Bulan Ramadhan masyhur sebagai Syahrul Quran yakni Bulannya al-Quran kerana dalam bulan yang mulia inilah Allah menurunkan wahyuNya al-Quran untuk dijadikan panduan umat akhir zaman. Maka telah menjadi amalan mesti umat Islam untuk memperbanyakkan lagi bacaan dan kajian mereka atas kitab yang mulia ini. Rata - rata umat Islam di mana jua mereka berada akan berazam dan berusaha untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang - kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan, sedangkan di kalangan generasi terdahulu mereka berlebih lagi. Imam Syafie radhiyaAllahu `anhu telah diberitakan mengkhatamkan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan sebanyak enam puluh (60) kali khataman. Maka berusahalah untuk membanyakkan lagi membaca al-Quran dengan tartil dan tadabbur.
Tetapi janganlah dianggap bahawa membaca dan mendaras al-Quran itu satu - satunya ibadah dalam bulan yang mulia ini. Amalan - amalan lain hendaklah diteruskan juga sebagaimana yang telah diwiridkan, bahkan jika mampu ditambah lagi kerana dalam bulan Ramadhan ganjaran amal shaleh itu akan dilipat berkali - kali ganda. Faqir pernah dipesan oleh salah seorang guru faqir agar memperbanyakkan juga istighfar dalam bulan yang mulia ini. Bahkan, beliau berpesan agar istighfarnya jangan kurang dari seratus ribu kali (100,000) sepanjang bulan ini, walaupun dengan shighah pendek seperti "AstaghfiruLlaahal `Adzim". Yang penting dan terpenting adalah setiap istighfar itu disertai dengan penyesalan atas dosa - dosa yang telah dilakukan, lalu sedar dan insaf mencari keampunan Allah ta`ala yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.
Kenapa jumlah 100,000 ? Entahlah, tidak pula faqir tanyakan kepada guru faqir tersebut, namun dari pengajian faqir, maka maklumlah faqir bahawa Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Quutul Habib al-Gharib di hujung bicara beliau tentang shalat istisqa`, telah mendatangkan beberapa faedah bagi memohon hujan dan mendatangkan hajat. Antara yang dinyatakan adalah membaca Shalawat Naariyyah sebanyak 4444 kali dan beristighfar 100,000 kali. Pada halaman 141, beliau menyebut, antaranya, sebagai berikut:- ... Penduduk Maghrib beristisqa` memohon hujan dengan membaca Shalawat an-Naariyyah, iaitu Allahumma shalli shalatan kaamilatan ....( hingga akhir shalawat yang masyhur) ..... Mereka membacanya dalam satu majlis sebanyak 4,444 kali. Sebahagian ulama menyatakan bahawa disukai beristisqa` dengan membaca shalawat ini, sebagaimana ianya disukai untuk dibaca bagi menunaikan segala hajat. Dan di antara (amalan lain) yang bermanfaat untuk beristisqa` memohon hujan adalah bertawassul dengan istighfar, dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah dengan menyebut: "astaghfiruLlaah(a), wa atuubu ilaih" seratus ribu (100,000 kali). Sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian (ulama): "Sesiapa yang mahu direzekikan Allah dengan harta atau anak atau ladang atau apa sahaja, maka hendaklah dia memperbanyakkan istighfar sebagaimana yang ditunjuk atasnya oleh ayat - ayat yang mulia," (yakni antaranya ayat 10 -12 surah Nuh yang kira - kira bermaksud: "Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah keampunan Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak - anakmu, dan mengadakan untuk mu kebun - kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untuk mu sungai - sungai.")
Maka bilangan 100,000 kali ini ada sumbernya daripada ulama. Kenapa bulan Ramadhan ? Ini sudah kira nasib baik, jika disuruhnya melakukannya setiap bulan, keringlah jawabnya. 70 kali istighfar sehari semalam atau 2,100 kali sebulan, pun bolong, inikan pula nak buat 100,000 kali setiap bulan. Namun apa yang penting bukan pada bilangannya sahaja, yang penting adalah bertaubat sentiasa, sehingga ulama kita menjadikan taubat itu sebagai sifat bukan lagi amalan. Jika amalan, ianya ada on off nya, namun taubat itu hendaklah dijadikan sifat sehingga ianya melekat pada diri sepanjang masa dan setiap ketika, yakni orang mukmin itu sentiasa merasa dirinya berdosa dan sentiasa bertaubat kembali kepada Allah `azza wa jalla, zahir dan batin, baik dilafazkannya istighfar di hujung mulutnya atau tidak. Lain pula dengan yang baru - baru nak belajar menyempurnakan imannya, mulutnya beristighfar, namun hatinya merewang ke alam fantasi. Namun lebih baik mulut yang beristighfar berbanding mulut longkang. Maka banyakkan beristighfar, mudah - mudahan apa yang di mulut tertancap jua aknirnya di hati, sehingga jadilah diri at-taib yang dikasihi oleh at-Tawwab jalla wa `ala.
Memperbanyak istighfar dalam bulan Ramadhan juga adalah antara wasiat dan anjuran daripada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa aalihi wa shahbihi wa baaraka wa sallam, sebagaimana disebut dalam hadis khutbah baginda kepada para sahabat di akhir bulan Sya'baan, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Imam Ibnu Khuzaimah. Dalam riwayat tersebut, antaranya, Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam berpesan dengan empat (4) perkara untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan, iaitu: (1) memperbanyakkan kalimah syahadah atau tahlil; (2) memperbanyakkan istighfar; (3) memperbanyakkan doa memohon syurga; dan (4) memperbanyakkan doa mohon perlindungan dari api neraka. Juga disebut bahawa sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, namun gagal untuk memperolehi ampunan Allah, maka itulah orang yang dicela oleh malaikat Jibril `alaihis salam yang diaminkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang masyhur. Maka mungkin inilah antara hikmah guru berpesan agar beristighfar jangan kurang dari 100,000 kali sepanjang bulan Ramadhan.
Berbalik kepada amalan istighfar 100,000 kali ini, kata almarhum guru bagi sesiapa yang ada hajat keperluan, maka bolehlah lakukan amalan ini, tak kiralah bulan Ramadhan atau bulan - bulan lain, yakni bila - bila masa sahaja, samada sekali duduk khatam atau dilakukan beransur - ansur sehingga khatam jumlah 100,000 tersebut. Shighah atau lafaz istighfarnya pun terpulang, yang pendek boleh, yang panjang pun boleh, apa yang penting penghayatan dan kesungguhan mencari keampunan Allah, mohonlah keampunan Allah dan pengabulan hajat - hajat tersebut. Mudah - mudahan selain mendapat keampunan Allah, dikabulkan Allah juga hajatnya, sebagaimana sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bererti:- "Sesiapa yang lazim beristighfar, Allah akan menjadikan baginya kelepasan untuk setiap kesusahan, kelapangan untuk setiap kesempitan dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka - sangka." Maka lazimkanlah beristighfar dengan penuh keinsafan dan ketulusan, jangan pernah berhenti sehingga mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan