Imam al-Hafiz as-Sakhawi rahimahullah pada halaman 401 - 402 kitab al-Qawlul Badii` menukilkan sebuah riwayat marfu` daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Dalam riwayat tersebut dinyatakan sebagai berikut: Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat 10 kali ulang: "Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi hadzihil `asyiyah", nescaya Allah `azza wa jalla akan mencatat baginya 100,000,000 kebajikan, menghapus daripadanya 100,000,000 kesalahan dan mengangkat baginya 100,000,000 darjat. Ketika pada hari Kiamat (di Mahsyar) dia akan berdamping dengan Nabi Ibrahim al-Khalil di kubah baginda. Begitulah hebatnya ganjaran yang dijanjikan, namun sayang sekali kerana menurut Imam as-Sakhawi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Musa al-Madini ini adalah makdzub (dusta). Imam Ibnu Hajar al-Haitami telah menukilkan riwayat ini dalam Durrul Mandhud pada halaman 217 dan menyatakan bahawa riwayatnya makdzub. Samada ada jalur - jalur lain untuk hadis ini, maka faqir kurang periksa.
Katakanlah ulama sepakat dengan penilaian bahawa riwayat tersebut dusta, namun tidak bererti ungkapan yang indah itu atau shighah shalawat tersebut mesti ditolak dan haram untuk dibaca atau diamalkan. Selagimana sesuatu lafaz itu tidak menyalahi akidah dan ajaran Islam, maka tidaklah menjadi masalah untuk dibaca atau diamalkan, dengan syarat jangan disabitkan atau disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai satu sabdaan baginda. Maka dari itu, sebahagian ulama menganggap baik dan elok susunan ungkapan yang ada dalam riwayat tersebut dan mereka menjadikannya sebagai amalan mereka. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah telah memuatkannya dalam Sa`aadatud Daarain pada halaman 246 - 246, iaitu Shalawat ke-13, Shalawat `Abdullah ibn `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Syaikh Yusuf tidak menukilkan segala kelebihan membaca shalawat tersebut 10 kali pada malam Jumaat sebagaimana dalam riwayat yang makdzub tadi. Beliau hanya memuatkan shighah shalawat tersebut sahaja dan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma.
Di Nusantara, tidak kurang ramainya tok - tok guru dan ustaz - ustaz yang mengamalkan shalawat ini sebagai wirid mereka, samada harian atau mingguan. Mereka juga memperturunkan amalan ini kepada murid - murid mereka dan juga kepada masyarakat awam. KH Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah telah menjadikan shighah Shalawat "Ibnu Abbas" ini sebagai shalawat terakhir dan sebagai penutup bagi 80 shalawat yang beliau himpun dalam kitab wirid shalawat beliau yang berjodol al-Waasilatur Harriyyah yang masyhur di kalangan para kiyai dan santri. Bahkan ramai yang mewiridkannya sebagai wirid shalawat tambahan sebagai pelengkap kepada Dalailul Khairat.
KH Husein Qadri rahimahullah pula memuatkan shalawat ini di awal kitab beliau Senjata Mukmin iaitu pada halaman 3 penerangan mengenai Hizibun Nashri wal Fathi, di mana jika pada malam Jumaat pembacaan hizib ini dimulakan dengan membaca 7 jenis shalawat dan shalawat yang pertama adalah Shalawat "Ibnu `Abbas" yang dibaca 10 kali. Lain pula halnya dengan Habib `Idrus bin `Abdullah al-Habsyi Muar Johor rahimahullah. Beliau meletakkan shalawat ini, dengan sedikit perbezaan kalimah, di hujung Ratibul Haddad sebagai zikir tambahan untuk dibaca 10 kali pada malam Jumaat. Ini beliau catat pada halaman 22 risalah beliau yang berjodol al-Fawaaidul Abadiyyah, yang mana risalah ini telah disemak dan ditashih oleh al-`Allaamah al-Fadhil Tuan Haji Hasan, Mufti Melaka dan diterjemah oleh al-Fadhil Tuan Syaikh `Abdullah BaSmeih.
Akhirul kalam, KH Fathullah Harun rahimahullah menukil shalawat ini dalam risalah asas karangan beliau yang berjodol Panduan Ibadah Fardhu `Ain yang faqir pelajari sejak dini. Pada halaman 46, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- Satu lagi shalawat yang sangat besar faedahnya jika dibaca pada tiap - tiap petang atau malam, teristimewa pada tiap - tiap malam Jumaat sepuluh kali: "Allahumma Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Sayyidina Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi haadzihil `asyiyah", ertinya: "Ya Allah, Ya Tuhan yang berkekalan limpah kurnianya atas sekalian makhluk; Ya Tuhan yang sentiasa terbuka luas kurniaNya dengan pemberian; Ya Tuhan yang mempunyai pengurniaan - pengurniaan yang maha tinggi; Limpahkanlah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, sebaik - baik makhluk dengan sebab keluhuran perangainya; Dan ampunilah dosa kami pada petang ini, Wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian."
Oleh itu sesiapa yang mahu mengamalkannya tidaklah menjadi kesalahan. Tapi janganlah disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam samada pada shighah atau fadhilahnya. Fadhilahnya itu biarlah dijadikan harapan kita semata, umpama diqasad maupun dikata:-
Mudah - Mudahan Ya Allah
Berkat lafaz shalawat ini
Diganjari hamba pahala berjuta - juta
Dihapuskan segala dosa hamba
Kecil dan besar, beketi belaksa
Diangkatkan hamba darjat ketinggian
Dianugerahkan hamba tempat berlindung
Di Padang Mahsyar
Bawah kubah Khalilur Rahman
Bersama baginda melangkah ke syurga
Aamiin .... aamiin.
Semoga ikhlas dan bermanfaat. Perjalanannya bakal panjang, bekalannya sedikit, lalu bagaimana harus ditempuhi. Hanya dengan taufiq, inayah dan rahmatNya jualah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan