Manusia ini berbagai ragamnya, bukan semua mendewasa dalam melaksanakan amalan - amalan yang difardhukan ke atasnya. Ramai yang beramal hanya setelah kelewatan dewasa, bahkan tidak kurang yang hanya menekuni tiang agamanya, shalat fardhu 5 waktu, di usia senja. Allahu ... Allah, maka bayangkanlah jika setelah berusia 55 tahun, barulah mengenal sejadah. Maka sudah tentu banyak shalat - shalat fardhu yang telah ditinggalkan. Namun, syukur 1000 kali syukur, masih diberikan taufik untuk kembali mentaatiNya. Lalu bertaubatlah dia dengan sebenar - benar taubat. Menurut jumhur ulama dalam mazhab yang empat bahawa di antara syarat taubatnya tadi, hendaklah segala shalat fardhu yang ditinggalkannya itu mesti dan wajib diqadha`. Jika pun ada seorang dua ulama yang berpendapat sebaliknya, maka itu hanya pandangan pribadi yang tidak mencerminkan suara majoriti ulama. Pandangan yang kuat dan lebih ihtiyath untuk ditaklid adalah pendapat jumhur ulama tersebut.
Di sini faqir ingin berkongsi tentang satu kaifiat atau kaedah untuk mengqadha` shalat fardhu tersebut sebagaimana diajar oleh sebahagian ulama dan tok - tok guru. Sebelum itu, hendaklah diketahui bahawa pendapat yang dianggap sebagai pendapat mazhab oleh ulama Syafi`iyyah adalah segala shalat fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja hendaklah diqadha dengan segera (`alal faur), tidak boleh bertangguh - tangguh, penangguhan tanpa uzur dianggap sebagai satu dosa lagi. Bahkan menurut qawl ashah, seseorang yang mempunyai shalat qadha seperti itu (yakni qadha shalat fardhu yang ditinggalkan tanpa uzur) tidak dibenarkan atau diharamkan dari menggunakan masanya yang luang untuk melakukan amalan - amalan lain yang tidak wajib, hatta amalan - amalan sunnat seperti shalat - shalat sunnat yang muakkad sekalipun, selagimana dia masih menanggung hutang qadha`nya. Maka, hendaklah segala masanya tersebut digunakan untuk mengqadha` shalat - shalat yang telah ditinggalkannya dengan sengaja. Jika dia mendirikan shalat sunnat sedangkan masih menanggung qadha`, shalat sunnatnya sah namun dia berdosa kerana dengan mendirikan shalat sunnat itu dia dianggap telah melambatkan qadha` shalat yang wajib disegerakan. Akan tetapi, menurut Imam az-Zarkasyi rahimahullah, shalat sunnat yang dia dirikan dalam keadaan tersebut tidak sah. Pendapat Imam az-Zarkasyi adalah qawl muqabil ashah, sedangkan qawl ashah adalah sebagaimana terdahulu. Perkara ini dapat kita lihat dalam kitab - kitab ulama kita, antaranya Tuhfatul Muhtaj karangan Imam Ibnu Hajar, Nihayatul Muhtaj karya Imam Ramli dan sebagainya. Faqir tidak berhasrat untuk memanjangkan kalam dalam perkara ini dahulu.
Jika sekadar satu dua shalat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka tidaklah menjadi kepayahan untuk bersegera mengqadhanya. Namun, jika sudah bertan - tan yang ditinggalkan, pening juga memikirkannya (pening di sini elok, tanda masih ada iman dalam hati). Bayangkanlah jika setelah lanjut usianya, baru timbul kesedaran bahawa dunia yang dikejar - kejar sebelum ini tidak kekal, kubur sudah dekat di hadapan, peti amalan hanya dipenuhi habuk. Maka, peninglah kepala dia memikirkannya, hutang shalat bertimbun. Kalau ikut qawl ashah - wajib qadha` dengan segera -, patahlah pinggang mengqadha`kan shalat yang ditinggal dengan sengaja, manakan tidak, segala masa yang terluang tidak boleh digunakan untuk melakukan perkara selain mengqadha` shalat yang dahulunya senang - senang ditinggalkan. Dulu senang - senang meninggalkan shalat, maka sekarang rasakan kepayahannya menanggung qadha... Allahu ... Allah. Kuat sangat berhutang, pandai - pandailah bayar sekarang.
Melihat kepada keadaan manusia - manusia yang sememang tulus dalam keinsafannya, namun kerana kedhaifan dirinya, kepalanya serabut memikirkan hutang shalat yang berkoyan, maka sebilangan ulama kita, antaranya Imam al-Haddad memfatwakan bahawa seseorang boleh mengqadhakan shalatnya, samada shalat yang dahulunya ditinggal dengan sengaja tanpa uzur syarie maupun yang ditinggalkan dengan uzur, secara sedikit - sedikit atau beransur - ansur atau santai aja (`alat tarakhi), asalkan jangan sampai meremehkan atau mengabaikan mengqadha`nya. Hal ini boleh dilihat dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin karangan Habib Abdur Rahman al-Masyhur. Pada halaman 36, dinyatakan sebagai berikut:-
Daripada kalam al-Habib al-Quthub `Abdullah al-Haddad: "Wajib atas orang yang bertaubat untuk mengqadha` apa - apa kewajipan yang ditinggalkannya seperti shalat, puasa dan zakat. Tidak dapat tidak, dia mesti mengqadha`nya dan yang sedemikian itu (yakni qadha`nya) dilakukan secara tarakhi (beransur - ansur atau santai) mengikut kemampuan, tanpa menimbulkan kepayahan yang menyempitkan dada dan tidak juga sampai meringan - ringankannya (yakni sampai mengabaikan kewajipan mengqadha`."
Ketika kecil, faqir pernah mendengar tok - tok guru dan orang - orang tua di tempat faqir menyebut tentang qadha` umur. Almarhumah ibu faqir juga kerap menyebutkan hal ini, mudah - mudahan Allah memberikan beliau dan mereka sebaik - baik ganjaran dan menjadikannya sebagai amal jariah mereka. Yang dimaksudkan dengan qadha` umur adalah seseorang yang banyak meninggalkan shalat fardhu hendaklah dia melakukan qadha` shalat fardhu yang telah ditinggalkannya bersama dengan shalat tunai (shalat ada`) yang dilakukan pada waktunya. Yakni dia mengqadha`kan sembahyang yang ditinggalkan dahulu sebelum atau selepas dia menunaikan sembahyang tunai waktu tersebut. Contoh, ketika dia shalat fardhu Subuh, maka sebelum atau selepas Shalat Subuh yang tunai, hendaklah dia qadha` Shalat Subuh yang ditinggalkannya dahulu. Bila masuk waktu Zohor, dia shalat qadha` Zohor dahulu kemudian dia shalat Zohor tunai dan begitulah seterusnya. Ini dia amalkan pada setiap waktu shalat sehingga selesai segala shalat yang ditinggalkan itu diqadha` atau sehingga maut menjemputnya. Jadi pendeknya, dalam setiap waktu shalat dia menunaikan 2 kali shalat, satu shalat tunai untuk melepaskan kefardhuan shalat waktu tersebut dan satu lagi shalat qadha` untuk membayar hutang shalat yang ditinggalkannya dahulu. Jadi dapatlah dia pada sehari semalam mengqadha 5 waktu yang pernah ditinggalkannya dahulu. Dinamakan qadha umur kerana seumur - umur hidup meninggalkan shalat, hanya bila dah nak habis umur baru insaf dan sedar nak mengqadhanya. Maka segala umur yang dihabisinya dahulu tanpa shalat dianggap sia-sia sehingga seolah - olah umur tersebut yang diqadha`. Bak kata nasyid yang masyhur: Walaupun hidup 1000 tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya .... Allahu...Allah.... nasib baik sempat diberi taufik dan hidayah.
Kaifiat mengqadha` shalat seperti ini, ada asalnya daripada alim ulama. Setakat periksa faqir yang dhaif, antara yang menyebutkan sedemikian adalah almarhum Afdalul Ulama Syaikh Dr. Thaika Shu`aib Alim dalam karangan beliau al-Munjiyath pada halaman 163 - 164. Beliau menulis sebagai berikut:-
If you are guilty of not having performed the Fard worship ( -thozhugai-) and fasting of the month of Ramadan, you must complete the omitted worship / fasting by praying / fasting for the omitted period. For instance, if you have not performed the luhr (zohor) worship for certain number of days, every day you must finish it first as qada before offering the luhr worship of the day concerned. Similarly, other qada worship also must be performed first before you start offering the regular (ada) worship for the waqt. Such a method will give you the benefit of offering the sunnat worship of the day also, even though you do not offer the sunnat worship. No sunnat worship is permitted when there is any qada of Fard worship. Further, on the basis of the Holy Quran (vide aayat 29:69), the sufis say that a person who adopts the practice of completing the qada worship in the manner explained above will not die before he finishes all the qada worship.
Allahu ... Allah, mudah - mudahan apa yang disebut Syaikh Thaika Shu`aib dibenarkan Allah sehingga sempat semua hutang shalat dilangsaikan sebelum mati. Selanjutnya, setelah faqir periksa lagi sekadar mampu, ternyata amalan qadha` umur ini mempunyai nash, walaupun dhaif. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menukilkan dalam syarah beliau bagi Shahih al-Bukhari yang juga jodolnya Fathul Baari, jilid 3 pada halaman 352, menukil sebagai berikut:-
Telah dikatakan sebagai diriwayat daripada Samurah bin Jundub yang berkata: "Sesiapa yang ada dalam tanggungannya sembahyang - sembahyang yang luput (yakni sembahyang fardhu yang luput kerana tidak ditunaikannya dahulu), hendaklah dia sembahyang bersama setiap sembahyang waktu, satu sembahyang lagi," (yakni dia menunaikan shalat fardhu ada` dalam waktunya dan satu lagi shalat sebagai qadha` shalat fardhu yang ditinggalkan dahulu). Ini diriwayatkan daripada beliau secara marfu`. Diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang dhaif. Dan ulama Syafie mempunyai dua wajah (qawl) mengenai kewajipan bersegera mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkan tanpa uzur.
Sekadar tambahan, seingat faqir, dua wajah yang disebut oleh Ibnu Rajab itu adalah dua qawl yang ada dalam mazhab kita, iaitu: (i) wajib bersegera mengqadha` sembahyang yang ditinggalkan tanpa uzur (`alal faur) menurut para ulama Syafie jalur Khurasan, dan (ii) tidak wajib yang sedemikian itu, hanya sunnat bersegera menurut ulama Syafie jalur Iraq. Maka daripada dua wajah ini yang dianggap sebagai qawl shahih yang menjadi pegangan mazhab dan yang dipilih oleh kebanyakan ulama Syafie, bahkan menurut Imam Haramain telah diittifaq oleh para ulama kita adalah wajah atau qawl yang pertama tadi, iaitu wajah daripada jalur Khurasan yang menyatakan bahawa shalat yang ditinggalkan dengan sengaja, tanpa sebarang uzur syarie, wajib diqadha` dengan segera.
Begitulah sekelumit tentang qadha` dan qadha` umur. Walau apa pun, bagi sesiapa yang mampu dan tidak menjadi kudis baginya, eloklah diamalkan qawl terkuat dalam mazhab kita, iaitu wajib bersegera dan wajib menggunakan segala masa yang lapang untuk mengqadha` segala sembahyang yang pernah ditinggalkan dengan sengaja. Tidak perlu menyibukkan diri dengan shalat - shalat sunnat dahulu. 10000000000000 shalat sunnat pun tidak akan dapat menjadi ganti 1 shalat fardhu. Shalat sunnat itu tetap atas hukum sunatnya, sedangkan shalat qadha itu hukumnya wajib dan bukannya sunat. Maka utamakan yang wajib berbanding yang sunat. Dan ingat juga bahawa semata - mata mengqadha`kan shalat tanpa disertai bertaubat daripada dosa meninggalkan shalat juga tidak memadai untuk melepaskan dirinya daripada dosa tersebut. Allah akan mengampunkan dosanya dengan syarat dia bertaubat dengan sebenar - benar taubat (taubatan nasuha). Di antara syarat serta tanda atas benarnya taubat tersebut adalah dia mengqadha`kan segala kewajipan yang telah diabaikannya dahulu. Maka jika sudah sedemikian lakunya, berserahlah kepada Allah kerana pengampunan itu mutlak bagi Allah menurut kehendakNya, kewajipan atas kita adalah taubat memohon keampunanNya. Mudah - mudahan dimatikanNya kita atas taubat nasuha sehingga kita diangkat menjadi kekasihNya kerana Dia amat mengasihi hamba - hambaNya yang bertaubat.
************************
Gus Baha Bicara Qadha Shalat
Allah.. Allah... Mohon perkongsian sidi
BalasPadam