Masih belum telat untuk faqir menulis sedikit sebagai memperingati para pejuang Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum. Para sahabat yang berjuang bersama Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam peperangan Badar al-Kubra menduduki tempat yang istimewa dalam hieraki para sahabat. Bahkan, demikian besar kemuliaan dan penghargaan yang diberikan kepada mereka sehingga ada ulama berpandangan bahawa mereka adalah maksum (yakni terpelihara daripada melakukan dosa), bersandarkan kepada riwayat yang shahih bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda berkenaan Ahli Badar: "Bahawasanya Allah telah berfirman bagi mereka: "Berbuatlah menurut kemahuanmu (yakni berbuatlah sesukamu), maka sesungguhnya telah Aku ampunkan bagi kamu." Namun, ini pendapat atau pandangan yang marjuh, sedangkan yang RAJIH adalah para sahabat Ahli Badar tidak maksum, tetapi ketika mana berlaku atau jatuhnya dosa kesalahan atas mereka, ianya segera disertai dengan keampunan, yakni apabila mereka melakukan dosa, Allah akan mentaufikkan mereka untuk segera bertaubat dan memohon keampunan Allah, lalu Allah mengampunkan mereka. Ini dalam istilah sebahagian ulama disebut sebagai mahfuz (yakni orang yang Allah pelihara daripada berkekalan atas dosanya dengan segera bertaubat dan rujuk kembali kepada Allah.) Hal ini disentuh sedikit oleh Amirul Mukminin fil hadits, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, juz 8.
Kemuliaan para sahabat pejuang Badar ini juga terzahir apabila nama - nama mereka dipercayai, oleh sesetengah khawas dan awam, sebagai mengandungi keberkatan. Dengan menyebut nama - nama mereka atau memperingati mereka akan terwujud rahmat dan berkat bagi sipelaku. Ini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana memang rahmat dan keberkatan itu turun ketika mana para shalihin disebut atau diperingati. Mengenai keberkatan nama - nama Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, ramai ulama yang menyatakan hal ini dengan berbagai testimoni. Imam al-`Allaamah Nuruddin Ali al-Halabi asy-Syafie rahimahullah menulis dalam kitab sirahnya yang masyhur, as-Sirah al-Halabiyyah, juz 2, halaman 194, antaranya sebagai berikut: " Imam ad-Dawaani menyatakan yang beliau telah mendengar daripada para masyaikh hadits (guru - guru hadits) bahawa berdoa ketika menyebut para sahabat Ahli Badar adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemujarrabannya.
Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi rahimahullah dalam syarah beliau bagi Hadis 40 Imam Nawawi yang berjodol al-Jawaahirul Lu`luiyyah pada halaman 188 menyatakan sebagai berikut:- Para ulama telah menyatakan bahawasanya doa ketika menyebut mereka (yakni Ahli Badar) adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemanjurannya. Diceritakan daripada sebahagian ulama yang berkata: "Aku telah menulis nama - nama mereka dan memeliharanya (yakni dengan menjaga tulisannya atau menghafalnya). Aku bertawassul dengan mereka setiap selepas shalat bagi memohon Allah memberikan aku futuh (yakni pembukaan bagi ilmu, ma'rifat dan segala kebaikan). Maka dalam waktu yang singkat sahaja, Allah telah merezekikan aku dengan futuh. Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku dengar melainkan aku dapat menghafalnya; Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku lihat (baca) melainkan aku dapat memahaminya; Tidak aku letakkan tanganku atas kepala orang sakit sambil aku membaca nama - nama mereka dengan niat tulus ikhlas melainkan dia disembuhkan Allah ta`ala atau jika ajalnya sudah hampir diringankan sakaratnya."
Begitulah antara keberkatan dan kemuliaan Ahli Badar yang direkodkan oleh ulama. Maka tidak hairan jika Syaikhul Islam Sayyid Ahmad `Arif Hikmat al-Husaini (w. 1275H) rahimahullah, ulama yang menduduki jawatan Syaikhul Islam, pemilik perpustakaan yang terkenal di Madinah, Maktabah `Arif Hikmat, menulis bait nazam yang kira - kira ertinya: "Sahabat - sahabat Badar meratai akan mereka kegemilangan redha; Nama - nama mereka mengandungi faedah - faedah (yang banyak) seperti titisan - titisan air hujan." Mudah - mudahan kita direzekikan Allah mendapat bahagian daripada keberkatan dan syafaat para sahabat Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, sahabat - sahabat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang memperolehi kedudukan tinggi dan pandangan khusus Allah dan rasulNya.
trima kasih
BalasPadam