Khamis, September 30, 2021

KH Abdul Muthalib

Ketika kecil dahulu, di surau kami, diajarkan kepada kelas anak - anak, setiap Sabtu pagi, akan buku nipis, 65 halaman dengan jodol Sendi Islam. Buku ini membahaskan secara ringkas bagi pemula mengenai Syahadat, Sembayang, Puasa, Zakat dan Hajji menurut mazhab Syafi`ie. Guru kami yang mengajar dulu namanya al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Muhammad bin Abdul Ghaffar, mudah - mudahan diganjari Allah akan beliau dengan sebaik - baik ganjaran. Buku Sendi Islam tersebut yang menjadi antara teks yang digunakan oleh madrasah - madrasah yang bergabung di bawah Ittihadul Ma`ahidil Islamiyah (IMI) telah diberi kata sambutan oleh seorang ulama terkenal yang juga Ketua Majelis Luhur Ittihadul Ma`ahidil Islamiy, KH Idham Chalid rahimahullah.

Pengarang Sendi Islam adalah KH Abdul Muthalib Mohyidin rahimahullah. Beliau dilahirkan pada 18 Ogos 1918 di Amuntai, Kalimantan Selatan. Beliau dikenali sebagai seorang cendiakawan muslim yang bergiat aktif dalam bidang pendidikan. Sejak menamatkan pengajian di Pondok Modern Gontor, Ponorogo, pada tahun 1942, beliau terus menceburi bidang pendidikan dengan menjadi pengajar di Perguruan Islam Rakha Amuntai, kemudian dilanjutkan dengan mengajar di beberapa sekolah dan madrasah sebelum menjadi pensyarah Usuluddin di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Antasari sehingga beliau wafat pada tahun 10 April 1974 / 17 Rabi`ul Awwal, 1394. Kh Abdul Muthalib meninggalkan beberapa karangan menjadi jariah beliau kepada umat, antaranya: (1) Sendi Iman, (2) Risalah Usuluddin, (3) Pengetahuan Agama Islam, (4) Tahap - Tahap Kehidupan Manusia, dan (5) Tasawwuf Islami. Beliau disemadikan di Desa Palampitan, Amuntai, Kalimantan Selatan. Semoga rohnya dirahmati Allah sentiasa dan dikumpulkan bersama para shalihin.

Di antara yang menarik dalam buku kecil Sendi Islam ini adalah ia mengandungi shighah takbir hari raya digabungkan sekali dengan ucapan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah atau  berselang dengan takbir adalah sunnat dengan apa jua shighah shalawat, samada panjang maupun pendek. Jarang kita jumpa buku - buku agama zaman moden menampilkan lafaz takbir beserta shalawat sebegini. Mungkin kerana lazimnya masyarakat kita hanya melagu-lagukan takbir dengan irama khas yang syahdu dan mengasyikkan. Manakala shalawat setelahnya tidak dibaca atau dibaca senyap, sendiri - sendiri sahaja.

Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah takbir hari raya atau di sela-sela antara takbir dipandang mustahab ebagaimana yang tersebut dalam Hasyiah Jamal dan juga dinukil oleh Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain pada halaman 109, yang menyatakan sebagai berikut: ...." Dan shighah takbir yang disukai ......(shighah takbir yang biasa diamalkan orang hingga ke lafaz wa hazamal ahzaaba wahdah)..... dan mustahab setelah itu bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana firman Allah: "Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu." (al-Insyirah:4), iaitu tiadalah Aku disebut melainkan engkau turut disebut bersamaKu. Dan (lafaz) shalawat yang menjadi adat kebiasaan adalah mengucapkan: "Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad, wa `ala aali Sayyidina Muhammad, wa `ala ashhaabi Sayyidina Muhammad, wa `ala azwaaji Sayyidina Muhammad, wa `ala dzurriyati Sayyidina Muhammad, wa sallim tasliiman katsiira." Begitulah tuan puan keterangannya. Namun lafaz shalawat tidaklah baku teksnya, bebas dengan apa jua shighahnya, samada panjang atau pendek. Mudah - mudahan bermanfaat buat kita semua.

Shighah takbir yang biasa bagi ahli Mesir

Selasa, September 28, 2021

Isnin, September 27, 2021

Ratibul Haddad - TG Hj Sulong

Tuan Guru Haji Sulum @ Sulong rahimahullah, cicit kepada Tuan Minal al-Fathani (pengarang Kasyful Litsam dan `Aqidatun Najin), adalah antara pejuang dan ulama yang terkenal di Fathani Darus Salam. Beliau lahir sekitar tahun 1895 dan hilang ditangkap oleh Siam pada tahun 1954. Dipercayai yang beliau bersama 3 orang lagi termasuklah anak beliau telah dibunuh oleh Siam dan mayat - mayat mereka dicampak ke laut. Maka dimuliakanlah mereka dengan mati syahid dibunuh musuh yang ingin memadamkan obor suci Islam di bumi Fathani Darus Salam. Tuan Guru Haji Sulong mengikuti pengajian di Pondok Haji Abdul Rasyid Bandar, sebelum meneruskan pengajian ke Mekah al-Mukarramah pada tahun 1907, ketika berusia 12 tahun. Beliau sempat bertemu dan berguru dengan ulama terbilang, Tok Syaikh Wan Ahmad bin Musthafa al-Fathani rahimahullah yang masih mempunyai pertalian darah dengan beliau. Masa berguru dengan Tok Syaikh Wan Ahmad tidak lama kerana pada awal 1908, beliau berpulang ke rahmatullah. Di Mekah, Tuan Guru Haji Sulong belajar dengan ramai lagi masyaikh berbilang bangsa. Setelah 17 tahun mengaji di sana, barulah Tuan Guru Haji Sulong kembali menabur bakti dan berjuang di tanah kelahiran beliau, Fathani Darus Salam, yang ketika itu diancam proses siamisasi terhadap orang Melayu - Islam. Tuan Guru Haji Sulong tidak terkenal dengan karangan yang banyak atau penubuhan pondok pengajian yang gah, beliau lebih dikenali kerana perjuangan membela nasib umat dan agama dari ancaman kafir Siam sehingga nyawa jadi pertaruhan.

Di antara usaha ikhtiar Tuan Guru Haji Sulong adalah dengan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah al-Ma`arif al-Wathaniyyah yang begitu ditakuti oleh Siam sehingga diperintahkan untuk ditutup setelah hanya 3 tahun beroperasi. Bahkan, Siam pernah melarang Tuan Guru Haji Sulong untuk mengajar dan membaca kitab - kitab kepada umat Islam. Tuan Guru Haji Sulong pernah disumbatkan Siam ke penjara kerana perjuangannya untuk membela agama dan bangsa. Semua dugaan dan rintangan tersebut diharungi oleh beliau dengan tabah dan sabar serta penuh tawakkal kepada Allah `azza wa jalla. Mudah - mudahan Allah merahmati sentiasa Tuan Guru Haji Sulong dan memasukkan beliau ke syurga tanpa hisab. Untuk mengetahui lanjut kisah dan perjuangan beliau, bolehlah tuan puan cari di alam maya atau buku - buku penulisan, antaranya, Ulama Besar Dari Fathani karangan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani dan  Tuan Guru Haji Sulong Gugusan Cahaya Patani oleh Mohd. Zamberi Abdul Malek.

Tuan Guru Haji Sulong tidak banyak mengarang, kerana masanya lebih kepada perjuangan membela nasib umat dan agama yang sedang ditekan dan ditindas oleh kerajaan Siam. Setakat yang diketahui, beliau sempat menghasilkan tiga (3) buah karangan. Beliau menulis sebuah kitab dalam bidang usuluddin dinamakan Khulashatul Jawahir, sebuah lagi mengenai mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan jodol Cahaya Islam - Gugusan Mawlid Sayyidil Anam dan kitab terakhir beliau karang ketika dalam penjara di Ligor, berjodol Gugusan Cahaya Keselamatan. Tulisan terakhir beliau inilah yang paling masyhur dan digeruni oleh Siam, sehingga mereka mengharamkan penerbitannya dan menarikbalik serta memusnahkan segala naskhah yang beredar yang dapat diperolehi. Pada mukadimah kitab ini, Tuan Guru Haji Sulung menulis latar belakang penangkapan beliau pada 16 Januatri 1948 sehinggalah beliau dipenjarakan di Ligor. Beliau turut memuatkan senarai tuntutan rakyat Fathani kepada kerajaan Siam, sebagaimana yang dipersetujui dalam pertemuan ulama dan pemimpin Islam Fathani pada 1 April 1947. Kitab yang terdiri daripada  lima bab diakhiri dengan satu khatimah yang isinya:- Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi wali Allah yang besar Habib `Abdullah al-Haddad dan ratib baginya. Bagi memperkenalkan Ratib al-Haddad, Tuan Haji Sulong rahimahullah pada halaman 82, menulis sebagai berikut:- 
Ini ratib bagi Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, juga yang banyak manfaat dunia dan akhirat, lagi zahir berkatnya bagi mereka yang beramal akan dia. Iaitu diamal lepas sembahyang `Isyak dan Subuh. Dan jika diamalkan dengan perhimpunan ramai terlebih berkat daripada seorang diri. Berkata empunya ratib: "Barang siapa mengekali membaca ratib kami ini, dikurnia oleh Allah ta`ala akan dia atas sebaik -baik mati". Dan dipeliharakan daripada kebakaran rumahnya dan rumah yang sekampung dengan dia. Dan dipeliharakan daripada kecurian dan karam di dalam laut dan daripada kejahatan seteru dan daripada segala binatang - binatang yang bisa seperti ular dan kala dan lain - lain. Dan banyak lagi faedahnya, maka hendaklah beramal akan dia dengan berkekalan.
Begitulah serba sedikit tulisan Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani rahimahullah. Semoga bermanfaat dan marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Tuan Guru Haji Sulong dan kepada para masyaikh kita terutama sekali yang ada dalam mata rantai amalan Ratibul Haddad, wa bil khusus, antaranya Habib Hamid bin `Alawi al-Kaaf yang menerimanya daripada Sayyid Muhammad Amin Kutubi yang menerimanya daripada Sayyid Husain `Aidid yang menerimanya daripada Sayyid `Idrus bin `Umar al-Habsyi yang menerimanya daripada Sayyid `Abdullah bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Imam Thahir bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Sayyid `Umar Saqqaf as-Saqqaf yang menerimanya daripada Sayyid Hasan bin `Abdullah al-Haddad yang menerimanya daripada ayahandanya yang empunya ratib, Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddadridhwanullahi `alaihim ajma`in .... lahum minna al-Fatihah.

Jumaat, September 24, 2021

Doa Nabi Khadhir

Nabi Khadhir @ Khidhir alaihis salam menurut kebanyakan ulama, masih lagi hidup dalam dunia ini. Ini tidaklah menolak adanya pandangan segelintir ulama yang mengatakan bahawa baginda telah pun wafat. Jadi tidak perlulah kita bahas panjang, terpulanglah kepada keyakinan masing - masing untuk berpegang dengan pendapat mana yang dia mahu. Kisah orang bertemu dengan Nabi Khadhir telah banyak diriwayatkan dalam kitab - kitab ulama kita. Pada kesempatan ini faqir kongsikan kisah Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu bertemu dengan Nabi Khadhir `alaihis salam lalu baginda mengajarkan kepada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu akan satu doa yang berkat.

Syaikh Sa`id Ramadhan al-Buthi, ulama yang `alim lagi `allaamah, syahid dibom dan dibunuh dalam masjid ketika mengajar, mudah - mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan mengganjarinya dengan pahala syahid masuk syurga tanpa hisab, pernah menceritakan kisah dan doa Nabi Khadhir ini dalam satu kuliah beliau. Beliau meriwayatkan kisah tersebut dengan shighah tamridh (yakni isyarat atas dhaif sanadnya) bahawa pada satu ketika, sedang Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `amhu bertawaf mengelilingi Ka`abah, baginda terdengar seorang hamba Allah, berpaut pada kelambu Ka`abah sambil  berdoa: "Wahai Tuhan yang sentiasa mendengar segalanya tanpa sebarang gangguan, Wahai Tuhan yang tidak pernah keliru dek banyaknya permintaan, Wahai Tuhan yang tidak sesekali bosan dengan desakan permohonan hamba - hambaNya kepadaNya; Rasakan kepada kami kenyamanan rahmatMu dan kemuliaan penerimaanMu." Mendengar doa tersebut, Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu menyuruh hamba Allah tersebut mengulanginya. Beliau mengulangi doa tersebut dan berkata kepada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu: "Berdoalah kepada Allah dengan doa ini setiap kali selesai shalat, demi Tuhan yang nyawa Khadhir dalam genggamanNya, tidaklah seseorang yang berdoa dengan doa ini melainkan Allah mengampuni segala dosanya." Syaikh Sa`id Ramadhan al-Buthi rahimahullah menganjurkan agar kita menghafal doa ini dan mengamalkannya setiap lepas shalat. Mudah - mudahan dapat kita amalkan.

Kisah yang sama dinukilkan oleh Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam "ad-Durrul Mantsur", juz 7, halaman 624 dengan shighah yang sedikit berbeza. Imam as-Sayuthi menyatakan bahawa kisah ini diriwayatkan oleh al-Khatib dan Ibnu `Asakir `alaihima rahmatus Syaakir daripada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu. Menurut riwayat nukilan Imam as-Sayuthi rahimahullah tersebut, Nabi Khadhir `alaihis salam menyatakan bahawa: "Demi Tuhan yang nyawa Khadhir dalam genggamanNya, tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengannya selepas shalat fardhu melainkan diampuni dosa - dosanya walaupun dosanya banyak, umpama pepasiran di padang pasir yang luas, sebanyak titisan air hujan dan sebanyak daun - daun pepohonan."

Kisah pertemuan Nabi Khadhir `alaihis salam dengan Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu ini telah dinukilkan dan dikomentari oleh ramai ulama kita, antaranya Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, Imam Ibnu `Arraq al-Kinani dalam Tanzih asy-Syari`ah dan Imam Isma`il al-`Ajluni dalam Kasyful Khafa. Menurut Imam Ibnu Hajar rahimahullah ianya diriwayatkan oleh Imam Ibnu `Asakir daripada dua wajah yang mana kedua - duanya adalah dhaif. Begitulah juga penilaian yang diberikan oleh ahli - ahli hadis. Walau bagaimana pun, memandangkan riwayat ini hanyalah atsar yang tidak mengandungi hukum halal - haram, maka doa tersebut tidaklah bermasalah untuk diamalkan kerana termasuk dalam keluasan bab fadhailul.

Klip Syaikh Sa`id Ramadhan al-Buthi rahimahullah

Selasa, September 21, 2021

Bayangan Tuhan

Beberapa waktu dahulu, heboh di dunia maya dan nyata, asatizah memperkata mengenai sabdaan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenai penguasa sebagai bayangan Allah di muka bumi. Yang pasti ibarat hadis tersebut adalah bersifat majazi dan bukannya hakiki, kerana Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk dan Maha Suci Allah daripada berbayang-bayang. Darjat dan status hadis tersebut dipertikaikan dan dijadikan modal perdebatan, tambahan pula yang menyebarkannya pihak yang berwenang dalam bidang agama. Oleh itu, ianya adalah hadis yang para ulama tidak sependapat dengan statusnya.

Faqir tidak berminat untuk pergi kepada status kedudukan hadis tersebut, telah banyak diperkatakan. Faqir hanya hendak membawa pandangan dari satu sisi buat fikir dan renungan diri. Apa kata, jika kita pandang dari bawah ke atas, lalu kita tanya diri:-

Bagi Allah tiada bayang

Ibarat hadis hanya kiasan

Fahami ini muhim jiddan

Agar tidak tersesat jalan

Khaliq dan makhluk jangan samakan

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.


Fahami ibaratnya wahai tuan

Bayang itu apa kelakuan

Tiada ada pada bayang melainkan

Hanya tunduk menyerah turutkan 

Tuan si empunya bayangan

Maka itu tuan ingatkan

Tiada presiden tiada raja tiada sultan 

Mengaku diri hamba Tuhan

Pengikut Nabi Akhir Zaman

Umpama bayang-bayang Tuhan tamsilkan

Pada dirinya sentiasa turutkan

Perintah Kehendak Kemahuan Tuhan

Lawan bercanggah menyalahi jangan

Hukum Tuhan ditegakkan

Berlepas sekali - kali jangan

Ibarat bayang dengan badan

Juga pada menurut mencontohkan

Sifat jamaal penuh keindahan

Kasih sayang belas ihsan jadi pakaian

Hamba rakyat diberi perlindungan

Umpama bernaung di bawah bayangan

Ini ibarat fahamkan tuan

Isyarat kepada bayangan Tuhan

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.


Oleh itu fikirlah tuan

Jika mengaku bayang Tuhan

Tapi tingkah kelakuan tiada sekatan

Bebas tanpa batasan tanpa ikatan

Diumpamakan dirinya bak Tuhan

Bukannya lagi tamsil bayangan

Keangkuhan Namrud jadi ikutan

Adakah layak yang sedemikian

Diaku disanjung dipuji bayang Tuhan ??

Atau hanyalah bayangan Fir`aun dan Haman??

Maha Suci Tuhan

Daripada makhluk diserupakan.

Khamis, September 16, 2021

Anjuran KH Zainuddin

Tradisi yasinan, tahlilan, lalu dilanjut dengan memberi makan kepada hadirin adalah amalan yang sudah sebati dengan masyarakat kita. Bahkan ianya juga diamalkan dalam masyarakat Islam di berbagai pelosok dunia. Perbezaannya mungkin dari sudut cara dan kaedahnya sahaja, namun substansinya sama iaitu bersedekah dan mendoakan orang - orang yang telah kembali ke rahmatullah. Ingatkan mereka - mereka yang telah pergi mendahului kita serta mendoakan mereka adalah perbuatan baik lagi dianjurkan oleh agama. Itu termasuk dalam anjuran berbuat ihsan dan sesiapa yang berbuat ihsan kepada penghuni bumi, dia akan mendapat ihsannya penghuni langit. Mudah - mudahan nanti setelah kita pula yang berpulang akan ada orang yang sudi mendoakan kita dan beramal shalih bagi pihak kita, samada amal shalih itu berupa doa atau hadiah atau sedekah atau seumpamanya. Jom dengar klip pesanan Mawlana Syaikh KH Zainuddin Abdul Majid rahimahullah, ulama besar Lombok.


"...Barang siapa membantu orang mati dengan bacaan - bacaan Quran, ayat dan sebagainya atau pun dengan doa - doa, orang itu akan menerima syurga....." - KH Zainuddin Abdul Majid

Selasa, September 14, 2021

Kisah Ibu Syabib

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahmatullah `alaih yang namanya sering disebut - sebut dan menjadi sandaran parti sebelah, dalam kitab beliau ar-Ruuh pada halaman 29 - 32 menjadikan amalan mentalqin mayat sebagai antara dalil untuk membuktikan bahawa orang mati yang berada di dalam kubur itu masih boleh mendengar. Beliau menyatakan, antara lainnya:- ... Dan antara nas yang menunjukkan atas perkara ini (yakni atas mendengarnya simati dalam kubur) adalah amalan mentalqinkan orang mati di sisi kuburnya yang telah dilakukan oleh orang sejak dahulu hinggalah sekarang. Kalaulah si mati tidak mendengar talqin tersebut dan mengambil manfaat dengannya, sudah tentu amalan ini tidak berfaedah dan sia - sia. Imam Ahmad rahimahullah telah ditanya mengenai masalah talqin ini dan beliau menganggapnya sebagai amalan yang baik kerana telah menjadi amalan orang ramai ..............Walaupun hadis tersebut (yakni hadits talqin Abu Umamah) tidak sabit (pada kesahihannya), namun jika dihubungkan kepada fakta bahawa amalan membaca talqin ini telah menjadi amalan orang ramai di segenap kota dan pada setiap masa tanpa sebarang pengingkaran, adalah memadai untuk dijadikan dalil bagi amalan ini..... 

Inilah pernyataan Ibnu Qayyim dalam kitab tersebut, mungkin pihak - pihak yang tidak bersetuju, mempunyai tanggapan lain mengenai pernyataan ini. Apa - apa pun, diharap pihak - pihak yang tidak mahu bertalqin, tak perlulah sampai ke tahap anti-talqin. Brek sikit, kerana amalan bertalqin ini walaupun dianggap sebagai amalan yang sabit mustahab di sisi pengikut Mazhab Syafie, namun ada ulama daripada kalangan tiga mazhab yang lain turut bersetuju dengan pendapat mazhab kita. Janganlah kita membodohkan diri dengan beranggapan bahawa hanya orang kampung kita sahaja yang membaca talqin atas kubur atau amalan ini baru saja dimulakan oleh tok lebai kampung kita.

Selanjutnya, Ibnu Qayyim dalam kitab tersebut pada halaman 33 membawa satu cerita sebagai berikut:- Syabib bin Syaibah berkata: "Ibuku ketika hampir ajalnya telah berwasiat kepadaku dengan berkata: "Wahai anakku, setelah engkau selesai menguburku, berdirilah di sisi kuburku dan ucapkan: "Wahai Ibu Syabib, katakan la ilaha illa Allah." Maka setelah beliau meninggal dan aku mengkebumikannya, aku pun berdiri di sisi kuburnya lalu berkata:"Wahai Ibu Syabib, katakan: la ilaha illa Allah", kemudian aku pun beredar. Maka ketika malamnya, aku bermimpikan ibuku dan beliau berkata: "Wahai anakku, hampir - hampir sahaja aku binasa jika aku tidak mendengar seruan la ilaha illa Allah tersebut, sungguh telah engkau tunaikan wasiatku, wahai anakku."

Begitulah kisahnya, jangan pula dituduh kita menjadikan kisah ini sebagai dalil untuk bertalqin. Sesungguhnya bagi talqin itu ada dalil - dalil yang diterima oleh para ulama kita menurut ilmu dan ijtihad mereka untuk dijadikan sandaran. Kisah ini walaupun tidak dijadikan dalil, ianya adalah satu kisah yang dinukilkan oleh para ulama termasuklah Ibnu Qayyim al-Jawziyyah sebagai sesuatu yang patut dan layak untuk ditulis dalam kitab - kitab mereka. Percaya atau tidak, ianya tidak menjadi masalah. 

Ahad, September 12, 2021

Talqin Pendek

Mentalqinkan mayat setelah dia dikebumikan telah menjadi amalan kita, para pengikut Mazhab Syafie. Talqin itu adalah pesanan atau peringatan yang membimbing, disampaikan dan ditujukan kepada si mati yang akan menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir
`alaihimas salam, dengan harapan si mati akan lebih tenang dan lebih mantap untuk menghadapi kedua - dua makhluk Allah tersebut. Jadi sasaran talqin itu adalah kepada orang yang di dalam kubur itu. Ini perlu difahami kerana ada juga orang yang mengaku bermazhab Syafie dan mengamalkan talqin, namun apa yang dilakukannya bukanlah talqin tetapi berceramah atas kubur, bermain dengan emosi hadirin yang berada atas kubur berbanding mentalqinkan yang di dalam kubur. Itu bukan talqin, tapi ceramah atau khutbah, ada pula yang terbawa - bawa fikrah politik, siap ceramah politik pulak atas kubur. Jika ceramah atau khutbah ditujukan kepada yang masih hidup, maka itu bukan talqinul mayyit `inda qabrihi (mentalqinkan mayat di kuburnya), fahamkanlah.

Berbalik kepada talqin, hukum talqin ini adalah sunnat atau mustahab dalam mazhab kita, noktah. Jadi bagi sesiapa yang melakukannya, dia akan mendapat ganjaran pahala, manakala orang yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Jika begitu, kedudukannya adalah elok dilakukan dan bukan ditinggal. Maka agar semua orang yang hendak melakukannya dapat berbuat sedemikian, kerana ia merupakan satu pintu mendapatkan pahala dan juga, in sya Allah, satu ihsan dan upaya untuk membantu si mati yang mungkin tengah terkejut "san beriyan" berhadapan detik pertama di alam kubur, faqir bawakan "talqin pendek" sebagaimana riwayat yang ada dalam karangan ulama kita. Mudah - mudahan dengannya kita dapat mengamalkan amalan mentalqinkan si mati, tanpa merasa bahawa amalan talqin ini susah, jika tak ada tok lebai atau tok imam atau ustaz yang boleh baca talqin, dok pakat tak buatlah kita dengan alasan tak hafal atau tak lancar nak membaca teks talqin yang panjang dan dan dan dan dan sebagainya. Juga boleh dibaca ketika perlu meringkaskan proses pengkebumian seperti ketika zaman pandemik ini atau sebagainya. Tuan - tuan, Qunut Subuh yang hukumnya sunnat ab`adh pun ulama kita rumuskan memadai dengan doa - doa pendek yang biasa orang kita sebut "qunut pendek", inikan pula sekadar talqin yang hukum mustahab sahaja dalam mazhab.

Kita mungkin sudah biasa mendengar istilah "Qunut Pendek", iaitu rangkaian beberapa kalimah doa seperti "Allahummagh firli, ya Ghafuur" atau seumpamanya, ditambah shalawat dan salam yang singkat, sebagai ganti qunut yang biasa dibaca dalam shalat Subuh, bagi sesiapa yang belum hafal qunut panjang atau sedang ada keperluan untuk meringkaskan shalatnya atau yang sengaja malas. Dalam entri ini, faqir bawakan "Talqin Pendek" yang dinukil oleh Mahaguru ilmu hadis bergelar amirul mu'minin fil hadits, Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah. Faqir petik dari kitab beliau yang khusus menghimpunkan hadis -hadis yang menjadi sebahagian dalil bagi hukum hakam dengan jodol "Bulughul Maraam min Adillatil Ahkam".

Dalam kitab tersebut pada kitabul janaaiz, Imam Ibnu Hajar meriwayatkan hadits daripada Dhamrah bin Habib radhiyaAllahu `anhu - seorang tabi`in - yang berkata: "Adalah mereka (yakni sebahagian sahabat Junjungan Nabi) menyukai, ketika selesai si mati dikebumikan dan para pelayat mula beredar, agar diucapkan di sisi kuburnya:- " Wahai fulan, katakanlah: La ilaha illa Allah (tiada tuhan melainkan Allah)," sebanyak tiga kali. Wahai fulan, katakanlah: RabbiyaAllah, wa diiniyal Islam, wa nabiyyi Muhammad (Tuhanku Allah, agamaku Islam dan nabiku Muhammad)." Hadis mauquf (yakni hadis yang sanadnya hanya sampai kepada tabi`in sahaja) diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur.

Perbahasan tentang status, kekuatan dan penghujjahan dengan hadis ini, tidaklah menjadi fokus entri ini. Kita semuanya telah bersetuju bahawa menurut Mazhab Syafie, hukum mentalqinkan si mati setelah dikubur adalah amalan yang mustahab dan dianjurkan. Mereka - mereka yang tidak bersetuju, itu hak mereka, dan sebagaimana mereka berhak untuk berpegang dengan keyakinan mereka, maka kita juga sedemikian. Makanya, faqir tidak berhajat memanjangkan perbahasan ikhtilaf dan pendalilannya di sini - mengabihkan boreh saja boss - sebab telah tuntas dibahas oleh para ulama kita. 

Selanjutnya, faqir nukil daripada karangan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah yang berjodol Kaifiyat Khatam al-Quran pada halaman 83, di mana beliau menganjurkan talqin yang pendek ini dibaca setelah membaca talqin yang panjang. Beliau menulis, antara lain:- ....Kemudian maka dibaca doa ini pula tatkala habis talqin itu. Maka hendaklah dikatanya pada mayyit itu: "Ya fulan bin fulan, yakni diserukan nama orang mati itu dan diseru nama ibunya jika tahu dan jika tiada maka diserukan namanya jua, (katakanlah) RabbiyaAllah, wa diiniyal Islam wa nabiyyi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam", maka dibaca pula .....(doa).... 

Oleh itu disukai untuk menghimpunkan dua shighah talqin, iaitu talqin panjang yang berasaskan kepada riwayat Abu Umamah al-Bahili dengan talqin pendek berdasarkan kepada riwayat Dhamrah bin Habib. Maka sebagaimana disukai untuk menghimpunkan Qunut Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan Qunut Sayyidina `Umar radhiyaAllahu `anhu, dan memadai dengan salah satu daripadanya, maka begitulah juga dengan talqin. Maka disukai untuk menghimpunkan keduanya dan memadai dengan salah satu daripadanya jua.

Kesimpulannya, bahawa talqin itu ditujukan kepada si mati setelah selesai dikebumikan dengan apa jua bentuk lafaz yang boleh membantunya menghadapi soalan Munkar dan Nakir `alaihimas salam. Ianya boleh dilakukan dengan apa jua bahasa kerana ulama berbeza pendapat mengenai bahasa yang digunakan. Secara umum, ianya dilafazkan dalam Bahasa Arab, namun boleh sahaja jika digunakan Bahasa Melayu atau apa jua bahasa yang difahami oleh simati, bahkan ada juga qil mengatakan dengan Bahasa Farsi atau dengan empat kalimah dalam Bahasa Siryani. Begitulah keluasan yang ada dalam melaksanakan amalan talqin bagi si mati. Oleh itu, eloklah bagi kita yang mengikut para ulama asy-Syafi`iyyah untuk melakukannya walaupun dengan ucapan yang ringkas, mudah - mudahan kita mendapat ganjaran pahala atasnya dan juga atas ihsan yang kita tunjukkan kepada si mati. Kita juga mengharapkan si mati yang di dalam kubur itu mendengarnya dan diberi bimbingan dalam menghadapi soal kubur. Kepada Allah jualah kita berserah dan berharap. Akhirul kalam, faqir datangkan dengan satu doa yang ringkas yang sewajarnya kita baca ketika proses pengkebumian, tak kiralah dibaca talqin atau tidak. Doanya ringkas sahaja, nak yang panjang hang pa cari sendiri. Doanya faqir tulis, dengan gantinama bagi mayat lelaki, jika perempuan tukar sahaja dhamir "hu" ke "ha", jika tak ditukar pun tak mengapa yang penting jangan jadi "huha" "huha", inilah doanya:-

اَللَّهُمَّ لَقِّنْهُ حُجَّتَهُ

Allahumma laqqin-hu hujjata-hu

(Ya Allah, bimbingkan dia dalam hujjahnya)

Syaikh Mahmud al-Huut mentalqinkan almarhumah ibu beliau.


Khamis, September 09, 2021

Puisi Syed Naquib

Tan Sri Professor Syed Muhammad Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-'Aththas, cukup ternama di kalangan para ilmuwan, terutama para peminat falsafah dan ahlinya. Beliau adalah keturunan Habib Abdullah bin Muhsin @ Habib Keramat Empang yang terkenal dengan ilmu dan kewaliannya. Buku - buku karangan Prof. Syed Naquib, disamping penuh dengan ilmu pengetahuan, juga ditulis dengan gaya bahasa yang cukup indah dan mengasyikkan. Dalam mukadimah bagi himpunan tulisan beliau berjodol Risalah Untuk Kaum Muslimin, beliau memulakan dengan kata - kata pujian yang indah bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kata-katanya sebagai berikut: ...... Dan shalawat yang tiada berputusan serta salam yang tiada berhabisan kepada abdi dan rasulNya junjungan kita Muhammad, pemilik panji kepujian yang mengikrarkan hakikat namanya sebagai mu'jizat nyata yang terus berlaku; yang

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papantulis belum tercatat
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat --
Dalam diriku semua terlibat.

yang awal dicipta dan akhir menjelma, sehingga kedatangannya seperti yang datang dari Jauh ditunggu - tunggu; imam segala nabi dan khatimnya semua, laksana permata jawhar bercahayakan air asali menghiasi gelang para anbiya, laksana mohor Raja Agung yang pertama - mula menerap kalimah tawhid pada kalbu - diri Insan; yang terbit bagai bulan purnama cahayanya indah mengusir kegelitaan malam Jahiliah; yang katanya sungguh dan benar dan caranya betul belaka; tauladan terbaik bagi anak Adam dan rahmat Ilahi bagi sekalian alam....

Indah susun kata, lagi benar apa yang dinyata. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ruhani pertama menerima ada, asal bagi segala ada, baginda sinaran sani cahaya kamalat, pancaran murni asma dan sifat, rumusan seni segala makhlukat. Allahumma shalli wa sallim `alaih. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan limpahan rahmat belas kasihNya bagi sang penulis juga pembaca.


Selasa, September 07, 2021

Kanzul Haqaaiq

Shalawat cetusan ilham seorang ulama dan wali terkenal di Maghribi, Syaikh Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi al-Amghari rahimahullah yang lahir pada tahun 1876M. Beliau adalah faqih Maliki dan syaikh mursyid bagi Thariqat Darqawiyyah Syadziliyyah Habibiyyah. Shalawat gubahan beliau ini dinamakan sebagai Kanzul Haqaaiq. Ulama - ulama selepas beliau telah memberikan perhatian kepada shalawat ini dan menulis beberapa syarah untuk menjelaskan isi yang terkandung dalam shalawat ini. Kita yang berada di dunia Melayu mungkin kurang mengenali Sidi Muhammad ibnul Habib, namun di belahan dunia sebelah barat, beliau dikenali dan memiliki murid - murid yang menjadi penerus perjuangan beliau. Karangan beliau ada yang diterjemahkan ke bahasa - bahasa barat seperti Bahasa Inggeris dan Perancis.
 
Di sini, faqir terjemahkan Shalawat Kanzul Haqaaiq fish shalaati `ala Sayyidil Khalaaiq  sekadarnya, menurut pemahaman faqir yang lemah lagi singkat, moga - moga jadi asas bagi faham yang jitu, juga sebagai ingatan buat diri faqir. Itulah tujuan faqir menulis, tujuan dan sasaran utama adalah untuk diri faqir sendiri, agar ilmu dan maklumat yang ditulis dapat disimpan dalam blog ini untuk memudahkan semakan dan rujukan nanti. Lalu kemudian sesiapa yang sudi berkongsi membacanya, mudah - mudahan ada faedah dan manfaat. Semoga yang menulis dan yang membaca diberikan keikhlasan yang tulus semata-mata demi meraih keredhaan Yang Maha Esa. Maka dengan ilmu yang dangkal, faqir cuba mengartikan secara zahir akan Shalawat Perbendaharaan Hakikat - Hakikat Kebenaran, dengan `inayah dan hidayahMu jua, wahai Tuhan:-

Ya Allah
Limpahkan shalawat dan salam
Dengan segala kesempurnaanMu
Pada segala tajalli sifatMu
Atas baginda Muhammad
Awal permulaan segala nur ciptaanMu
Limpahan lautan - lautan keagungan zatMu
Dia yang menyatakan hakikat - hakikat
Segala nama dan sifatMu
Di alam batin dan alam zahir
Dia makhluk terawal
Memuji dan mengabdi kepadaMu
Dengan berbagai rupa ibadat dan qurubaat
Dialah penyalur bantuan pertolongan
Di alam roh dan dunia nyata
Kepada segala makhluk yang wujud
Limpahkanlah shalawat dan salam sedemikian
Atas keluarga dan sahabatnya sekalian
Shalawat yang menjadi sebab
Engkau singkapkan bagi kami
Hijab penghalang kami
Memandang wajahnya yang mulia
Dalam mimpi juga ketika jaga
Kurniai kami makrifat
Sebenar - benar makrifat akan Dikau dan dia
Pada segala tingkatan martabat dan penghadapan
Berlembutlah dengan kami
Wahai Tuhan kami
Demi jah kemuliaan baginda nabi
Dalam setiap gerak diam kami
Juga pada setiap lirikan dan bersitan.

Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi rahimahullah wafat pada tahun 1972M dalam usia 96 tahun, ketika dalam perjalanan menuju ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Makam beliau kini berada di Kota Meknes, Maghribi, dengan dirawat rapi dan menjadi tumpuan ziarah para pencinta dan pencari berkah. Mudah - mudahan Allah melimpahkan rahmat yang berkekalan ke atas Sidi Muhammad ibnul Habib, melapangkan kuburnya dan meninggikan darjatnya.... Allahumma aamiin, al-Fatihah

Kanzul Haqaaiq


Sabtu, September 04, 2021

Pesan Sedekah Ke Anjing

Dulu ketika kecil, almarhumah ibu faqir pernah bercerita mengenai "pesan - pesan pelik" orang-orang tua dahulu kepada bakal - bakal haji yang hendak berangkat ke tanah suci. Antaranya bersedekah kepada binatang yang ada di kota - kota suci tersebut dengan memberi mereka makan. Pelik juga jika difikirkan, namun bila direnung - renung, sedekah kepada manusia itu sudah biasa dan lumrah, tak dipesan pun orang akan buat. Jadi make sense jugak jika yang dipesan adalah untuk bersedekah kepada binatang, yakni agar meratai ibadah sedekah kita, rahmat belas ihsan kita daripada manusia sehinggalah kepada binatang, yang juga makhluk ciptaan Allah dan tanda keagungan, kebesaran, kekuasaanNya. Lagi pun telah masyhur beberapa riwayat shahih tentang seseorang yang mendapat keampunan dan keselamatan, bahkan dimasukkan ke syurga, dengan sebab memberi minum anjing yang kehausan. Sehingga diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika ditanya oleh para sahabat: "Adakah kita memperolehi pahala daripada haiwan - haiwan liar?" Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Pada setiap hati yang basah itu ada ganjaran" (yakni berbuat ihsan seperti bersedekah dengan memberi makan dan minum kepada makhluk - makhluk yang bernyawa hatta haiwan sekalipun mempunyai ganjaran balasan pahala)

Mengenai kisah pesanan bersedekah kepada anjing di Tanah Haram, maka faqir terjumpa dengan klip yang ingin faqir kongsikan. Satu kisah yang diceritakan oleh Syaikh Khwaja Mohammad Alauddin Siddiqui (1938 - 2017M), seorang ulama sufi dan mursyid thariqat Naqsyabandi Shiddiqi Mujaddidi. Dari nada dan suara mawlana dengan bantuan sarikata, in sya Allah kita boleh faham ceritanya. Syaikh rahimahullah menceritakan kisah pengalaman beliau dengan seorang doktor yang telah dipesan oleh gurunya untuk bersedekah kepada anjing - anjing di Kota Madinah al-Munawwarah. Dalam kisah ini ada pengajaran dan falsafah tentang pentingnya kita sentiasa merendah diri dan tawadhu, jangan sekali - kali bersikap ujub dan melihat diri kita hebat dan bermartabat.....Allahu Allah. Semoga Allah merahmati sentiasa Syaikhul `Aalaam Khwaja Mohammad `Alauddin Siddiqui.....al-Fatihah.