-tiap ba'da shalah al-maktubah (yakni selepas shalat fardhu), nescaya orang itu diampunkan Allah segala dosanya, hilang segala kesusahannya, selamat dari semua musuh, dimurahkan Allah rezekinya, dikurniai zuriat ahlul ilmi wash shalaah (yakni anak cucunya akan jadi ahli ilmu dan orang shalih) dan mendapat husnul khatimah.

Allahu .... Allah, ini hanyalah khasiat yang dinukil daripada ulama mungkin berdasarkan kepada pengamatan dan pengalaman mereka. Mudah - mudahan terhasil seperti yang dinyatakan, namun semuanya tertakluk kepada qudrah dan iradahnya Allah yang Maha Kuasa dan kabul di sisiNya. Maka berbaik sangkalah dengan Allah`azza wa jalla sentiasa, tiadalah balasan bagi keihsanan melainkan keihsanan. Semoga shalawat ini menjadi tambahan amalan kita, diamalkan mengikut kadar kemampuan kita, jika tidak mampu dibaca semua, janganlah ditinggal semua. Memadailah membaca bait - bait yang munasabah dengan permohonan dan hajat kita. Mudah-mudahan diberi ganjaran dan diterima segala hajat tersebut.

Ahad, April 21, 2019

Berkat Mimpi Malam Nishfu

Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi (541 - 620H) rahimahullah, antara ulama Hanbali yang tersohor, dalam Kitab at-Tawwabin menukilkan kisah taubatnya Syaikh Malik bin Dinar rahimahullah, seorang ulama dan ahli sufi besar. Dinyatakan bahawa peristiwa yang menjadi sebab bagi Allah membuka pintu hatinya untuk bertaubat adalah mimpi yang beliau alami pada Malam Nishfu Sya'baan. Kisah ini dinukil oleh Imam Ibnu Qudamah pada halaman 202 - 205 dan di sini perhamba terjemahkan secara bebas bagi memudahkan faham.

Diriwayatkan daripada Malik bin Dinar  bahawa beliau telah ditanya tentang sebab untuk dia bertaubat. Maka beliau menyatakan: Adalah aku dahulu merupakan seorang syurthi (seumpama penjaga keamanan seperti bapak polisi gitu) yang gemar untuk mabuk - mabuk minum arak. Aku telah membeli seorang jariah yang cantik, lalu kunikahi dan hasil daripada itu lahirlah bagiku seorang anak perempuan. Aku sangat kasih akan anak tersebut, namun dia telah meninggal dunia ketika berusia 2 tahun. Ini menyebabkan aku merasa amat sedih. Maka pada Malam Nishfu Sya'baan yang berbetulan dengan Malam Jumaat, ketika tidur dalam keadaan mabuk dan belum lagi menunaikan Shalat Isyak, aku telah bermimpi seolah - olah berlakunya kiamat, sangkalala dibunyikan, kubur - kubur dibongkar dan aku beserta manusia lainnya digiring ke padang Mahsyar. Tiba-tiba aku mendengar bunyi berdesir dari arah belakangku, aku pun menoleh dan aku terkejut melihat ada seekor ular besar berwarna hitam kebiruan dengan mulut ternganga meluru untuk memagutku. Aku terus melarikan diriku daripadanya. Ketika melarikan diri, aku bertemu dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya lagi harum baunya. Aku mengucapkan salam dan beliau menjawabnya. Aku berkata kepadanya : "Wahai Syaikh, selamatkanlah aku daripada ular ini." Beliau menangis lalu berkata kepadaku: "Aku lemah, ular ini kuat dan aku tidak mampu mengalahkannya, eloklah engkau cepat - cepat pergi, mudah -mudahan Allah mempertemukan engkau dengan orang yang boleh menyelamatkan engkau". Maka aku pun segera pergi sehingga aku mendaki suatu dataran dari dataran - dataran kiamat sehingga jurang neraka berada di hadapanku. Hampir sahaja aku terjatuh ke dalamnya kerana ketakutanku daripada kejaran ular tersebut. Namun, aku telah mendengar satu seruan yang berkata: "Kembalilah, engkau bukan penduduknya." Mendengar suara tersebut, aku menjadi tenang dan kembali semula ke perjalanan asalku. Ular tersebut kembali mengejarku sehingga aku bertemu lagi dengan seorang lelaki tua. Aku berkata kepadanya: "Ya Syaikh, aku hendak bertanya apakah engkau akan menyelamatkan aku daripada ular ini atau tidak?" Maka lelaki tua tersebut menangis lalu berkata: "Aku lemah, tetapi cubalah engkau naik ke bukit ini kerana padanya ada simpanan orang - orang Islam. Jika engkau mempunyai simpanan, nescaya dia akan membantumu." Di bukit tersebut aku telah bertemu semula dengan anak perempuanku yang telah meninggal. Lalu dia menghalau ular tersebut dan menyelamatkan aku daripadanya. 
Selepas itu, aku pun duduk dengannya dan dia membacakan ayat ke-16 surah al-Hadid: "Belum sampaikah lagi masanya bagi orang - orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah." Mendengar ayat tersebut, aku menangis dan berkata kepadanya: "Wahai anakku, adakah kamu mengetahui tentang al-Quran?" Dia menjawab: "Wahai ayah, kami lebih mengetahui dengannya daripada kamu." Aku berkata lagi: "Ceritakanlah kepadaku tentang ular yang hendak membinasakan aku tadi." Dia berkata: "Itu adalah amal burukmu yang  telah engkau kuatkan sehingga dia hendak menenggelamkan engkau dalam api neraka." Aku bertanya lagi: "Ceritakanlah kepadaku tentang lelaki tua yang aku jumpa dalam perjalanan tadi." Dia menjawab: "Itu adalah amal shalihmu yang engkau lemahkan sehingga dia tidak mampu mengalahkan amal burukmu." Aku bertanya lagi: "Wahai anakku, apa yang kamu buat di atas bukit ini?" Dia menjawab: "Kami adalah anak-anak orang Islam yang telah meninggal ketika kecil. Kami ditempatkan di sini sehingga berlaku kiamat, menunggu kamu datang kepada kami agar kami dapat membantu kamu (yakni anak-anak kecil yang meninggal tersebut akan menjadi simpanan untuk menolong dan memberi syafaat bagi ibubapa mereka.) Maka aku pun terjaga dari tidurku dengan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa dan maksiat yang telah aku lakukan. Akupun membuang segala minuman yang memabukkan, memecah bejana-bejananya dan bertaubat kepada Allah `azza wa jalla. Inilah yang menjadi sebab bagi taubatku.

Sabtu, April 20, 2019

Tradisi Nishfu Penduduk Makkah

Malam Nishfu Sya`baan adalah antara malam yang ditunggu - tunggu oleh para shalihin. Ini adalah kerana ianya adalah salah - satu malam yang memiliki keutamaan, fadhilat dan keistimewaan yang warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Malam tersebut juga adalah antara malam di mana doa - doa dimustajabkan. Maka tidak hairan, jika dalam tradisi umat dilakukan pada malam tersebut beberapa amalan kebajikan seperti kalau di tempat kita lumrah diadakan bacaan Yaasin sebanyak 3 kali beserta dengan Doa Nishfu yang masyhur. Sebenarnya amalan menyambut malam yang penuh kemuliaan ini dengan melakukan berbagai amal ibadah telah lama dilakukan umat Islam seantero dunia sejak zaman berzaman mulai zaman Salafus Shalih lagi. Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa malam Nishfu Sya`ban adalah salah satu malam yang memiliki kemuliaan tersendiri, di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah secara umum. Maka bukan hanya adat masyarakat kita sahaja yang melakukan sambutan malam tersebut. Ulama dan sejarawan telah merekodkan bahawa sambutan malam tersebut dilakukan oleh umat Islam di serata pelosok dunia termasuklah penduduk Kota Makkah sejak zaman salafush shaleh lagi.

Imam al-Fakihi @ Imam Abu 'Abdullah Muhammad bin Ishak bin al-'Abbas al-Fakihi al-Makki, ulama dan sejarawan Makkah kurun yang ke-3H merekodkan dalam karya beliau Akhbar Makkah fi qadimid dahri wa haditsih, juz 3, halaman 84, antara lain, menulis:- Amalan penduduk Makkah pada malam nishfu daripada bulan Sya'baan dan kesungguhan mereka padanya (yakni kesungguhan mereka menghidupkannya dengan beribadah) kerana keutamaannya. Penduduk Makkah, sejak dahulu hinggalah ke hari ini (yakni hingga ke masa Imam al-Fakihi) ketika menjelang malam Nishfu Sya'baan, samada lelaki maupun perempuan, keluar beramai-ramai menuju Masjidil Haram. Maka mereka pun melakukan shalat, tawaf dan menghidupkan malam mereka untuk membaca al-Quran dan mengkhatamkannya sehingga ke subuh. Mereka juga melakukan shalat - shalat sunnat, ada di antara mereka yang melaksanakan shalat sunnat 100 rakaat pada malam tersebut dengan membaca pada setiap rakaat selepas al-Fatihah akan surah al-Ikhlas 10 kali. Mereka mengambil air zam-zam pada malam tersebut untuk diminum dan mandi dengannya serta disimpan untuk orang - orang yang sakit. Mereka melakukan semua ini semata-mata untuk mencari keberkatan malam tersebut (yakni malam Nishfu Sya'baan) di mana terdapat banyak hadis yang meriwayatkan mengenai kelebihannya.

Ibnu Jubair, pengembara Muslim dari Andalus yang hidup sekitar kurun ke 6-7H, dalam journal pengembaraannya, Rehlah Ibn Jubair, halaman 106 merekodkan, antara lain, seperti berikut:- Malam Nishfu Sya'baan. Ini adalah malam yang berkat, iaitu malam pertengahan bulan Sya'baan. Malam ini dibesarkan oleh penduduk Makkah kerana telah datang riwayat hadis mengenainya. Maka mereka berlomba-lomba pada malam ini untuk melakukan amalan - amalan kebajikan seperti umrah, tawaf dan shalat, samada bersendirian atau berjemaah..........selepas mengerjakan shalat Isya`, maka orang ramai akan melakukan shalat sunnat seumpama shalat tarawih (yakni dari segi perlaksanaannya adalah seperti shalat tarawih) dengan berjemaah dalam beberapa jemaah, di mana mereka membaca di dalamnya akan surah al-Fatihah dan 10 kali surah al-Ikhlas pada setiap rakaat sehingga sempurna 50 kali salam dengan 100 rakaat (yakni 100 rakaat dengan salam pada setiap dua rakaat seperti shalat tarawih menjadikan jumlah salamnya 50 kali). Setiap jemaah akan dipimpin oleh seorang imam......


Selanjutnya, pengembara ulung, Ibnu Battutah yang hidup sekitar kurun ke - 8H, membuktikan bahawa tradisi ibadah pada Malam Nishfu Sya`baan tersebut masih dilakukan oleh penduduk Kota Makkah di zamannya. Dalam Rehlah Ibn Battutah, juz 1, halaman 102, beliau mencatat sebagai berikut:- Adat mereka (yakni penduduk Makkah) pada malam Nishfu Sya'baan. Malam ini (yakni malam Nishfu Sya'baan) adalah antara malam - malam kebesaran di sisi penduduk Makkah, di mana mereka berebut-rebut pada malam tersebut untuk melakukan amal-amal kebajikan seperti tawaf, shalat (yakni shalat - shalat sunnat) samada secara berjemaah atau bersendirian dan mengerjakan umrah. Mereka berhimpun dan berkumpul dalam Masjidil Haram dan setiap perkumpulan  akan dipimpin oleh seorang imam. Mereka menerangi masjid dengan berbagai pelita, lampu dan obor, berlatar belakangkan sinaran cahaya bulan yang menerangi langit dan bumi. Mereka melakukan shalat sebanyak 100 rakaat di mana mereka membaca dalam setiap rakaat selepas al-Fatihah akan surah al-Ikhlas 10 kali. Sebahagian daripada mereka bershalat secara sendiri - sendiri dalam al-Hijr (yakni Hijir Isma`il), sebahagian pula melakukan tawaf, manakala sebahagian lagi keluar untuk menunaikan umrah.

Allahu .... Allah, begitulah meriahnya suasana ibadah di Masjidil Haram pada Malam Nishfu Sya'baan yang berkat. Oleh itu, terbukti bahawa tradisi membesarkan Malam Nishfu Sya'baan dengan amalan kebajikan, bukanlah tradisi umat Nusantara semata-mata. Ianya adalah satu amalan dan tradisi yang telah diwarisi daripada para alim ulama zaman - berzaman. Adapun mengenai shalat 100 rakaat tersebut, yang menjadi pertikaian ulama adalah pada status atau kedudukan shalat tersebut sebagai shalat sunnat khusus untuk malam tersebut  (yakni shalat sunnat Nishfu Sya'baan, umpama diniatkan secara khusus "sahaja aku shalat sunnat Nishfu Sya'baan") seperti kedudukan shalat sunnat hari raya pada Aidil Fithri dan Aidil Adha. Maka pada pengkhususan tersebut, ada ulama yang mensabitkannya dan menamakannya sebagai Shalatul Khair, manakala ramai pula yang menolaknya serta menganggapnya sebagai bid`ah madzmumah (bid`ah keji). Namun, jika ianya dilakukan hanya sebagai nafal mutlak (shalat sunnat mutlak), maka tidak ada satu ulama pun yang melarang memperbanyakkan shalat sunnat mutlak pada malam tersebut. Maka tidak perlulah kita hendak memanjang - manjangkan ikhtilaf tersebut, apatah lagi di sisi kita, Shalat Awwabin 6 rakaat atau Shalat Witir 3 rakaat atau membaca Yaasin tiga kali pun dah terasa berat, inikan pula nak shalat 100 rakaat, yang sokong bagai nak rak pun tak buat, yang tolak apatah lagi, mengabihkan boreh jo membahasnya. Tarawih hok 20 rakaat tu pun, la ni ramai yang tawar jadi 8 rakaat. Maka terpulanglah, sesiapa yang terasa nak melakukan banyak shalat sunnat pada malam tersebut silakan, siapa yang nak membanyakkan tidur pada malam tersebut pun silakan. Mudah - mudahan kita berhasil meraih kelebihan dan keberkatan Malam Nishfu Sya'baan tahun ini. Selamat Menyambut Malam Nishfu Sya'baan.

Khamis, Mac 14, 2019

Tawassul Si Pembonceng

Sayyidina `Uqbah bin 'Amir al-Juhani adalah sahabat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Setelah memeluk Islam, Sayyidina 'Uqbah sentiasa mendampingi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, samada ketika baginda berada di Madinah atau ketika baginda bermusafir. Eratnya perdampingan beliau bersama Baginda Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga Dr. Abdul Rahman Rafat al-Basya dalam karyanya Shuwar min hayatish Shahabah pada halaman 304, mengibaratkan Sayyidina 'Uqbah radhiyaAllahu `anhu adalah seumpama bayang - bayang bagi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ke mana sahaja Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pergi, beliau selalu ada bersama, samada memegang tali kekang baghal Rasulullah untuk menuntunnya atau pada lazimnya beliau akan menunggang bersama atau membonceng Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga Sayyidina `Uqbah digelar Radiifu Rasulillah (Pembonceng Junjungan Rasulullah). Kadang - kadang Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam turun dari tunggangan baginda dan berjalan dengan membiarkan bahkan memerintah Sayyidina `Uqbah untuk terus menunggang haiwan tunggangan baginda tersebut. Dengan sedemikian, Sayyidina `Uqbah radhiyaAllahu `anhu telah meneguk lautan ilmu daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga beliau menjadi seorang muqri-an (ahli qiraah), muhadditsan (ahli hadis), faqihan (ahli fiqh), faradhiyan (ahli faraidh), adabiyan  (sastrawan), fasihan (pemidato yang fasih) dan syaa`iran (ahli sya`ir). Sesungguhnya kecintaan Sayyidina `Uqbah bin 'Amir ada dua, iaitu ilmu dan jihad. Selain jihad yang dilakukan bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ketika pemerintahan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu anhu, beliau turut menyertai ekspedisi ketenteraan untuk menentang Empayar Romawi pada zaman Sayyidina `Umar radhiyaAllahu `anhu. Ketika Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu menghantar tentera ke Syam di bawah pimpinan Sayyidina Abu `Ubaidah bin al-Jarrah radhiyaAllahu `anhu untuk membebaskannya daripada penjajahan Romawi, Sayyidina `Uqbah turut serta. Pada tahun 44H, Ketika zaman pemerintahan Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan radhiyaAllahu `anhuma, Sayyidina `Uqbah telah dilantik menjadi Gabenor Mesir. Namun beliau hanya betah dengan jawatan tersebut untuk 3 tahun sahaja, kerana beliau lebih suka berjihad dengan menyertai ekspedisi tentera laut untuk membebaskan Pulau Rhodes atas arahan Khalifah Mu`awwiyah. Setelah ekspedisi tersebut, Sayyidina `Uqbah telah kembali semula ke Mesir dan di Mesirlah beliau radhiyaAllahu `anhu menghembuskan nafasnya yang terakhir dan dimakamkan. Hingga kini, makam beliau masih tetap diziarahi para pencinta kebenaran.

Imam Nawawi rahimahullah dalam Tahdzibul Asma` wal Lughat, juz 1, halaman 336 menulis mengenai Sayyidina `Uqbah bin `Amir al-Juhani radhiyaAllahu `anhu, antaranya sebagai berikut:- ...Beliau tinggal di Mesir dan telah dilantik menjadi Gabenornya oleh Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan pada tahun 44H. Beliau wafat di Mesir pada tahun 58H. Adalah beliau antara orang yang merdu suaranya ketika membaca al-Quran. Beliau telah turut sama berjihad dan menyaksikan pembukaan Kota Syam. Beliau telah diutus membawa surat kepada Sayyidina 'Umar bin al-Khaththab radhiyaAllahu `anhu memaklumkan kemenangan tentera Islam membuka Kota Damsyik. Beliau telah sampai ke Madinah setelah menempuh perjalanan selama 7 hari (yakni tanpa berhenti), namun perjalanannya kembali semula ke Syam (Damsyik) hanya memakan masa 2 hari setengah sahaja, berkat doanya di sisi kubur Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan permohonan syafaatnya (tawassulnya) dengan baginda untuk mendekatkan perjalanannya.
Allahu ..... Allah, mana puak - puak yang mengkafirkan orang - orang yang berdoa di makam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam? Mana puak - puak yang mensyirikkan bertawassul ? Apakah kalian berani untuk menghukum Sayyidina `Uqbah bin `Amir al-Juhani radhiyaAllahu `anhu, yang telah berdoa di sisi makam baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertawassul memohon syafaat baginda agar perjalanan beliau disingkatkan, sebagai quburiy atau musyrik? Makanya kalau tidak mahu berdoa di kuburan para anbiya` atau awliya`, ndak mau sama tawassulan, ya diam aja ..... jangan berisik.

Selasa, Februari 12, 2019

Kitab al-Barakah

Kitab yang berjodol al-Barakah fi fadhlis sa'yi wal harakah adalah karangan Syaikh Jamaluddin Muhammad bin 'Abdul Rahman bin 'Umar bin Muhammad bin 'Abdullah al-Hubaisyi al-Washaabi yang dilahirkan pada bulan DzulHijjah 712H. Beliau adalah salah seorang ulama Yaman yang terkenal dengan alim dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti qiraah, tafsir, hadis dan bahasa. Syaikh al-'Allaamah al-Mu`arrikh Tajuddin 'Abdul Wahhab bin 'Abdul Rahman al-Buraihi (w.874H) dalam karyanya Thabaqatu Shulaha-il Yaman @ Tarikhul Buhairi al-Kabir menyebut beliau sebagai seorang yang faqih lagi 'allaamah yang menjadi ikutan para shalihin di zamannya lagi menjadi sumber sandaran dan keberkatan, yang menerangi ilmunya akan segala masjid dan madrasah. Beliau belajar dengan ramai ulama di antaranya ayahandanya sendiri Syaikh al-Qadhi Wajihuddin 'Abdul Rahman bin 'Umar al-Hubaisyi, al-Faqih Muhammad bin 'Abdul Malik ad-Didari, al-Faqih Abu Bakar bin Jibril dan ramai lagi. Kitab al-Barakah yang dikarangnya ini adalah satu karya bernilai yang menyentuh ilmu-ilmu usul, fiqh, hadis dan perubatan. Beliau juga mempunyai karya lain seperti: Umdatuth Thalib fil I'tiqadil Wajib, Farhatul Qulub wa Salwatul Makrub, at-Tadzkir bi ma ilaihil mashir, an-Nurain fi Ishlahid Darain dan beberapa lain dalam bentuk nazam mau pun natsar. Syaikh al-Hubaisyi meninggal dunia pada waktu Isyak malam Selasa awal bulan Sya'baan tahun 782H rahimahullah.
Syaikh al-Hubaisyi rahimahullah memulakan karangannya kitab al-Barakah tersebut dengan menyatakan fadhilat melakukan pekerjaan, berusaha, bertani dan seumpamanya daripada lain - lain pekerjaan. Di antara hadis - hadis yang dinukil beliau adalah sebagai berikut:- Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang mukmin yang bekerja atau berusaha". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam juga menyatakan bahawa: "Allah ta`ala telah mengajar Nabi Adam 'alaihis salam 1000 jenis pekerjaan daripada berbagai pekerjaan. Lalu Allah berfirman kepadanya: "Katakan kepada anakmu dan zuriatmu, jika mereka tidak dapat bersabar (dengan kesempitan hidup di dunia), maka carilah (kesenangan) dunia tersebut dengan pekerjaan - pekerjaan ini dan jangan mencarinya dengan agama (yakni jangan jadikan agama untuk mencari kesenangan dunia). Sesungguhnya agama itu hendaklah ikhlas semata-mata untukKu. Binasalah sesiapa yang mencari dunia dengan agama, kebinasaan baginya". Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda lagi: "Perbaikkanlah (kehidupan) dunia kamu dan beramallah untuk akhiratmu".

Maka hendaklah kita bekerja dengan sebaik -baiknya, bukan sahaja untuk kehidupan duniawi kita semata-mata tetapi juga untuk kebahagiaan ukhrawi. Sebagai seorang muslim mukmin, kita bekerja bukan semata-mata untuk diri atau keluarga atau negara, bahkan hendaknya kita bekerja untuk Allah yakni untuk mencari rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Oleh itu jadikanlah pekerjaan kita tersebut sebagai ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah. Langkah yang pertama agar pekerjaan kita menjadi ibadah adalah diri pekerjaan tersebut mestilah usaha yang halal, yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang mulia. Ini syarat pokok yang tidak boleh ditawar-tawar. Setelah ada syarat tersebut, maka barulah ianya boleh dijadikan sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah seperti lain - lain ibadah. Para ulama telah memberi penekanan agar kita bekerja dan berusaha dengan benar dan bersungguh - sungguh sebagaimana yang dinukil oleh Sidi Abdul Wahhab asy-Sya`raani rahimahullah dalam al-Minahus Saniyyah halaman 9 sebagai berikut:
  ....Para ulama salaf dan khalaf telah memberi penekanan agar melakukan sesuatu pekerjaan itu mengikut al-Quran yang agung dan sunnah yang mulia ................ Adalah Syaikh Abul Hasan asy-Syaadzali rahimahullah berkata: "Sesiapa yang melakukan usaha (bekerja) dan mendirikan segala amalan yang difardhukan Tuhannya yang Maha Tinggi ke atas dirinya, maka telah sempurna mujahadahnya." Dan Syaikh Abul 'Abbas al-Mursi rahimahullah berkata: "Hendaklah kamu berusaha untuk mencari sebab bagi menghasilkan rezeki (yakni jangan bermalas-malas, hanya menunggu - nunggu yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang). Seseorang itu hendaklah menjadikan alat timbangannya sebagai subhahnya (yakni biji tasbihnya), kapak atau pahat atau perkakas pertukangannya sebagai subhahnya, alat penjahitnya sebagai subhahnya dan permusafirannya (untuk mencari rezeki) sebagai subhahnya." Maka telah ijmak ulama bahawa berusaha itu adalah satu kewajipan yang sangat dituntut serta dihubungkan dengan peningkatan darjat keimanan.......

Oleh itu, janganlah kita hanya tahu atau mahu  berzikir mengingati Allah, ketika ada untaian tasbih di tangan. Ketika kita bekerja, jadikanlah segala peralatan kerja kita tersebut seumpama biji tasbih untuk menolong kita berzikir mengingati Allah sentiasa. Dengan sedemikian, jauhlah kita daripada musibah kelalaian dan dijauhi juga kita daripada melakukan pekerjaan-pekerjaan yang bertentangan dengan kehendak hukum Allah.