Jangan marah, marah dan bukan semuanya. Banyak juga asatizah yang keluar dari Universiti tersebut masih kental dengan pegangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan Mazhab Syafie. Perhamba teringat akan satu peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat perhamba. Sahabat tersebut ketika ditemuduga untuk kemasukan ke Universiti Islam Madinah, maka antara soalan yang ditanyakan kepada beliau adalah: ".... Ayna Allah? (Di manakah Allah?)" di mana jawapan dalam skemanya adalah "Fis samaa` (Di langit)." Ada juga sahabat yang bila balik dari Universiti berkenaan, mula berceramah yang Allah itu di langit dan dia berwudhu dengan hanya menyapu air atas stokin sebab dihukumkan sama seperti menyapu khuf. Apa - apa pun, ini hanyalah sekadar perkongsian dan agar videonya tak ditelan zaman, buat ingatan dan perhati-hatian.
Jumaat, Julai 30, 2021
Universiti Paling Wahabi
Jangan marah, marah dan bukan semuanya. Banyak juga asatizah yang keluar dari Universiti tersebut masih kental dengan pegangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan Mazhab Syafie. Perhamba teringat akan satu peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat perhamba. Sahabat tersebut ketika ditemuduga untuk kemasukan ke Universiti Islam Madinah, maka antara soalan yang ditanyakan kepada beliau adalah: ".... Ayna Allah? (Di manakah Allah?)" di mana jawapan dalam skemanya adalah "Fis samaa` (Di langit)." Ada juga sahabat yang bila balik dari Universiti berkenaan, mula berceramah yang Allah itu di langit dan dia berwudhu dengan hanya menyapu air atas stokin sebab dihukumkan sama seperti menyapu khuf. Apa - apa pun, ini hanyalah sekadar perkongsian dan agar videonya tak ditelan zaman, buat ingatan dan perhati-hatian.
Ahad, Julai 18, 2021
Coretan Hari Tarwiyyah
Telah masyhur bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan baginda telah mengkhabarkan bahawa berpuasa pada Hari `Arafah menjadi kaffarah bagi dosa dua tahun, iaitu tahun di mana puasa Hari `Arafah tersebut dilakukan (yakni sehingga akhir bulan DzulHijjah tahun tersebut) dan setahun selepas puasa Hari `Arafah tersebut (yakni tahun baharu dihadapannya yang bermula dengan bulan Muharram). Maka di antara ulama, ada yang berkesimpulan bahawa antara kelebihan puasa pada Hari `Arafah adalah orang yang berpuasa padanya akan dipanjangkan umur setahun lagi. Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam I`anatuth Thaalibin pada halaman 300 jilid 2, menulis, antara lain, sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- .. Pada kelebihannya sebagai kaffarah tahun ini mengisyaratkan bahawa dia tidak akan mati padanya. Ini merupakan berita gembira baginya (yakni khabar gembira bagi orang yang berpuasa `Arafah bahawa dia masih ada harapan untuk dipanjangkan umurnya). Telah menukil hal ini, Imam al-Mudaabaghi (yakni Imam al-'Allaamah Hasan bin `Ali bin Ahmad al-Mudaabaghi yang wafat tahun 1170H) melalui riwayat daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, yang ibaratnya seperti berikut: (Faedah) telah berkata Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma: "Ini adalah berita gembira bahawa orang yang telah berpuasa padanya akan hidup pada tahun hadapan. Ketika mana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menggembirakan orang yang berpuasa tersebut bahawa ia menjadi kaffarahnya (yakni kaffarah bagi tahun - tahun yang dinyatakan tadi), maka ini menunjukkan atas (kekal) hayat orang yang berpuasa tersebut di dalamnya (yakni di dalam tahun - tahun tersebut)".......
Allahu .... Allah, hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenarnya dan al-Haq ta`ala jualah berbuat sekehendakNya. Panjang pendek umur boleh dilihat dari berbagai sudut, Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu, umur dunianya hanya 54 tahun sahaja, namun keberkatan umur beliau berkekalan sehingga ke hari ini walaupun sudah menjangkau lebih 1000 tahun. Apa yang penting kita mengikhlaskan amalan kita hanya untuk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan jika suka dan mohon umur yang panjang, pastikan tujuannya untuk memperbanyakkan pengabdian kepadaNya.
Faqir akhiri coretan ini dengan berkongsi satu faedah daripada seorang ulama besar, al-Habr al-Imam Habib `Abdullah bin 'Abdul Qadir bin Ahmad BilFaqih rahimahumullah, berupa satu doa untuk dibaca selepas Asar pada Hari `Arafah sebanyak 100 kali, dengan harapan Allah menjadikan kita atau memberi saham kepada kita agar tergolong dalam kalangan mereka - mereka yang berwukuf dengan penuh kerendahan diri di padang Arafah. Transliterasi doa tersebut adalah sebagai berikut:- "Allahummaj-`alnaa minal waaqifiina wal mutadharri-`iina fii `Arafaat, innaKa `alaa kulli syai-in Qadiir, (Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam kalangan mereka -mereka yang berwukuf dan merendah diri di `Arafah. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Berkuasa)." Mudah - mudahan dikabulkannya permohonan tersebut, lalu dianugerahkan kita seumpama anugerahNya kepada para hujjaj yang berwukuf dan/atau disampaikanNya kita satu hari nanti menjadi antara hujjaj yang sempat berwukuf di sana. Apa - apa pun terserahlah kepadaNya dan hanya Dialah yang Maha Berkuasa mengabulkan segala permohonan dan harapan. Mudah- mudahan segala amalan dan doa harapan kita diterima Allah ta`ala dengan sempurna penerimaan....Allahumma aamiin.
Perkongsian Habib Ahmad bin Utsman al-`Aydrus
Khamis, Julai 15, 2021
Rabu, Julai 14, 2021
Nur Muhammad - Tok Pulau Manis
Seorang ulama wali, terbit mendahului Syaikh Daud Fathani rahimahullah. Gigih mengajar mendidik anak bangsa ke jalan yang diredhai Allah. Mengarang juga membuka pondok pengajian, itulah Syaikh Abdul Malik bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis @ Tokku Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah. Beliau adalah salah seorang ulama berketurunan pendakwah dari Baghdad yang dilahirkan di Trengganu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1089H/1678M atau menurut satu sumber lagi sekitar tahun 1060H/1650M. Beliau wafat sekitar tahun 1149H/1736M di Trengganu dan makam beliau masih ada, dijaga rapi di Kampung Pulau Manis, Kuala Trengganu. Alhamdulillah, sejarah hidup Tok Syaikh Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah telah mulai banyak ditulis dan diperkatakan orang, silalah tuan - tuan cari di alam maya atau di luar sana.
Tok Syaikh Pulau Manis, biasanya dikenali melalui karya beliau yang masyhur iaitu Hikam Melayu yang merupakan terjemah dan syarah bagi kitab al-Hikam karangan Syaikh Ibnu 'Athailah as-Sakandari. Karya beliau ini masyhur dan banyak kali diulang cetak dan dijadikan teks di pondok - pondok dan masjid - masjid. Sebenarnya Tok Syaikh Pulau Manis turut mempunyai beberapa karya lain yang kurang dikenali dan tidak tersebar secara meluas dalam masyarakat kerana tidak pernah dicetak atau diterbitkan, masih berbentuk manuskrip atau salinan yang disalin oleh beberapa penyalin. Di antara karangan lain Tok Syaikh Pulau Manis yang diketahui setakat ini adalah al-Kifayah yang berisikan perbicaraan ilmu usuluddin dan fiqh, Risalah an-Naql mengenai shalat Jumaat dan Risalah Kaifiyyah an-Niyyah berhubung persoalan niat.
Salah satu karya beliau tersebut adalah kitab al-Kifayah yang belum pernah dicetak sebelum ini. Namun para pengkaji telah menemui beberapa naskhah manuskrip salinan kitab ini. Antara naskhah yang lengkap adalah yang disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani @ Syaikh Muhammad Husain bin Abdul Latif rahimahullah yang salinannya beliau sempurnakan pada 13 DzulQaedah 1297H / 16 Oktober 1880M. Manuskrip salinan Tok Kelaba ini masih tersimpan sebagai MSS 517 di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Di muka hadapan, Tok Kelaba memperkenalkan kitab tersebut sebagai:- Inilah kitab yang dinamakan dia dengan Kifayah, kata qil terjemahan bagi al-`Alim al-`Allaamah wal Habril Bahril Fahhamah, al-`Arif bis sirril maknun, yang dimakrufkan gelarannya dengan Tok Pulau Manis daripada ahli Terganu (yakni Trengganu) qaddasaAllahu sirrah, aamiin. Selain itu, Tok Kelaba juga bermadah memuji kitab ini dengan katanya:-
Faham baik awan(g) dengan dayang; Sebelum lagi nyawa melayang.
Ini kitab orang dahulu; Mengaji awan(g) jangan malu.
Sekalian hukum nyata di dalam; Tuntut awan(g) siang dan malam.
Loba awan(g) akan ilmu; Sentiasalah, janganlah jemu.
Telah menazam Haji Husain; Harap syafaat Nenek Husain (yakni Jaddul Husaini iaitu Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam).
Shalawat salam atas Nabi; Penghulu `Ajam dan `Arabi.
Amal ibadah jaga kamu; Beserta pula dengan ilmu.
Baharu sempurna kita kerja; Jangan kamu duduk sahaja.
Mengaji kamu jangan malas; Hari Kemudian ada balas.
Alhamdulillah, Allah ta`ala atas limpah kurnia dan kemurahanNya, telah mengizinkan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin, Trengganu, untuk menerbitkan buat julung kalinya, kitab al-Kifayah yang dirumikan dan diberi tahkik. Cetakan pertamanya diterbitkan pada tahun ini (2021) dengan jodol Kitab al-Kifayah karangan Tok Pulau Manis. Ianya adalah hasil usaha Dr. Zurita Mohd Yusuf, Hasanulddin Mohd dan Jamalluddin Hashim, berdasarkan kepada hasil penyelidikan Dr. Zurita Mohd Yusuf di peringkat doktor falsafah dan kajian di bawah Dana Penyelidikan Universiti. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sempurna bagi mereka yang telah berkhidmat untuk turats ulama Jawi kita. Terbitan ini sudah ada di pasaran, maka eloklah tuan - puan segera dapatkan, buat bacaan dan kajian juga simpanan untuk tatapan anak keturunan. Namun dalam mengaji perlulah panduan, jangan gopoh menghukum hakam, lalu keliru dek bacaan, amalan orang mudah dibid`ahkan.
Akhirul kalam, berbalik kepada jodol entri ini, maka faqir kongsikan pernyataan Tok Syaikh Pulau Manis pada halaman 18 - 19 edisi tahkik tersebut sebagai berikut:- [Kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. Berbanding Rasul - rasul yang Lain] Dan lagi hendaklah kita ketahui dan kita iktikadkan bahawa Nabi Muhammad itu terlebih tinggi martabatnya dan terlebih mulia pada Allah Taala daripada sekalian makhluk semuhanya (yakni semuanya) dari karena adalah arasy dan kursi dan loh dan kalam (yakni qalam) dan segala malaikat dan syurga dan nareka (yakni neraka) dan sekalian makhlukNya, semuhanya itu dijadikan Allah Taala daripada Nur Muhammad s.a.w. Dan lagi firman Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w.: "Jikalau tiada ada engkau nescaya tiada Aku jadikan segala makhluk semuhanya".
Semoga Allah menjaga segala turats ulama kita dan menyebarkannya untuk manfaat segala umat terutama anak keturunan Bangsa Melayu. Pelajarilah segala kitab turats ulama Jawi terdahulu, nescaya dapat suluh hidayah juga taufik menuju redha Allah jalla wa `azza. Janganlah memada dengan hanya membaca karangan ustaz - ustaz moden walaupun bernobat mufti pasir berdengung. Mudahan - mudahan Allah mengganjari Tok Syaikh Abdul Malik Pulau Manis dengan sebaik - baik ganjaran dan menempatkan beliau di kalangan para awliya`Nya.
Ahad, Julai 11, 2021
Jumaat, Julai 09, 2021
Tasbihnya tasbih Abu Muslim
Imam al-Khaulaani atau nama penuhnya Abu Muslim `Abdullah bin Tsuab ad-Darani al-Khaulaani adalah salah seorang tabi`in yang terkemuka. Nisbah al-Khaulaani itu merujuk kepada Khaulaan iaitu satu tempat di Yaman. Imam adz-Dzahabi menjoloki beliau sebagai Sayyid at-Tabi`in (Pemuka Golongan Tabi`in) dan Zaahidul `Ashri. Beliau berasal dari Yaman dan memeluk Islam ketika hayat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan baginda. Beliau tiba di Madinah al-Munawwarah ketika kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau sempat bertemu dengan para pemuka sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhuma, bahkan Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu memuliakan beliau dengan mengucup kedua keningnya ...... Allahu .... Allah.
Imam al-Khaulaani radhiyaAllahu `anhu terkenal dengan banyak keramatnya. Antara yang masyhur adalah peristiwa di mana beliau dibakar oleh nabi palsu Yaman yang bernama al-Aswad al-`Ansiy al-Kadzdzab. Imam an-Nawawi rahimahullah menukil dalam "Bustanul `Arifin" pada halaman 204 - 205 sebagai berikut:- Dengan sanad al-Hafiz Abu Thahir as-Silafiy daripada Syurahbil bin Muslim bahawasanya al-Aswad bin Qais al-`Ansiy al-Kadzdzab ketika mendakwa dirinya sebagai nabi di Yaman telah mengundang Abu Muslim al-Khaulaani untuk datang kepadanya. Apabila Abu Muslim datang, al-Aswad berkata: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya (yakni aku tidak menerima apa yang engkau katakan)." Al-Aswad berkata lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Nabi palsu al-Aswad mengulang-ulang soalan - soalan tersebut berberapa kali, dan begitulah juga jawapan daripada Abu Muslim. Setelah kecewa untuk menyakinkan Abu Muslim, al-Aswad al-Kadzdzab memerintahkan agar dinyalakan unggun api yang besar lalu dicampakkanlah Abu Muslim al-Khaulani ke dalamnya. Namun api yang besar tersebut tidak dapat membakar atau memudaratkan Abu Muslim. Melihat kejadian tersebut, penasihat nabi palsu al-Aswad berkata kepadanya: "Buangkan dia (yakni Abu Muslim) dari negerimu kerana jika tidak dia akan merosakkan keyakinan pengikutmu." Lalu Abu Muslim pun dilepaskan keluar dari Yaman dan beliau pun menuju Madinah al-Munawwarah. Dipendekkan cerita, setiba di Madinah, Imam al-Khaulaani telah bertemu dengan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu yang membawanya bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu. Ketika bertemu dan mendengar kisahnya, Sayyidina Abu Bakar berkata (dalam sesetengah riwayat, antaranya riwayat Imam Ibnu Katsir bahawa yang berkata adalah Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu): "Segala puji bagi Allah yang belum mematikan aku sehingga diperlihatkan kepadaku daripada kalangan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam seseorang yang telah diperlakukan dia seperti apa yang diperlakukan terhadap Nabi Ibrahim `alaihis salam Khalilur Rahman (yakni orang yang tidak terbakar oleh api sebagaimana Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampak ke dalam api oleh Namrud)."
Kisah keramat Imam al-Khaulaani ini telah diriwayatkan oleh ramai ulama kita, baik yang terdahulu mau pun yang kemudian. Imam Abul Qasim, Hibatullah bin al-Hasan bin Manshur ath-Thabari ar-Razi asy-Syafie al-Laalika-i rahimahullah, seorang ulama dan ahli hadis yang wafat tahun 418H meriwayatkan kisah keramat tersebut dalam "Karamatul Awliya`" pada halaman 184, Kisah yang ke-145, manakala Imam Ibnu Katsir (w. 774H) rahimahullah menukilkannya dalam "al-Bidayah wan Nihayah", pada juz ke-8, halaman 146.
Berbalik kepada jodol entri ini, faqir nukilkan satu lagi keramat yang berlaku kepada Imam Abu Muslim al-Khaulaani sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam kitab yang masyhur, "al-Bidayah wan Nihayah", juz ke-6, halaman 274, sebagai berikut:- "... Adalah Abu Muslim al-Khaulaani mempunyai seutas tasbih yang beliau gunakan untuk berzikir. Satu ketika beliau tertidur sedangkan tasbih tersebut masih di tangannya. Maka tasbih itu terus berputar sendiri mengelilingi lengannya sambil mengucapkan ucapan: Subhaanaka Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat (Mahasuci Engkau wahai Tuhan yang menumbuhkan segala tumbuhan, wahai Tuhan yang Maha Kekal tetap wujud tanpa perubahan)." Imam al-Khaulaani terjaga dan menyaksikan hal itu, lalu beliau memanggil isterinya untuk sama menyaksikan keajaiban tersebut. Ketika isterinya datang, tasbih itu masih mengucapkan zikir tersebut sambil berputar sendiri sehinggalah isteri Imam al-Khaulaani duduk, maka tasbih itu pun berhenti.
Faqir datangkan kisah ini, walaupun sebahagian pentahqiq daripada kubu sebelah, meng"issue"kan riwayat kisahnya, kerana ada perawi kisah ini yang dipertikaikan. Mereka menjadikan periwayatan kisah - kisah atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang bukannya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seumpama periwayatan hadis-hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengikut disiplin ilmu hadis yang ketat. Sedangkan ini hanyalah kisah cerita keramat yang berlaku kepada seorang wali daripada kalangan awliya` Allah. Cukuplah bagi kita, apabila ada daripada kalangan ulama menukilkannya dalam karya - karya mereka tanpa sebarang komentar, walaupun adakalanya shighah tamridh digunakan. Shahih atau batilnya kisah tersebut tidaklah dapat disamakan hukumnya seperti shahih atau maudhunya sesuatu hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kisah tasbihnya tasbih Imam Abu Muslim al-Khaulaani telah diriwayatkan oleh Imam Abu Syaikh al-Isfahani @ al-Ashbihani (w.369) rahimahullah dalam kitab "al-`Adzamah" halaman 1730, Imam Ibnu 'Asakir (w.571H) meriwayatkannya dalam "Tarikh Madinah Dimasyq", juz ke-27 halaman 217, Imam as-Sayuthi menukilkannya dalam karya beliau "al-Minhatu fis Subhah" yang dicetak dalam "al-Hawi lil Fatawi", juz ke-2 halaman 4 dan muhaddits kontemporer, almarhum Imam Abil Hasanat Muhammad 'Abdul Hay al-Laknawi, menutup karya beliau tentang penggunaan dan hukum subhah (yakni utasan tasbih yang makruf), "Hidayatul Abrar fi Subhatil Adzkar", pada halaman 82, dengan kisah ajaib ini.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa segala makhluk ciptaan Allah yang ada di 7 petala langit dan bumi serta segala isinya, semuanya bertasbih memuji Allah subhanahu wa ta`ala. Dalam surah al-Isra` ayat 44, Allah ta`ala berfirman yang kira - kira ertinya: "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." Makanya, jangan ingat kita sahaja yang reti bertasbih mengagungkan Allah, hanya sahaja kita tidak faham akan tasbih atau cara makhluk - makhluk tersebut bertasbih. Namun tidak mustahil bagi Allah untuk menyingkapkan hijab sehingga seseorang dapat mendengar atau memahami tasbih makhluk - makhluk tersebut. Jika kita telaah kitab - kitab hadis, kita akan berjumpa dengan berbagai riwayat bahawa di antara mukjizat yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah benda - benda beku (jamadat) seperti makanan, batu kerikil dan seumpamanya pernah terdengar oleh sahabat bertasbih ketika dipegang oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tidaklah pelik jika berlaku keramat sedemikian ke atas seorang wali daripada umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana tasbihnya bertasbih dengan ucapan: Subhaanaka, Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat. Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya.
Ahad, Julai 04, 2021
Nabi Lawlaak - TG Nik Aziz
Sebagai tambahan kepada entri yang pernah faqir poskan terdahulu dengan jodol "Nabi Lawlaak", sekitar tahun 2009, maka di sini faqir kongsikan cuplikan rakaman audio ceramah almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk kita sama - sama nikmati dan hayati. Tidak perlulah kita nak memperpanjangkan perbalahan status ungkapan "hadis" Lawlaaka lawlaaka tersebut, apakah sahih atau maudhu atau dhaif, kerana ianya telah pun dibahaskan oleh para ulama terdahulu. Jika pun, jumhur ulama ahli hadis menghukumkan ungkapan tersebut bukanlah satu hadis yang sabit menurut disiplin mereka, namun tetap ada yang menghukumkan bahawa maknanya adalah sahih menurut pemahaman dan tafsiran yang sebenarnya. Oleh itu, tok sah balah lah, jom kita dengar cuplikan pendek mukadimah ceramah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz rahimahullah pada Disember 1984 bertempat di Surau al-Hidayah, Kuala Lumpur, mudah - mudahan bermanfaat dan semoga Allah jalla wa `azza merahmati almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sentiasa.
Tuan Guru Nik Aziz (1984)