Syaikh Ibnu Taimiyyah adalah seorang tokoh yang amat kontroversial. Sebahagian menobatkan beliau sebagai seorang ulama unggul, bahkan yang terunggul, sehingga seolah - olah tidak ada ulama lain lagi untuk dijadikan modal dan dalil dalam mendirikan hujjah (geng yang sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; macam dah tak ada lagi ulama selain Ibnu Taimiyyah). Kelompok ini boleh kita namakan sebagai pentaksub Ibnu Taimiyyah. Berseberangan dengan kelompok ini, ada sekumpulan yang amat membenci Ibnu Taimiyyah sehingga mengkafirkan beliau. Di antara dua kelompok ini, ada golongan yang sederhana, tidak me"maksum"kan Ibnu Taimiyyah dan tidak pula mengkafirkan beliau. Mereka berpendapat bahawa Ibnu Taimiyyah punya pandangan yang benar selari dengan pandangan ulama lain, namun ada juga pendapat beliau yang keliru, tersasar bahkan tersesat dari kebenaran, samada dalam bab - bab akidah, maupun bab - bab fiqh. Faqir lebih cenderung untuk bersederhana, menganggap Ibnu Taimiyyah sebagai salah seorang daripada jutaan ulama umat ini dan bukannya satu - satunya ulama umat Muhammad. Ibnu Taimiyyah ilmunya jauh tinggi berbandingkan kita, namun ramai lagi ulama yang keilmuannya jauh di atas Ibnu Taimiyyah. Dan tidaklah berarti Ibnu Taimiyyah sentiasa atas kebenaran kerana telah dibuktikan oleh para ulama bahawa ada pandangan beliau yang keliru, tersasar dan tersesat, sehingga Imam Ibnu Hajar al-Haitami menghukumnya Ibnu Taimiyyah sebagai seorang yang sesat menyesatkan. Namun perlu diketahui bahawa bukan semua kesesatan itu dihukumkan sebagai kekafiran atau mengeluarkan seseorang daripada menjadi ahli qiblat. Ya Ibnu Taimiyyah keliru, sesat, namun tidak sampai menjadi kafir. Syaikh Dr. Sa`id Abdul Lathif Foudah, seorang ulama semasa, pakar akidah, yang banyak mengkaji dan memberikan kritikan - kritikan pedas tahap gaban terhadap Ibnu Taimiyyah sehingga menghukumkan Ibnu Taimiyyah sesat bukan Ahlus Sunnah, namun beliau tidak pernah mengkafirkan Ibnu Taimiyyah.
Dalam bidang fiqh pula, terutama sekali dalam Mazhab Hanbali yang dianuti Ibnu Taimiyyah, beliau bukanlah tonggak atau rujukan utama mazhab tersebut. Berbeza dengan datuknya, Imam al-`Allaamah Abul Barakat Majduddin Ibnu Taimiyyah. Orang - orang sering keliru sehingga menyangka bahawa tokoh penting Mazhab Hanbali itu Ibnu Taimiyyah yang kontroversial, yang namanya Ahmad bin Abdul Halim dengan gelaran Taqiyuddin. Sedangkan yang sebenarnya tokoh penting Mazhab Hanbali adalah datuk kepada Taqiyyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah yang bernama Abdus Salam bin Abdullah yang digelar Majduddin Ibnu Taimiyyah. Majdudin Ibnu Taimiyyah atau nama sebenarnya adalah Abul Barakat Abdus Salam bin Abdullah Ibnu Taimiyyah adalah ayah kepada Syihabuddin Abdul Halim Ibnu Taimiyyah yang merupakan ayah kepada Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah. Majduddin Ibnu Taimiyyah inilah pengarang kitab al-Muharrar fil Fiqh antara kitab muktabar rujukan penting bagi fiqh Mazhab Hanbali. Di kalangan ulama mutaakhir Mazhab Hanbali, Majduddin Ibnu Taimiyyah dan Mawfiquddin Ibnu Qudamah diberi jolokan sebagai as-Syaikhan, sebagai pengiktirafan kepada keilmuan dan ketokohan beliau berdua dalam Mazhab Hanbali. Diharap setelah ini kita dapat membedakan Ibnu Taimiyyah (Majduddin / datuk) yang merupakan rujukan Mazhab Hanbali dengan Ibnu Taimiyyah (Taqiyuddin / cucu) yang merupakan tokoh kontroversial yang kadang - kadang mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan yang dimuktamadkan dalam fiqh Hanbali.
Berbalik kepada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah, maka jika ada yang menobatkan beliau sebagai Syaikhul Islam, maka ingat bahawa bukan seorang sahaja yang diiktiraf sebagai Syaikhul Islam. Manakala sesiapa yang tidak bersetuju dengan gelar tersebut diberikan kepada Ibnu Taimiyyah, maka mereka juga berhak untuk itu. Apa yang penting jangan terlampau taksub dengan Ibnu Taimiyyah dan jangan pula terlalu membencinya. Apa - apa pun kita semua harus akur kepada fakta bahawa Syaikh Ibnu Taimiyyah hidup di luar era salaf, maka beliau bukanlah ulama era salaf. Jika dikatakan beliau mewarisi ilmu dan manhaj para ulama salaf, maka semua ulama kita yang muktabar dari empat mazhab yang besar adalah pewaris ilmu dan manhaj salaf, bukannya Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya sahaja. Ilmu dan manhaj salaf itu lebih luas berbanding Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya. Maka tidaklah dapat dikatakan bahawa Ibnu Taimiyyah mencerminkan 100% ajaran atau pegangan ulama Salaf kerana ada pandangannya yang berseberangan dengan mereka. Maka Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah adalah seorang yang mempunyai pandangan yang kontroversial, samada dalam bidang aqidah maupun fiqh, untuk menisbahkan semua pandangan beliau sebagai 100% ajaran salaf adalah tidak tepat. Perkara ini telah banyak dikaji dan ditulis oleh para ulama dahulu dan kontemporari seperti karangan - karangan Dr. Syaikh Sa`id Foudah antaranya al-Kasyifush Shaghir, thesis Universiti al-Azhar yang ditulis Syaikh Mansur Muhammad `Awais dengan jodol Ibnu Taimiyyah Laisa Salafiyan, juga kepada penjelasan Syaikhul Azhar, Dr. Ahmad Muhammad Thayyib yang turut merekomendasi thesis tersebut. Maka, tidaklah kita nafikan keilmuan yang ada pada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah dan sumbangan - sumbangan beliau, sebagaimana kita tidak menafikan ketokohan Imam Zamakhsyari dan sumbangan - sumbangan beliau. Semoga Allah tetapkan kita istiqamah atas kebenaran sebagaimana dijalani oleh para ulama khalaf yang mewarisi jalannya para ulama salaf, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
Pandangan Baba Li hafizahullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan