Ada kalangan dalam masyarakat kita yang masih tidak dapat membezakan antara talqin buat si mati dengan tadzkirah bagi yang hidup. Mereka beranggapan tadzkirah yang disampaikan di hadapan kubur itulah talqin. Pendapat ini tidak tepat dan boleh jadi cerminan bahawa yang berpendapat sedemikian, samada memang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu atau tidak begitu selesa dengan amalan talqin mayyit dek kerana terkena jangkitan virus "protestant", yang menyebabkan orang yang terjangkiti suka memprotes amalan - amalan para ulama kita terdahulu. Sememangnya kalimah talqin itu boleh digunakan dengan pengertian yang berbeza mengikut konteks, seperti ketika syaikh tarekat mentalqinkan muridnya, ertinya dia membai`ah atau mengijazahkan zikir tarekat kepada murid tersebut. Begitu juga talqin atas yang muhtadhar, iaitu orang yang sedang nazak menjelang kematiannya, adalah mengajarkan kepadanya kalimah tawhid agar dia mati atas kalimah tersebut. Namun, jika diithlaqkan kalimah talqin, maka yang difahami masyarakat kita adalah talqin mayyit yang ditujukan kepada si mati sebagaimana datang nasnya daripada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka, itulah talqin yang dihukumkan sunat dibacakan selepas pengkebumian dan mempunyai kaifiatnya yang tertentu. Berbeza dengan semata - mata tazkirah yang ditujukan hanya kepada orang yang hadir ketika pengkebumian tersebut. Jadi talqin itu adalah tadzkirah yang dikhususkan atau ditujukan kepada si mati yang akan berhadapan dengan soal Munkar dan Nakir, bukannya tadzkirah yang hanya ditujukan kepada orang - orang yang masih hidup. Lebih parah lagi, ada yang dalam bertazkirah, suka menyebut-nyebut atau memuji - muji si mati dengan sebutan dan pujian yang berlebihan dan melampau. Hati - hati, jangan sampai pujian dan kesaksian yang berlebihan tersebut membawa kepada dusta yang mendatangkan dosa atas kita dan menyakiti si mati.
Di antara turats peninggalan Syaikh Kholil Bangkalan rahimahullah adalah satu risalah berjodol Isti'daadul Maut berhubung kematian dan pengurusan jenazah. Maka pada halaman 30 beliau berbicara mengenai talqin sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- ...Mengikut uruf, talqin ditakrif sebagai mengajar si mati akan jawapan bagi soalan Munkar dan Nakir. Rukun talqin itu ada tiga (3):- (i) mulaqqin ( si pentalqin); (ii) mulaqqan (si mati yang ditalqin); dan (iii) mulaqqan bihi (ucapan talqin yang mengajari si mati). Sewajarnya si pentalqin mengetahui apa yang dia ucapkan (sebagaimana dalam shighah talqin yang dibaca), jika tidak, maka ianya seperti suara loceng, namun tidaklah mengapa bagi si mati akan yang sedemikian itu (yakni si mati akan tetap memperolehi manfaat talqin tersebut walaupun si pentalqin tidak mengetahui apa yang dia ucapkan). Talqin itu hukumnya sunnat dan bukannya wajib kerana firman Allah ta`ala:
Maka jelas bahawa jika disebut sebagai talqin, maka yang difahami pada istilah dan uruf adalah "mengajar orang mati yang baru dikubur akan jawapan bagi soal kubur". Oleh itu, ceramah, tadzkirah, kuliah, puisi atau seumpamanya, yang dibaca ketika itu bukanlah talqin mayyit yang dihukumkan sunat dalam Mazhab Syafie. Selanjutnya, sebagaimana ulama lain, Syaikhuna Kholil turut menjadikan, antara dalil bagi amalan talqinul mayyit, ayat 55 surah adz-Dzaariyaat tersebut yang menyatakan bahawa sesuatu tadzkirah / peringatan itu boleh mendatangkan faedah atau bermanfaat kepada orang - orang yang beriman. Kalimah "mukminun (orang - orang yang beriman)" dalam ayat tersebut adalah merata dan umum, meliputi semua orang - orang yang beriman, samada yang masih hidup maupun yang sudah mati (namun hidup di alam barzakh). Berpandukan kepada ayat tadi, mudah - mudahan talqin yang sifatnya tadzkirah khusus, bertujuan untuk memberi peringatan kepada saudara seiman kita yang di dalam kubur, akan bermanfaat baginya apatah lagi ketika menghadapi ujian pertama dan yang paling getir di alam kubur atau alam barzakh yang baru dihuninya. Maka, teruskanlah amalan bertalqin, mentalqin dan bersedialah untuk ditalqin.
Penjelasan Ustaz Abdul Raof al-Bahanji