Esok, Ahad 03 April 2022, Ramadhan bakal menemui kita, mudah - mudahan dipanjangkan umur kita dan diberi taufik menjalani ibadah dengan sebaik-baiknya. Ketahuilah bahawa Ramadhan dan puasanya merupakan satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada sekalian umat ini. Ianya merupakan wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Esa, mendapat keredhaan dan rahmatNya yang luas tiada tepi. Sewajarnya kita bersyukur dan bergembira atas nikmat Allah ini, dengan menjalani segala ibadah dengan baik dan sempurna.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menulis dalam kitab Lathaiful Ma`arif pada halaman 211, antaranya, sebagai berikut:- ... Kedatangan bulan Ramadhan dan ibadah puasa di dalamnya adalah satu nikmat yang besar bagi sesiapa yang Allah takdirkan untuk bertemu dengannya. Dalil bagi perkara ini adalah hadis tentang tiga orang yang dua daripadanya mati syahid, manakala seorang lagi mati atas katilnya (yakni tidak mati syahid) beberapa lama setelah dua orang tadi menemui syahid. Lalu ada orang bermimpi melihat lelaki yang mati di atas katilnya (yakni yang bukan mati syahid) terlebih dahulu masuk ke syurga berbanding yang mati syahid. Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bukankah dia sempat shalat selepas mereka berdua syahid sekian sekian shalat (yakni jumlah dan kepelbagaian jenis shalat yang sempat dia lakukan sebelum mati) dan turut menemui bulan Ramadhan? Demi Allah, yang jiwaku dalam kekuasaanNya, beza (darjat) antara keduanya (yakni antara lelaki yang tidak mati syahid, yang diberi umur lebih panjang lalu diisinya dengan berbagai ibadat seperti shalat dan puasa, dengan lelaki yang mati syahid namun tidak panjang umurnya) adalah lebih jauh dari (jarak) langit dan bumi." Hadis ini diriwayat oleh Imam Ahmad dan lain - lain. Sesiapa yang dirahmatkan pada Ramadhan, maka dia adalah almarhum (yakni orang yang mendapat rahmat); Sesiapa yang ditegah daripada (melakukan) kebajikan padanya, maka dia adalah almahrum (yakni orang yang tertegah daripada rahmat); Sesiapa yang tidak menambah amalan shaleh padanya untuk negeri Akhirat, maka dia adalah malum (yakni orang yang dicela)....
Allahu ... Allah, mati syahid itu mulia, namun orang yang tidak mati syahid pun masih boleh mengejar kedudukan yang mati syahid, iaitu hendaklah dia mengisi usia lebih yang diberikan Allah kepadanya itu dengan amal ibadah seperti shalat dan puasa sehingga melebihi amalan yang pernah dilakukan oleh yang syahid tadi. Bak kata Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaannya: "Sebaik - baik manusia adalah yang panjang umurnya dan bagus amalannya.". Oleh itu, marilah kita pasang azam dan tekad untuk menjalani Ramadhan ini dengan sesempurna mungkin dengan taufik dan inayah Allah jualah sandaran kita. Faqir akhiri dengan pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, maka sambutlah ia dengan sebaik - baiknya." Marhaban ya Ramadhan wa ahlan.
Qashidah Marhaban Ya Ramadhan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan