Khamis, Julai 07, 2022

"Toothpick" Punya Pasal

Kita sesungguhnya percaya bahawa di Mahsyar nanti kita akan dihisab atas segala amal perbuatan kita sewaktu hayat kita di dunia ini. Keadaan manusia ketika itu berbagai - bagai, ada yang ringan hisabnya, ada pula yang berat hisabnya dan ada golongan yang paling bertuah dengan dimasukkan ke syurga tanpa sebarang hisab....Allahummaj `alna minhum. Tanpa rahmat Allah, betapalah kita tatkala berdiri untuk menghadapi hisab nanti ....Allahu...Allah. Ingat jika Allah al-Hasib jalla jalaluh yang Maha Menghisab mengaudit kita dengan ketat, rasanya tak lepas kita ni.....Allahu ... Allah. Faqir kongsikan di sini satu kisah yang tercatat dalam karangan ulama, mudah - mudahan bertambah keinsafan diri kita dalam mengharungi kehidupan ini. Kisah ini amat menyeramkan kita, mudah - mudahan Allah selamatkan kita sekalian. Faqir nukilkan di sini satu kisah yang menyeramkan, kisah ini dinukilkan oleh Syaikh Abdul Wahhab asy-Sya'raani rahimahullah dalam Tanbihul Mughtarin.

Syaikh Abdul Wahhab asy-Sya'raani @ Imam asy-Sya'raani rahimahullah menukilkan dalam kitab beliau, Tanbiihul Mughtariin pada halaman 21 menukilkan bahawa:- Adalah Wahab bin Munabbih rahimahullah (tabi`in masyhur yang mahir dan banyak meriwayatkan kisah - kisah Israiliyyat) menceritakan bahawa ada seorang pemuda dari kalangan Bani Israil telah bertaubat dari segala maksiat yang telah dia lakukan. Kemudian dia pun beribadah kepada Allah selama 70 tahun dengan berpuasa setiap hari dan menghidupkan setiap malam (yakni banyak puasa dan qiamnya). Dia beribadah dengan penuh kesungguhan sehingga tidak menghirau urusan kehidupan dunianya sehingga dia tidak peduli di mana beliau berteduh serta meninggalkan makanan yang lazat - lazat (yakni hanya fokus beribadah semata-mata). Setelah dia meninggal dunia, sebahagian saudaranya telah bermimpi bertemu dengannya lalu bertanya kepada dia: "Apa yang diperbuat Allah denganmu?" Dia menjawab: "Aku telah dihisab, lalu diberi keampunan segala dosa kecuali (dosa) satu bilahan kecil kayu yang aku gunakan untuk mencungkil gigiku tanpa izin pemiliknya (yakni dosa mengambil hak orang lain tanpa izinnya). Maka tertahan aku dari memasuki syurga dengan sebab tersebut sehingga ke waktu ini."......
 
Allahu ... Allah, sesuatu dosa sekecil mana pun ia, jika tidak diampuni Allah akan menjerumuskan kita ke jurang kebinasaan. Maka hendaklah kita sentiasa takut dan khuatir untuk atau bila melakukan apa jua perkara yang menjadi dosa dan maksiat kepada Allah, jangan sekali - kali dipandang ringan dan remeh bermaksiat akan Allah. Sentiasalah bertaubat dan beristighfar sepanjang masa, ingat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan bahawa orang yang banyak beristighfar memohon keampunan Allah akan mencapai tuah kebahagiaan dunia dan akhirat. 
  استغفر الله، استغفر الله، استغفر الله العظيم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan