Jumaat, Julai 01, 2022

Marhaban DzalHijjah

Selamat Menyambut DzulHijjah, bulan di mana 10 hari pertamanya merupakan sebaik - baik hari untuk melakukan kebajikan. Telah datang beberapa hadis tentang perkara ini, bahkan disebut hari - hari yang sepuluh ini sebagai a'dzamul ayyam dan afdhalul ayyam, yakni hari - hari yang teragung dan terafdhal untuk mempersembahkan amal kebajikan kepada Allah jalla wa 'ala. Imam Ahmad radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  bersabda: " Tidak ada hari yang teragung dan yang paling disukai di sisi Allah, untuk melakukan amal kebajikan padanya, dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Maka kamu perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." Juga diriwayatkan oleh antaranya Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah dan Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidak ada hari - hari yang paling dikasihi Allah subhanahu wa ta`ala untuk beribadat kepadaNya dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Bahawasanya menyamai puasa sehari padanya, (seumpama) puasa setahun dan (menghidupkan) malamnya, (seumpama menghidupkan) Lailatul Qadar." Maka janganlah kita biarkan masa - masa yang penuh berkat ini berlalu tanpa sebarang amal kebajikan, betapapun keadaannya.

KH Muhammad Bakhiet al-Banjari hafizahullah dalam kuliah beliau menukilkan kalam ulama bahawa sesiapa yang membesarkan dan memuliakan hari - hari sepuluh awal bulan DzulHijjah akan dimuliakan Allah dengan 10 kemuliaan seperti berikut: (1) diberikan dia umur yang berkat; (2) ditambah hartanya; (3) dipelihara keluarganya; (4) dihapuskan dosa kesalahannya; (5) digandakan ganjaran pahalanya; (6) dimudahkan baginya sakaratul maut; (7) diberikan dia cahaya bagi menerangi segala kegelapan; (8) diberatkan timbangan amal kebajikannya; (9) diselamatkan dia dari api neraka; dan (10) diangkat darjatnya. Inilah antara kelebihannya menurut sebahagian ulama, sejauhmana kebenarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mudah - mudahan bermanfaat.
KH Muhammad Bakhiet @ Guru Bakhiet Barabai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan