Rabu, Oktober 20, 2021

Mawlid Penangkal Wabak II

Lanjutan dari entri - entri sebelumnya, sebagaimana yang disebut terdahulu, antara sebab Syaikh Makhdum Kabir Zainuddin al-Ma'bari `alaihi rahmatul Bari menyusun Manqush Mawlid adalah permintaan penduduk Ponnani (Kerala) sedang diancam penularan wabak thaun (kolera). Bahkan dikatakan begitu dahsyatnya wabak tersebut sehingga ramai yang mati mendadak. Permintaan tersebut dipenuhi Makhdum Kabir dengan tersusunnya Manqush Mawlid tersebut. Lalu disuruhlah agar mawlid tersebut dibaca di masjid - masjid dan rumah - rumah penduduk. Maka dengan jah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berkat mawlid tersebut, mereka diberi keselamatan daripada ancaman  wabak tersebut. Semenjak itu, Manqush Mawlid telah dibaca turun temurun oleh masyarakat Islam di Malabar. Boleh tuan - tuan setelah ini mendengar klip ceramah Ustaz Bashir al-Azhari hafizahullah mengenai perkara ini di hujung entri ini.

Keampuhan bermawlid sebagai wasilah dan sarana bermunajat kepada Allah memohon perlindungan dan keselamatan daripada bala bencana telah terbukti dan banyak diceritakan dalam karangan - karangan ulama kita. Maka membaca mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tak kira apa jua mawlidnya bolehlah dijadikan ikhtiar untuk tujuan tersebut. Membaca mawlid tidaklah memerlukan kita berhimpun ramai - ramai dan melagukan segala qashidah dan madaih. Berhimpun beramai - ramai bukanlah kemestian untuk kita membaca dan menghayati bacaan mawlid, bahkan seorang diri atau bersama anak isteri sahaja pun memadai untuk membaca mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ada di antara ulama kita yang sentiasa membaca mawlid dan menjadikannya sebagai wirid tetap setiap minggu. Antara ulama kita di Nusantara yang amat mengambil berat akan amalan ini adalah Kiyai Agung Syaikh Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrahul `aziz yang istiqamah membaca Mawlid Dibaie pada setiap malam Isnin dan Mawlid Barzanji pada setiap malam Jumaat. Beliau juga telah mengarang sebuah kitab kecil berbahasa `Arab mengenai kelebihan membaca mawlid berjodol an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilati qiraa-ati mawlidi Khairil Bariyyah `alaihi afdhalush shalaati wa azkat tahiyyah. Diceritakan bahawa beliau tidaklah pernah meninggalkan amalan tersebut hatta sewaktu bermusafir dan walaupun hanya seorang dua sahaja yang hadir dalam majlis bacaan mawlid tersebut. Ingatlah bahawa pembacaan mawlid tersebut adalah untuk diri kita sendiri dahulu, agar diri kita sentiasa menghayati sirah dan peri kehidupan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta membesar dan mengagungkan baginda sepanjang usia. 

Dalam suasana pandemik, boleh sahaja dibaca mawlid - mawlid yang mudah, seperti Barzanji karangan Mufti Madinah al-Munawwarah dahulu, samada dibaca keseluruhan atau sebahagian daripadanya. Ketika sampai kepada mahalul qiyam (tempat berdiri), berdirilah, jika dapat, dan bacalah shalawat - shalawat yang lazim seperti ....ShallaAllahu `ala Muhammad .... atau Ya Nabi, salamun `alaika ...... atau Thala`al Badru `alaina ..... beberapa kali, sebelum melanjutkan bacaan atau terus ditutup dengan membaca doanya yang berkat. Mudah - mudahan ada keberkatan dan manfaatnya bagi kehidupan kita di dunia dan akhirat. Usah dihiraukan kata - kata sinis seperti:- "Baik baca Quran daripada baca mawlid", katakan sahaja bahawa:- "Kita baca Quran hari - hari, baca mawlid sekali - sekali"

Klip Ceramah Ustaz Bashir al-Azhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan