Isnin, Disember 23, 2013

Menarik Makmum

Sholat jemaah dengan berdiri sendirian anpa sebab dihukumkan  makruh dalam mazhab kita. Oleh itu bagi seseorang terlewat dan mendapati saf di hadapannya telah penuh, SUNNAT baginya untuk menarik atau menggamit seorang makmum saf hadapan sebagai isyarat agar si makmum tadi berundur ke belakang untuk bersama dengannya dalam satu saf yang baru di belakang saf yang pertama tadi. Begitulah juga jika hanya imam dan seorang makmun sahaja yang sholat bersebelahan, walaupun ketika itu ada beberapa cara untuk menjadikan makmum - makmum tersebut berada dalam saf yang satu di belakang imamnya.

Jika seseorang hendak menarik seorang makmum yang di hadapan agar berundur ke belakang untuk bersama dengannya di saf belakang, dia perlulah mengikut kaedah dan peraturan yang telah digariskan oleh para fuqaha kita. Pernah kita lihat, seseorang terus menarik atau menggamit makmum yang di hadapannya supaya berundur sedangkan dia belum lagi memulakan sholatnya. Menurut sebahagian ulama seperti Imam Ibnu Hajar rahimahullah, perbuatan ini bukan sahaja satu kesalahan tetapi dihukumkan haram dan berdosa kerana mengganggu orang yang sedang sholat tanpa keperluan dan mengeluarkannya dari saf kepada bukan saf (yakni saf yang di belakang belum lagi wujud kerana si penggamit belum lagi memulakan sholatnya). Namun sebahagian ulama, antaranya Syaikh Ramli rahimahullah, memuktamadkan pendapat bahawa perbuatan menarik atau menggamit sebelum bertakbiratul ihram hanya sebagai makruh. Dalam carian di alam maya, ese terjumpa lakaran yang menunjukkan bahawa si penggamit menggamit dahulu sebelum bertakbiratul ihram. Ini adalah lakaran yang tidaklah menepati kaedah yang betul dan benar menurut para ulama kita.

Ada 5 syarat yang perlu kita patuhi apabila kita hendak menarik atau menggamit atau menyentuh seseorang yang sedang bersembahyang di saf hadapan supaya undur untuk bersama kita di saf belakang. 5 syarat tersebut adalah sebagaimana dinyatakan bait syair berikut:-

Sunnat menggamit orang yang merdeka dari saf hadapan yang berbilang makmumnya; Yang pada pandangannya gamitan tersebut akan dituruti dan dilakukan saat qiyam setelah takbiratul ihram dirinya.

Maka syarat - syarat bagi menggamit itu adalah sebagai berikut:-
  1. hendaklah orang yang digamit itu orang yang merdeka (yakni bukan hamba orang);
  2. hendaklah saf orang yang digamit mengandungi lebih daripada 2 orang makmum.
  3. hendaklah ada sangkaan  bahawa orang yang digamit akan berundur setelah digamit;
  4. hendaklah gamitan itu dilakukan ketika berdiri (qiyam);
  5. hendaklah gamitan dilakukan setelah penggamit bertakbiratul ihram.
Oleh itu, janganlah kita menyentuh atau menarik atau menggamit makmum yang di hadapan kita melainkan dengan mengikut syarat - syarat yang tersebut di atas. Mudah-mudahan makin kemas dan halus amal ibadah kita.

Rabu, November 06, 2013

Doa Awal & Akhir Tahun

Alhamdulillah, berkesempatan lagi kita untuk bertemu dengan tahun baru hijrah 1435H. Telah menjadi amalan dalam masyarakat kita untuk menyambut pertukaran tahun hijrah ini dengan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun yang masyhur. Walaupun telah masyhur dan sebati dalam masyarakat, masih lagi kedengaran puak-puak yang tidak berpuashati dengan amalan ini dan membid`ahkannya. Rasanya kalaulah nak membid`ahkan segala yang tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW, maka penanggalan tahun hijrah pun bukan Junjungan Nabi SAW yang menetapkannya, ianya adalah ketetapan Sayyidina 'Umar RA. Takkan kita nak bid`ahkan Sayyidina 'Umar RA.

Berbalik kepada doa - doa tersebut, maka jikapun dikatakan bahawa doa-doa tersebut bukanlah doa yang ma'tsur daripada Junjungan Nabi SAW. Namun di mana pula tegahan daripada baginda SAW untuk kita memanjatkan doa kita sendiri ? Adakah haram berdoa dengan doa-doa yang tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW ? Sesungguhnya Doa Awal dan Akhir Tahun ini telah disebut oleh para ulama kita terdahulu dan mereka menganjurkan kita untuk mengamalkannya. Di antara ulama Melayu kita yang menyarankannya adalah al-'Alim al-'Allaamah az-Zaki asy-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani rahimahullah dalam "Badaa-i`uz Zuhur", al-Khatib al-Baligh asy-Syaikh `Abdul Hamid bin Muhammad `Ali bin `Abdul Qadir Qudus al-Makki asy-Syafie rahimahullah dalam "Kanzun Najaah was Surur" dan al-Mufti asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaluddin al-Linggi al-Malayuwi rahimahullah dalam "Tuhfatul Awthan wal Ikhwaan". Nampaknya para ulama kita terdahulu tiada masalah dengan amalan doa - doa tersebut. Namun jika ada ustaz-ustaz sekarang yang bermasalah dengannya, maka idaklah dapat den nak nolongnya. Terpulanglah kepada ekau - ekau semua samada nak beramal atau tidak. Jangan ekau sosatkan orang lain udahle jang. Selamat Tahun Baru Hijrah.

Khamis, Oktober 24, 2013

Menyambut Mawlid SAW - Syaikh Ibnu `Ashur

"Menjelang kurun yang ke-9H, umat Islam berada dalam keadaan sebahagian mengharuskan sambutan mawlid, manakala sebahagian lagi menegahnya. Imam as-Sayuthi, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalaani dan Imam Ibnu Hajar al-Haitami memandangnya sebagai sesuatu yang baik. Namun mereka juga mengingkari perkara-perkara bid`ah yang menempel dalam sambutan mawlid tersebut. Pandangan mereka ini disandarkan kepada firman Allah SWT yang mafhumnya "Ingatkanlah mereka berkenaan dengan hari-hari Allah." Imam an-Nasai, `Abdullah bin Ahmad dalam "Zawaaidul Musnad" dan Imam al-Baihaqi dalam "Syu`abil Iman" meriwayatkan daripada Sayyidina `Ubay bin Ka`ab daripada Junjungan Nabi SAW bahawa baginda menafsirkan "hari-hari" tersebut dengan nikmat-nikmat dan kurniaan Allah. Maka, kelahiran Junjungan Nabi SAW adalah nikmat yang amat besar." - [Syaikh Thahir ibn `Ashur (1879M - 1973M) rahimahullah, Syaikhul Islam, pengarang tafsir "at-Tahrir wa at-Tanwir" dan ulama besar Tunisia].

Selasa, Oktober 22, 2013

Nur Muhammad - Syaikh Nur hafizahullah

Telah kerap dinyatakan bahawa isu "Nur Muhammad" sebagai seawal-awal makhluk yang diciptakan Allah adalah termasuk dalam perkara khilafiyyah, di mana para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah mempunyai pandangan - pandangan yang berbeza mengenainya. Ada yang menolaknya, namun ramai pula yang menerimanya dengan pemahaman yang shahih tanpa sebarang percanggahan dengan i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Oleh itu, pi mai pi mai, itulah bahasannya, ianya perkara khilaf. Maka hendaklah kita saling hormat menghormati perbezaan pendapat para ulama tersebut, baik yang menerima ataupun yang menafikannya. 

Dalam hal kesihatan diri, biasanya untuk mengetahui statusnya kita akan pergi mendapatkan pakar kesihatan yang berwibawa. Kita tidak pergi ke pasar malam dan tanya kat nyonya yang jual sayur tentang masalah kesihatan kita. Maka begitulah juga dengan masalah agama yang bersangkutan dengan ayat al-Quran, hadits, pegangan, hukum-hakam dan sebagainya, kita hendaklah merujuk kepada para ahli agama yang mahir dalam bidangnya. Oleh itu, jka ada masalah tentang hadits, janganlah ditanyakan kepada ahli psikologi, apatah lagi dengan "budak" psikologi. Dan jika dalam sesuatu masalah itu para ulama yang mahir berbeza pendapat, maka kita berlapang dadalah dengan perbezaan pendapat tersebut. Sesiapa yang nak ikut Syaikh Yusuf al-Qardhawi hafizahullah yang menafikan "Nur Muhammad" maka itu hak dia, namun perlulah diketahui bahawa ulama itu bukan hanya Syaikh Yusuf al-Qardhawi sahaja.

Oleh itu jangan bersikap keras menentang pendapat yang tidak sealiran dengan pegangan kita, apatah lagi jika buah butir sanggahan kita tadi hanyalah bersandarkan kepada pendapat mereka yang bukan ahli dalam bidangnya. Sesiapa yang tiidak mensabitkan "Nur Muhammad", janganlah laser sangat menghentam pihak yang mengakuinya kewujudannya. Ingat yang kamu hentam tu bukan seorang dua, tetapi ramai dan terdiri daripada para ulama yang muktabar zaman berzaman. Sanggupkah kamu hendak menyesatkan mereka ? Kalau sanggup maka pasti ada yang ngak beres dalam dirimu !!!!! Moga Allah memberikan kamu hidayah.

Tuan Syaikh Nuruddin al-Banjari hafizahullah, seorang ulama yang terkenal, dalam karya beliau "al-Mujarrabat al-Makkiyyah" pada halaman 106 menyatakan, antara lain, bahawa pertautan atau hubungan Junjungan Rasulullah SAW dengan segala kewujudan ini tidak pernah terputus walaupun sedetik. Ini adalah kerana Junjungan Nabi SAW adalah asal bagi segala yang makhluk yang wujud, baginda adalah quthub segala makhluk yang wujud (yakni bagindalah Sangga Buana / Pasak Alam bagi segala kewujudan ciptaan Allah SWT), baginda juga menjadi sebab bagi segala ciptaan yang wujud. Kerana baginda adalah seawal-awal makhluk yang diciptakan Allah dan daripada nur bagindalah diciptakan segala langit, bumi, `arasy, kursiy dan sekalian makhluk. Maka bagaimanakah boleh hilang hubungan baginda dengan segala kejadian walau sesaat?"

Makanya takkan kita ni bodoh sangat tak reti-reti bahawa persoalan "Nur Muhammad" dengan penafsiran yang selari dengan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah persoalan khilafiyyah. Jika kamu kata Syaikh Yusuf al-Qardhawi atau Juanda Jaya kata "Nur Muhammad" ni tak dak atau bertentangan dengan logika. Maka ketahuilah bahawa ilmu itu tidak hanya dimuktamadkan atas mereka berdua sahaja, kerana di sana ramai lagi ulama yang tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Oleh itu terpulanglah kepada kita untuk bersetuju dengan mana-mana pihak, kerana ianya masih dalam ruang lingkup khilafiyyah. Kenapa masih perlu kita nak memperlekehkan pandangan jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang menerima dengan baik akan konsep Nur Muhammad sebagai seawal-awal makhluk ?

Rabu, September 04, 2013

Kehormatan Kota Makkah

Musim haji tiba lagi. Jutaan umat akan berhimpun di Kota Makkah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Hadiah istimewa Allah SWT sediakan buat para tetamuNya, di mana segala amal ibadah yang dilaksanakan dalam kawasan Tanah Haram Makkah diberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Imam al-Hakim, Imam al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas RA berkata:- "Aku mendengar Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan (yang dilakukan) dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanyai oleh sahabat: " Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaannya kebajikan Tanah Haram) ?" Baginda menjawabnya dengan bersabda: " Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan." Itulah antara kemuliaan yang diberikan Allah kepada Kota Makkah al-Mukarramah. Maka sewajarnya kesucian dan kemuliaan Kota Makkah ini hendaklah sentiasa kita pelihara dengan menjauhkannya daripada segala perlakuan yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Melakukan perbuatan - perbuatan tersebut, bererti kita mencarik kesucian Tanah Haram yang mulia ini. Ingatlah bahawa dosa maksiat yang dilakukan dalam kawasan Tanah Haram juga akan diberi balasan yang berlipat kali ganda. Oleh itu, janganlah dicemari kota suci ini dengan perbuatan - perbuatan maksiat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Saking suci dan mulianya Tanah Haram Makkah sehingga dinyatakan bahawa seseorang yang hanya sekadar berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat atau kemungkaran dalam Kota Suci ini pun dicatat sebagai melakukan satu dosa yang akan diazab oleh Allah SWT dengan azab yang pedih. Ini amat berbeza dengan tempat-tempat lain atas muka bumi ini. Di lain - lain tempat, sekadar berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat belumlah dikira sebagai melakukan maksiat tersebut, hanya ketika ianya dilakukan maka barulah dicatat dosanya. Menjaga kesucian Kota Makkah daripada dicemari niat jahat atau cita-cita bermaksiat dalamnya juga tidak berhenti kepada orang yang berada kota tersebut sahaja. Bahkan seseorang yang berada di tempat lain dan dia berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan dosa jika berada di Kota Makkah al-Mukarramah, pun akan dicatat baginya dosa yang diniatkannya itu. Inilah sebahagian keistimewaan Kota Makkah sebagaimana dinyatakan oleh para ulama dan mufassir antaranya oleh Imam Abu Muhammad `Abdul Rahman bin Abi Hatim Muhammad bin Idris al-Razi al-Hanzali asy-Syafie (240H - 327H) yang terkenal dengan gelaran Imam Ibnu Abi Hatim rahimahullah dalam tafsirnya bagi ayat yang ke-25 surah al-Hajj, yang berbunyi:-

 " Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ (yakni Kota Makkah) sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim (yakni dengan sengaja dan kesungguhan), Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya."
Allahu ... Allah, hanya dengan berazam sahaja sudah diazab dengan azab yang pedih, maka apatah lagi jika azam bermaksiat itu dilaksanakan, entah berapa besar dosanya. Imam Ahmad RA dalam musnadnya meriwayatkan dengan sanad hasan (baik) bahawa Sayyidina Ibnu Mas`ud RA ketika membicarakan ayat di atas menyatakan bahawa jika seseorang bercita-cita untuk melakukan dosa di Kota Makkah sedangkan ketika itu dia berada di Aden Abyan (tempat di Yaman pada hujung Jazirah Arab untuk menunjukkan jauhnya) nescaya Allah `azza wa jalla akan membalasnya dengan azab yang pedih. Allahu .... Allah, hanya dengan cita-cita atau kehendak atau azam sahaja seseorang akan diberikan azab yang pedih, begitulah ghirah atau "cemburu" Allah terhadap sesiapa yang hendak merobek kesucian, kemuliaan dan kehormatan Kota Makkah al-Mukarramah.

Oleh itu, jagalah kemuliaan dan kesucian Kota Makkah tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW dan tempat berdirinya Baitullah yang menjadi qiblat kita. Janganlah dicemari Kota Makkah dengan perlakuan dosa dan maksiat bahkan jangan ada terlintas dalam hati sanubari kita untuk bermaksiat padanya. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal para hujjaj dan zuwwar sekaliannya dan memberikan kita rezeki untuk hadir bersama ketika yang dikehendakiNya.

Isnin, Ogos 26, 2013

Dialog "Bohong" Sunnah - Syiah

"Dialog Sunnah Syi`ah" adalah jodol bagi terjemahan buku "al-Muraja`at" yang ditulis oleh tokoh ajaran sesat Syiah Imamiyyah Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi. Pengarang buku tersebut mendakwa bahawa kandungan buku tersebut adalah hasil diskusinya melalui surat menyurat dengan Syaikh Salim al-Bisyri rahimahullah pemangku Syaikhul Azhar ketika itu. Namun setelah diselidiki ternyata bahawa isi kandungan buku tersebut adalah dusta semata-mata. Tiada sebarang bukti pun yang menunjukkan bahawa dialog atau diskusi atau perutusan surat-menyurat pernah berlaku di antara Abdul Husain al-Musawi al-Kazzab dengan Syaikh Salim al-Bisyri. Keluarga Syaikh Salim al-Bisyri turut menafikan berlakunya dialog atau diskusi atau perutusan surat menyurat tersebut, bahkan anakanda beliau menyatakan bahawa almarhum ayahandanya tersebut tidak pernah mengenali manusia yang bernama `Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi tersebut. 

Jika kita membaca "Dialog" khayalan tersebut, maka watak "Syaikh Salim" digambarkan sebagai seorang penuntut yang bertanya kepada gurunya, watak hero yang dipegang oleh `Abdul Husain al-Musawi al-Kazzab, dan kemudian hanya mendengar jawapan sang guru tentang kebenaran ajaran Syiah. Sebenarnya selain untuk menegakkan benang basah ajaran sesat pegangan mereka, "dialog" tersebut juga bertindak untuk memperbodoh-bodohkan para ulama Azhar. Kita tidak perlu berilmu yang tinggi, untuk mencium bau busuk pendustaan dalam karya tersebut.... Allahu ... Allah, masakan ulama sebesar Syaikh Salim dapat diperbodoh-bodohkan oleh Abdul Husain al-Musawi untuk menerima bulat-bulat hujah-hujah yang dia kemukakan itu. Jika dikatakan bahawa dialog tersebut benar, maka kenapa Syaikh Salim al-Bisyri tidak menjadi penganut Syiah setelah berpuas hati dengan usul dan furuk Syiah sebagaimana dijelaskan oleh al-Musawi ? Makanya, buku tersebut hanya dicetak dan diedarkan kira-kira 25 tahun setelah wafatnya Syaikh Salim al-Bisyri rahimahullah. Jika saja diskusi sebagaimana dakwaan buku tersebut benar-benar terjadi, kenapa Abdul Husain al-Musawi tidak mengedarkannya sewaktu hayat Syaikh Salim ? Kenapa harus menunggu setelah Syaikh Salim tiada, baru Abdul Husain al-Musawi berani berkokok. Para ulama yang meneliti dan mengkaji buku tersebut telah membuktikan bahawa dakwaan "dialog" tersebut hanyalah pembohongan atas nama Syaikh Salim al-Bisyri. Di antara yang menulis mengenai pembohongan ini adalah Prof. Dr. Ali Ahmad al-Salus dengan buku beliau yang berjodol "al-Muraja`at al-Muftarah `ala Syaikh al-Azhar al-Bisyri: al-Firyah al-Kubra" - Diskusi Dusta atas nama Syaikhul Azhar al-Bisyri: Satu Pembohongan Besar; Syaikh `Abdullah al-Ghamidi menulis "al-Siyaath al-Laadzi`aat fi Kasyfi Kidzb wa Tadlis Shohib al-Muraja`at" - Cemeti yang memedihkan dalam menyingkap pendustaan dan pembohongan penulis buku al-Muraja`at; dan Syaikh Mahmud az-Za'bi dengan karya beliau "al-Bayyinaat fi al-radd `ala Abatil al-Muraja`at" - Bukti - bukti bagi menolak kebatilan buku al-Muraja`at.

Amalan berbohong dan berdusta telah menjadi darah daging dan amalan biasa puak Syiah. Imam asy-Syafi`i RA pernah menyatakan bahawa: "Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong daripada golongan Rafidhah (Syiah yang membenci para sahabat terutama sekali Sayyidina Abu Bakar RA dan Sayyidina `Umar RA, maka Syiah Imamiyyah pun termasuk dalam golongan Rafidhah, bahkan merekalah Rafidhah)". Jangankan berdusta atas nama Syaikh Salim al-Bisyri, berdusta atas nama para Imam yang kononnya mereka sanjungi pun Syiah sanggup. Oleh itu, berhati-hatilah dengan segala khabar dan penjelasan yang disampaikan oleh puak Syiah. Ketahuilah wahai saudara sekalian, ajaran Syiah itu benar-benar sesat lagi menyesatkan bahkan menjurus kepada kekafiran. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan anak keturunan kita serta segala saudara kita, sekalian kaum Muslimin, daripada kesesatan ini.

Ahad, Ogos 18, 2013

Bershalawatlah

"Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah s.a.w. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)-Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan s.a.w. seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah r.a., Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah s.a.w." 
- kalam Syaikh Ibnu `Athoillah as-Sakandari rahimullah

Rabu, Ogos 14, 2013

Sampul Syiah ???

Sekadar perkongsian. Zawjah ese pergi ke sebuah pasaraya yang terkemuka dan membeli sampul-sampul duit raya. Apa yang memeranjatkan ese adalah apabila dalam sampul-sampul tersebut ada dua set sampul, satu dengan gambar masjid Omar Ali Saifuddin dan satu lagi Ketupat tetapi tulisan khat pada sampul - sampul tersebut bukannya "Selamat Hari Raya" atau "Eid Mubarak" atau lain-lain ucapan hari raya. Tulisan khat yang tertulis kat sampul - sampul tersebut adalah "Fathimah az-Zahra` `alaihas salam." Kenapa sampul duit raya ditulis dengan nama Sayyidah Fathimah ? Adakah ini satu kesilapan atas kejahilan si pencetak sampul tersebut yang tidak reti membezakan antara "`Aidil Fitri" dengan "Fathimah az-Zahra`", atau ianya salah satu cara penyusupan puak Syiah laknatullah ? Apa-apa pun, yang pastinya kita kena sentiasa peka dengan berbagai kaedah dan helah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memasukkan jarum - jarum dakyah mereka.

Selasa, Ogos 13, 2013

Syiah Laknatullah

Antara kesesatan firqah Syiah Imamiyyah adalah kebencian kepada para sahabat Junjungan Nabi SAW. Bahkan isteri - isteri Junjungan Nabi SAW terutama sekali Sayyidatina `Aisyah dan Sayyidatina Hafsah radhiyaAllahu `anhuma pun tidak terlepas daripada kebencian mereka. Kebencian mereka kepada insan - insan pilihan Allah SWT untuk menjadi sahabat, pendamping dan isteri Kekasihnya Junjungan Nabi Muhammad SAW sampai ke tahap puak sesat ini sanggup mengkafirkan dan melaknat mereka. Sesungguhnya puak Syiah dalam hal ini lebih teruk daripada Yahudi dan Nasrani. Jika kita bertanya kepada Yahudi tentang para sahabat Nabi Musa AS pasti mereka akan berkata: ": Merekalah orang - orang pilihan yang kami kasihi." Jika kita bertanya kepada Nasrani tentang hawariyyun para sahabat Nabi `Isa AS, pasti mereka akan menyatakan: "Merekalah junjungan kami dan umat pilihan kami". Namun jika kita tanya Syiah laknatullah tentang para sahabat Junjungan Nabi Muhammad SAW, nescaya mereka akan menjawab: "Merekalah seburuk-buruk umat dan para penzalim." Tergamak puak Syiah laknat ini untuk mencela orang-orang yang mendampingi Junjungan Nabi SAW dan berjuang bersama baginda. Imam al-Baihaqi rahimahullah meriwayatkan dalam Sunannya daripada Sayyidina Anas bin Malik RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-

"Sesungguhnya Allah telah memilihku dan telah memilih bagiku sahabat-sahabatku dan kerabat persemendaanku. Dan akan datang satu kaum yang mencaci maki mereka dan membenci mereka. Maka janganlah kamu duduk bersama mereka, jangan kamu makan minum bersama mereka dan jangan kamu berkahwin dengan mereka."
Syaikh Ahmad Faruq as-Sirhindi rahimahullah yang terkenal sebagai Imam Rabbani dan Mujaddid Alf ats-Tsani dalam risalah beliau yang dihimpunkan dengan jodol " Maktubat Imam Rabbani", pada halaman 31 menyatakan:- "Tidak syak lagi bahawa Syaikhain (Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina `Umar) adalah sahabat yang paling utama daripada kalangan para sahabat. Jadi mengkafirkan mereka atau merendah-rendahkan mereka sahaja boleh membawa kepada kekufuran, kezindiqan dan kesesatan." 

Syiah laknatullah juga adalah pembohong besar, mereka menggunakan nama para imam Ahlul Bait yang mulia dalam pembohongan mereka. Sesungguhnya para imam tersebut adalah berlepas diri daripada mereka. Imam Ja'far ash-Shadiq RA yang didakwa oleh Syiah sebagai salah seorang imam mereka bukanlah seorang Syiah dan bukanlah ajaran Imam Ja'far RA untuk membenci para sahabat dan isteri Junjungan Nabi SAW. Diriwayatkan bahawa Imam Ja'far RA pernah berkata kepada orang yang mendakwa dirinya sebagai pengikut beliau, sebagai berikut: "Wahai Jabir, telah sampai kepadaku bahawa segolongan mereka yang mendakwa kasihkan kami di Iraq mencaci Abu Bakar RA dan `Umar RA. Mereka mendakwa aku yang menyuruhnya, sampaikanlah kepada mereka bahawa aku dengan nama Allah melepaskan diriku daripada mereka. Demi Allah, sekiranya aku mempunyai kuasa, pasti aku bertaqarrub kepada Allah dengan darah mereka."

Bagaimana mungkin Imam Ja'far membenci Sayyidina Abu Bakar RA, sedangkan darah Sayyidina Abu Bakar RA turut mengalir dalam diri beliau. Imam Ja'far mengasihi segala sahabat Junjungan Nabi SAW dan para isteri baginda. Jika Syiah laknatullah melaknat Sayyidah `Aisyah radhiyaAllahu `anha, maka ketahuilah bahawasanya Imam Ja'far amat mengasihi Sayyidah `Aisyah radhiyaAllahu `anha bahkan puterinya kesayangannya beliau namakan `Aisyah. Sayyidah `Aisyah binti Imam Ja'far ash-Shadiq radhiyaAllahu `anha, saudaranya Imam Musa al-Kazim RA, berhijrah ke Mesir dan wafat di sana. Hingga kini masjid dan makam beliau menjadi tumpuan ziarah kaum muslimin. Oleh itu, wahai saudara-saudara kami pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah, marilah kita sama-sama mempertahankan akidah kita daripada kesesatan Syiah laknatullah.

Khamis, Julai 18, 2013

Baca Yaasin Di Kuburan

Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung - hujungnya dan pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah - tanah perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah  Muhammad bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya beliau "al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah" menyatakan, antara lain sebagai berikut:-


Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam "Syarah al-Muhadzdzab" bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka. Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.
Tokoh yang menjadi panutan puak Wahabi, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya "ar-Ruh" pada halaman 18 sebagai berikut:-
Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang berkata: "Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr bin al-Tammar berkata: "Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: "Ya Allah, seandainya Engkau memberi pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni perkuburan ini". Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita kepada si lelaki tadi seraya berkata: "Adakah engkau si fulan anak si fulanah?" Dia menjawabnya: "Ya." Wanita tersebut berkata lagi: " Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: "Kenapa engkau duduk di sini?" Dia menjawab: "Sesungguhnya si fulan anak si fulanah telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya)."
Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah. Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.

Isnin, Julai 01, 2013

Faruddat ila khamsin `amaliyyah

Mawlid al-Barzanji adalah karya mawlid yang paling tersohor dan merata pembacaannya. Uslub dan gaya bahasanya yang indah menggetarkan setiap hati para pencinta Rasul SAW. Berbagai kisah sirah Junjungan Nabi SAW dipaparkan dalam karya mawlid tersebut, termasuklah kisah mi'raj Junjungan Nabi SAW dan pensyariatan sholat fardhu yang lima. Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW ketika menerima perintah sholat fardhu yang lima pada mulanya baginda dan umatnya diperintahkan untuk menunaikan 50 waktu sholat fardhu, namun kemudian dengan rahmat dan kemurahan Allah SWT dikurangkan kepada 5 waktu sahaja. Imam al-Barzanji rahimahullah mengabadikan kisah ini pada fasal yang ke-14 mawlidnya yang masyhur dengan kata-kata yang indah seperti berikut:-

Dan Allah fardhukan di atas Nabi dan di atas umatnya 50 sembahyang pada sehari semalam. Kemudian melimpahlah awan (hujan) kelimpahan Tuhan, maka dibalikkan (dikurangkan) bilangan sembahyang 50 itu kepada sembahyang 5 waktu yang terbangsakan kepada amalan. Akan tetapi adalah bagi 5 sembahyang ini pahala 50 sembahyang itu juga, seperti yang Allah kehendaki pada azali dan dihukumkanNya (ditetapkanNya). Kemudian kembalilah Nabi pada malam itu juga, maka percayakan dia (membenarkan dia) oleh Abu Bakar ash-Shiddiq akan perjalanannya dan oleh tiap-tiap yang empunya akal dan fikiran. (Diperselidikkan) dan didustakan dia oleh kafir Quraisy dan murtadlah siapa yang disesatkan oleh syaitan dan disesatkannya (digodanya dengan tipu dayanya hingga tercampur di dalam kejahilan dan neraka Jahannam). Semerbakkanlah kiranya ya Allah kuburnya yang mulia * Dengan bau-bauan yang amat harum, ialah rahmat dan kesejahteraan.[Terjemahan dipetik dari "Maulud Barzanji Melayu].
Berhubung kata - kata Imam al-Barzanji rahimahullah - faruddat ila khamsin `amaliyyah wa laha ajrul khamsin - terdapat bisyarah yang diperolehi oleh seorang wali dalam mimpinya bertemu dengan Junjungan Nabi SAW sebagaimana dikisahkan dalam "al-Fawaaid ad-Durriyyah min al-Anfaas al-Haddaadiyyah" yang merupakan himpunan kisah, kalam dan hikmah bagi al-Habib al-'Arif al-Kamil al-Jawwad al-Imam `Alawi bin Muhammad bin Thahir bin `Umar bin Abu Bakar bin `Ali bin `Alawi bin Quthub al-Irsyad `Abduulah al-Haddad yang dihimpun oleh al-Ustaz al-Fadhil al-`Aziz as-Sayyid Muhammad bin Saqqaf bin Zain al-Hadi rahimahumullah. Kisah tersebut dinyatakan pada halaman 50 - 51 sebagai berikut;-
Habib `Abdul Qadir bin `Alwi as-Saqqaf Tuban rahimahullah telah mimpi melihat Junjungan Nabi SAW dan duduk di sisi baginda, Habib Hasan bin Sholeh al-Bahr rahimahullah. Junjungan Nabi SAW bersabda kepada Habib `Abdul Qadir: "Adakah engkau menghafal doa al-Khidir dan Junjungan Nabi SAW membacakan doa tersebut, iaitu doa yang disebut oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitab Ihya` dan Habib  `Abdullah al-Haddad dalam "al-Wirdul Kabir". Junjungan Nabi SAW menyambung lagi sabdaan baginda: "Aku ijazahkan engkau untuk membacakannya pada setiap hari 50 kali." Habib `Abdul Qadir berkata: " Aku memohon kepadamu keringanan, wahai RasulAllah." Habib Hasan berhasrat untuk menyarankan agar dikurangi bacaan doa tersebut kepada 5 kali, namun saranan tersebut dinyatakannya dengan perlahan sahaja. Lalu Junjungan Nabi SAW bersabda dengan menggunakan lafaz al-Barzanji sebagai berikut: " faruddat ila khamsin `amalyyah wa laha ajrul khamsin - dikembalikan / dibalikkan / diringankan bacaan doa tersebut daripada 50 kali kepada 5 kali sahaja, namun ganjarannya tetap seumpama membacanya 50 kali."

Habib `Abdul Qadir as-Saqqaf Tuban rahimahullah adalah seorang wali Allah yang dilahirkan di Seiwun tahun 1241 dan wafat pada tanggal 13 Rabi`ul Awwal 1331H. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmat sentiasa ke atas beliau dan leluhurnya juga ke atas sekalian muslimin, aamiin.... al-Fatihah.

Khamis, Jun 20, 2013

Santai


Selasa, Jun 18, 2013

Kisah Tasmi'

Rasanya kita semua sudah sedia maklum akan kisah Sayyidina `Umar RA dengan asal muasal pensyariatan azan bagi sholat fardhu yang lima. Kali ini dinukilkan pula kisah hubungan pensyariatan ucapan tasmi` dengan seorang lagi tokoh sahabat yang paling utama, iaitu Sayyidina Abu Bakar RA. Kisah ini dinukilkan dari karya ulama besar Syaikh `Abdullah asy-Syarqawi rahimahullah, ulama bermazhab Syafie yang dilahirkan pada tahun 1150H dan wafat sekitar tahun 1226H. Beliau adalah Syaikhul Azhar yang ke-12. Selain kealimannya, beliau juga terkenal dengan keberaniannya sebagai seorang mujahid yang memimpin jihad menentang penjajahan Perancis ke atas bumi Mesir. 

Syaikh asy-Syarqawi rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullaab" pada halaman 205 karya tersebut, Syaikh Syarqawi rahimahullah meriwayatkan sebagai berikut:-
Bahawa hikmah pada pensyariatan ucapan tasmi` ini (yakni ucapan sami`aAllahu li man hamidah) adalah kerana Sayyidina Abu Bakar RA yang tidak pernah sekali pun luput sholat berjemaah berimamkan Junjungan Nabi SAW telah terlewat pada satu hari, ketika waktu sholat Asar, untuk hadir ke masjid. Sayyidina Abu Bakar mengira bahawa dia akan terluput berjemaah dengan Rasulullah SAW. Maka gundahlah hatinya lalu dengan berlari-lari anak beliau bergegas menuju ke masjid. Peristiwa ini berlaku sebelum datang tegahan untuk berlari-lari anak untuk pergi ke masjid. Setiba di masjid, Sayyidina Abu Bakar mendapati bahawa Junjungan Rasulullah SAW sedang bertakbir untuk rukuk. Lalu Sayyidina Abu Bakar mengucapkan hamdalah : "Alhamdulillah", lalu bertakbir dan mengikut Junjungan SAW rukuk. Maka turunlah malaikat Jibril AS kepada Junjungan Nabi SAW yang sedang rukuk seraya berkata: "Wahai Muhammad, Allah telah mendengar orang yang memujiNya, maka ucapkanlah "sami`a Allahu liman hamidah". Lalu Junjungan Nabi SAW ketika bangkit dari rukuk baginda mengucapkan ucapan tasmi` tersebut. Sebelum peristiwa ini, adalah Junjungan Nabi SAW bertakbir sebelum rukuk dan bertakbir juga ketika bangkit dari rukuk. Oleh itu, pertukaran daripada takbir kepada tasmi` ketika bangkit dari rukuk menjadi sunnah sejak peristiwa tersebut berkat perbuatan Sayyidina Abu Bakar RA.
Jika kita telusuri sirah Junjungan Nabi SAW dan para sabahat baginda, nescaya kita dapati banyak lagi cerita di mana amalan atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang sahabat dipandang baik oleh Junjungan Nabi SAW, bahkan ianya menjadi sebab bagi melahirkan satu sunnah. Di antara kisah - kisah tersebut adalah seperti kisah sholat sunnat wudhu yang dilakukan oleh Sayyidina Bilal RA, kisah sholat sunat sebelum dibunuh yang dilakukan oleh Sayyidina Khubaib RA dan kisah kelakuan masbuk yang dilakukan oleh Sayyidina Mu`adz RA. Sesungguhnya Junjungan Nabi SAW adalah makhluk Allah yang paling mulia dan bukanlah akhlak baginda untuk dengan sewenang - wenangnya menyesatkan setiap perbuatan yang baik yang dilakukan oleh seseorang. Dalam kisah - kisah tersebut tak dak pulak riwayat yang Junjungan Nabi SAW bersabda kepada mereka, terjemah dalam loghat Kedah: "Awat hangpa buat lagu tu ? Hangpa nak buat bid`ah kaaa?" Allahumma sholli wa sallim `alaihi wa `ala aalihi wa ashhabih.

Ahad, Jun 16, 2013

Syaikh Hasan Pengarang Ibaanatul Ahkaam

Syaikh Hasan bin Sulaiman bin 'Abdul Mu'thi an-Nuuriy rahimahumullah adalah salah seorang ulama Mekah yang sezaman dengan Habib 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki rahimahullah. Bahkan beliau bersama Habib `Alawi al-Maliki rahimahullah telah menulis syarah bagi "Bulughul Maraam" yang dinamakan "Ibaanatul Ahkaam" dan syarah bagi "`Umdatul Ahkaam" yang dinamakan "Nailul Maraam". Syaikh Hasan rahimahullah telah dilahirkan di Syubaikah, Mekah, pada tahun 1330H. Dalam pengajian secara formal, beliau adalah lulusan Madrasah al-Falah, Mekah tahun 1351H. Di antara guru-guru beliau adalah nenda dan ayahandanya sendiri Syaikh `Abdul Mu'thi dan Syaikh Sulaiman an-Nuuriy. Beliau juga pernah belajar kepada Syaikh Muhammad al-`Arabiy at-Tabbani, Syaikh Muhammad Saalim Syafi, Syaikh Yahya Aman al-Makki dan ramai lagi rahimahumullah.Syaikh Hasan bin Sulaiman an-Nuuriy telah meninggalkan dunia yang fana ini ketika berusia 64 tahun hijrah pada tanggal 12 Syawwal 1394H dan dimakamkan di Jannatul Ma'ala, Mekah. ..... al-Fatihah.

Khamis, Jun 13, 2013

Qadha` Subuh Siang Hari

Seorang sahabat hafizahullah telah bertanya mengenai bacaan ketika qiyam, iaitu bacaan surah al-Fatihah dan surah selepasnya, dalam solat Subuh yang diqadha` pada waktu siang, samada ianya sunnat dibaca jahar sebagaimana perlaksanaannya ketika ada` (tunai) atau sunnat dibaca sir kerana ianya diqadha` pada siang hari. Beliau keliru setelah membaca keterangan dalam terjemahan al-Fadhil Ustaz Zamihan al-Ghari hafizahullah bagi karya guru beliau 'Allaamah Dr. Hassan Ali al-Saqqaf hafizahullah yang berjodol "Sifat Solat Nabi Yang Sahih", yang menyatakan bahawa bacaan dalam qadha` solat Subuh mesti dijaharkan secara mutlak. Perkara ini berbeza dengan apa yang pernah dipelajari daripada tuan - tuan guru yang menyatakan bahawa jahar atau sir dalam sesuatu solat qadha` termasuklah qadha` solat Subuh adalah mengikut kepada waktu ianya dilaksanakan, jika pada waktu malam ianya dijaharkan walaupun solat tersebut adalah qadha` solat Zohor atau 'Asar dan jika waktu siang, bacaan disirkan walaupun solat tersebut adalah qadha` solat Maghrib atau Isya` atau Subuh.

Setelah meneliti karya tersebut, pada halaman 159 dinyatakan antara lain, sebagai berikut:-
Jika seseorang itu mengqada'kan solatnya yang tertinggal samada solat malam mahupun siang dan jika dilakukannya pada malam hari maka dia mesti menjaharkan bacaannya. Sebaliknya jika dia mengqada solat yang tertinggal itu di siang hari maka dia mesti mengsirkan bacaannya melainkan pada solat subuh. Ia mesti dijaharkan secara mutlak samada diqadha pada malam atau siang hari. ............ Akan tetapi terdapat pengecualian dalam ketentuan ini iaitu pada solat subuh. Berkenaan solat subuh terdapat satu hadis yang sahih yang menjelaskan bahawa Nabi SAW pernah mengqada'kan solatnya setelah terbit matahari. Baginda melakukannya sebagaimana solat subuh setiap hari. Iaitu Baginda membaca secara jahar dan tidak mengecualikannya (iaitu tidak mengsirkan)..... Diriwayatkan dari Abu Qatadah di dalam hadis yang panjang ........"Baginda melakukannya sebagaimana solat subuh biasa"....
Di sini ese hanya ingin memberikan dua komentar ringkas terhadap pernyataan di atas. Pertama, menjahar atau mengsirkan bacaan dalam solat bukanlah satu kemestian (baca: wajib) tetapi ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai SUNNAT. Kedua, mengenai pernyataan bahawa bacaan pada qadha` Subuh di siang hari dibaca jahar secara mutlak, maka pendapat ini bukanlah pendapat yang dimuktamadkan dalam mazhab. Ianya adalah salah satu daripada dua pendapat para ulama Syafi`iyyah yang boleh dianggap sebagai muqabilul asah, manakala pendapat yang ASAH adalah bacaan dalam qadha` Subuh di siang hari sunnat dibaca secara sir dan tidak sunnat dibaca jahar kerana mengikut waktu ianya diqadha. Hal ini tuan - tuan boleh rujuk mana-mana kitab fiqh mazhab kita dan pasti akan berjumpa dengan pernyataan bahawa sir atau jahar dalam sesuatu solat qadha adalah di`itibarkan kepada waktu qadha` dan bukannya waktu `ada (tunai) solat tersebut. Maka jika ianya diqadha` pada siang hari, maka ianya dibacakan secara sir walaupun ianya solat jahar pada waktu `ada.

Mengenai hadis Sayyidina Abu Qatadah RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya yang antara lain menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW telah mengqadhakan solat Subuh pada waktu siang sebagaimana baginda melakukannya pada setiap hari - "fa shona`a kama kaana yashna`u kulla yawmin..", maka sebahagian ulama telah  menjadikannya dalil untuk menghukumkan bahawa qadha` solat Subuh pada waktu siang pun sunnat dibaca jahar. Namun, pendapat ini bukanlah pendapat yang muktamad dalam mazhab kita kerana pendapat yang asah adalah sebaliknya, sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dalam "Syarah Muslim", antara lain, menyatakan sebagai berikut:-

" Perkataannya: (Kemudian telah azan Sayyidina Bilal bagi solat, maka telah solat Junjungan Nabi SAW dua rakaat lalu setelah itu baginda pun solat Subuh, maka baginda telah mengerjakannya sebagaimana yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari] padanya (ada hukum bahawa) mustahab melakukan azan bagi qadha` solat yang luput. Dan padanya (hukum) bahawa diqadhakan juga sembahyang ratibah kerana yang zahir dua rakaat yang dilakukan sebelum solat Subuh adalah solat sunnat Subuh. Dan perkataannya [Sebagaimana yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari] padanya isyarat kepada sifat solat qadha` Subuh yang luput itu seperti sifat solat tunainya, maka diambil daripada perkataan tersebut bahawa dalam qadha` solat Subuh yang luput sunnat juga dibacakan qunut dan perkara ini tiada khilaf di sisi kita (yakni di sisi ulama Mazhab Syafie). Dan telah berhujjah dengan hadis ini (yakni dengan pernyataan bahawa - baginda sholat sebagaimana yang dikerjakannya pada setiap hari ), ulama yang berpendapat bahawa dijaharkan bacaan dalam solat Subuh yang diqadha` setelah terbit matahari. Dan pendapat ini adalah satu wajah (pendapat) daripada dua wajah bagi para sahabat kami (yakni para ulama Mazhab Syafie), namun yang asah daripada dua wajah tersebut adalah disirkan bacaan padanya (yakni pendapat yang asah dalam Mazhab Syafie bahawa bacaan dalam qadha` solat Subuh di siang hari sunnat disirkan). Dan ditanggung kata-kata dalam hadis - " kama kaana yashna`u" - sebagaimana yang biasa dia lakukan ..." - kepada segala af`al (yakni kepada segala perbuatan seperti azan, iqamah, sholat sunat sebelum subuh, berqunut dan seumpamanya).
Diharap kita dapat memahami penjelasan di atas, yang menyimpulkan bahawa pendapat yang asah dalam Mazhab asy-Syafi`iyyah adalah sunnat mengsirkan bacaan dalam qadha` solat Subuh yang luput jika ianya dilakukan pada waktu siang sebagaimana lain - lain solat yang diqadha` pada waktu siang. Apa-apa pun, berusahalah agar jangan sampai terbabas solat Subuh supaya tak payah kita nak poning - poning mikir, sir ke jahar ... sir ke jahar.

Selasa, Jun 11, 2013

as-Shighah at-Tajridiyyah

Bulan Sya'baan yang berkat, bulan yang disebut-sebut sebagai bulan Junjungan Nabi SAW dan bulan di mana perintah bersholawat atas Junjungan Nabi SAW diturunkan. Marilah kita mentaati perintah tersebut dengan memperbanyakkan lagi ucapan sholawat dan salam kita kepada Junjungan Nabi SAW.

Syaikhul Azhar, al-'Alim al-'Allaamah Dr. `Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam karya beliau yang berjodol "ar-Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam" pada halaman 175 menukilkan sebuah shighah sholawat yang beliau terima daripada Syaikh `Abdul Fattah al-Qadhi asy-Syablanji asy-Syadzili rahimahullah. Menurut beliau, Syaikh `Abdul Fattah al-Qadhi telah memperolehi shighah shalawat ini dalam satu mimpi yang berkat. Dr. `Abdul Halim Mahmud telah menamakan shighah shalawat ini sebagai "ash-Shighah at-Tajridiyyah" kerana tiada ianya dilafazkan melainkan semata-mata untuk beribadah dengan mengajukan permohonan agar Allah SWT melimpahkan sholawat, salam dan barakah ke atas hambaNya, Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW, sebanyak bilangan makhlukNya, sesuai dengan keredhaanNya, seberat `arasyNya dan kalimahNya. Jumlah pada shighah ini merupakan kiasan yang bertepatan dengan tasbih yang diajar oleh Junjungan Nabi SAW, iaitu "SubhanAllahi wa bi hamdihi, `adada khalqihi, wa ridha-a nafsihi, wa zinata `arsyihi, wa midada kalimaatihi." Mudah-mudahan dengan mengamalkan sholawat ini, kita dapat meraih keredhaan Allah SWT dan syafaat Junjungan Nabi SAW.

Ahad, Jun 09, 2013

Kalimah Tawhid

Bayangkanlah saat-saat menghadapi kematian. Segala anggota telah lemah tidak berdaya, mata susah untuk dibuka, menarik nafas dirasakan berat sekali. Mulut yang dulunya fasih berkata-kata, kini hendak menggerakkan bibir bertutur pun payah. Namun, kala itu masih ada rahmat Allah. Mungkin ketika itulah baru terasa hikmah kenapa kalimah yang dijadikan sebagai anak kunci syurga Allah, kalimah yang menjadi harga syurga, tersusun hanya daripada huruf - huruf yang keluar dari rongga, yang tidak memerlukan gerakan bibir mulut untuk melafazkannya. Kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya, agar kalimah keramat ini mudah dilafazkan ketika nyawa berpisah daripada badan. Alangkah malangnya jika ketika sihat tubuh badan serta fasih lisan berkata-kata, namun  tetap lalai dan malas untuk melafazkan kalimah ini sebanyak - banyaknya. Banyakkanlah mengucap dan menghayati kalimah yang mulia ini, mudah-mudahan ketika sakarat nanti mudah melafazkannya sebagai kalimah terakhir yang diucapkan sebelum nyawa meninggalkan badan. Dengannya, semoga termasuk dalam janji Junjungan Nabi SAW dalam sabdaan baginda: "Sesiapa yang akhir kalamnya "la ilaha illa Allah", dia pasti akan masuk syurga." Inilah antara hikmahnya sebagaimana disebut oleh al-Imam al-Hafiz as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau "al-Kanzul Madfun". Allahummaj`al akhira kalami la ilaha illa Allah.

Rabu, Jun 05, 2013

Anugerah Agung

Tanggal 27 Rejab sentiasa diperingati oleh umat Islam sebagai tarikh berlakunya Israk dan Mikraj Junjungan Nabi SAW. Dan sebagaimana yang kita ketahui, ketika itulah Allah memberikan satu anugerah agung buat Junjungan Nabi SAW dan umat baginda sekaliannya. Anugerah yang merupakan talian kita untuk berhubung dan bertaqarrub dengan Allah SWT dalam bentuk sholat fardhu yang lima. Pentingnya fungsi sholat sebagai sarana bertaqarrub kepada Allah SWT sehingga dikatakan bahawa "ash-sholatu mi'rajul mu`min - sholat itu mikraj bagi orang - orang yang beriman", sebagaimana disebut antaranya oleh Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam syarah beliau bagi Sunan Ibnu Majah, Imam an-Naisaburi rahimahullah dalam tafsirnya, Imam al-Munawi rahimahullah dalam "Faidhul Qadir" dan Syaikh al-Alusi rahimahullah dalam tafsirnya "Ruhul Ma`ani". 

Sungguh tiada satu ibadah pun yang dapat menandingi keutamaan sholat. Imam ad-Dailami rahimahullah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda, yang mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tiada memfardhukan akan sesuatu yang lebih utama daripada at-Tawhid (yakni mengesakan Allah SWT) dan sholat. Jika sekiranya ada sesuatu yang lebih utama daripada keduanya, pasti ianya akan difardhukan ke atas para malaikat, padahal para malaikat itu sebahagiannya rukuk selama-lamanya dan sebahagian lagi sujud selama-lamanya".

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam memperikan keagungan dan keutamaan sholat menulis dalam "Munyatul Musholli" halaman 12 sebagai berikut:-
 " Kata setengah ulama :- "Telah sampai kepada kami khabar bahawasanya Allah SWT membahagi akan segala amal sembahyang atas 40 shaf daripada malaikat, pada tiap - tiap shaf tujuh puluh ribu. 10 daripadanya berdiri, tiada rukuk dan 10 rukuk, tiada sujud dan 10 sujud, tiada angkat kepalanya dan 10 duduk, tiada berdiri. Dan dihimpun akan sekalian amal mereka itu bagi hambaNya yang mu`min di dalam dua rakaat yang disembahyangkan keduanya. Maka tilik olehmu akan besar pemberian Allah dan kurniaNya atas segala hambaNya yang mu`minin."
Yakni, segala perbuatan sholat itu dibahagikan Allah perlakuannya kepada 40 shaf para malaikat yang pada setiap shaf itu terdapat 70,000 malaikat menjadikan keseluruhan malaikat tadi adalah 2,800,000 makhluk agung yang maksum bernama malaikat..... Allahu...Allah. Namun, dalam 40 shaf tersebut, tiada satupun malaikat yang mendirikan sholat itu secara sempurna dengan qiyam, rukuk, sujud dan qu`udnya. 10 shaf daripada malaikat tersebut hanya qiyam sahaja selama-lamanya tanpa rukuk, 10 shaf rukuk selama-lamanya, 10 shaf sujud selama-lamanya dan 10 shaf duduk selama-lamanya. Maka dengan kemurahan Allah SWT, jika seseorang mu`min mendirikan dua rakaat sholat, maka ganjaran sekalian amalan para malaikat yang 40 shaf tersebut yang jumlah mereka adalah 2,800,000 akan diberikan kepada orang mu`min tersebut ..... `adhzim ...`adhzimmmm...

Seterusnya Mawlana Syaikh Daud rahimahullah meneruskan lagi:-
Pada riwayat Jabir dan Mu'adz radhiyaAllahu 'anhuma, tatkala dinaikkan Rasulullah SAW ke langit melihat ia pada langit dunia, malaikat berdiri selama-lamanya. Dijadikan Allah akan mereka itu menyebut dzikir akan Dia, tiada rukuk. Dan pada langit yang kedua, rukuk selama-lamanya, tiada mereka itu mengangkatkan kepalanya. Dan pada langit yang ketiganya, sujud akan Allah, tiada mengangkatkan kepalanya melainkan ketika memberi salam Rasulullah akan mereka itu, maka diangkatkan kepalanya kerana menjawab salam Rasulullah. Kemudian maka sujud pula selama-lamanya, maka kerana inilah dituntut dua kali sujud pada tiap-tiap rakaat. Dan pada langit yang keempat, tasyahhud mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang kelimanya, mengucap tasbih dan berdzikir mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang keenam, mengucap takbir mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang ketujuh, malaikat mengucap "Ya Salaam" masa dijadikan Allah akan mereka itu. Maka cita hati Rasulullah dan ingin bahawa dijadikan baginya demikian segala ibadat malaikat yang di dalam langit itu baginya dan bagi umatnya. Maka telah mengetahui Tuhannya yang al-Khallaqul 'Alim akan cita niatnya serta sudah diketahui pada azalnya, dihimpunkan segala ibadat malaikat yang dalam tujuh petala langit itu di dalam dua rakaat sembahyang kerana memuliakan niatnya dan umatnya. Kata Mu`adz dan Jabir: " Maka barangsiapa berdiri di dalam sembahyang serta membesarkan dia, dan ditunaikan segala rukunnya dan rukuknya dan sujudnya, adalah baginya pahala malaikat tujuh petala langit dan barang yang di dalamnya daripada segala kejadian Allah ta`ala".
Oleh itu, hendaknya kita syukuri anugerah agung daripada Rabbul Jalil `azza wa jalla ini. Sholat fardhu yang lima hendaklah sentiasa kita jaga dan pelihara dengan sebaik-baiknya, di samping memperbanyakkan sholat - sholat sunnat dan nawafil. Sungguh ganjaran ibadat sholat ini tiada tara, atasnya wajib kita bersyukur kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka-mereka yang mendirikan sholat dengan sempurna zahir dan batin....Allahumma aaamiin.


Selasa, Jun 04, 2013

Baitul Muthoyyabin

Imam Thabrani rahmatullah `alaih meriwayatkan bahawa pada satu hari seorang lelaki telah datang kepada Junjungan Nabi SAW. Tujuan kedatangannya adalah memohon bantuan baginda untuk membuat persediaan bagi perkahwinan anak perempuannya. Namun ketika itu, Junjungan Nabi SAW tidak memiliki apa-apa untuk diberikan kepada lelaki tersebut. Namun bukanlah sifat Junjungan Nabi SAW untuk menghampakan permintaan seseorang, lalu baginda SAW telah meminta sebiji botol kosong daripada lelaki tersebut. Kemudian baginda mengumpul peluh baginda yang mulia dan memasukkannya ke dalam botol tersebut. Botol itu baginda berikan kepada lelaki itu dan baginda bersabda: "Suruhlah anakmu berwangi-wangian dengannya". Apabila anak lelaki tersebut menggunakan wangian yang berasal daripada peluh mulia Junjungan Nabi SAW maka tersebarlah bau semerbak keharuman yang tiada tara sehingga dapat dihidu oleh para penghuni kota. Sehingga akhirnya, para penduduk kota tersebut telah menggelar rumah lelaki itu sebagai "Baitul Muthoyyabin" yakni "rumah yang diharumi wangian". Allahu ... Allah, alangkah bertuahnya jika hidung kita yang banyak dosa maksiat ini dapat mencium keharuman Junjungan Nabi SAW tersebut. Semoga kita direzekikan Allah dengannya, kalau tidak di dunia yang fana ni, di dalam syurga nanti hendaknya. Mudah -mudahan Allah mengharumkan rumah kita dengan keberkatan bacaan mawlid Junjungan Nabi SAW dan keberkatan sholawat dan salam ke atas baginda. Allahumma aamiin.

Khamis, Mei 30, 2013

Wahabilah Bukan Salafi

Penggunaan gelar Wahabi kepada pengikut Ibnu Abdul Wahhab an-Najdi bukanlah sesuatu yang baharu. Dan bukanlah asal gelar tersebut daripada musuh-musuh mereka sebagaimana dakwaan sesetengah intelektual masa kini. Sebenar, ianya telah mula dipakai oleh tokoh - tokoh mereka sendiri sejak awal gerakan tersebut lagi. Di antara tokoh mereka yang menggunakan gelar tersebut bagi merujuk kepada pengikut Ibnu Abdul Wahhab adalah Syaikh Sulaiman bin Sahman yang menamakan karyanya dengan "al-Hadiyyah as-Saniyyah wa at-Tuhfah al-Wahhabiyyah an-Najdiyyah" yang diterbitkan antaranya oleh Mathba`ah al-Manar, Mesir yang dimiliki oleh Syaikh Rasyid Ridha dengan cetakan awalnya pada tahun 1342 atas perintah Raja `Abdul `Aziz Al Saud. Oleh itu, para penyokong dan pendokong ulama Nejd ini seharusnya tidak marah jika dipanggil Wahabi. Nak marah mende, jika hang pa tu memang dah pengikut Syaikh Najdi tersebut, mengaku ajelah tak payahlah nak berselindung atas nama Salafi. Para pengikut mazhab empat tidak akan marah jika digelar sebagai Syafie atau Hanafi. Dan sesungguhnya Imam asy-Syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak kurang salafnya daripada Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhum ajmain.


Ahad, Mei 19, 2013

Mutlak Hanya Allah al-Hadi .......

Hidayah yang menyuluh kita ke arah jalan yang lurus benar menuju keredhaan Allah SWT adalah sesuatu anugerah Allah yang tiada taranya. Setiap kali membaca Ummul Kitab, itulah yang kita pohon daripada Allah SWT, kerana hanya Dia yang berkuasa untuk memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jangan kata kita, para rasul 'alaihimus salam tidak punya kuasa untuk memberikannya kepada orang lain selain dengan kehendak dan keizinanNya. Maka mereka hanya ditugaskan untuk menyampaikan sahaja ajaran - ajaran hidayah, menerima atau tidak, mendapat atau tidak, itu kerja dan ketentuan Allah SWT. Jika  siang malam kita berdakwah, namun tidak juga berhasil, maka bersabarlah dan jangan putus asa. Hidayah bukan di tangan kita, yang penting kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita tersebut dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, pasti akan diganjari Allah SWT.

Tatkala Junjungan Nabi SAW menyampaikan dakwah hidayah Ilahi kepada paman baginda yang dikasihinya dan yang banyak menolong baginda, namun pamannya tersebut enggan menerimanya, maka bersedihlah baginda dengan kesedihan yang amat, lalu Allah menghiburkan hati kekasihNya SAW dengan menurunkan firmanNya:-

"Sesungguhnya engkau (wahai kekasihku Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau cintai; Tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki" [al-Qashash: 56]
Oleh itu, fahamlah kita hendaknya bahawa urusan memberi hidayah atau petunjuk itu adalah semata-mata urusan Allah SWT. Tiadalah kuasa atas kita untuk memberikannya, kita hanya menyampaikan sahaja, soal dapat atau tidak itu bukan kerja kita. Jangankan orang lain, diri kita sendiri pun tiada jaminan memperolehi hidayah tersebut, takut - takut yang kita dapati hanyalah riwayah cerita semata-mata. Kebanyakan ahli hadits dan ahli tafsir menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan berkenaan dengan Abu Talib yang enggan menyatakan keimanannya walaupun setelah disuruh oleh Junjungan Nabi SAW melakukannya.

 Oleh itu, jika kita melihat seseorang yang rajin menuntut ilmu tapi masih belum dapat mengamalkan ilmunya sepenuhnya, janganlah mudah mulut kita untuk berkata: "Nama sahaja belajar agama 15 tahun tapi ... atau Tak guna dia belajar agama bertahun - tahun tapi mulutnya laser .... dan seumpamanya.". Adakah perbuatannya belajar agama 15 tahun itu salah atau maksiat ? Jika ianya  bukan suatu kesalahan atau maksiat, mengapa kamu mengejinya ? Seharusnya yang dikeji adalah maksiat yang dilakukannnya bukan amal kebaikannya. Selaku penuntut ilmu atau ahli ilmu, kita harus mampu dan bijak membezakan antara dua perkara tersebut, iaitu mana yang baik dan mana yang buruk. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar. Ingat bakar nyamuk bukan bakar kelambu, kalau tak dapat bakar nyamuk, bakar ubat nyamuk. Apa-apa pun, gunalah akal yang waras untuk berfikir bukan akal yang telah diselubungi emosi dan taksub yang tersembunyi. Allah yahdik.

Khamis, Mei 02, 2013

Tuan Guru Hj Aziz Pendang

Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah adalah di antara ulama besar negeri Kedah dan merupakan anggota Majlis Fatwa Negeri Kedah yang paling senior dan paling lama berkhidmat. Beliau dilahirkan di Kampung Semut Api, Kelantan Darun Naim pada tahun 1904M. Ketika berusia setahun, beliau dibawa ayahanda beliau ke Madinah al-Munawwarah kerana ayahandanya menyambung pengajian di sana. Maka membesarlah beliau di kota Junjungan Nabi SAW sehingga ayahandanya pulang ke tanah ketika beliau berusia 10 tahun.

Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah menyambung pengajiannya di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Hamid Tokbiar selama 2 tahun dan selanjutnya di Pondok Tuan Guru Haji Salleh Pulau Pisang, Jitra, Kedah, selama 3 tahun pula. Kemudian beliau meneruskan pengajiannya ke Kelantan dengan memondok di Pondok Kenali yang masyhur ketika itu di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang masyhur dengan gelaran Tok Kenali rahimahullah. Selain Pondok Kenali, beliau juga berulang mengaji ke Masjid Muhammadi dan antara guru-guru beliau di sana adalah Tuan Guru Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi, Haji Yaakub Legor, Haji Ali Pulau Pisang dan Haji Ahmad Mannan rahimahumullah. Dengan Tok Kenali beliau mempunyai pertautan yang istimewa di mana beliau adalah khadam kepada Tok Kenali. Beliau terus mengaji dan berkhidmat dengan Tok Kenali sehingga kewafatan Tok Kenali rahimahullah. Tuan Guru Haji Aziz adalah seorang pelajar yang tekun dan cerdas, beliau telah menghafal berbagai matan termasuklah al-Ajrumiyyah yang dihafalnya sejak kecil lagi, Alfiyyah Ibn Malik, Jawahirul Maknun, Sullam Mantiq, Baiquniyah dan Baqulat. Setelah 40 hari kewafatan Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Aziz memutuskan untuk pulang ke Kedah dan membantu ayahandanya, Tuan Guru Haji Ibrahim rahimahullah, mengajar. Pada pertengahan tahun 40an, Tuan Guru Haji Aziz membuka pondoknya sendiri di Kampung Seberang Pendang dan berikutnya pada tahun 1960 beliau mengasaskan Madrasah al-Falah.

Pada 12 Rabi`ul Awwal 1425H bersamaan 2 Mei 2004, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah kembali ke rahmatullah di Kampung Seberang Pendang. Jenazah beliau telah diziarahi dan disholatkan oleh kira-kira 10,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat termasuklah Tuanku Sultan Kedah Sultan Abdul Halim. Tuan Guru Haji Abdul Aziz rahimahullah dipercayai sebagai anak murid Tok Kenali yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Pendang pada hari yang sama. Semoga Allah mencucurkan rahmatNya dan kasih - sayang yang berkekalan atas beliau, segala guru beliau dan sekalian muslimin muslimat..... al-Fatihah..

Isnin, April 29, 2013

Sakit Jadi Ringan ......

Imam al-Muzani rahimahullah menceritakan bahawa pernah pada suatu ketika Sulthanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafie RA sakit. Maka salah seorang daripada pembesar Mesir telah datang untuk melawat beliau. Ketika bertemu dengan Imam asy-Syafie RA, sang pembesar berkata: "Wahai Abu Abdillah, sakit akan terasa ringan apabila ramai orang datang melawat." Lalu dijawab Imam as-Syafie RA dengan berkata: "Wahai saudaraku, sakit akan terasa ringan jika kita ingat akan ganjaran pahalanya daripada Allah dan kita menyakini bahawa ianya adalah satu kaffarah bagi dosa - dosa kita."


Khamis, April 25, 2013

Tempat Jatuh Pandangan Mata

Mata adalah salah satu pancaindera kurniaan Allah kepada para hambaNya. Ianya juga adalah ujian ni'mat yang akan diminta pertanggungjawabannya kelak di hadapan Qadhi Rabbul Jalil. Makanya kita diperintahkan untuk sentiasa menjaga mata kita daripada memandang kepada sesuatu yang diharamkan kita melihatnya. Di samping itu, menjaga pandangan juga akan menyebabkan kekhusyukkan timbul dalam sholat kita. Oleh itu, para ulama, berdasarkan kepada beberapa nas, telah memberikan panduan bagaimana kita menjaga dan mengendali mata dalam sholat kita. 

Entri ini merupakan satu jawapan bagi pertanyaan seorang sahabat hafizahullah mengenai arah pandangan mata ketika dalam sholat menurut mazhab Syafi`i. Dinyatakan dalam "Fathul `Allam bi Syarhi Mursyidil Anaam" pada halaman 359 - 360, juzuk ke-2, sebagai berikut:-
"Di antara sunnat haiah dalam sholat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika sholat di sisi Ka'bah. Berbeza dengan pendapat yang dipegang oleh Imam al-Mawardi dan orang yang mengikutinya yang berpendapat bahawa orang yang sholat di sisi Ka`bah disunnatkan memandang kepada Ka'bah. Perbuatan memandang ke arah tempat sujud ini disunnatkan dalam seluruh shalat tersebut daripada awal sehingga akhirnya melainkan ketika mengucapkan "illa Allah" dalam tasyahhud. Maka ketika itu, sunnat memandang kepada jari telunjuk yang diangkat walaupun ianya tertutup (yakni jari telunjuk tersebut terlindung di bawah kain seperti rida` yang digunakan oleh mushalli) berdasarkan kepada hadits yang shahih. Dan berkekalan memandang kepadanya selama ianya diangkat dan ianya (yakni jari telunjuk tadi) diangkat sehinggalah si mushalli berdiri untuk rakaat seterusnya dalam tasyahhud awwal dan sehingga si mushalli mengucapkan salam dalam tasyahhud akhir."
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaaf hafizahullah dalam "at-Taqriirat as-Sadiidah" pada halaman 150 yang merupakan nukilan daripada ajaran guru beliau, al-Habib Zain BinSumait hafizahullah, menjelaskan bahawa antara sunnat haiah dalam sholat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika bersholat di belakang Ka'bah atau di belakang Junjungan Nabi SAW. Maka pandangan adalah dijatuhkan ke tempat sujud secara mutlak melainkan ketika mengucapkan "illa Allah", di mana pandangan dijatuhkan ke jari telunjuk sehinggalah salam.
  
Oleh itu, ketika sholat, apa jua jenis sholat, sunnat mata kita memandang ke arah tempat sujud pada setiap masa melainkan ketika mengacungkan jari telunjuk tatkala mengucapkan "illa Allah"dalam tasyahhud. Ketika jari telunjuk diangkat maka pandangan mata kita sunnat diarahkan kepadanya sehinggalah ianya diturunkan ketika bangkit untuk ke rakaat ketiga atau ketika salam setelah tasyahhud akhir. Inilah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan ulama kita termasuklah Imam Ibnu Hajar rahimahullah dan Imam Ramli rahimahullah.

Selain pandangan di atas, ada juga ulama kita yang mempunyai pendapat yang berbeza. Habib Muhammad bin Ahmad bin 'Umar asy-Syaathiri rahimahullah dalam "Syarah al-Yaqut an-Nafis" halaman 157 - 158 menyatakan bahawa menurut Syaikh Khatib asy-Syarbini rahimahullah pandangan mata seseorang mushalli ketika dalam sholat hendaklah diarahkan seperti berikut:-
  1. ketika qiyam, memandang ke arah tempat sujud;
  2. ketika rukuk, memandang ke arah tapak kaki;
  3. ketika duduk, memandang ke arah peha;
  4. ketika mengucap "illa Allah" pada tahiyyat, memandang jari telunjuk kanan;
  5. ketika shalat di depan Ka'bah, memandang kepadanya;
  6. ketika shalat atas tempat bercorak (seperti sejadah) yang boleh melekakan, memandang ke hadapan;
  7. pada sholat jenazah, memandang kepada jenazah.
Sebagaimana dinyatakan terdahulu, antara hikmah perbuatan ini adalah agar mata kita dapat dikendali dan dijaga agar tidak merayau ke sana ke mari dalam sholat, di mana dengannya diharap akan hadir khusyuk. Selamat beramal dan mudah-mudahan Allah menganugerahkan kita dengan sholat yang khusyuk lagi sempurna.

Rabu, April 17, 2013

Karamah Bediuzzaman

Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah adalah salah seorang tokoh yang sudah dikenali ramai bahkan dianggap sebagai seorang mujaddid. Tokoh yang gigih mempertahankan Islam ketika berhadapan dengan bid`ah sekularisma yang dibawa oleh Ataturk. Beliau tidak pernah gentar dalam perjuangan sucinya itu walaupun beberapa kali dipenjarakan dengan zalim oleh pemerintah Turki sekular. Kisah perjuangan beliau telah banyak dibukukan dan boleh tuan - tuan baca untuk dijadikan pedoman dan meraih rahmat yang diturunkan Allah ketika orang - orang yang dikasihiNya disebut.

Di sini ese hanya ingin menukilkan antara karamah yang diberikan Allah SWT kepada Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Diceritakan bahawa Syaikh Bediuzzaman rahimahullah pernah dilihat melaksanakan ibadah di dalam beberapa masjid sedangkan pada waktu itu beliau sedang dipenjara. Hal ini telah berlaku banyak kali ketika beliau dalam tahanan. Kisah - kisah ini boleh tuan - tuan baca dalam karya Sukran Vahide @ Mary Weld yang berjodol "Bediuzzaman Said Nursi : Author of the Risale-i-Nur". Antaranya adalah ketika beliau di penjarakan di Afyon, sebagaimana diceritakan oleh Hilmi Pancaroglu sebagai berikut:-
"Ketika dalam penjara (di Afyon), Syaikh Bediuzzaman rahimahullah telah memohon keizinan untuk keluar menghadiri sholat Jumaat di masjid, namun permohonan beliau tersebut telah ditolak oleh pihak penjara. Maka apabila tiba waktu sholat Jumaat, Syaikh Bediuzzaman rahimahullah telah didapati hilang dari penjara dan warden penjara tidak melihat beliau dalam selnya. Dalam keadaan panik, warden telah mengarahkan pihak polis untuk mencari Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Pihak polis telah berpecah kepada beberapa kumpulan dan masing - masing diarahkan untuk pergi ke satu masjid dalam rangka mencari Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Apa yang menghairankan adalah setiap kumpulan polis tersebut telah mendapati dan melihat Syaikh Bediuzzaman rahimahullah menunaikan sholat Jumaat dalam beberapa masjid di Imarat, Otpazari dan Misirli pada masa yang sama. Namun setelah selesai sholat Jumaat, pihak polis gagal pula untuk menemui beliau walaupun para jemaah telah bersurai. Ketika kembali ke penjara, mereka mendapati bahawa Syaikh Bediuzzaman rahimahullah berada dalam sel penjaranya sebagaimana biasa. Cerita ini telah masyhur diketahui oleh para penduduk Afyon.
Allahu ... Allah, perkara yang luar biasa seumpama ini walaupun amat mencengangkan kita, bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk melakukannya. Kita yang daripada "tiada" kepada "ada" pun dapat dilakukanNya, apa lagi kalau hanya setakat menempatkan seseorang yang telah "ada" di beberapa tempat pada satu waktu. Perkara sebegini masih berada dalam ruang lingkup perkara mumkin, di mana harus bagi Allah untuk menempatkan seseorang di  beberapa tempat pada waktu yang sama. Kekeramatan sebegini telah disaksikan berlaku bukan sahaja kepada Syaikh Bediuzzaman rahimahullah, bahkan kepada ramai lagi para ulama dan awliya antaranya Sidi Ahmad al-Badawi rahimahullah dan Syaikh Abdul Wahhab asy- Sya'raani rahimahullah. Di Nusantara pula, kita pernah mendengar kekeramatan Sayyidisy Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahullah di mana dikisahkan bahawa beliau pernah bertemu dengan 3 orang muridnya pada masa yang sama di tempat yang berlainan.

Sebagai penutup bagi entri ini, bersempena pilihanraya ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei 2013 nanti, ese nukilkan lagi satu kisah untuk renungan kita bersama agar dalam keghairahan berpolitik dan berkempen,  kita tidak lupa bahawa, sebagai umat Islam, kita sentiasa terikat dengan hukum - hakam syariat. Jangankan dalam berkempen politik, dalam melaksanakan jihad berperang pada jalan Allah pun ada hukum dan etika yang perlu kita patuhi. Mungkin kita pernah mendengar ucapan Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah yang berbunyi "A`udhu billahi minasy syaithan was siyasah" yang bererti "aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik". Bukanlah maksud Syaikh Bediuzzaman rahimahullah untuk menolak politik, tidak sama sekali tidak. Politik yang beliau tolak dan mohon perlindungan Allah SWT daripadanya adalah politik kotor yang didasari hawa nafsu serakah para politikus yang hanya memikirkan kemenangan tanpa mempedulikan etika, norma dan hukum. 

Berbalik kepada ungkapan Syaikh Bediuzzaman rahimahullah tersebut, maka ese datangkan kisahnya sebagaimana diceritakan oleh beliau sendiri dalam tulisannya "al-Ikhlash wal Ukhuwwah" yang diterjemahkan oleh Ustaz Nasir bin Ismail sebagai berikut:-
"Saya (yakni Syaikh Bediuzzaman Said Nursi) pernah melihat, iaitu akibat ikutan yang membuta tuli, seorang ulama yang mendahului ulama yang seorang lagi, dalam usahanya menjatuhkan ulama yang mempunyai pandangan politik yang berbeza dengannya, menyatakan bahawa ulama itu (yakni lawannya) bukanlah orang yang beriman. Beliau juga memuji dan menghormati golongan munafik yang menyokongnya. Saya merasa ngeri dengan akibat buruk dari penglibatan politik seperti ini. Saya berkata: "AKU BERLINDUNG DENGAN ALLAH DARIPADA SYAITAN DAN POLITIK," dan daripada saat itu saya menarik diri daripada terlibat dengan politik kotor ini.
Mudah - mudahan Allah menyelamatkan kita dan negara kita, juga negara segala umat Islam yang lainnya daripada para politikus yang berperangai seperti tikus yang sukakan kekotoran dan mengamalkan politik kotor. Mudah-mudahan kerajaan kita yang baru nanti akan lebih mendaulatkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang membawa kepada keredhaan Allah SWT yang dengannya kita dan segala rakyat akan memperolehi rahmat dan kemakmuran yang berpanjangan. Allahumma ... aamiin.