Khamis, April 13, 2023

Badriyyah & Bid`ah Masjid

Umum mengetahui dan pernah mendengar lantunan Shalawat Badar yang masyhur susunan KH Ali Mansur rahimahullah. Seorang lagi ulama Nusantara yang telah menyusun shalawat dengan tema Ahli Badar adalah KH Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah, ulama kenamaan Cirebon yang wafat tahun 2008. Shalawat tersebut beliau namakan sebagai Shalawat al-Badriyyah. Selain shalawat tersebut beliau turut menulis sebuah kitab menazamkan nama - nama Ahli Badar yang diberi jodol Syarhus Shadri bi Ahli Badri.

Syarhus Shadar
 beliau tulis sekitar tahun 1960an, ketika beliau bermukim di Pesantren Bendo, Pare, Kediri, Jawa Timur, di bawah asuhan KH Khozin yang merupakan bapa saudara kepada Kiyai Ihsan Dahlan Jampes, Kediri, pengarang Sirajuth Thalibin syarah bagi Minhajul Abidin. Nazam beliau ini juga telah diberi taqridz (kata alu - aluan) oleh beberapa ulama besar Jawa Timur ketika itu, seperti KH Jazuli Usman Ploso, KH Abdul Majid Kedunglo, KH Musta`in Romli Peterongan dan KH Mundzir Bakri Mangusari. Selain menjadi pengasuh Pesantren Darul `Ulumisy Syar`iyyah, Bode, Plumbon, Cirebon, KH Mahmud juga banyak menulis, antara karya beliau adalah:-
  1. Mandzumatud Durratis Saniyyah fi Ilmit Tafsir (ilmu tafsir);
  2. Mawahibul Mughits fi musthalah al-hadits (ilmu musthalah hadis);
  3. Syarah Jawharil Maknun ( Bahasa Arab);
  4. al-Musyriq fi ilmil mantiq (ilmu logika);
  5. Ghunyatul Miskin fi Mandzumatis Sittin (ilmu fiqh);
  6. Nukhbatul Banin min Ummil Barahin (ilmu tawhid);
  7. I`anatur Rafiq  fi nadzmi Sullamit Tawfiq (ilmu fikih); 
  8. Bintus Sa`ah fi `Awamil Mi`ah (Bahasa Arab);
  9. Bida`ul Masajid; dan
  10. Ghayatuz Zain (ilmu fiqh).
Beberapa hari yang lalu, tersebar di medsos suatu insiden, di mana seorang kafir telah mendatangi sebuah surau dengan marah - marah kerana pembesar suara yang digunakan untuk memperdengarkan bacaan imam ketika shalat tarawih terlalu bising sehingga menyebabkan dia terganggu. Sebenarnya perkara ini, sedar tak sedar, sering kali dilakukan oleh masjid dan surau kita. Pembesar suara hendaklah digunakan dengan sewajarnya dan tidak disalahgunakan. Namun apa yang kerap berlaku adalah penyalahgunaan pembesar suara sehingga mengakibatkan gangguan kepada pihak lain. Islam tidak melarang penggunaan pembesar suara, apatah lagi untuk urusan seperti mengumandangkan azan. Namun, untuk  memperdengarkan bacaan imam atau bacaan al-Quran atau ceramah atau pengajian, penggunaannya hendaklah mengikut keperluan yang sewajarnya. Janganlah bacaan imam ketika shalat berjemaah dalam shalat jahriyyah pun diperdengarkan full blast dari corong pembesar suara di luar masjid atau surau, lainlah kalau ada makmum yang ikut sama berjemaah di luar masjid yang bersambung dengan shaf yang di dalamnya. Mustahil gamaknya ada orang yang hendak berimamkan imam di dalam masjid dari serambi atau halaman rumahnya dan berapa kerat pula yang loba nak mendengar pengajian di masjid dari bilik tidurnya di rumah? Bertambah parah lagi apabila bacaan imam pun ke laut, dek kerana memang original begitu atau dek kerana sound engineering failed. Maka apalah faedahnya, bahkan ini boleh menimbulkan dampak negatif, tohmah dan fitnah terhadap agama suci kita. Ianya boleh menjadi haram kerana mengganggu pihak lain seperti orang yang sedang shalat di rumahnya, anak - anak kecil yang sedang tidur, murid yang sedang belajar, orang yang sedang ngobrol melayan tetamunya, kafir zimmi yang sedang santai dan lain - lain seumpamanya. Janganlah dijadikan alasan menghidupkan syiar, syiar mestilah dalam kerangka syariat dan bukannya di luar batasan syariat. Maka cukuplah penggunaannya sekadar keperluan para jemaah di dalam masjid atau surau tersebut. Kepada AJK masjid dan surau, sila control volume. 

KH Mahmud rahimahullah menyentuh hal ini dalam karangan beliau, Bida`ul Masajid, menurut beliau hal tersebut adalah bid`ah dhalalah kerana melanggar larangan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam agar tidak meninggikan atau mengeraskan suara dalam masjid seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang kira - kira bermaksud: "Jauhkan masjid - masjidmu dari suara kerasmu" dan kisah Sayyidina `Umar memarahi dua orang penduduk Thaif yang mengeraskan suara mereka dalam Masjid Nabawi sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Antara lain, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- "....Perlu diperhatikan bagi guru ngaji / kiyai / ustadz bahwa pengajian di dalam masjid harus dengan suara yang sederhana / tidak terlalu keras sehingga melebihi pendengaran mukhothob / hadirin. Tetapi cukup sekedar dapat didengar oleh hadirin saja..... [Penulis mendatangkan nas yang faqir terjemahkan secara ringkas sekadarnya sebagai berikut: "Dalam Qurratul `Ain halaman 52 dinyatakan sebagai berikut:  "Makruh mengangkat suara (mengeraskan suara) dalam mengajar ilmu melebihi kadar yang diperlukan untuk pendengaran mukhathab (audience), walaupun di tempat selain masjid (yakni hukumnya sama sahaja bagi masjid atau tempat selainnya) menurut pendapat yang masyhur (qawl masyhur)"]. ....... Mengeraskan suara di dalam masjid, walaupun dengan bacaan zikir atau Qur`an, adalah bid`ah dholalah / perbuatan yang menyimpang dari ajaran agama.... Dari sahabat Watsilah bin Asqo`: Berkata Nabi SAW: Jauhkan masjidmu dari suara kerasmu .............. Apa lagi (lebih - lebih dilarang) mengeraskan suara dengan pakai corong (speaker) yang pasti lebih keras seribu kali, apa lagi setelah azan semakin bertambah dilarang (haram) karena tasywisy / bribin, rongeh yang mengganggu ketenangan umum... Menggunakan pengeras suara / speaker di waktu salat atau khutbah adalah bid`ah dhalalah apabila suara imam atau khatib sendiri sudah bisa sampai / di dengar oleh makmum / hadirin....

Begitulah antara penjelasan seorang ulama kita, Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, Harapnya dalam beribadah, jangan sampai kita mendatangkan gangguan dan kesakitan kepada orang lain. Letakkanlah setiap sesuatu itu pada tempat yang sewajarnya. Faqir teringat sewaktu kecil, faqir pernah mengaji dengan almarhum Maulana Abdul Lathif al-Hafiz dan almarhum Maulana Rahmatullah al-Hafiz, Imam Masjid India. Kelas kanak - kanak mengaji al-Quran setiap hari dibuat di serambi masjid dan malamnya, selepas Maghrib, pengajian kitab yang dihadiri oleh penuntut tua dan muda, dibuat dalam bilik kecil tempat tinggal imam bersebelahan dengan masjid. Maka bersesaklah para penuntut ilmu dalam bilik kecil tersebut. Ketika ditanya kenapa tidak belajar dalam masjid sahaja, maka antara jawapan almarhum Mawlana adalah beliau takut menjadi gangguan kepada orang - orang yang baru singgah untuk menunaikan shalat di masjid tersebut, kerana Masjid India ini letaknya di pasar, di mana ada sahaja orang yang akan singgah untuk menunaikan shalat mereka masing - masing setelah shalat jemaah dilaksanakan. Juga membuat faqir teringat kepada guru faqir, Ustaz Afi Kemboja, yang memperlahankan suaranya ketika mengajar dalam kelas kerana takut mengganggu kelas sebelah. Semoga Allah merahmati guru - guru kita sekaliannya.

Akhirul kalam, kembali kepada awalnya, maka inilah Shalawat Badriyyah karya Syaikh KH Raden Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah. Mudah - mudahan berkat hendaknya dan al-Fatihah untuk penyusunnya, para guru beliau dan guru kita serta sekalian muslimin - muslimat.




Bacaan KH Mahmud bersama jemaah akan Shalawat Badriyyah



Tiada ulasan:

Catat Ulasan