Amalan zikir harian dalam jumlah 1000 kali dengan lafaz zikir yang tertentu mengikut hari dalam seminggu telah lama diamalkan oleh ramai umat Islam. Amalan ini dinisbahkan kepada Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Di antara yang menyebarkan amalan ini dalam masyarakat dan memuatkannya dalam karya adalah Kiyai Agung Hadhratusy Syaikh Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Beliau menulis sebuah risalah dengan jodol al-Futuuhatul Ilahiyyah fi bayaani kaifiyyah ath-Thariqati al-Ghazaliyyah. Pada halaman 5 risalah tersebut beliau menukilkan sebagai berikut:- Telah berkata Sayyidina wa Mawlana, asy-Syaikh, al-Imam, Hujjatul Islam wal Muslimin, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu: "Tidak terhasil atasku futuh dan tidak juga keberkatan melainkan dengan wirid - wirid ini..." Kiyai Agung meneruskan risalah tersebut dengan menyatakan wirid - wirid tersebut mengikut harinya dalam seminggu dengan diberikan syarah yang ringkas mengenai zikir - zikir tersebut dan kelebihannya. Beliau juga menerangkan kaedah dan kaifiat mengamalkan zikir - zikir tersebut beserta dengan segala fawatihnya yang dikhususkan kepada Syaikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim, Syaikh Ahmad ad-Dairabi dan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Namun apa yang faqir dapatkan daripada zuriat keturunan beliau, amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini adalah amalan tambahan yang diajar oleh Kiyai Agung, di mana ianya boleh diamalkan menurut kemampuan seseorang tanpa terikat kepada kaifiat atau kaedah tertentu, yang penting setiap zikir harian itu dibaca sehingga cukup 1000 kali, samada di atas tikar sembahyang atau ketika menjalankan apa - apa urusan harian.
Selanjutnya, ulama Banjar KH Husein Qadri rahimahullah, juga memuatkan dalam tulisan beliau yang menghimpunkan beberapa doa, wirid dan zikir dengan jodol Senjata Mukmin. Pada halaman 138 karya tersebut ada dinyatakan sebagai berikut: Telah berkata Imam Ghazali: "Tidak hasil bagiku terbuka segala kebahagiaan dan keberkatan melainkan dengan mengamalkan segala wirid ini ...(disenaraikan segala wirid harian tersebut)"...
KH Anwar Musaddad rahimahullah juga kerap mengajar dan mengijazahkan amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini kepada masyarakat umum. Ini juga beliau lakukan melalui lisan dan tulisan. Bahkan Risalah al-Barakaat, yang menghimpunkan beberapa zikir dan doa yang beliau ijazahkan, beliau mulakan dengan mengutarakan amalan Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah ini. Dalam ijazah KH Anwar Musaddad dinyatakan bahawa bagi zikir tahlil pada hari Sabtu, pada setiap 100 kali ucapan tahlil ditambah pula dengan kalimah Muhammadur Rasulullah sekali. Ini adalah antara ulama yang menganjur dan menyebarkan amalan zikir ini di rantau Dunia Melayu. Faqir sesungguhnya percaya bahawa pasti ramai lagi ulama, tuan - tuan guru dan ustaz ustazah yang telah menyebar, mengajar dan menganjurkan amalan wirid harian Imam Ghazali ini. Mudah - mudahan diberikan Allah kepada mereka sekaliannya ganjaran yang besar atas khidmat mereka tersebut.
Sebagai penutup, faqir kongsikan klip ceramah yang pernah "top" satu ketika dahulu dengan jodol Ubat Hati yang disampaikan oleh almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah. Dalam bahagian ceramahnya ini beliau menerangkan serba sedikit mengenai zikir - zikir harian Imam Ghazali ini sebagai ubat bagi hati yang kotor atau berpenyakit. Oleh itu, elok dan molek benar jika lidah - lidah kita yang kerap nganggur sepanjang hari digerakkan untuk mengamalkan zikir Imam Ghazali yang berkat ini. Marilah kita jadikan azam tahun baru ini untuk membersihkan hati kita daripada segala kekotoran, kekaratan dan penyakit. Mudah - mudahan sebelum mati menemui kita, hati kita telah dibersihkan Allah dan dijadikannya qalbun salim - hati yang selamat sihat sejahtera daripada segala kekotoran dan penyakit....Allahumma aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan