Khamis, Ogos 25, 2022

Nur Muhammad Itu Makhluk

Penjaja ilmu hakikat dan makrifat sering kali membungkus ajaran karut - marut dan sesat mereka dengan menggunakan istilah - istilah atau teori yang muluk - muluk. Ada yang berfalsampah dengan konsep yang mirip ajaran sesat trinity, dengan menggoreng penjelasan hakikat Ahad, Ahmad dan Muhammad, sehingga orang awam terpesona dan terpedaya. Didongengkanlah bahawa Ahad menghembuskan rohNya menjadi Ahmad yang akhirnya melahirkan Muhammad dan sebagainya, sehingga mendakwa bahawa roh yang dihembuskan itu bukan makhluk ciptaan Allah. Konon - konon, inilah ilmu tingkat tinggi hakikat Ruhul A'dzam atau Nur Muhammad. Allahu ...Allah, Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya. Setinggi manapun kedudukan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetap sahaja baginda makhluk ciptaan Allah ta`ala. Jelas ketika kita bershalawat kita mempersaksikan bahawa hanya Allah Tuhan Maha Esa yang kita pohonkan shalawat dan salamNya ke atas hamba dan makhlukNya yang teragung, Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ketahuilah bahawa Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam itu adalah makhluk ciptaanNya. Tidak ada ulama Ahlis Sunnah yang menyatakan sebaliknya. Maka sesiapa yang mengajar bahawa Nur Muhammad itu bukan makhluk ciptaan Allah, atau Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau Nur Muhammad itu bersifat dengan Qadim seperti Allah, maka sesungguhnya itu adalah kesesatan yang nyata.

Di sisi lain, ada juga yang cuba menghubungkan pengajian Nur Muhammad sebagai ajaran pokok bagi perbahasan Ilmu Tawhid atau Akidah. Mungkin mereka lupa takrifan Ilmu Tawhid dan mabadinya yang sepuluh. Sesungguhnya perbahasan tentang konsep awwaliyyah Nur Muhammad itu sama kedudukan dengan perbahasan mengenai qalam atau air atau akal sebagai seawal - awal kejadian yang diciptakan Allah. Perkara ini tidak termasuk dalam perbahasan asas dan pokok dalam akidah. Ianya adalah perkara sam`iyyat yang diketahui daripada nas yang datang daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka nas - nas yang datang itu ada yang mutawatir dengan kesan qathie sehingga diangkat menjadi perkara asas akidah, ada yang shahih namun ahad sehingga kesannya bersifat dzanni dan ada pula hanya riwayat yang dhaif, yang tiada sebarang kesan dalam bab akidah maupun ibadah asas, hanya sebagai pedoman dalam bab fadhail, tarhib dan taghrib. Penentuan kekuatan nas - nas ini juga tidak luput dari perbezaan pendapat di kalangan ulama. Maka awwaliyyah Nur Muhammad hanyalah perbahasan furu` (cabang atau ranting) yang tidak lepas daripada ikhtilaf ulama. Ada ulama yang menerimanya dengan anggapan bahawa nas dan istidlalmya kuat, dan ada pula yang menafikannya. Maka jangan jadikan ia sebagai perkara asas, perkara pokok, perkara usul dalam akidah. Oleh itu, seseorang yang tidak mengetahui atau tidak mempercayai Nur Muhammad yakni ruhul a'dzam iaitu roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai makhluk terawal diciptakan Allah, tidaklah dapat dihukumkan sebagai sesat atau kafir kerana ianya bukanlah asas akidah yang perlu diimani. Begitu pula, jika ada yang percaya bahawa makhluk yang paling awal diciptakan Allah adalah makhluk yang disebut sebagai Nur Muhammad, maka kepercayaannya tersebut tidaklah menjadikan dia sesat atau kafir. Sungguh menghairankan juga ada sesetengah golongan yang mengaku Ahlis Sunnah tetapi cuba menjadikan kepercayaan kepada makhluk terawal diciptakan sebagai asas akidah, yakni mereka seolah - olah mewajibkan kita beriman dan percaya bahawa seawal -awal makhluk yang diciptakan adalah air atau qalam atau akal dan seumpamanya. 

Maka faqir ulang apa yang pernah difatwakan oleh pihak Mufti Negeri Sarawak suatu ketika dahulu, zaman mufti almarhum Datuk Haji Mohamad Mortadza Haji Daud, antaranya, menyatakan bahawa: "Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya ditanggapi, diteima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah." Dengan catatan dan penegasan bahawa sesiapa yang percaya, maka hendaklah kepercayaannya kepada konsep tersebut selari dengan pegangan dan penafsiran para ulama yang muktabar, bukannya digoreng dengan pemahaman sendiri yang tersasar. Juga faqir kongsikan kesimpulan yang ditulis oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni hafizahullah dalam risalah beliau Hadis Nur Muhammad SAW: Antara Pro dan Kontra menyatakan, antara lain:- ....Demikian perbincangan mengenai isu Nur Muhammad SAW dan secara ringkasnya, isu ini bukanlah isu pokok dalam akidah Islam. Jika seseorang meninggal dunia tanpa tahu dan maklum mengenainya, ia tidaklah berdosa sama sekali ..... Sebagai kesimpulannya, penulis melihat isu ini tidak sewajarnya sampai ke tahap sesat menyesatkan antara satu sama lain dek kerana menyangkakan konsep Nur Muhammad SAW adalah termasuk dalam permasalahan pokok (usul) akidah. Bahkan kesemua perbahasan tentang apa makhluk pertama yang dijadikan Allah Ta`ala, sama ada qalam atau `arsy atau air atau lauh mahfuz, hakikatnya tidaklah termasuk dalam bab usul akidah. Perbahasannya sepertimana yang telah diungkapkan di atas masih dapat diterima sebagai satu bentuk perselisihan pendapat dalam permasalahan cabang (furu`) akidah sahaja. Meskipun harus juga terjadi salah satu pihak itu benar, manakala pihak yang lain pula tersalah. Hanya ilmunya yang hakiki ada di sisi Allah SWT. Wallahu a'lam.

Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan al-`Alim al-Fadhil Tuan Guru Kemas (KiMas gelaran kebangsawanan Palembang) Muhammad Zain al-Jawi al-Jambi rahimahullah, ulama Melayu Jambi yang wafat tahun 1815 dalam Qurratul `Ain li Fardhil `Ain pada halaman 3 sebagai berikut:- ...Bermula wajib kita i'tiqadkan bahawasanya segala yang lain daripada Allah ta`ala dan sifatNya, daripada tujuh petala langit dan bumi dan `arsy dan kursi dan segala isinya daripada cahaya dan lainnya (dan) jikalau Nur Muhammad sekalipun sekaliannya baharu, dijadikan Allah ta`ala daripada tiada kepada ada.....

Maka pegangilah i'tiqad ini, al-Khaliq hanya Allah, selainnya adalah makhluk. Jangan terpedaya dengan ajaran bahawa roh atau Nur Muhammad itu bukan makhluk, walaupun yang berkata itu seorang daie atau buya atau kiyai atau gus kondang kerana mungkin sahaja itu ketergelinciran lidahnya atau kurang ketelitiannya ketika bercakap. Jangan tersasar wahai sahabat dan jangan terpedaya dengan kesesatan berbajukan hakikat makrifat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan