Isnin, Ogos 15, 2022

Kiyai Muhammad Singapura

Faqir sesungguhnya percaya, kebanyakan kita kenal atau setidak - tidaknya  pernah melihat sebuah kitab legend yang antara kandungannya adalah Mawlid Barzanji, Burdah dan `Aqidatul `Awam. Kitab ini biasanya dipanggil Kitab Barzanji @ Buku Barzanji @ Syaraful Anam. Di tempat faqir ianya biasa dipanggil sebagai Buku Jikir @ Kitab Jikir. Jodol sebenar kitab ini yang tercatat di kulitnya adalah Majmu'ah Maulud Syarafil Anam. Dari kitab inilah faqir mula mendengar nama Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah kerana beliaulah yang menulis pengantar Majmu`ah tersebut  dan terlibat dalam mentashih serta mencetaknya. Majmu`ah yang berkat ini sehingga sekarang masih dicetak dan tetap beredar serta mudah dicari di kedai - kedai buku di tempat kita. Bahkan sehingga kini masyarakat kita masih membelek kitab ini, setidak -tidaknya dalam kenduri - kendara nikah - kahwin dan majlis - majlis mawlid dan marhaban.

Kiyai Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad rahimahullah adalah salah seorang ulama yang berjasa besar berdakwah dan mengembangkan pengajian Islam di Singapura. Beliau berasal dari Kauman, Semarang, Indonesia, dilahirkan sekitar tahun 1879. Beliau dibawa oleh ayahandanya, juga seorang kiyai yang pernah menjadi santri Kiyai Shaleh Darat dan mengaji di Mekah, Kiyai Haji Muhammad Said, ke Singapura. Di Singapura, KH Muhammad Said mengajar dan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah ash-Shibyan al-Muhammadiyyah sekitar tahun 1905, Madrasah ini, walaupun masih bercirikan sistem pondok / pesantren, dianggap sebagai madrasah rasmi yang pertama di Singapura. Selain daripada itu, beliau juga membuka membuka sebuah percetakan yang dinamakan Mathba`ah Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad untuk mencetak buku - buku dan risalah Islami,  demi penyebaran dakwah dan ilmu. Almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir menyebut Kiyai Haji Muhammad Said sebagai antara tiga tokoh litografi Melayu - Islam. Kiyai Muhammad mengabdikan dirinya untuk agama dengan membantu kerja - kerja dakwah dan penyebaran ilmu ayahanda beliau tersebut. Setelah KH Muhammad Said meninggal dunia dalam tahun 1924, maka kerja - kerja dakwah beliau diteruskan oleh anaknya, Kiyai Muhammad.

Dalam tahun 1923, Kiyai Muhammad memindahkan pusat dakwah dan pengajian beliau ke sebuah surau yang beliau dirikan di Lorong Engku Aman (Geylang Serai). Surau yang dikenali sebagai Surau Bunga Raya, akhirnya menjadi pusat dakwah beliau setelah kewafatan ayahandanya. Kiyai Muhammad juga menabur bakti dengan menjadi guru di Madrasah Aljuneid al-Islamiah dari tahun 1945 sehingga 1970. Di antara murid - murid yang pernah mengaji dengan beliau adalah mantan Mufti Negara Singapura, Fadhilatus Sayyid Isa BinSemait, Habib Ahmad BinSemait, Habib Abdillah al-Jufri, Ustaz Peer Mohamed dan ramai lagi. Kiyai Muhammad bin KH Muhammad Said rahimahullah tutup usia pada tahun 1971 dalam usia 92 tahun. Mudah - mudahan Allah mengampuni segala salah khilaf beliau dan merahmatinya sentiasa.

Almarhum Kiyai Muhammad juga ada meninggalkan beberapa tulisan atau risalah, antaranya Hadis Arba`in dan Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tidak dinafikan bahawa dalam tulisan - tulisan beliau tersebut ada mengandungi riwayat - riwayat yang bermasalah hatta hadis - hadis yang dihukum maudhu oleh muhadditsin. Meminjam kata - kata almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir dalam tulisan beliau mengenai kitab Hadis Arba`in yang dimuatkan dalam Ensiklopedia Naskhah Klasik, halaman 258, antaranya sebagai berikut:- ....Muhammad bin Muhammad Sa`id mengumpulkan hadis yang dimuat dalam Kitab Hadis Arba`innya bukan bertujuan memberi pelajaran tentang kategori sesuatu hadis itu sohih, hasan, dhaif, maudhu` dan istilah - istilah lainnya, tetapi lebih kepada hanya sebagai catatan peribadinya dan mengambil pelajaran baik pada apa saja yang terdapat dalam lafaz yang dikatakan orang sebagai hadis itu. Muhammad bin Muhammad Sa`id tidak mempedulikan pertikaian pendapat terutama penilaian ahli hadis, walau pun mereka menilainya dha`if, bahkan maudhu` (palsu) sekali pun.......

Maka, ketika membaca karya - karya beliau tersebut, janganlah terus menisbahkan segala riwayat dan hikayat di dalamnya sebagai sahih dari neraca ilmu hadis. Apatahlah jika tulisan beliau tersebut dengan jelas menggunakan jodol "Kisah" atau "Hikayat" yang semestinya dianggap sekadar cerita, maka janganlah diangkat menjadi riwayat yang pasti. Namun, janganlah pula menolak terus ajaran atau hikmah yang mungkin terkandung dalam riwayat - hikayat tersebut, kerana walaupun sesuatu riwayat itu palsu, tidaklah bererti kandungan atau matannya juga palsu atau mesti tidak benar atau mesti karut - marut dan bercanggah dengan ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kita bersikaplah adil dan amanah, kita katakanlah, seumpama:- "Menurut para ahli hadis ini riwayatnya palsu, yakni bukan sabdaan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetapi isi kandungannya tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam". Namun, tidak dinafikan sesetengah pihak bersikap tegas sehingga segala riwayat yang mereka yakini palsu akan mereka campak tepi sekali dengan matannya, tanpa mengira samadanya ada kebenaran dalam matan tersebut atau ianya termaktub dalam kitab - kitab yang sudah masyhur dalam kalangan umat Islam. Dari satu segi, perbuatan tersebut tidaklah juga dapat disalahkan, tetapi jika kita diperbolehkan untuk mengambil hikmah pengajaran daripada kata - kata yang bukan hadis, hatta daripada tokoh yang bukan Islam seperti Ghandi sekalipun, maka kenapa dalam masalah riwayat - hikayat yang bermasalah yang dimuatkan dalam karya ulama Islam, hal serupa tidak diaplikasikan. Dalam situasi sedemikian, wajar dan patut, bahkan wajib, jangan dinisbahkan segala riwayat - hikayat tersebut kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, agar kita selamat dari ancaman berdusta atas nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, bersikap adillah dengan mengiktiraf dan menerima mana - mana kebenaran yang mungkin terselit dalam isi riwayat - hikayat tersebut. Dan jagalah akhlak dan adab kita kepada alim ulama tersebut.

Bagi pengarang seperti Kiyai Muhammad, yang telah bermudah - mudah menisbahkan sesuatu sebagai hadis atau sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mungkin beliau kurang periksa atau kurang berkeahlian dalam bidang sanad dan riwayat atau tersilap dalam memahami dan menukil. Lazimnya, mereka hanya hanya menukil dan menterjemah riwayat - hikayat tersebut dari sumber - sumber berbahasa Arab tanpa mentahkiknya. Seumpama tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, kuat sangkaan faqir ianya adalah terjemahan dan saduran dari kisah - kisah hikayat Iblis yang berbagai karangan ulama terdahulu. Kisah atau hikayat Iblis mengadap Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sememangnya telah ada dalam khazanah ulama terdahulu dengan berbagai versi. Dalam disiplin riwayat ilmu hadis, hikayat - hikayat ini ianya memang bermasalah jika dikatakan peristiwa sebagaimana dihikayatkan itu benar - benar berlaku sedemikian, yakni terjadi sebagaimana dihikayatkan dalam hikayat atau kisah tersebut. Antara ulama yang dikatakan ada menulis kisah / hikayat sebegini adalah Imam Ibnu `Arabi al-Hatimi dengan karya beliau Hikayatu Iblis fi ma akhbara bihin Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hikayat Iblis karya Ibnu Arabi ini juga masih beredar dan biasanya ditulis di akhir kitab beliau Syajaratul Kawn. Dan ketahuilah bahawa Imam Ibnu `Arabi ini tokoh yang kontroversi, sebahagian besar ulama kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah mengangkat beliau sebagai tokoh ulama dan wali besar, manakala segelintir menghukumkan beliau sebagai seorang zindik. Faqir tidak tahu, mungkin satu ketika dahulu, ada ulama yang menutup karya mereka dengan berhikayat, agar pembaca kembali santai setelah penat berenang dalam lautan ilmu. Kiyai Agung Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah juga pernah berbuat sedemikian, di mana kitab beliau Ma'dinil Asrar diakhiri dengan memungut Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi tersebut.

Kaedah pengajaran atau penerapan nilai tertentu dengan menggunakan kisah - kisah teladan atau hikayat - hikayat, walaupun hanya fiktif, imaginasi atau fantasi, telah lama digunapakai dalam proses pendidikan. Contohnya, cerita - cerita dongeng, telah digunakan sejak dahulu lagi dalam pendidikan anak - anak. Sungguhpun sekadar dongeng, tapi ada pengajaran dan hikmah yang boleh dipelajari. Cerita - cerita dongeng inilah yang kita bacakan kepada anak - anak kecil. Bahkan sesetengah ustaz zaman ini juga kerap memotivasikan pendengarnya dengan membawa kisah - kisah dongeng haiwan, kisah katak, kisah kancil dan yang sewaktu dengannya. Jika dikatakan bahawa cerita - cerita ini berbahaya dan mempunyai dampak negatif, maka kenapa kita tidak bermasalah ianya dibaca dan diceritakan kepada anak - anak kecil yang akal fikirannya baru nak berkembang? Tidakkah kita takut ianya mempengaruhi pemikiran mereka? Tidakkah kita takut anak - anak kecil ini akan membesar dengan kepercayaan bahawa sang kancil memang bijak atau cerita - cerita dongeng itu benar? Ketika kita membaca cerita - cerita tersebut kepada anak - anak, adakah kita berbohong kepada mereka? Adakah kita akan membakar segala buku - buku cerita dongeng? ....bla ....bla... jenuhlah nak tulis. 

Begitulah juga sesetengah ulama dan pendakwah terdahulu dan juga sekarang, mereka melakukan dakwah untuk menyebarkan makruf dengan berbagai cara. Maka terhasillah selain karya - karya ilmiah, karya - karya yang berbentuk hikayat atau kisah antah berantah. Dalam kisah - kisah hikayat, ajaran positif yang hendak disampaikan dibalut dengan riwayat yang pelbagai hatta yang bermasalah atau dengan menonjolkan hero - hero fiktif yang disadur daripada tokoh - tokoh Islam, maka lahirlah watak Amir Hamzah, Muhammad Hanafiah, Umar Umaiyah dan sebagainya. Bahkan dikatakan ketika Portugis menyerang Melaka, maka dititahkanlah agar dibaca Hikayat Amir Hamzah untuk membakar semangat para prajurit dan hulubalang berjuang melawan Portugis. Tulisan Kiyai Muhammad, Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad, dari tajuknya yang menggunakan kalimah "Kisah" sudah cukup menyatakan bahawa ianya adalah karya hikayat dan bukannya riwayat. Ianya adalah tulisan Shahibul Hikayat dan bukannya Shahibur Riwayat. Hikayat ini bukanlah berasal daripada beliau, tetapi terjemahan dan saduran daripada berbagai karya - karya berbahasa Arab yang tidak jelas pengarang - pengarangnya. Membaca hikayat sebegini adalah sekadar berkisah atau bercerita, mengambil ajaran positif untuk dijadikan teladan dan yang negatif dijadikan sempadan. Kaedah berhikayat seperti ini masih digunakan seperti dalam novel fiksyen sejarah Islam, umpamanya. Sekarang kita mungkin sudah tidak perlu untuk berhikayat sebegini, bahkan tidak selesa dengan pendekatan sedemikian, apatah lagi jika ianya mengatasnamakan manusia teragung, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, di satu sudut kita perlu belajarlah menghargai pendahulu - pendahulu kita, jangan hanya tahu menghukum tetapi tidak tahu menghargai. Kita tidak berhadapan dan mengalami apa yang mereka hadapi dan alami. Masyarakat mereka mungkin tidak sama dengan masyarakat kita. Bersikap adil dan amanahlah sentiasa. Bagi diri faqir yang dhaif, faqir sungguh - sungguh tidak gemar dengan kisah - kisah berhikayat dengan mengataskan nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana khuatir termasuk dalam pendustaan atas nama baginda, jika yang disampaikan itu benar - benar dusta. Faqir juga tidak gemar dengan tulisan - tulisan berbentuk novel fiksyen sejarah Islam kerana ia mengatasnamakan tokoh - tokoh Islam. Faqir khuatir pembacanya tidak berupaya untuk menyaring mana yang fakta dan mana yang sekadar serbuk perasa untuk menyedapkan sahaja, faqir khuatir bercampurbaurnya fakta dan auta. Apa - apa pun semoga Allah sentiasa merahmati kita semua dan menjadikan kita tetap istiqamah atas jalannya orang - orang yang memperolehi kenikmatan yang abadi. Sebagai penutup, faqir terjemah dan nukilkan satu hikayat yang disebut dalam Hikayat Iblis versi Ibnu `Arabi pada halaman 31 dan pungutan Kiyai Agung dalam Ma'dinil Asrar pada halaman 176 sebagai berikut:-  "..... Dan bahawasanya ada bagiku (yakni Iblis) satu anak yang aku namakan dia Kahilan (Si Pencelak) yang kerjanya mencelak mata - mata manusia dalam majlis - majlis ulama dan ketika khatib membaca khutbah Jumaat, sehingga mereka tertidur dari mendengar kalam pengajaran ulama, lalu mereka tidak memperolehi ganjaran pahala ..." Harap - harap jangan ada yang tertidur ketika membaca blog faqir, takut - takut terkena celak si Kahil.....Jangan marah, santai aja, hanya sekadar berhikayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan