Jumaat, April 22, 2022

Shalawat Syaikh Khalil


Syaikh Khalil Bangkalan terkenal bukan sahaja sebagai ulama besar, bahkan yang berdarjat wali yang keramat. Beliau mempunyai beberapa karangan berupa doa dan shighah atau lafaz shalawat. Adakalanya hal ini beliau tulis di pinggir - pinggir kitab yang sedang beliau telaah ketika datangnya ilham tersebut. Antara shalawat beliau yang telah masyhur adalah yang dikenali sebagai Shalatul Ilmi (Shalawat Ilmu) kerana berisikan permohonan agar dijadikan ahli ilmu zahir batin serta dikumpulkan beserta para shalihin di dunia dan akhirat. Shalawat ini menjadi amalan para santri dan terbukti kemujarrabannya, dengan izin Allah. Diterangkan dalam kitab Ratib Syaikhina Khalil yang diterbitkan oleh Lujnah at-Turats al-Ilmi li Syaikhina Muhammad Khalil, antaranya, sebagai berikut:- Sebahagian masyaikh berpesan agar shalawat ini (Shalawat Ilmu) dibaca sebelum memulakan pengajian, samada sendirian atau secara berjemaah. Mereka mengatakan bahawa mudah -mudahan dengan manfaatnya terhasil ilmu yang bermanfaat dan memperolehi futuh (makrifat) serta dikumpulkan bersama hamba - hamba Allah yang shalih di dunia dan akhirat.

Juga dinyatakan dalam risalah tersebut, kaifiat untuk mewiridkan Shalawat Ilmi ini. Shalawat ini boleh diwiridkan dengan tiga (3) cara: (i) dibaca selepas shalat-shalat fardhu tanpa bilangan yang tertentu; (ii) Dibaca sebanyak tujuh (7) kali selepas shalat - shalat fardhu; dan (iii) dibaca tujuh (7) kali pada waktu malam. Maka kaifiatnya cukup mudah untuk diamalkan dan in sya Allah didawamkan. Mudah - mudahan bermanfaat dan berkat.

Selain Shalawat Ilmu di atas, berikut juga merupakan satu lagi lafaz shalawat yang dinisbahkan kepada beliau. Shalawat ini ditemukan tertulis di pinggir helaian kitab Hasyiah Khudhari milik beliau. Dalam lafaz shalawat ini dimohonkan gandaan pahalanya menurut bilangan atau sebilang - bilang orang yang mengerjakan puasa Ramadhan, orang yang menunaikan shalat di bulan Ramadhan, orang yang bersedekah di bulan Ramadhan, orang yang membaca al-Quran di bulan Ramadhan, orang yang bertasbih di bulan Ramadhan dan orang yang bertahlil dalam bulan Ramadhan. Mudah - mudahan dengan limpah kurnia belas ehsan Allah, diterimanya permohonan tersebut lalu diberikanNya gandaan yang amat besar itu.


Amalan bershalawat sudah mesra mendarah daging dalam tubuh para ulama dan awliya kita. Sekali - kali mereka tidak berpisah amalan ini, di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja yang senggang daripada amalan atau zikir yang khusus dengan waktunya. Dan jika kita renungi, sahaja orang alim atau orang shalih, masyarakat awam kita dahulu pun tidak lekang dengan shalawat, setiap perbuatan pasti ada shalawat barang sekali dua, sehinggalah zaman - zaman kita ini, di mana ramai ahli bijak pandai berkeliaran membid`ahkan segala yang tidak dibuat oleh Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka mulalah ucapan shalawat diganti dengan bid`ah, karut, khurafat bahkan syirik. Inilah dikatakan "bijak tak boleh dipakai, bodoh tak boleh diajar". Kena suruh amal Shalawat Ilmu gamaknya. Apa - apa pun, biarlah si Luncai terjun dengan labu - labunya, teruskan bershalawat sehingga akhir hayat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Klip Ustaz Habib Ahmad al-Aydrus

Rabu, April 20, 2022

Jaaliyatul Kadar

Jaaliyatul Kadar adalah untaian nazam karya yang biasa dinisbahkan kepada Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah, Sayyidi Imam al-Barzanji Sayyid Ja'far rahimahullah. Namun sebahagian pengkaji menyatakan bahawa nazam ini sebenarnya karangan Sayyid `Ali bin Hasan al-Barzanji rahimahullah yang merupakan saudara kandung Sidi Ja'far bin Hasan al-Barzanji tersebut. Sayyid Ali al-Barzanji rahimahullah  dilahirkan di Madinah al-Munawwarah dalam tahun 1133H. Beliau berguru antaranya dengan saudaranya Sidi Ja'far, mufti Madinah, Syaikh Atha`, asy-Syihab Ahmad al-Asybuli, Syaikh Muhammad ath-Thayyib, Syaikh Muhammad al-`Ujaimi, Syaikh Muhammad al-Banani al-Maghribi dan Syaikh Muhammad al-Faasi rahimahumullah. Sidi Ali al-Barzanji menjalani hidupnya dengan beruzlah daripada pergaulan dan sering melakukan khalwat menyendiri untuk beribadah. Beliau meninggal dunia di Madinah pada hujung kurun ke-12H.

Berbalik kepada nazam tadi, ianya mengandungi nama - nama para pejuang Badar dan syuhada` Uhud ridhwanullahi `alaihim ajma`in. Telah menjadi amalan sebahagian ulama dan shalihin untuk membacanya, istimewa pada tanggal 17 Ramadhan bersempena terjadinya perang Badar al-Kubra, atau pada bila - bila masa sahaja ketika berhajat atau terkena musibah atau dirundung bala. Tidak kurang yang menjadikan wirid mingguan atau bulanan, bahkan harian. Menurut setengah ulama yang mengamalkan nazam ini, membaca atau membawa nazam ini adalah mujarrab sebagai wasilah bagi memperolehi perlindungan Allah dan menghilangkan kesusahan, bahkan ianya diumpamakan sebagai hishnun hashin (benteng pertahanan yang kukuh) dari segala bala bencana dan sebagainya. Inilah juga yang dinyatakan sendiri oleh Sidi Barzanji dalam mukaddimah nazamnya tersebut. Mudah - mudahan yang mendengarnya juga memperolehi manfaat dan keberkatan serta ditunaikan segala hajat dan cita - cita, berkah jah tuah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam  dan para sahabat baginda terutamanya para pejuang Badar dan syuhada` Uhud ridhwanullahi `alaihim ajma`in.

Jaaliyatul Kadar

Selasa, April 19, 2022

Qabul Berkat Ahli Badar

Tanggal 17 Ramadhan tidak pernah dilupakan sebagai tarikh berlakunya Perang Badar al-Kubra. Perang yang merubah arus perjuangan umat, yang merintis kepada kemenangan dan pembukaan kota suci Makkah al-Mukarramah. Maka sewajarnya ia diingat dan dijadikan pembakar semangat kita agar tabah, kental dan waja dalam mengharungi perjuangan kehidupan beragama di pentas dunia abad ini yang tidak kurang ranjau dan onak durinya.

Di antara kemuliaan Ahli Badar menurut sebahagian ulama, menyebut nama mereka, yakni memperingati mereka, akan menyebabkan turunnya rahmat Allah subhanahu wa ta`alai dan menjadikan doa permohonan kita diterima dan dikabulkan Allah jalla wa `ala. Maulana Muhammad Musa ar-Ruhani al-Bazi rahimahullah, ulama kontemporer dan ahli hadis kenamaan, menyatakan dalam mukaddimah beliau terhadap kitab shalawat al-Barakaatul Makkiyyah pada halaman 41 menulis antaranya sebagai berikut:- .....Sebahagian muhadditsin (baca: ahli / pakar hadis, bukan ahli bid`ah) menjelaskan bahawa mujarrab bagi doa untuk dikabulkan selepas menyebut nama - nama sahabat yang menyertai peperangan Badar (asma` al-Badriyyin) radhiyaAllahu ta`ala `anhum....."

Dr. Thaika Shu`aib Alim rahimahullah turut memuatkan nama - nama Ahli Badar dalam al-Munjiyath dan beliau menukilkan pada halaman 149 sebagai berikut: Shaikh Dawaanee radhiyaAllahu `anhu has stated as follows: It has been proved by many saints on the basis of many instances of practical experience that the du`aas performed after reciting of noble names of the great Sahaabah who participated in the Battle of Badr radhiyaAllahu `anhum, have been duly fulfilled. Many Shaikhs have reported that several persons have been blessed with sainthood (wilaayat) due to the waseela of these Sahaaba as a result of the regular recital of the noble names of these Sahaaba.

Mudah - mudahan dengan berkat para pejuang Badar ini, Allah sudi mengangkat bala` yang sedang dihadapi umat manusia tika ini. 

Qashidah Badar Moulid

Ahad, April 17, 2022

Tengah Ramadhan

Malam ni dah masuk 16 Ramadhan, maka  disunatkan kita berqunut dalam Shalat Witir. Syukur masih diberi rahmat dan nikmat untuk dapat melakukan ibadah dalam bulan yang mulia. Harap - harap ditambah dan diberi lagi kurniaan rahmat dan nikmat berupa penerimaan serta qabul.... Allahumma aamiin. 
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Selasa, April 05, 2022

100,000 istighfar

Bulan Ramadhan masyhur sebagai Syahrul Quran yakni Bulannya al-Quran kerana dalam bulan yang mulia inilah Allah menurunkan wahyuNya al-Quran untuk dijadikan panduan umat akhir zaman. Maka telah menjadi amalan mesti umat Islam untuk memperbanyakkan lagi bacaan dan kajian mereka atas kitab yang mulia ini. Rata - rata umat Islam di mana jua mereka berada akan berazam dan berusaha untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang - kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan, sedangkan di kalangan generasi terdahulu mereka berlebih lagi. Imam Syafie radhiyaAllahu `anhu telah diberitakan mengkhatamkan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan sebanyak enam puluh (60) kali khataman. Maka berusahalah untuk membanyakkan lagi membaca al-Quran dengan tartil dan tadabbur.

Tetapi janganlah dianggap bahawa membaca dan mendaras al-Quran itu satu - satunya ibadah dalam bulan yang mulia ini. Amalan - amalan lain hendaklah diteruskan juga sebagaimana yang telah diwiridkan, bahkan jika mampu ditambah lagi kerana dalam bulan Ramadhan ganjaran amal shaleh itu akan dilipat berkali - kali ganda. Faqir pernah dipesan oleh salah seorang guru faqir agar memperbanyakkan juga istighfar dalam bulan yang mulia ini. Bahkan, beliau berpesan agar istighfarnya jangan kurang dari seratus ribu kali (100,000) sepanjang bulan ini, walaupun dengan shighah pendek seperti "AstaghfiruLlaahal `Adzim". Yang penting dan terpenting adalah setiap istighfar itu disertai dengan penyesalan atas dosa - dosa yang telah dilakukan, lalu sedar dan insaf mencari keampunan Allah ta`ala yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

Kenapa jumlah 100,000 ? Entahlah, tidak pula faqir tanyakan kepada guru faqir tersebut, namun dari pengajian faqir, maka maklumlah faqir bahawa Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Quutul Habib al-Gharib di hujung bicara beliau tentang shalat istisqa`, telah mendatangkan beberapa faedah bagi memohon hujan dan mendatangkan hajat. Antara yang dinyatakan adalah membaca Shalawat Naariyyah sebanyak 4444 kali dan beristighfar 100,000 kali. Pada halaman 141, beliau menyebut, antaranya, sebagai berikut:- ... Penduduk Maghrib beristisqa` memohon hujan dengan membaca Shalawat an-Naariyyah, iaitu Allahumma shalli shalatan kaamilatan ....( hingga akhir shalawat yang masyhur) ..... Mereka membacanya dalam satu majlis sebanyak 4,444 kali. Sebahagian ulama menyatakan bahawa disukai beristisqa` dengan membaca shalawat ini, sebagaimana ianya disukai untuk dibaca bagi menunaikan segala hajat. Dan di antara (amalan lain) yang bermanfaat untuk beristisqa` memohon hujan adalah bertawassul dengan istighfar, dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah dengan menyebut: "astaghfiruLlaah(a), wa atuubu ilaih" seratus ribu (100,000 kali). Sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian (ulama): "Sesiapa yang mahu direzekikan Allah dengan harta atau anak atau ladang atau apa sahaja, maka hendaklah dia memperbanyakkan istighfar sebagaimana yang ditunjuk atasnya oleh ayat - ayat yang mulia," (yakni antaranya ayat 10 -12 surah Nuh yang kira - kira bermaksud: "Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah keampunan Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak - anakmu, dan mengadakan untuk mu kebun - kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untuk mu sungai - sungai.")
Maka bilangan 100,000 kali ini ada sumbernya daripada ulama. Kenapa bulan Ramadhan ? Ini sudah kira nasib baik, jika disuruhnya melakukannya setiap bulan, keringlah jawabnya. 70 kali istighfar sehari semalam atau 2,100 kali sebulan, pun bolong, inikan pula nak buat 100,000 kali setiap bulan. Namun apa yang penting bukan pada bilangannya sahaja, yang penting adalah bertaubat sentiasa, sehingga ulama kita menjadikan taubat itu sebagai sifat bukan lagi amalan. Jika amalan, ianya ada on off nya, namun taubat itu hendaklah dijadikan sifat sehingga ianya melekat pada diri sepanjang masa dan setiap ketika, yakni orang mukmin itu sentiasa merasa dirinya berdosa dan sentiasa bertaubat kembali kepada Allah `azza wa jalla, zahir dan batin, baik dilafazkannya istighfar di hujung mulutnya atau tidak. Lain pula dengan yang baru - baru nak belajar menyempurnakan imannya, mulutnya beristighfar, namun hatinya merewang ke alam fantasi. Namun lebih baik mulut yang beristighfar berbanding mulut longkang. Maka banyakkan beristighfar, mudah - mudahan apa yang di mulut tertancap jua aknirnya di hati, sehingga jadilah diri at-taib yang dikasihi oleh at-Tawwab jalla wa `ala.

Memperbanyak istighfar dalam bulan Ramadhan juga adalah antara wasiat dan anjuran daripada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa aalihi wa shahbihi wa baaraka wa sallam, sebagaimana disebut dalam hadis khutbah baginda kepada para sahabat di akhir bulan Sya'baan, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Imam Ibnu Khuzaimah. Dalam riwayat tersebut, antaranya, Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam berpesan dengan empat (4) perkara untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan, iaitu: (1) memperbanyakkan kalimah syahadah atau tahlil; (2) memperbanyakkan istighfar; (3) memperbanyakkan doa memohon syurga; dan (4) memperbanyakkan doa mohon perlindungan dari api neraka. Juga disebut bahawa sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, namun gagal untuk memperolehi ampunan Allah, maka itulah orang yang dicela oleh malaikat Jibril `alaihis salam yang diaminkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang masyhur. Maka mungkin inilah antara hikmah guru berpesan agar beristighfar jangan kurang dari 100,000 kali sepanjang bulan Ramadhan.

Berbalik kepada amalan istighfar 100,000 kali ini, kata almarhum guru bagi sesiapa yang ada hajat keperluan, maka bolehlah lakukan amalan ini, tak kiralah bulan Ramadhan atau bulan - bulan lain, yakni bila - bila masa sahaja, samada sekali duduk khatam atau dilakukan beransur - ansur sehingga khatam jumlah 100,000 tersebut. Shighah atau lafaz istighfarnya pun terpulang, yang pendek boleh, yang panjang pun boleh, apa yang penting penghayatan dan kesungguhan mencari keampunan Allah, mohonlah keampunan Allah dan pengabulan hajat - hajat tersebut. Mudah - mudahan selain mendapat keampunan Allah, dikabulkan Allah juga hajatnya, sebagaimana sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bererti:-  "Sesiapa yang lazim beristighfar, Allah akan menjadikan baginya kelepasan untuk setiap kesusahan, kelapangan untuk setiap kesempitan dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka - sangka."  Maka lazimkanlah beristighfar dengan penuh keinsafan dan ketulusan, jangan pernah berhenti sehingga mati.

Sabtu, April 02, 2022

Marhaban Ya Ramadhan

Esok, Ahad 03 April 2022, Ramadhan bakal menemui kita, mudah - mudahan dipanjangkan umur kita dan diberi taufik menjalani ibadah dengan sebaik-baiknya. Ketahuilah bahawa Ramadhan dan puasanya merupakan satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada sekalian umat ini. Ianya merupakan wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Esa, mendapat keredhaan dan rahmatNya yang luas tiada tepi. Sewajarnya kita bersyukur dan bergembira atas nikmat Allah ini, dengan menjalani segala ibadah dengan baik dan sempurna. 

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menulis dalam kitab Lathaiful Ma`arif pada halaman 211, antaranya, sebagai berikut:- ... Kedatangan bulan Ramadhan dan ibadah puasa di dalamnya adalah satu nikmat yang besar bagi sesiapa yang Allah takdirkan untuk bertemu dengannya. Dalil bagi perkara ini adalah hadis tentang tiga orang yang dua daripadanya mati syahid, manakala seorang lagi mati atas katilnya (yakni tidak mati syahid) beberapa lama setelah dua orang tadi menemui syahid. Lalu ada orang bermimpi melihat lelaki yang mati di atas katilnya (yakni yang bukan mati syahid) terlebih dahulu masuk ke syurga berbanding yang mati syahid. Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bukankah dia sempat shalat selepas mereka berdua syahid sekian sekian shalat (yakni jumlah dan kepelbagaian jenis shalat yang sempat dia lakukan sebelum mati) dan turut menemui bulan Ramadhan? Demi Allah, yang jiwaku dalam kekuasaanNya, beza (darjat) antara keduanya (yakni antara lelaki yang tidak mati syahid, yang diberi umur lebih panjang lalu diisinya dengan berbagai ibadat seperti shalat dan puasa,  dengan lelaki yang mati syahid namun tidak panjang umurnya) adalah lebih jauh dari (jarak) langit dan bumi." Hadis ini diriwayat oleh Imam Ahmad dan lain - lain. Sesiapa yang dirahmatkan pada Ramadhan, maka dia adalah almarhum (yakni orang yang mendapat rahmat); Sesiapa yang ditegah daripada (melakukan) kebajikan padanya, maka dia adalah almahrum (yakni orang yang tertegah daripada rahmat); Sesiapa yang tidak menambah amalan shaleh padanya untuk negeri Akhirat, maka dia adalah malum (yakni orang yang dicela)....

Allahu ... Allah, mati syahid itu mulia, namun orang yang tidak mati syahid pun masih boleh mengejar kedudukan yang mati syahid, iaitu hendaklah dia mengisi usia lebih yang diberikan Allah kepadanya itu dengan amal ibadah seperti shalat dan puasa sehingga melebihi amalan yang pernah dilakukan oleh yang syahid tadi. Bak kata Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaannya: "Sebaik - baik manusia adalah yang panjang umurnya dan bagus amalannya.". Oleh itu, marilah kita pasang azam dan tekad untuk menjalani Ramadhan ini dengan sesempurna mungkin dengan taufik dan inayah Allah jualah sandaran kita. Faqir akhiri dengan pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersabda: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, maka sambutlah ia dengan sebaik - baiknya." Marhaban ya Ramadhan wa ahlan.

Qashidah Marhaban Ya Ramadhan