Selasa, November 12, 2024

Nazam Ubat Hati

Untaian nazam yang dikenali sebagai Nazam Silsilah atau Nazam Munajah / Munajat atau Ubat Hati, gubahan asal berbahasa Arab dalam 33 bait karangan Syaikh Ismail bin Abdullah al-Minangkabawi al-Khalidi. Beliau rahimahullah adalah ulama besar asal Minangkabau dan wafat di Mekah. Beliau dikatakan sebagai penyebar pertama sekaligus mursyid Thariqat Naqsyabandiah Khalidiyyah di belahan bumi Melayu ini. Tidak dapat dipungkiri bahawa beliau adalah "min kibari ulama al-Jawi" (salah seorang daripada ulama besar Nusantara Tanah Jawi). Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi, rahimahullah, mufti pertama Negeri Sembilan dan syaikh mursyid Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah, dalam Kanzul Mu`id halaman 14 mencatat sebagai berikut:- ".....al-`Alim al-Fadhil al-Hummam al-Kamil, Shahibul Wilayah wal Karamah, asy-Syaikh Ismail al-Khalidi, yang mempunya kitab Kifayatul Ghulam dan murid mereka yang sangat alim lagi mempunyai beberapa karangan memanfaat akan manusia iaitu asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani rahimahumullahu ta`ala aamiin."

Syaikh Ismail mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam dakwah dan penyebaran agama, juga suluk perjalanan Thariqah Naqsyabandiyyah di Nusantara. Syaikh Ismail berguru dengan ramai ulama antaranya dengan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Beliau mewariskan beberapa karya tulis, sebahagian telah dicetak dan masih berada di pasaran. Karyanya juga masih ada yang dijadikan teks rujukan dan pengajian. Antara yang termasyhur daripada karangan beliau adalah kitab fiqh dasar, Kifayatul Ghulam dan kitab tawhid pengajian Sifat 20 pegangan `Asyaairah Maturidiyyah yang berjodol al-Muqaddimatul Kubra.

Berbalik kepada  Nazam Munajat @ Ubat Hati, sebagai penutup, faqir nukilkan terjemahan Bahasa Melayu nazam tersebut. Nazam yang dinamakan sebagai "Ubat Hati" berisikan tawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para awliya` dalam silsilah Thariqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah. Ianya dikarang oleh Syaikh Ismail al-Khalidi dalam tahun 1270H dalam Bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam Bahasa Aceh oleh Syaikh Teungku Muda Muhammad Waly al-Khalidi pada tahun 1370H dan akhirnya diterjemah dengan sedikit penambahan oleh KH Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidi pada hari Khamis tanggal 23 Rabi`ul Akhir 1415H. Mudah-mudahan ada keberkatan yang diperolehi darinya buat kita dan sekalian umat Islam. 

Terjemahan Munajat "Ubat Hati"

بسم الله الرحمن الرحيم

Mohon kami kepadaMu, wahai Allah
Dengan berkat rahsia Dzat, wahai Ghautsah

Dengan Jibril lagi berkat Nabi yang benar
Penghulu `alam sekalian Abu Bakar

Dengan berkat Salman Farisi yang mulia
Berkat Qasim berkat Ja'far yang arif raya

Berkat Abu Yazid raja para awliya`
Thaifur nama Abul Hasan masyhur raya

Berkat Abu `Ali wali di Farmadi
Berkat Yusuf Hamdan bangsa tolong madadi

Abdul Khaliq bangsa Ghajduwan baik benar
Arif bangsa Riyukiri masyhur tenar

Berkat Mahmud sudah itu berkat `Ali
Berkat Muhammad Samasi bangsa lagi wali

Berkat Kulal murid beliau Bahauddin
Imam dalam thariqat ini dengan yakin

Ala-iddin menantunya bagi puterinya
Berkat Ya'kub indah sangat pribadinya

`Ubaidillah syaikh yang banyak rahsia Tuhan
Ahrar masyhur di thariqat laqab gelaran

Syaikh yang zahid nama Muhammad wahai ikhwan
Dunia akhirat lantas Darwisy kemudian

Khawajakiy sesudah itu Syaikh Muhammad
Pemimpin kita mujaddid raya Syaikh Ahmad

Berkat Ma'sum kemudian Saifuddin
Sesudah itu Nur Muhammad syaikh yang yakin

Jani Janaan matahari terang sekali
Berkat qutub Syaikh `Abdullah megah tinggi

Maulana Khalid imam kita megah tenar
Berkat khalifah lagi saleh mulia benar

Syaikh `Abdullah turunan sayyid yang mulia
Quthubul Wujud jarang banding di dunia

Berkat mursyid lagi kamil di negeri Makkah
Cara rahsia irsyadnya itu lalu megah

Habis umur waktu duduk muraqabah
Sedang menunggu pemberian dari Allah

Beliau sedang menghadap Ka'bah yang mulia
Hampir Subuh hari `Arafah masyhur raya

Subuh Jum`at haji akbar beliau pindah
Dari dunia fana ini ke rahmatullah

Habis umur di rumahnya Jabal Qubais
Dimuliakan oleh Tuhan serta taqdis

Roh beliau sucikanlah wahai Rabbi
Terangkanlah kuburnya bernilai tinggi

Dengan berkat Syaikh Ismail guru kami
Yang menuntun thariqat ini kepada kami

Saudaranya yang mulia lapang dada
Sulaiman Qarimy mursyid megah dengan nyata

Dua khalifah dari dua mursyid tadi
Abu Bakar dengan `Umar mengikuti

Kemudian jadi khalifah `Utsman dan `Ali
Setiap mursyid mendapat izin megah jali

Dengan berkat Syaikh mulia yang terpuji
Itulah mursyid Sulaiman Zuhdi sabar tinggi

Quthubul Irsyad yang masyhur wahai rakan
Utsman Fauzi `alim `abid kepada Tuhan

Syaikh yang `arif dibangsakan kepada Shamad
Yusuf Zahid terkenal fana dalam Ahad

Mursyid kami yang terkenal wahai akhi
Beliau masyhur di negeri Kampar Abdul Ghani

Syaikh yang kamil lagi halim `inayah Rabbi
Faham yang halus mursyid kami Muhammad Wali

Angkatkanlah martabat beliau wahai Rahman
Tetapkanlah syurga tinggi kediaman

Dua khalifah yang diangkat dua maulana
Muhibbuddin Waly Idrus dua purnama

Sesudah itu `Adnan dengan Qamaruddin
Abuya wafat setelah diangkat jadi mursyidin

Syaikh Jailani Abdul Hamid kemudian
Tidak lama sudah itu Teungku Hasan

Wasiat isyarah dilakukan buah hati
Mursyid kami Kiyai Muhibbuddin Waly

Sesudah itu Teungku Jamaluddin Waly
Jadi mursyid serta Teuku Usman Fauzy

Telah sepakat atas ini semua mursyid
Doktor Muhibbuddin Waly hanya tanfidz

Gunung hakikat begitu tinggi naikkan kami
Laksana Kau tuntun kami ke thariqat ini

Minuman cinta begitu bersih minumkan kami
Agar hampir yang sempurna berikan kami

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Matikan kami dalam iman semuanya

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Khususkan kami mendapat sukses dalam syurga

Berikan rahmat serta salam selama-lama
Atas Nabi turunan Hasyim Ahmad nama

Atas sahabat dan pengikut keluarga
Shalawat salam tiada putus selamanya

Ismail Khalidy nama nazhim munajah ini
Hitungilah tarikh nazham huruf ini

Penterjemah Bahasa Aceh nazham ini
Syaikh murabbi harap ikhlas Tuhan beri

Nama beliau Syaikh Haji Muhammad Waly
Mohon penuh dari Allah rahsia tinggi

Penterjemah ke Bahasa Melayu tinggi
Professor kami Doktor Muhibbuddin Waly

Kedua beliau husnul khitam hai saudara
Disampaikan oleh Allah cita-cita

و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه اجمعين
و الحمد لله رب العالمين
آمين

Bacaan Nazam Ubat Hati oleh Buya Muhibbuddin


Jumaat, November 01, 2024

Raja Shalawat Di Hari Jumaat

Di hari yang mulia ini, antara amalan sunnah yang menjadi sunnat yang utama adalah bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika kita belum mampu membanyakkan shalawat kita pada setiap hari, maka setidak - tidaknya, kita perbanyakkanlah bershalawat pada malam dan hari Jumaat yang berkat. Imam al-Muhaddits Abul Fadhl, Syaikh Abdullah bin Muhammad ash-Shiddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, salah seorang pakar hadis kontemporer, dalam kitab beliau, an-Nafhatul Ilahiyyah fish shalaati `ala Khairil Bariyyah pada halaman 145, Hadis ke-33, meriwayatkan sebagai berikut:- 
Daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:-
"Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 1000 kali, (mudah - mudahan) dia tidak akan dimatikan melainkan setelah dia melihat tempat duduknya (yakni kediamannya) di dalam syurga." Hadis dengan lafaz ini diriwayatkan oleh Abu Hafsh Ibnu Syahin, sedangkan adh-Dhiya` al-Maqdisi meriwayatkan dalam al-Mukhtarah dengan lafaz hadisnya: "Sesiapa yang bershalawat ke atasku 1000 kali pada setiap hari ........(hingga ke akhir hadis)... " 

Ketika mengemas khazanah lama, faqir terjumpa kaset lama, rakaman majlis zikir dan tawajjuh bersama almarhum Prof. Dr KH Muhibbuddin Waly al-Khalidi. Antara yang sempat faqir rakam adalah bacaan Raja Shalawat atau Alfiyyatush Shalawat yang sangat berkat, yang dinisbahkan kepada Syaikhuth Thoifah, Imam Junaid al-Baghdadi radhiyaAllahu `anhu. Ketika membaca setiap satu lafaz shalawat dan salam yang terkandung dalam Raja Shalawat ini, seolah - olah kita sedang menghatur sejuta shalawat dan beruluk sejuta salam ke hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika ada 56 lafaz, maka seumpama 56 juta shalawat dan salam, ditambah dengan harapan pada penutupnya agar jutaan shalawat dan salam tersebut berulang - ulang dan berkekalan sehingga ke hari kiamat... ila Yawmid Din. Allahu .... Allah, hanya Dia yang mengetahui betapa besar ganjaran dan pahalanya, oleh itu, setidak-tidaknya kita bacalah akan shalawat yang berkat ini pada hari yang mulia ini. Walaupun rakamannya tidak begitu baik, almaklum zaman kuno, tetapi untuk meratakan manfaat dan menyebarkan berkat dari bacaan shalawat, juga agar dapat mendengar suara seorang ulama besar Nusantara, faqir simpankan di sini rakaman tersebut. Mudah - mudahan menjadi sebab kita semua mendapat berkat dan syafaat. 

Alfiyyatush Shalawat @ Raja Shalawat






Pembacaan Raja Shalawat oleh KH Teungku Muhibbuddin Waly



Rabu, Oktober 30, 2024

Talqin - Syaikhuna Kholil

Ada kalangan dalam masyarakat kita yang masih tidak dapat membezakan antara talqin buat si mati dengan tadzkirah bagi yang hidup. Mereka beranggapan tadzkirah yang disampaikan di hadapan kubur itulah talqin. Pendapat ini tidak tepat dan boleh jadi cerminan bahawa yang berpendapat sedemikian, samada memang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu atau tidak begitu selesa dengan amalan talqin mayyit dek kerana terkena jangkitan virus "protestant", yang menyebabkan orang yang terjangkiti suka memprotes amalan - amalan  para ulama kita terdahulu. Sememangnya kalimah talqin itu boleh digunakan dengan pengertian yang berbeza mengikut konteks, seperti ketika syaikh tarekat mentalqinkan muridnya, ertinya dia membai`ah atau mengijazahkan zikir tarekat kepada murid tersebut. Begitu juga talqin atas yang muhtadhar, iaitu orang yang sedang nazak menjelang kematiannya, adalah mengajarkan kepadanya kalimah tawhid agar dia mati atas kalimah tersebut. Namun, jika diithlaqkan kalimah talqin, maka yang difahami masyarakat kita adalah talqin mayyit yang ditujukan kepada si mati sebagaimana datang nasnya daripada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka, itulah talqin yang dihukumkan sunat dibacakan selepas pengkebumian dan mempunyai kaifiatnya yang tertentu. Berbeza dengan semata - mata tazkirah yang ditujukan hanya kepada orang yang hadir ketika pengkebumian tersebut. Jadi talqin itu adalah tadzkirah yang dikhususkan atau ditujukan kepada si mati yang akan berhadapan dengan soal Munkar dan Nakir, bukannya tadzkirah yang hanya ditujukan kepada orang - orang yang masih hidup. Lebih parah lagi, ada yang dalam bertazkirah, suka menyebut-nyebut atau memuji - muji si mati dengan sebutan dan pujian yang berlebihan dan melampau. Hati - hati, jangan sampai pujian dan kesaksian yang berlebihan tersebut membawa kepada dusta yang mendatangkan dosa atas kita dan menyakiti si mati.

Di antara turats peninggalan Syaikh Kholil Bangkalan rahimahullah adalah satu risalah berjodol Isti'daadul Maut berhubung kematian dan pengurusan jenazah. Maka pada halaman 30 beliau berbicara mengenai talqin sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- ...Mengikut uruf, talqin ditakrif sebagai mengajar si mati akan jawapan bagi soalan Munkar dan Nakir. Rukun talqin itu ada tiga (3):- (i) mulaqqin ( si pentalqin); (ii) mulaqqan (si mati yang ditalqin); dan (iii) mulaqqan bihi (ucapan talqin yang mengajari si mati). Sewajarnya si pentalqin mengetahui apa yang dia ucapkan (sebagaimana dalam shighah talqin yang dibaca), jika tidak, maka ianya seperti suara loceng, namun tidaklah mengapa bagi si mati akan yang sedemikian itu (yakni si mati akan tetap memperolehi manfaat talqin tersebut walaupun si pentalqin tidak mengetahui apa yang dia ucapkan). Talqin itu hukumnya sunnat dan bukannya wajib kerana firman Allah ta`ala: 

Maka jelas bahawa jika disebut sebagai talqin, maka yang difahami pada istilah dan uruf adalah "mengajar orang mati yang baru dikubur akan jawapan bagi soal kubur". Oleh itu, ceramah, tadzkirah, kuliah, puisi atau seumpamanya, yang dibaca ketika itu bukanlah talqin mayyit yang dihukumkan sunat dalam Mazhab Syafie. Selanjutnya, sebagaimana ulama lain, Syaikhuna Kholil turut menjadikan, antara dalil bagi amalan talqinul mayyit, ayat 55 surah adz-Dzaariyaat tersebut yang menyatakan bahawa sesuatu tadzkirah / peringatan itu boleh mendatangkan faedah atau bermanfaat kepada orang - orang yang beriman. Kalimah "mukminun (orang - orang yang beriman)" dalam ayat tersebut adalah merata dan umum, meliputi semua orang - orang yang beriman, samada yang masih hidup maupun yang sudah mati (namun hidup di alam barzakh). Berpandukan kepada ayat tadi, mudah - mudahan talqin yang sifatnya tadzkirah khusus, bertujuan untuk memberi peringatan kepada saudara seiman kita yang di dalam kubur, akan bermanfaat baginya apatah lagi ketika menghadapi ujian pertama dan yang paling getir di alam kubur atau alam barzakh yang baru dihuninya. Maka, teruskanlah amalan bertalqin, mentalqin dan bersedialah untuk ditalqin. 

Penjelasan Ustaz Abdul Raof al-Bahanji

Isnin, Oktober 07, 2024

Jangan Pukul Rata

Pernah gempar dan kembali gempar, olah pengikut ajaran sesat akibat kejahilan dan ketaksuban kepada seorang "abuya". Akibatnya menodai kehormatan dan keharuman nama seorang ulama terbilang Nusantara suatu ketika dahulu. Itulah fitnah yang ditimbulkan oleh pertubuhan al-Arqam yang kemudiannya diberi jenama baru sebagai Rufaqa dan akhirnya sebagai Global Ikhwan @ GISB. Namun, dalam keghairahan kita membanteras ajaran sesat, kita perlu juga berhati - hati agar jangan sampai kita melakukan kezaliman terhadap yang tidak terlibat sehingga kita menghukum secara blanket atau pukul rata sehingga kita menjadi orang yang zalim. Apatah lagi jika yang dizalimi itu ulama yang benar dan amalannya. Maka berhati - hatilah.

Barang diingat bahawa yang difatwakan sesat dan diharamkan oleh pihak berkuasa agama di negara kita adalah Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam dengan iktikad mereka yang ganjil mengenai beberapa isu seperti kemahdian penyusun aurad tersebut, kebanitamiman "abuya" mereka, yaqazah versi mereka dan seumpamanya. Faqir sesungguhnya percaya bahawa pegangan mereka ini telah menyeleweng dari jalan yang diajar oleh Sayyidi Syaikh Muhammad as-Suhaimi @ Kiyai Agung. Maka, janganlah kita menghukum secara pukul rata bahawa Aurad Muhammadiah itu sesat tanpa usul periksa, kerana bukan semua pengamal Aurad Muhammadiah itu pengikut ajaran "abuya".

Sepanjang hayat beliau, Syaikh Suhaimi tidak pernah mengaku bahawa dirinya Imam Mahdi yang ditunggu - tunggu dan aurad yang beliau amalkan tersebut tidak lain melainkan, zikir - zikir seperti dua kalimah syahadah sebagai zikir, lalu ditambah zikrus shalihin dengan menyebut para sahabat yang empat dengan gelar kehormatan mereka, surah al-Ikhlas, beberapa ayat al-Quran seperti Tasbih Nabi Yunus `alaihis salam dan shalawat yang dinisbahkan kepada Sultanul Awliya Syaikh Syamsuddin al-Hanafi qaddasaAllahu sirrah. Faqir tidak pasti berapa usia Aurad Muhammadiah yang disusun oleh Kiyai Agung tersebut, namun yang pasti ianya telah melebihi 100 tahun. Walaupun tidak sehebat bilangan pengamal thariqat - thariqat lain, tetap ianya mempunyai ratusan bahkan ribuan pengamal dari mula awal ianya disusun sehinggalah sekarang. Sepanjang perhatian faqir, pengamal  - pengamal Aurad Muhammadiah, selain pengikut Arqam @ Rufaqa @ Global Ikhwan, tidak suka menunjuk - nunjuk amalan mereka, mereka mengamalkannya secara pribadi untuk mencari berkah dan redha Ilahi, tanpa perlu publisiti apatah lagi dakwa - dakwi.

Sebagaimana yang berlaku dalam sesetengah amalan seperti thariqat atau ratib atau aurad, khalifah atau pengamal yang berotoriti atau berkelayakan, ada yang membuat inovasi dengan menambah zikir lain ke dalam zikir atau aurad atau ratib asal gurunya. Seperti dalam Ratibul Aththas, 3 ayat akhir Surah al-Hasyr yang dibaca pada awal ratib dan ayat akhir Surah al-Baqarah di hujung ratib itu merupakan tambahan daripada Habib Ali bin Hasan al-Aththas Shahibul Masyhad dan bukannya daripada Habib Umar bin Abdul Rahman al-Aththas Shahibur Ratib. Maka sedemikianlah juga dengan Aurad Muhammadiah, sebahagian pengamalnya selepas Kiyai Agung, telah menambah pada zikrus shalihin dengan memasukkan kalimah 'Muhammadunil Mahdiy" yakni Imam al-Mahdi sebagai khalifahnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan yang dimaksudkan adalah Imam al-Mahdi sebenar yang bakal zahir di akhir zaman yang belum kita ketahui individunya. Setakat perhatian faqir, penambahan ini telah menimbulkan isu sehingga pengamal Aurad Muhammadiah selepas Kiyai Agung, menjadi berpecah sebagai berikut:
  1. Pengamal yang masih dengan amalan Aurad Muhammadiah yang asal tanpa sebarang penambahan.
  2. Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut, tanpa sebarang iktiqad dan penentuan Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Iktiqad mereka mengenai al-Mahdi adalah selari dengan apa yang diajar dalam ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  3. Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut dan percaya Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi; dan
  4. Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut, percaya Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi dan memaksa kepercayaan tersebut kepada orang lain.
Setakat ini perhatian faqir yang dhaif lagi dangkal, berdasarkan pergaulan dengan pengamal dan cucu cicit Kiyai Agung, juga dengan melihat beberapa karya dan karangan pengamal - pengamal dan zuriat keturunan beliau. Yang penting untuk faqir sampaikan adalah berhati - hati ketika menghukum. Tidaklah boleh kita menghukum semua pengamal Aurad Muhammadiah sebagai sesat dan menyeleweng. Ketahuilah bahawa di antara pengamal Aurad Muhammadiah adalah Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi rahimahullah, seorang tokoh ulama yang berjasa. Bahkan, beliau atas permintaan murid -murid ayahandanya dan pengamal - pengamal Aurad Muhammadiah, telah mengarang Manaqib Syaikh Suhaimi dalam Bahasa Jawa (kerana pengamal Aurad Muhammadiah ketika itu ramai yang berketurunan Jawa) yang beliau terbitkan pada tahun 1349H. Terdahulu dari itu, ketika Syaikh Fadhlullah masih di Mesir, beliau telah telah mencetak buku Hadzihi al-Auradul Muhammadiyyah (Inilah Aurad Muhammadiyyah) yang mengandungi amalan Aurad Muhammadiah pada 17 Jamadil Akhir tahun 1332H, iaitu kira - kira 114 tahun yang lalu. 

Fenomena ajaran - ajaran sesat yang bertopengkan thariqat bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku, berlaku juga kini dan akan terus berlaku. Ada yang "nyaruk" atau menyamar dengan bertopengkan thariqat - thariqat yang haq seperti Thariqat Naqsyabandiah Khalidiah atau Ahmadiah atau Khalwatiah dan seumpamanya untuk menyesatkan umat. Maka tidak adil hanya kerana nama thariqat yang haq itu dihijack oleh para juhala` dan "guru" atau "syaikh" atau "abuya" yang ada tujuan duniawi, maka kita menghukum thariqat - thariqat tersebut sebagai sesat secara pukal. Oleh itu, berhati - hati dalam memvonis dan jangan melakukannya secara blanket, berlaku adillah sentiasa. Sentiasa persiapkan diri kita dengan ilmu terutama sekali ilmu - ilmu fardhu `ain sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama kita yang muktabar, agar kita tidak mudah tersasar dan terpengaruh dengan ajaran - ajaran sesat walau apa pun rupa bentuknya, samada berserban gaya thariqat atau berseluar cingkrang gaya wahabi terlebih sunnah atau bertakbir gaya jihadi terlebih salaf. Akhir kata, faqir nyatakan bahawa tulisan ini hanyalah berdasarkan observasi faqir dan untuk keterangan lanjut, tuan - tuan carilah sendiri dengan menemui pengamal dan zuriat mereka terutama sekali zuriat Syaikh Suhaimi yang masih ada. Apa yang penting, sentiasa berhati - hati dan jangan tiada beban batu digalas.

Selasa, Oktober 01, 2024

Dalailul Khairat - Syaikh Talidi

Syaikh Abdullah bin Abdul Qadir at-Talidi (1926 - 2017) rahimahullah, adalah salah seorang tokoh ulama pelbagai bidang kelahiran Maghribi. Beliau dikenali sebagai ahli tafsir, ahli hadis, juga sebagai seorang "salafi" (dalam erti, beliau mempunyai pandangan sendiri dalam fiqh yang tidak terlalu terikat dengan mana - mana mazhab fiqh terutama sekali Mazhab Maliki yang menjadi ikutan masyarakat di tempatnya), namun beliau juga dikenali sebagai seorang syaikh sufi yang berafiliasi dengan Thariqah Syadziliyyah. Beliau mempunyai murid yang ramai dan aktif menghasilkan berbagai karya yang bernilai, samada yang telah dicetak atau yang masih dalam bentuk manuskrip.

Di antara karangan beliau adalah al-Muthrib bi Masyahiri Awliya-il Maghrib. Karya ini merupakan karangan yang memuatkan biografi beberapa ulama dan wali yang masyhur di Maghribi (Morocco). Antara yang dimuatkan adalah biografi ringkas Sidi Abu Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli radhiyaAllahu `anhu. Pada halaman 143, Sidi Abdullah at-Talidi memperkenalkan Sidi Jazuli, antaranya, sebagai berikut:-

Sayyidi Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli (Alim Sufi). Beliau adalah seorang syaikh yang alim lagi arif, wali yang shalih, menjadi keberkatan bagi Kota Marrakesh, Sayyidi Muhammad Fathan bin `Abdul Rahman bin Sulaiman al-Jazuli. Seorang yang berketurunan syarif (yakni keturunan Rasulullah shallaAllahu `alaih wa sallam dari jalur Sayyidina Hasan bin Ali radhiyaAllahu `anhuma)...  ...Beliau adalah seorang `allaamah yang berkepakaran dan terkedepan dalam fiqh Mazhab Maliki. Dikatakan bahawa beliau telah menghafal kitab al-Mudawwanah dan selainnya..... .....Beliau telah menulis karya agungnya Dalailul Khairat yang mendapat sambutan hangat dan tersebar luas berbanding kitab - kitab yang lain. Secara umum, kitab ini telah berada di setiap rumah kaum muslimin pada semua peringkat. Ianya dibaca oleh semua, sehinggakan oleh wanita - wanita shalihah di pojok rumahnya. Berjuta - juta umat Islam telah merasai kebaikan dan keberkatannya serta mendapat manfaat dengannya, samada di Timur maupun di Barat, di setiap masa dan generasi. Mereka menyaksikan bahawa kitab ini mempunyai keberkatan - keberkatan dan cahaya - cahaya yang tidak terlintas dalam hati. Kaum Muslimin sangat bersemangat dan bersungguh - sungguh untuk membacanya, samada secara sendiri - sendiri atau berjemaah di masjid - masjid dan di rumah - rumah kediaman, semata - mata untuk mengabdikan diri beribadah dengan bershalawat ke atas Junjungan Kekasih  Agung (al-Habibul A'dzam) dan memuji -muji baginda. Begitulah keadaannya sehingga muncul dan tersebarnya fahaman al-Wahhabiyyah dalam masyarakat dan dengan penyebaran fahaman tersebut meratalah berbagai fitnah. Kaum Wahabi yang hanya berpegang kepada pendapat - pendapat Ibnu Taimiyyah dan mujaddid ajaran mereka, Ibnu Abdul Wahhab an-Najdi, telah menimbulkan syak wasangka dan keraguan yang melemahkan semangat umat untuk membaca Dalailul Khairat dan membuat mereka jemu untuk bershalawat ke atas Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam khususnya dan bosan untuk berzikir kepada Allah, umumnya. Kaum Wahhabi telah mencabut sangkaan baik (husnudz dzan) terhadap umat Islam hatta terhadap para pemuka dan imam - imam umat. Mereka menyibukkan diri untuk mencaci orang - orang shalih dan sesiapa yang prihatin dan cenderung kepada para shalihin tersebut. Dengan dakwah mereka yang hanya berpaksikan sebahagian pendapat Ibnu Taimiyyah yang melampau dan menyalahi pandangan semua imam dan ulama, mereka telah menyesatkan umat Islam yang awam dan yang khawas.

Menurut Sidi Abdullah lagi, kitab Dalailul Khairat adalah sebuah kitab yang berkat dan tidak bermasalah untuk diamalkan, kecuali ianya mengandungi beberapa hadis yang palsu atau yang tidak punya sumber riwayat. Namun, menurut beliau, perkara sebegini adalah perkara biasa bagi sesebuah karya yang ditulis oleh pengarang yang tidak mendalam pengetahuannya tentang hadis. Sidi Abdullah berpesan dengan pesanan berikut:- ...Aku nasihatkan setiap orang Islam untuk melazimi membaca Dalailul Khairat, maka sekiranya dia lazim membacanya dengan penuh tafakkur akan keagungan Junjungan Rasul yang mulia dan penuh kecintaan kepada baginda, nescaya dia akan mencapai kebahagiaan, in sya Allahu ta`ala

Atas nasihat dan pesanan itu, faqir akhiri entri ini. Semoga diterima nasihatnya dan bermanfaat dunia dan akhirat.

Syaikh Muhammad al-Yaqoubi

Ahad, September 29, 2024

Hadiah Pahala - Ibnu `Asyur

Syaikh Thahir Ibnu `Asyur rahimahullah pernah ditanya mengenai pembacaan ayat - ayat suci al-Quran dan pemberian makanan kepada fakir miskin dengan niat sebagai sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia. Maka jawapan beliau: "Bahawasanya pembacaan ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, demikian juga bersedekah dengan makanan kepada yang memerlukan, membaca tahlil dan zikir - zikir seumpamanya yang dijanjikan ganjaran pahala baginya, semua itu sampai ganjaran pahalanya kepada si mati menurut pendapat yang menjadi pilihan jumhur ulama Mazhab Maliki, para imam mazhab dan ulama - ulama ahlis sunnah. Dalil - dalil yang menunjukkan atas yang sedemikian banyak terdapat dalam sunnah.

Isnin, September 23, 2024

Mawlid al-`Arus

Pada entri  ini, faqir ingin bicara sedikit tentang karya mawlid yang ditulis sekitar abad ke-6H. Karya mawlid yang dinisbahkan kepada Imam Jamaluddin `Abdur Rahman bin `Ali Ibnul Jauzi al-Hanbali (510 - 597H) rahimahullah. Imam Ibnul Jauzi terkenal sebagai ulama yang mempunyai karangan yang banyak. Di situ juga ada beberapa karya yang ulama tidak sepakat menisbahkannya sebagai karya beliau, antara yang sedemikian adalah karya mawlid yang masyhur dengan nama Mawlid al-`Arus. Sebahagian ulama mensabitkannya sebagai karya asli Imam Ibnul Jawzi, manakala sebahagian yang lain agak ragu dengan alasannya masing - masing. Apa yang pasti, tidak ada kata putus dalam perkara ini. Di sesetengah tempat di Timur Tengah, seperti Mesir dan Syria, Mawlid al-`Arus libni Jawzi masih dibaca terutama sekali dalam majlis - majlis mawlid atau dengan istilah yang lebih nyunnah versi Indera Kayangan, majlis - majlis Zikra al-Rasul. Oleh itu, mudah - mudahan  Allah menjadikan dada kita seluas lautan lepas untuk berlapang dada sesama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Sebenarnya, Mawlid `Arus bukanlah satu - satunya karangan mawlid yang dinisbahkan kepada Ibnul Jawzi. Beliau banyak menulis, sama berbentuk natsar maupun nazam, tulisan - tulisan yang memuji dan berkisah tentang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Misalnya Mawlid Syaraful Anam yang masyhur itu pun dikatakan sebagai karya Imam Ibnul Jawzi. Bahkan, demi meraiekan pendapat tersebut, Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullahi ketika mensyarahkan Syaraful Anam telah memberikan dua jodol bagi syarah beliau tersebut, iaitu Fathush Shamad al`Alim `ala Mawlid asy-Syaikh Ahmad ibn Qasim kerana menurut kata Syaikh Ahmad al-Marzuqi, kitab mawlid tersebut adalah karangan Syaikh Ahmad bin al-Qasim al-Maliki, dan al-Bulugh al-Fawzi li bayani alfadz Mawlid Ibn al-Jawzi kerana meraiekan pendapat yang masyhur bahawa ianya karya Imam Ibnul Jawzi.

Berbalik kepada Mawlid al-`Arus, di antara sebab sebahagian ulama menolaknya sebagai karangan Ibnul Jawzi kerana dikatakan yang mula - mula mendakwa ianya sebagai karangan Ibnul Jawzi adalah seorang orientalis German yang bernama Carl Brockelmann (1868 - 1956). Juga dikatakan bahawa ia mengandungi riwayat - riwayat tentang penciptaan Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dipermasalahkan. Namun, ini mungkin kerana pihak yang menolak sememangnya sejak awal bermasalah dengan konsep Nur Muhammad dan keterdahuluannya (awwaliyah / asbaqiyyah), seperti almarhum Syaikh Abdullah al-Harari dan pengikut - pengikutnya. Kesimpulannya, status Mawlid al-`Arus ini adalah karya yang dipertikaikan, sebahagian ulama menerima, bahkan menjadikannya bacaan dalam majlis - majlis sambutan mawlid, manakala sebahagian lain tidak menerimanya bukan sahaja sebagai karya Ibnul Jawzi tapi mendakwa ianya sebagai karya yang bermasalah. Maka yang nak pakai pakai, yang tak nak pakai, pakai yang lain. Nak bergaduh buat apa, baca shalawat lagi baik, dah masing - masing ada hujjah dan pandangan.

Di antara ilmuwan kontemporer yang berpandangan bahawa Mawlid al-`Arus adalah karya Imam Ibnul Jawzi dan tidak ada masalah pada isi kandungannya adalah Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali al-Ghazwani. Dalam membuat kajian, beliau telah meneliti banyak manuskrip mawlid tanpa jodol khas yang dinisbahkan kepada Imam Ibnul Jawzi. Lalu beliau memilih lapan (8) manuskrip yang lebih kurang sama kandungannya untuk kajian lanjut. Hasil penelitian tersebut, beliau terbitkan pada tahun 2015 naskhah Mawlid al-`Arus dengan tahkikannya. Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali adalah seorang doktor perubatan kelahiran Maghribi 1954. Beliau memiliki latar belakang pendidikan agama secara tradisional dan juga ijazah dari Universiti Qarawiyyin dalam bidang Usuluddin.

Sebagai penaik semangat bermawlid, maka faqir nukilkan antara yang dicatat dalam Mawlid al-`Arus berdasarkan kepada naskhah yang ditahkik dan diterbitkan pada tahun 2015 pada halaman 66  sebagai berikut:- ...Mahasuci Tuhan yang telah menjadikan nabi yang mulia ini sebagai Sulthanul Anbiya` (penguasa para nabi) dan telah mengangkat kedudukan serta namanya di alam malakut; Dan menjadikan bagi sesiapa yang bergembira dengan mawlidnya (kelahirannya) suatu hijab pendinding dari api neraka; Dan sesiapa yang menafkahkan satu dirham untuk mawlidnya, (mudah-mudahan) Junjungan al-Mustafa shallaAllahu`alaihi wa sallam memberikan syafaat baginya dan membalas setiap dirham yang dia belanjakan itu dengan sepuluh kali ganda...

Sebagai penutup, kita dengarkan bacaan fasal awwal dari Mawlid al-`Arus oleh ulama lagi wali yang masyhur di Syria, mursyid Thariqat Syazaliyyah Hasyimiyyah Darqawiyyah almarhum Syaikh `Abdur Rahman asy-Syaghuri. Mudah - mudahan ada manfaatnya.

Rabu, September 18, 2024

Mimpi Syah Abdur Rahim

Imam Musnid Hindi, Muhaddits Dehlawi, Syah Waliyullah Ahmad bin Abdur Rahim ad-Dehlawi (w. 1176H) rahimahullah, tokoh ulama pelbagai bidang, mufassir, sufi dan muhaddits, mempunyai karangan yang menghimpunkan 40 kisah mimpi atau pengalaman kerohanian yang menggembirakan. Risalah tersebut beliau namakan ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tulisan ini mengandungi pengalaman rohani dan mimpi dirinya dan beberapa tokoh lain seperti ayahandanya Syah Abdur Rahim, Syaikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syaikh Ahmad an-Nakhli, yang direzekikan Allah ta`ala untuk bertemu dan berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan beberapa pribadi mulia lain seperti Nabi Zakaria `alaihis salam.

Tidak ada yang menolak harus dan boleh bagi seseorang untuk bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beberapa hadits yang shahih menyatakan hal ini, antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Junjungan shallaAllahu`alaihi wa sallam menyatakan sesiapa yang melihat baginda di dalam mimpi, maka benarlah dia telah melihat baginda kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai baginda (yakni dalam bentuk rupa asli baginda sebagaimana dalam riwayat - riwayat yang sahih). Dalam mimpi yang sedemikian, tidaklah mustahil untuk berlakunya interaksi di antara Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan orang yang bermimpi. Maka, interaksi tersebut, samada berupa ungkapan kata atau laku perbuatan, jika dikatakan sebagai "hadits", maka ianya bukan atas istilah hadits mengikut disiplin ahli hadits atau ilmu mustalah hadits dan yang berkaitan dengannya. Ini hendaklah kita fahami betul - betul, sebelum mensabitkan sesuatu riwayat yang diperolehi dari jalan yang tidak mengikut piawai para muhaddits sebagai hadits dalam istilah ilmu hadis dan sebelum mentohmah kebohongan dan kepalsuan kepada para awliya` yang telah benar - benar berinteraksi dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi - mimpi atau pengalaman rohani secara yaqazhatan.

Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi, bukanlah tokoh yang asing dalam ilmu hadits. Beliau adalah ahli hadis, muhaddits bahkan dianggap sebagai musnid, juga seorang reformis selain seorang mufassir, usuli, faqih lagi sufi. Pada mukaddimah ad-Durruts Tsamin, beliau menulis sebagai berikut:- 
.. Amma ba'du, maka berkatalah hamba yang paling dhaif daripada segala hamba - hamba Allah al-Karim, Ahmad yang dikenali dengan gelaran Waliyullah bin `Abdur Rahim al-`Umari al-Dehlawi: "Inilah 40 "hadits" [faqir letakkan dalam tanda petik sebagai isyarat bagi penggunaan kalimah "hadits" secara longgar sebagai apa sahaja yang diterima daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukannya atas pengertian hadits sebagaimana dalam istilah muhadditsin dan ilmu - ilmu hadits.] daripada "hadits - hadits" Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan secara mimpi atau secara musyahadah akan roh baginda yang mulia. Telah aku himpunkan akan dia [yakni, "hadits - hadits" tadi] dalam risalah ini, antaranya apa yang diterima tanpa ada sebarang perantara (wasithah) di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam [yakni, pengalaman pribadi beliau sendiri, iaitu beliau meriwayat terus daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam]; Antaranya, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam] ada satu wasithah sahaja [yakni, beliau menerima daripada riwayat seseorang yang mengalaminya sendiri seperti daripada pengalaman ayahandanya.]; Dan antaranya lagi, apa yang di antara aku dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ada dua atau lebih wasithah (perantara / rawi). Aku namakan risalah ini ad-Durruts Tsamin fi mubasysyarat an-Nabiyyil Amin shallaAllahu `alaihi wa sallam.
 
Maka dalam mimpi pun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam masih boleh berbicara dengan si pemimpi, apa yang disabdakan oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi tersebut bagi sesetengah ulama, secara longgar juga disebut sebagai "hadits". Namun ianya bukanlah atas istilah disiplin ilmu hadits yang menjadi sumber hukum dalam Islam. Maka "hadits" yang diterima melalui pengalaman rohani seseorang, sekali - kali tidak menjadi sumber pegangan iktiqad dan hukum - hakam syariat. Sungguhpun begitu, pengalaman kerohanian yang benar atas penyaksian al-Kitab dan as- Sunnah, yakni yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat juga akhlak, seperti mimpi - mimpi yang benar, walaupun tidak dapat menjadi hujjah dalam persoalan aqidah pegangan dan hukum hakam, namun sedikit - sebanyak, dapat memberi tambah nilai atau panduan dan penjelasan berhubung sesuatu pegangan atau hukum yang telah disabitkan dari sumber - sumbernya mengikut kaedah dan usulnya masing - masing. Jika boleh kita qiyaskan dengan sesuatu penghakiman Mahkamah, maka ianya walaupun bukan ratio decidendi bagi keputusan penghakiman tersebut, namun ianya , sedikit - sebanyak, mempunyai nilai obiter dictum. Maka tidak hairan, jika Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi meluangkan masanya yang berharga untuk menghimpun pengalaman - pengalaman kerohanian dan mimpi - mimpi gembira tersebut dalam satu risalah serta meriwayatkannya dan tidak membakulsampah semuanya sebagai karut - marut.

Berbalik kepada tujuan asal entri ini, pada "hadits" (yakni "hadits" dengan makna yang longgar tadi kerana mengikut kalimah yang digunakan oleh Syah Waliyullah dalam karangannya tersebut, jika kita keberatan dengan penggunaan kalimah "hadits" atas kekhuatiran terkeliru dengan hadits dalam istilah muhadditsin, maka kita sebut sahaja sebagai kisah atau cerita atau mimpi) yang ke-22. Maka kata Syah Waliyullah: Telah mengkhabar akan daku  ayahandaku (Syah Abdur Rahim) dengan katanya:
Adalah menjadi kebiasaanku pada setiap tahun untuk menyediakan makanan yang aku sedekahkan sebagai shilah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni sedekah khusus untuk memuliakan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam), maka jatuh pada satu tahun dari tahun - tahun tersebut, di mana aku tidak mempunyai kelapangan rezeki bagi menyediakan makanan untuk disedekahkan selain kacang kuda goreng. Lalu aku bahagi - bahagikan kacang kuda tersebut kepada orang sebagai sedekah. Setelah itu, aku telah bermimpi bertemu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam keadaan baginda berseri - seri riang gembira dan di hadapan baginda terhidang kacang kuda yang telah aku sedekahkan (yakni, isyarat atas kegembiraan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam terhadap perbuatan tersebut).
Allahu... Allah, risalah Syah Waliyullah ini telah masyhur dan tersebar di kalangan para ulama dan antara yang meriwayatkan risalah ini sehingga sampai kepada kita adalah Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi yang menerimanya daripada guru - guru beliau sambung menyambung sehingga kepada Syah Waliyullah Muhaddits Dehlawi `alaihim rahmatul Mawlal Bari. Terpulanglah samada untuk percaya atau tidak kepada mimpi - mimpi dan pengalaman kerohanian para ulama dan awliya yang direkodkan oleh seorang ulama dan wali. Yang menerimanya pula janganlah memandai - mandai untuk berhukum terus dengannya, sehingga mengeluarkan hukum - hakam yang entah apa - apa seperti "sunat bersedekah kacang kuda goreng di hari mawlid' atau seumpamanya. Ingatlah, bahawa untuk menetapkan sesuatu pegangan dan mengeluarkan hukum - hakam, ada usul dan kaedahnya. Setiap bidang itu ada adab dan disiplinnya yang perlu kita perhati, ikut dan jaga, agar kefahaman dan pemahaman kita benar dan tepat mengikut jalan orang - orang yang beriman sebagaimana yang ditunjuk dan dipandu oleh para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Semoga ada manfaatnya.

Jumaat, September 13, 2024

Maulud Nabi - Pesan TG Hj Sulong

Di hujung mukaddimah kitab Cahaya Islam Gugusan Mawlid Sayyidil Anam pada halaman 33, asy-Syahid Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani rahimahullah berpesan sebagai berikut:-

      (Maka hai saudara - saudara yang mulia) hendaklah bersungguh - sungguh mengekali mengerjakan mawlid / maulud pada tiap - tiap tahun walaupun sedikit, supaya timbul dan zahir kemuliaan nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam pada pandangan manusia ramai dan supaya dapat berkat kelebihannya (se)bagaimana telah tersebut dahulu itu. Kerana mengeluarkan belanja bagi berbuat jamuan dan menghimpunkan saudara - saudara kerana membaca mawlid itu adalah sebesar - besar kebajikan yang masuk di dalam firman Allah ta`ala:-

Artinya: "Bandingan orang - orang yang membelanjakan segala harta mereka itu pada agama Allah seperti bandingan orang yang menanam sebiji gandum yang tumbuh ia tujuh tangkai. Adalah pada tiap - tiap satu tangkai itu berbuah seratus dan Allah ta`ala mengganda - ganda bagi mereka yang dikehendakiNya." Yakni, satu duit umpamanya membelanjakan berbuat kebajikan, diberi pahala di dalam akhirat dengan tujuh ratus duit atau lebih lagi. Dan membelanjakan membuat mawlid itu ialah sebesar - besar menzahirkan agama Allah ta`ala kerana memuliakan kebesaran nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang semulia - mulia makhluk dan (me)nyatakan kasih sayang kepadanya.

        Dan sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawasa sedekah itu menolak akan kemurkaan Allah dan menghilang akan mati di dalam kejahatan dan memadam daripada ahlinya akan panas di dalam kubur dan sungguhnya berteduhlah orang yang mukmin pada hari kiamat di dalam bayang - bayang sedekahnya. Dan apalah sedekah yang terlebih besar sedekah kerana memuliakan hari diperanakkan nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

        Dan hendaklah bersungguh - sungguh mengamat - amati oleh orang yang ada kasih sayang kepada Agama Islam bahawa membesarkan umpama ini bulan yang mulia kerana kelebihannya amat banyak dan berkatnya amat nyata. Maka janganlah mensia-siakan hari yang diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan tidak diperbuat akan apa - apa suatu tanda kemuliaannya dan kebesarannya oleh kerana sayang kepada harta yang ialah nikmat Allah subhanaHu wa ta`ala yang memberi akan kita supaya kita syukur kepadaNya dengan berbuat kebajikan yang jadi petaruhan bagi kita di dalam akhirat.....

Begitulah antara pesanan Tuan Guru Haji Muhammad Sulong @ Sulum al-Fathani rahimahullah. Mudah - mudahan dapat diambil manfaat dan faedah. Dalam bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sekurang - kurangnya diperingati dan dimuliakan dengan menambahkan lagi ucapan shalawat dan salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingat kepada bagindalah kita berpaut meminta syafaat ketika Allah bertajalli dengan namaNya al-Muntaqim. Selamat menyambut hari keputeraan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Semoga bermanfaat dan mendapat syafaat baginda.

Almarhum Guru Zuhdi