Isnin, Oktober 31, 2005

Sholat Hari Raya

Sembahyang Hari Raya 'Aidil Fitri merupakan satu sholat sunnat atau nafil yang sunnat dikerjakan secara berjemaah. Dalam kitab "Tohfah" karangan Ibnu Hajar dinyatakan bahawa sembahyang-sembahyang sunnat mengikut tertib keafdhalannya bermula dengan:-

  1. sembahyang sunnat Hari Raya Adha;
  2. sembahyang sunnat Hari Raya Fitrah;
  3. sembahyang sunnat Gerhana Matahari;
  4. sembahyang sunnat Gerhana Bulan;
  5. sembahyang sunnat Istisqa` (meminta hujan);
  6. sembahyang sunat Witir;
  7. sembahyang sunnat Fajar atau Rawatib Subuh;
  8. sembahyang sunat-sunat Rawatib yang selebihnya;
  9. sembahyang sunnat Tarawih;
  10. sembahyang sunnat Dhuha;
  11. sembahyang sunnat Thawaf;
  12. sembahyang sunnat Tahiyyatul Masjid;
  13. sembahyang sunnat Ihram;
  14. sembahyang sunnat Wudhu;
  15. sembahyang sunnat Zawal
  16. sembahyang sunnat Mutlak.

Sembahyang Hari Raya 'Aidil Fitri mula dilaksanakan oleh Junjungan Nabi s.a.w.pada tahun ke-2 hijrah, demikian juga disyariatkan pada tahun itu sembahyang hari raya adha Hukumnya adalah sunat mu`akkadah bagi setiap mukallaf, sama ada lelaki atau perempuan, yang bermuqim atau yang sedang musafir. Ianya afdhal dilakukan di dalam masjid melainkan jika masjid sempit maka bolehlah dilakukan di lapangan. Sementara bagi perempuan pula, sunnat bagi perempuan tua yang tidak berharum-haruman dan yang berpakaian harian keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang hari raya berjemaah. Jika dia memakai pakaian yang cantik atau berharum-haruman, maka makruh baginya keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya tersebut. Bagi perempuan muda, makruh bagi mereka keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya walaupun dengan berpakaian harian. Demikian juga, makruh bagi perempuan yang ada kemuliaan keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya sekalipun sudah tua. Manakala bagi isteri haram keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya jika tidak mendapat keizinan suami. Bagi perempuan yang dimakruhkan keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya tersebut, sembahyanglah di rumah sahaja sama ada dikerjakan dengan bersendirian atau berjemaah sesama mereka.


Sembahyang Hari Raya boleh dikerjakan dengan 2 cara, iaitu sekurang-kurangnya dikerjakan seperti sembahyang sunnat wudhu, iaitu 2 rakaat biasa. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbir. Segala rukun, syarat dan sunat sembahyang sama dengan sembahyang-sembahyang yang lain. Hanya pada sembahyang hari raya itu disunatkan lagi bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua. Jika ianya dilakukan berjemaah, maka sunnat dibacakan khutbah setelah sembahyang, bagi yang sembahyang seorang diri maka tak perlulah berkhutbah.

Karamah Sayyidah Nafeesah

Diceritakan bahawa Sayyidah Nafeesah mempunyai jiran Yahudi. Keluarga Yahudi ini mempunyai seorang anak perempuan yang dilahirkan lumpuh kedua-dua belah kakinya. Lumpuh anak tersebut tidak dapat dipulihkan walaupun telah puas berusaha, sehinggalah anak tersebut meningkat dewasa. Pada satu hari ibunya hendak ke tempat permandian umum, dia mengajak anaknya pergi bersama tetapi anak tersebut enggan. Oleh kerana tiada sesiapa yang hendak menjaganya di rumah, maka ibu anak tersebut telah menghantar anak itu ke rumah jirannya, Sayyidah Nafeesah, untuk ditumpangkan buat seketika. Sayyidah Nafeesah menerima dengan senang hati. Setelah ibu anak tersebut pergi, Sayyidah Nafeesah mengambil wudhunya untuk menyambung sholatnya, hal ini diperhati oleh anak Yahudi tersebut, setelah selesai berwudhu, Sayyidah Nafeesah meneruskan sholatnya. Anak Yahudi tersebut mengambil bekas wudhu Sayyidah Nafeesah dan melumurkannya ke kakinya yang lumpuh sambil memohon agar dengan keberkatan Sayyidah Nafeesah dia disembuhkan. Dengan izin Allah, seketika itu juga anak Yahudi tersebut dapat bangun dan berjalan seperti biasa seolah-olah tidak pernah lumpuh. Apabila ibunya pulang, maka terkejutlah ibunya. Anak itu telah menceritakan halnya kepada ibu bapanya, akhirnya keluarga Yahudi tersebut masuk Islam di bawah tangan Sayyidah Nafeesah. Allahu Akbar, sememangnya ada riwayat yang menyatakan bahawa bekas wudhu orang mukmin itu adalah penawar.

Aidil Fitri 1426

Di penghujung Ramadhan sudah kita berada, lagi 2 hari menjelanglah Aidil Fitri, hari kembali ke fitrah asal kejadian manusia. Apa dia asal fitrah manusia ? Fitrah manusia itu putih bersih diumpamakan Junjungan s.a.w. bak kain putih. Malangnya kain putih tersebut menjadi kotor akibat hawa nafsu dan godaan Iblis terkutuk. Maka ibadah dalam bulan Ramadhan, di mana Iblis dan syetan dirantai, hanya tinggal hawa nafsu manusia yang juga disuruh kekang melalui puasa dan banyak beribadah, diharap dapat membersihkan diri kembali ke fitrah asal kejadian. Mereka-mereka yang berjaya menjalani proses pembersihan ini, akan menjadi orang yang bertaqwa, orang yang bersih jiwanya daripada godaan nafsu dan syetan. Inilah orang yang berhak untuk berhari raya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka-mereka ini, aamiiin.

Ahad, Oktober 30, 2005

Rumus Lailatul Qadar

Ini rumus sebahagian ulama bagi mencari malam al-qadar. Tersebut pada mukasurat 65 kitab "Mathla`ul Badrain" karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni bahawa sebahagian ulama termasuklah Imam al-Ghazali menyatakan diketahui malam tersebut melalui hari pertama bulan Ramadhan.
  1. Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka ianya malam ke-29;
  2. Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka ianya malam ke-21;
  3. Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumaat, maka ianya malam ke-27;
  4. Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka ianya malam ke-25;
  5. Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka ianya malam ke-23.

Syaikh Abul Hasan memberi komennya bahawa dia sejak baligh telah menemui malam al-Qadr tersebut melalui rumus ini. Jadi kalau ikut rumus ini, tahun ini jatuhnya malam ke-27 atau ke-29 nanti. Malam ke-27 kerana awal Ramadhan mengikut falak sebahagian ulama termasuklah Kiyai Agung jatuh hari Selasa dan malam ke-29 kerana ikut falak Pemerintah yang awal Ramadhannya hari Rabu. Allahu a'laam. Apa pun, beribadah biarlah ikhlas kerana mencari keredhaan Allah, beramal kerana Allah bukan kerana Lailatul Qadr.

Sabtu, Oktober 29, 2005

Sayyidah Nafeesah binti Hasan al-Anwar

Waliyah ini dilahirkan pada tahun 145H di Makkah dari keturunan Junjungan Nabi s.a.w. melalui Imam Hasan r.a. Ahli ibadah dan alim sehingga Imam asy-Syafi`i kerap mengunjungi majlisnya untuk mendengar hadits-hadits. Diberitakan bahawa Imam asy-Syafi`i kerap menjadi Imam bertarawih bersama-sama dengannya. Imam besar ini amat memuliakan Sayyidah Nafeesah, bahkan apabila sakit, beliau akan menyuruh seorang muridnya untuk meminta doa agar sembuh daripada Sayyidah Nafeesah, apabila didoakan maka terus sembuh, begitulah mustajabnya doa Sayyidah Nafeesah. Pada sakit wafatnya, Imam asy-Syafi`i menghantar muridnya untuk memohon doa, kali ini Sayyidah Nafeesah mendoakan "Moga Allah merahmati Ibnu Idris", apabila dikhabarkan muridnya akan hal ini, maka tahulah Imam kita yang sakitnya ini akan membawanya berjumpa dengan Kekasihnya Allah s.w.t. Apabila Imam besar ikutan kita meninggal dunia, Sayyidah Nafeesah meminta agar jenazahnya yang mulia dibawa ke rumahnya agar beliau dapat menyembahyangkannya. Antara komennya untuk Imam besar ini ialah "dia adalah seorang lelaki yang baik wudhunya", fahamilah saudaraku bahawa wudhu adalah asas kepada amal ibadah, maka maksudnya seseorang yang baik wudhunya ialah baik amalannya. Inilah komen Sayyidah Nafeesah buat Imam asy-Syafi`i. Karamahnya terlalu banyak dan nyata, insya-Allah di lain ketika kuberitakan jika ada masa dan keizinan Allah s.w.t. Setiap insan pastikan menemui ajalnya, maka pada tahun 208 kembalilah roh yang suci ini menghadap Penciptanya. Dia menemui Allah dalam keadaan berpuasa dan di maqamkan dalam kubur yang digalinya sendiri. Moga keberkatannya melimpah kepada kita.

Fasa ketiga

Alhamdulillah, sampai kita dalam fasa ketiga bulan yang berkat ini. Fasa "ithqun minannar" pembebasan dari api neraka. Sudahkah kita bersedia untuk dibebaskan daripada api neraka ? Apa persediaannya ? Mari kita tingkat usaha, banyakan amal, banyak i'tikaf di akhir bulan ini kerana ianya sunnah Junjungan s.a.w. Moga dapat kita raih ithqun minannar tersebut. Tak lama bulan yang mengandungi berbagai anugerah Ilahi akan meninggalkan kita, membawa bersamanya amal perbuatan kita, cara kita menyambut tetamu agung ini. Ramadhan tahun hadapan bukan Ramadhan tahun ini, oleh itu jangan persiakan umur. Biar banyak Ramadhan yang maqbul, jangan ada yang tertolak.

Sabtu, Oktober 22, 2005

Badar al-Kubra

Tanggal 17 Ramadhan Tahun Kedua Hijrah, tercetusnya satu peperangan yang menjadi penentu kepada kesinambungan dakwah Islam. Inilah Perang Badar al-Kubra, di mana lebih kurang 313 pejuang Islam di bawah pimpinan Junjungan Nabi s.a.w. bertemu dengan kaum musyrikin Makkah yang jumlahnya lebih ramai dengan kelengkapan perang yang sempurna berbanding umat Islam. Para pejuang Badar ini telah dimuliakan Allah di dunia dan di akhirat.

Haul Pertama Buya Maliki


Setahun yang lalu, tanggal 15 Ramadhan menjelang waktu Subuh hari Jumaat, Buya Habib Muhammad bin Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani kembali ke rahmatullah. Maka kembalilah seorang ulama, Ahli Hadits, Pendakwah Terbilang, Wangian Dua Tanah Haram menemui Allah s.w.t. Kegigihannya mempertahankan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak dapat dinafikan. Orang-orang Wahhabi di bawah pimpinan Bin Baz amat memusuhinya sehingga beliau difitnah, bahkan dituduh sebagai kafir dan sesat, semata-mata kerana beliau mempertahankan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar, kerana beliau mempertahankan tawassul dan mawlid. Kitabnya yang masyhur "Mafahim yajibu an tusahhah" yang membicarakan tentang tawassul, ziarah, tabarruk dan sebagainya mendapat sambutan dunia Islam dengan diberi kata sambutan dan aluan daripada puluhan ulama besar dunia Islam. Beliau juga gigih menentang sikap melampau sesetengah manusia, seperti puak Wahhabi yang cepat sekali menghukum dan mengkafirkan orang lain. Sewaktu hayatnya, beliau telah menghadapi segala ujian dengan tabah dan sabar menuruti jejak langkah nendanya Junjungan Nabi s.a.w. Beliau difitnah dan ditegah dari mengajar di Masjidil Haram, semua itu tidak mematahkan semangatnya, dakwah dan penyebaran ilmu tetap dilaksanakannya dari kediamannya. Sesungguhnya Allah tidak bertempat, Maha Suci Allah dari duduk di Masjidil Haram. Kini, segala teguran dan pandangannya telah mendapat perhatian pemerintah Wahhabi di Saudi yang mulai sedar akan ketaksuban dan sifat pelampaunya puak Wahhabi. Karya beliau yang terakhir adalah berupa sebuah kertaskerja atau makalah berhubung pelampau yang telah dibentangkannya dalam satu konvensyen di Jeddah atas permintaan Raja Abdullah. Kini sudah setahun berlalu. Turut kembali ke rahmatullah tahun lepas, ialah Syaikh Jabir al-Yamani seorang ulama besar yang khumul, dianggap sebagai Mufti Syafi`i di Makkah. Satu persatu ulama pegangan kita diambil Allah kembali, adakah pengganti mereka ? .....al-Fatihah

Jumaat, Oktober 21, 2005

Sholawat 100 Kali Hari Jumaat

Ikhwah, Imam Ibnu Mandah dalam "al-Fawaaid", Imam al-Ashbahaani dalam "at-Targhib", Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam al-Baihaqi dalam "Hayatul Anbiya`" meriwayatkan satu hadits daripada Sayyidina Anas r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
  • "Sesiapa bersholawat ke atasku 100 kali pada hari Jumaat dan malam Jumaat, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 dari hajat-hajat akhirat dan 30 dari hajat-hajat dunia. Kemudian Allah wakilkan seorang malaikat untuk menghadapku dengan membawa sholawat-sholawat tersebut dalam kuburku sebagaimana menghadap orang membawa hadiah kepada kamu, bahawasanya ilmu/pengetahuanku setelah mati sama seperti ilmu/pengetahuanku sewaktu aku hidup."

Begitu besar kelebihan bersholawat, terutama pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Tak heran kenapa ulama - ulama dahulu sering mengadakan majlis-majlis sholawat pada malam dan hari tersebut. Majlis yang berupa pembacaan kitab-kitab mawlid yang sarat dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. Malangnya, sekarang tradisi dan amalan ini semakin dilupai, bahkan lebih dahsyat diperangi oleh segelintir manusia yang bertopengkan al-Quran dan as-Sunnah. Mudah-mudahan kita semua selamat dari fitnah ini, dan berpegang teguh dengan para ulama kita terdahulu yang menjadi obor penyebaran Islam dirantau ini dan memasukkan Islam kepada datuk nenek kita, bukannya menjadi pengikut segelintir ustaz zaman kini yang ingin mengeluarkan "verdict" kafir, bid`ah, khurafat dan sebagainya kepada sesama ummat.

Khamis, Oktober 20, 2005

KepadaNya kita dikembalikan

Hari ini isteri Perdana Menteri kembali menemui Penciptanya. Walaupun kita mungkin tidak sehaluan dengan Perdana Menteri atau menerima 100% gagasan Islam Hadarinya, tetapi selaku sesama umat, tetap dihukumkan sunnat menyampaikan takziah atas musibah yang menimpanya sekeluarga. Di samping itu, mudah-mudahan pemergian ini dijadikan i'tibar, bahawa apabila Izrail datang memanggil, jawatan, pangkat, darjat kedudukan duniawi, harta benda, anak pinak, penyokong yang ramai, menteri kabinet, menteri kesihatan, menteri kerja raya pun tak dapat menahan panggilan tersebut. Insaflah wahai saudara, Junjungan s.a.w. pernah bersabda: "Cukuplah kematian itu menjadi satu pengajaran." Sabdaan Junjungan s.a.w. ini telah dijadikan ukiran pada mata cincin Sayyidina Umar r.a., kerana kealpaan terhadap kematian menjadikan manusia lalai, sombong, bongkak terhadap Penciptanya. Mudah-mudahan Allah merahmati kita dan juga merahmatinya, mengampuni dosa kita dan dosanya, serta menempatkan kita sekalian dalam syurga Jannatun Na`im, aamiin.

Sholawat & Istighfar

Imam asy-Syihab ar-Romli telah ditanya:
  • " Adakah istighfar lebih afdhal daripada sibuk bersholawat dan mengucap salam ke atas Nabi s.a.w. atau dibezakan iaitu bagi orang yang kebiasaannya taat sholawat lebih afdhal dan bagi orang yang kebiasaannya maksiat istighfar lebih afdhal ?

Dijawab oleh Imam tersebut:-

  • "Bahawasanya menyibukan diri dengan sholawat dan salam ke atas Nabi s.a.w. lebih afdhal daripada menyibukan diri dengan istighfar secara mutlak."

Jadi banyakan sholawat, tapi jangan pula lupa beristighfar dan memohon keampunan Allah s.w.t.

Rabu, Oktober 19, 2005

Nisfu Kedua

Alhamdulillah, berada kita dalam hari ke 15 bulan yang berkat ini. Malam ini dalam witir sunnatlah kita berqunut sebagai sunnat ab`ad yang kalau ditinggalkan sunnat dijabar dengan sujud sahwi. Mu'tamad dalam mazhab kita, qunut dalam witir hanya dilaksanakan pada pertengahan kedua bulan Ramadhan, tetapi ada juga qil yang menyatakan bahawa sunnat berqunut dalam witir sepanjang tahun. Qil ini menjadi amalan beberapa habaib kita.

Selasa, Oktober 18, 2005

Beribadat Pada Malam Ramadhan

Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam karyanya berjodol "Bisyaratul 'Amilin wa Nadzaratul Ghafilin" meriwayatkan satu hadits daripada Amirul Mu'minin Sayyidina 'Ali r.a. Kata Sayyidina 'Ali r.a.:-
  • "Aku dengar Rasulullah s.a.w. ia bersabda: "Bahawasa bagi Allah ta`ala pada keliling arasyNya satu tempat dinamakan dia Hadhziratul Qudsi dan iaitu daripada nur. Di dalamnya beberapa banyak malaikat, tiada dihinggakan bilang-bilangan mereka itu melainkan Allah ta`ala. Berbuat ibadat mereka itu akan Allah 'azza wa jalla akan ibadat yang tiada segang (senggang) mereka itu satu saat sekali pun. Maka adalah segala malam bulan Ramadhan meminta izin mereka itu turun kepada bumi. Maka sembahyang mereka itu serta anak Adam. Maka mereka itu turun pada tiap-tiap malam kepada bumi. Maka tiap-tiap mereka yang ia menyentuh akan mereka itu, atau mereka itu menyentuh akan dia, nescaya ia dapat sa`adah akan sebagai sa`adah yang tiada dicela kemudiannya selama-lamanya.

Mudah-mudahan dapat kita kelebihan ini. Mudah-mudahan dapat bersentuh atau disentuh oleh malaikat, tapi cari le tempat kat mana mereka berada, iaitu di tempat-tempat ibadah. Kalau depan tv susah sikit le, sebab malaikat ni kerjanya beribadah bukannya nonton tv.

Qadha Sholat 6

Ikhwah, jangan marah dan boring, sekali lagi kita nuqil kata ulama berhubung masalah qadha sholat fardhu dan sholat sunnat. Ini petikan dari mukasurat 42 juzuk 2 kitab "Bahrul-Madzi" karangan Syaikh Muhammad Idris 'Abdur Rauf al-Marbawi al-Azhari (Tokoh Ma`al Hijrah Pertama), katanya:-
91- Masalah:
  • Qadha sembahyang dengan segera. (Kata Nawawi) bermula kehasilan mazhab bahawasanya apabila luput akan dia oleh satu fardhu wajib qadhanya.
  • Dan jika luput ia dengan uzur sunnat qadha atas bersegera dan harus takhirnya atas qawl yang sahih dan dihikayatkan daripada Baghawi dan lainnya akan satu wajah bahawasanya tiada harus ia.
  • Dan jika sembahyang itu luput dengan tiada uzur wajib qadhanya atas bersegera atas qawl yang asah. Dan kata qil tiada wajib atas segera bahkan harus baginya takhirkan.
  • Kata di dalam (Fiqh al-Madzahibil Arba`ah) wajib qadha sembahyang yang luput itu dengan segera sama ada ia luput dengan uzur atau tiada uzur (melainkan Syafi`i, maka ialah sebagai kata Nawawi di atas itu) dan tiada harus takhirkan qadha melainkan kerana halangan seperti berusaha bagi menghasilkan rezeki dan menghasilkan ilmu yang wajib atasnya akan sebagai wajib 'aini dan seperti makan dan tidur, dan tiada terangkat yakni tiada lepas dosa sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu dengan semata-mata qadha bahkan tak dapat tiada dengan taubat sebagaimana tiada lepas qadha sembahyang dengan semata-mata taubat bahkan maulah dengan qadha kerana bahawasanya setengah daripada syarat taubat itu meninggalkan daripada dosa dan orang yang taubat dengan tiada qadha itu tiadalah ia orang yang meninggalkan daripada dosanya.
  • Dan haram pada mazhab Syafi`i atas orang yang atasnya beberapa sembahyang luput yang wajib qadha dengan segeranya itu bahawa ia mengerjakan sebarang sunnat sama ada ia sunnat ratibah atau lainnya hingga lepas dirinya daripada segala fardhu yang luput.

Isnin, Oktober 17, 2005

Tarawih di zaman Sayyidina 'Umar r.a.

Buya Habib Muhammad al-Maliki dalam kitabnya " Minhajus-Salaf fi Fahmin-Nushush " pada mukasurat 378 - 379 menyatakan bahawa tarawih di zaman Sayyidina 'Umar r.a. dilaksanakan secara berjamaah dipimpin oleh imam-imam yang dilantik oleh Sayyidina 'Umar r.a. iaitu Sayyidina Ubay bin Ka`ab r.a. dan Sayyidina Tamim ad-Daari r.a. bagi lelaki dan Sayyidina Sulaiman bin Abi Khatsamah bagi perempuan. Jemaah lelaki diimamkan oleh kedua-dua imam tersebut secara bergantian, dan jemaah lelaki serta jemaah perempuan dilaksanakan serentak, yakni satu jemaah untuk lelaki dan satu jemaah untuk perempuan.
Berhubung dengan bilangan rakaatnya pula, jumlahnya:-
  1. bermula dengan 8 rakaat dengan 3 witir;
  2. kemudian jumlah tersebut ditambah menjadi 13 rakaat,
  3. kemudian jumlahnya dijadikan 18 rakaat dengan 3 atau 5 rakaat witir;
  4. dan akhir sekali ditetapkanlah perintah agar dilaksanakan 20 rakaat dengan 3 witir, dan inilah berlaku sehingga ke saat kita ini.

Perlu diketahui juga bahawa, dengan diperbanyakan rakaat tarawih, maka diringankan bacaan-bacaan di dalamnya. Bermula dengan lebih dari 100 ayat satu rakaat, akhirnya diringankan kepada 50 ayat, kemudian diringankan kepada 30 - 20 ayat satu rakaat. Diriwayatkan juga bahawa para sahabat bersholat sehingga bertelekan dengan tongkat-tongkat mereka kerana lamanya qiam Imam. Habis-habis sholat, subuh dah hampir menjelang, masa cukup-cukup untuk bersahur sahaja. Bagaimana pula 8 rakaat kita ? Apa pula yang kita lakukan setelah selesai 8 rakaat ? ? ? Nonton TV lebih baik daripada sholat ???? Allahu....Allah.

Tilawatul Quran

Ramadhan adalah Syahrul Quran, bulan dimana al-Quranul Karim diturunkan ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar dan juga diwahyukan ke atas Junjungan s.a.w. pada malam Nuzul al-Quran. Selaku umat beragama kita dituntut untuk membaca, menghayati dan mengamal segala ajaran al-Quran. Membaca al-Quran adalah ibadah nafil yang paling afdhal selepas sholat. Tetapi hendaklah diingatkan sabda Junjungan s.a.w. bahawa ramai yang membaca al-Quran dan al-Quran melaknatnya balik. Ulama menafsirkan bahawa pembaca tersebut dilaknat kerana tidak membaca dengan betul, dengan tajwid dan dengan tartil; pembaca juga dilaknat kerana tidak mematuhi titah perintah dan tegahan yang dibacanya. Hati-hati juga kerana Junjungan s.a.w. bersabda bahawa ramai munafiq dalam umat ini adalah qari-qari al-Quran, mungkin kerana mereka membaca al-Quran semata-mata untuk dijadikan tontonan dan riya di hadapan manusia. Oleh itu, jangan berhenti membaca al-Quran, tapi bacalah dengan betul, dengan ikhlas, cuba memahami dan lebih utama hendaklah diamalkan ajarannya.

Pintu Rezeki

Allahummaf-tah abwaabar-rizqi, Ya Allah, bukakanlah segala pintu rezeki. Ini doa yang kerap diucapkan. Sesungguhnya pintu-pintu rezeki itu banyak dan bermacam-macam, ada yang mudah, ada yang payah, ada yang halal, ada yang haram, ada yang berkat, ada yang dilaknat. Selaku umat beragama kita dituntut untuk mencari yang halal, jadi kewajipan kita bukan semata-mata mencari rezeki, tetapi mencari rezeki yang halal, sebagaimana sabdaan Junjungan kita s.a.w.: "Menuntut/Mencari yang halal itu satu kefardhuan selepas fardhu-fardhu yang lain". Menurut Junjungan s.a.w. lagi, kebanyakan pintu-pintu rezeki adalah dengan berniaga, sehingga dinyatakan bahawa 9/10 daripadanya terletak dalam perniagaan. Sekarang terdapat bermacam-macam jenis perniagaan, maka sebelum kita menceburi mana-mana perniagaan pastikan kehalalannya. Antara perniagaan yang hebat berkembang, bukan sahaja dahulu, bahkan sekarang juga ialah Perniagaan Amway dengan sistem pembahagian keuntungannya. Produk-produknya tidak lagi menjadi persoalan kerana semua pihak yang inginkan pasaran umat Islam tentu akan mempastikan kehalalan produknya. Bahkan produk-produk Amway yang dipasarkan di Malaysia telah dipastikan kehalalannya oleh pihak-pihak berwajib di Malaysia dan di Amerika Syarikat. Bagaimana pula sistemnya ???? Pehin Mufti Negara Brunei Darus Salam, Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned telah mengeluarkan fatwa berhubung hal ini dalam "Fatwa Mufti Kerajaan yang difatwakan sepanjang 1994 - 1995". Fatwanya ialah:-
  • Soalan 2.

Sukacita kaola pohonkan penjelasan mengenai hukum hakam "Perniagaan Amway" yang sedang giat berkembang di kalangan masyarakat kita di Negara Brunei Darussalam khususnya dalam bidang pembahagian keuntungan dan bonus perlaksanaan, tentang kesucian barang-barang Amway dan adakah sistem perniagaan ini diharuskan dalam Islam. Diharap Pehin akan dapat memberikan penjelasan secepat yang mungkin mengenai masalah tersebut.

  • Jawapan

Pembahagian keuntungan dan bonus perlaksanaan atau ganjaran kepada ejen-ejen atau pengedar serta syarat-syarat dan peraturannya yang jelas adalah tidak bercanggah dengan syara`. Barang bahan makanan seperti Nutrilite Food Supp Cemanta dan bahan kosmetik seperti cecair losen tidak dapat dipastikan kesuciannya kecuali dapat diberikan maklumat tentang bahan-bahan kandungannya atau selepas dijalankan kajian makmal ke atasnya. Manakala barang-barang pemeliharaan rumah jika tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna atau telah diluluskan oleh kerajaan haruslah diniagakan. Sistem Perniagaan Amway setakat yang difahami tidak bercanggah dengan syara`.

Sabtu, Oktober 15, 2005

Gandaan Pahala Puasa


Saudara, kalau kita mahu pahala puasa kita digandai Allah, maka antara caranya ialah dengan memberi makanan untuk orang lain berbuka puasa. Ini boleh dilakukan dengan menjemput mereka untuk berbuka atau menghantar makanan terhadap mereka. Kalaulah yang diundang tersebut orang sholeh, maka lebih utama lagi kerana nanti kita akan diberi pahala puasa seumpama pahala orang sholeh tersebut. Dalam hadits ada dinyatakan bahawa: "Sesiapa yang memberi berbuka orang puasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala yang berpuasa itu." dan ada lagi tambahan bonusnya kerana ada riwayat menyatakan: "Orang berpuasa yang menjemput orang lain untuk makan bersamanya, akan terus menerus didoakan oleh para malaikat sehingga mereka selesai makan." Ikhwah, dalam buku "Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun" yang ditulis oleh Ustaz Haji Ahmad Haris Suhaimi (anakanda Ustaz Taha Suhaimi) disebut berbagai amalan yang boleh menggandakan pahala. Elok dibaca untuk diketahui bagaimana cara bermain saham akhirat. Bagi saudara-saudara di Kuching, buku tersebut boleh dibeli di Toko Sinar Suci, Jalan Haji Taha. Tapi kena ingat juga, kalau yang dilaburkan itu 0, maka hasilnya pun 0 kerana 100,000 x 0 = 0.

Keprihatinan Terhadap Ummat

Ikhwah, sekarang kita sudah sampai ke pertengahan bulan yang mulia ini. Pertengahan yang disifatkan oleh Junjungan s.a.w. sebagai penuh maghfirah, yakni keampunan Allah. Allahummagh-fir-lana wa li jami`il muslimin. Mari kita tingkatkan usaha agar keampunan Allah dapat diraih. Di samping itu, tambah lagi keihsanan tuan puan kepada saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik, yang mendapat musibah dan ujian daripada Allah s.w.t. Yang diuji Allah dengan gempa bumi seperti di Pakistan, India dan Afghanistan. Hulurlah bantuan seadanya menurut kemampuan. Ingat sabda Junjungan s.a.w. : " Sesiapa yang tidak prihatin terhadap hal ehwal urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka." Potong sedikit budget hari raya saudara untuk digunakan membantu mereka, insya-Allah keberkatan dan rahmat buat saudara. Ada riwayat Junjungan bersabda: "Sebaik-baik sedekah adalah sedekah dalam bulan Ramadhan" dan diriwayatkan pula bahawa Junjungan s.a.w. adalah orang yang paling dermawan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Segala musibah yang berlaku sudah menjadi ketentuan Allah dan ujian bagi semua. Bagi yang kena, diuji kesabarannya, keredaannya, bagi yang melihat diuji kesyukurannya dan keihsanannya. Tidak sewajarnya, kita berpangku tangan tanpa memberi apa-apa bantuan. Junjungan s.a.w. bersabda: "Tidak akan berkurangan harta dengan bersedekah", oleh itu jangan khuatir hulurkanlah bantuan, mudahan kamu diberkati Allah.

Jumaat, Oktober 14, 2005

Sholawat

Ikhwah, di hari Jumaat ini mari kita memperbanyakan mengucap sholawat dan salam atas Junjungan kita s.a.w. Sholawat ke atas baginda akan menjadi kaffarah kepada dosa kesalahan kita. Ada sabdaan Junjungan s.a.w. yang menyatakan bahawa sholawat merupakan zakat bagi badan, yakni sebagaimana zakat harta mensucikan harta dan menambah keberkatannya, maka sholawat akan mensucikan diri dan menambah keberkatan Allah padanya. Oleh itu, jangan kalian memandang ringan atau remeh dengan amalan bersholawat ini. Juga dalam sebuah hadits marfu' yang diriwayatkan daripada Muhammad bin al-Qasim, sebagaimana dinyatakan dalam "al-Wasaa-ilusy Syaafi`ah" karya al-Muhaddits Habib Muhammad bin 'Ali Khird mukasurat 484 seperti berikut:-
  • "Bagi setiap sesuatu itu ada pensuci dan pembasuh, maka pensuci hati-hati orang beriman dari segala kekaratan adalah bersholawat ke atas Junjungan s.a.w."

Rabu, Oktober 12, 2005

Agenda Ramadhan 1

  • 17 Ramadhan tahun 1 Nubuwwah: wahyu pertama diturunkan kepada Junjungan s.a.w.
  • 12 Ramadhan tahun 10 Nubuwwah : Abu Thalib meninggal dunia.
  • 15 Ramadhan tahun 10 Nubuwwah : Sayyidatina Khadijah r. anha wafat.
  • 17 Ramadhan tahun 2 Hijriyyah : Berlaku perang Badar al-Kubra.
  • Ramadhan tahun 8 Hijriyyah : Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah).
  • Ramadhan tahun 11 Hijriyyah : Sayyidatina Faathimah az-Zahra` r.anha wafat.
  • 17 Ramadhan tahun 40 Hijriyyah : Sayyidina 'Ali r.a. syahid dibunuh Khawarij.
  • Ramadhan tahun 57 Hijriyyah: Sayyidatina 'Aisyah r.anha wafat.

Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan Ramadhan.

Rahsia Rakaat Tarawih 20.

Ikhwah dalam kitab "al-Iqna' " mukasurat 116 -117, jilid 1 karya Imam kita, Syaikh Muhammad Syarbini al-Khatib dinyatakan Sayyidina Umar r.a. telah menghimpunkan para sahabat untuk melaksanakan tarawih tersebut secara berjemaah dengan kaum lelaki diimamkan oleh Sayyidina Ubay bin Ka`ab r.a. dan kaum perempuan diimamkan oleh Sayyidina Sulaiman bin Abi Khatsamah r.a. Seterusnya Syaikh kita menyatakan :-
  • Telah berkata Syaikh al-Hulaimi: "Rahsia 20 rakaat tarawih adalah kerana sembahyang sunnat rawatib yang muakkad pada hari-hari lain di luar Ramadhan adalah 10 rakaat, maka dalam bulan Ramadhan ditambah lagi 10, menjadikan jumlahnya 20 rakaat tarawih.

Selasa, Oktober 11, 2005

Sunat diutamakan wajib diabaikan

Ikhwah, kupetik Bahagian Pertama artikel dari "Irsyad Hukum" Bilangan 104 Siri ke-4, keluaran Jabatan Mufti Negara Brunei dengan jodol "SUNAT DIUTAMAKAN WAJIB DIABAIKAN ?" untuk tatapan bersama.

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah,
Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

MENGUTAMAKAN PERKARA SUNAT, MENGENEPIKAN PERKARA WAJIB
  • Memang menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba dalam mencari sesuatu yang terbaik. Khusus dalam perkara ibadat, setiap orang Islam dituntut mencari kelebihan (fadilat) dan amal kebajikan sebagai pertaruhan dan bekalan di akhirat nanti. Perbuatan sedemikian adalah sifat orang-orang yang salih sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur'an yang tafsirnya : "Dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih" (Surah Ali Emran: 114). Terdapat segolongan manusia yang tersilap fahaman dan tindakan kerana terlalu mementingkan amalan sunat sehingga perkara yang wajib dan fardhu terabai. Kemungkinan perkara ini berlaku kerana orang berkenaan terkeliru oleh pahala besar yang dijanjikan sebagai ganjaran kepada amalan-amalan sunat. Keadaan inilah yang menjadikan mereka ghairah melakukan amalan-amalan sunat dan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara wajib itu lebih utama dilaksanakan. Contohnya mengutamakan sembahyang sunat dengan sembahyang qadha.
  • Sembahyang itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagai pengabdian dan tanda syukur kepada Allah Yang Maha Agung. Sembahyang itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang juga adalah cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya dan cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam sabdanya yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara sembahyang adalah baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan di Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya tidaklah ada cahaya baginya, petunjuk dan pertolongan dan dia pada Hari Kiamat nanti bersama dengan Firaun, Hamman, Qarun dan Ubai bin Khalaf" (Hadis riwayat Ahmad).
  • Hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang akan bergantung kepada keadaan sama ada ditinggalkan itu sengaja atau tidak sengaja. Jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang), dalam keadaan ini orang yang ingkar itu dihukumkan kafir murtad dengan ijmak ulama. Mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dengan iktiqad dia tahu akan wajibnya sembahyang itu, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'e ialah dia dihukum bunuh secara hadd (setelah disuruh bertaubat ketika itu) dan tidak dihukumkan kafir. Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas sehingga habis waktunya adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur‘an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat Al-Qur‘an yang menyifatkan mereka di Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munafiq, sekalipun mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam di mana mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, sebagaimana gambaran yang diberikan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :"(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat". (Surah Al-Qalam: 42-43). Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya, Baginda bersabda yang bermaksud :"Barangsiapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarga dan hartanya" (Hadis riwayat Al-Bukhari).
  • Berdasarkan ayat Al-Qur'an dan hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam di atas, apa pun sebabnya kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa dan wajib diqadhakan dengan segera. Menurut Imam An-Nawawi bahawa sembahyang fardu yang luput dengan tiada uzur atau ditinggalkan sembahyang dengan sengaja, atau mencuaikan sembahyang tersebut ketika dalam pelayaran, atau lalai kerana menonton hiburan, maka wajib ke atasnya mengqadhakan sembahyang yang ditinggalkan atau dicuaikan itu dengan bersegera dan tidak boleh dilengah-lengahkan. Dalam keadaan ini, menurut Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa tidak harus bahkan haram bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau dengan tiada uzur menghabiskan masa dan waktunya dengan perkara-perkara lain sekalipun yang sunat sebelum mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkannya itu, melainkan masanya itu digunakan bagi menunaikan perkara-perkara yang wajib seperti mencari nafkah untuk tanggungannya.

Rakaat Tarawih

Ikhwah, menjelang bulan Ramadhan timbul lagi khilafiyyah yang sudah menjadi "surat khabar lama" yang sepatutnya tidak ditimbulkan lagi. Perkara yang tidak sepatutnya menjadi titik perbalahan antara umat. Yang berpegang dengan 8 rakaat tarawih menjadikan Albani dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya sebagai hujjah untuk membid`ahkan amalan tarawih 20 rakaat, bahkan menurut tok guru mereka itu tarawih 20 rakaat seperti zohor 5 rakaat. Betulkah ? Bagi kita, terpulanglah, nak buat 8 boleh, nak buat 20 boleh, tak buat pun boleh, tapi rugi le. 20 sudah menjadi ijma' sahabi, dilaksanakan daripada zaman Sayyidina 'Umar dan diteruskan oleh para sahabat lain sampailah ke zaman kita ini. Jadi tok sahlah membazir waktu mempertikaikannya. Hatta datuk-nenek Wahhabi yang menjajah Makkah dan Madinah pun tak berani nak ubah, tetap 20 rakaat sampai kini. Kalau dihujjahkan buat 8 kerana yang buat 20 buat macam jet, maka inilah mentaliti umat kita di rantau ini. Jangan 20 dipersalahkan, yang salahnya laju macam jet, jadi wajar dinasihatkan agar jangan buat laju macam jet sampai tak dak thoma'ninah. Buat 20 kan dah elok, buat apa kita nak tegah, kita tegah yang tak eloklah. Kalau pencuri bersholat, jangan kita kata "Tak guna engkau sholat engkau pencuri", tapi kan elok kalau kita suruh dia jangan mencuri tetapi biarkanlah dia bersholat. Yang salah mencuri bukan sholat, kan kan kan. Setahu kitalah, sesetengah tempat termasuklah di Negeri Sembilan, pengamal-pengamal Thoriqat Ahmadiyyah Idrisiyyah melakukan tarawih 10 rakaat, tapi tak pernah pulak jadi isu. Ini mungkin kerana mereka yang bertarawih 10 rakaat ini tak pernah mencemoh mereka yang buat 20. Jadi harap sesiapa yang nak buat 8, buatlah tapi diam-diamlah, jangan macam ayam betina "bertelur sebiji riuh sekampung".
  • Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya "al-Mufashshol" jilid 1 mukasurat 330 menyatakan bahawa jumhur ulama antaranya Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafi`i dan Imam Ahmad menyatakan bahawa tarawih itu 20 rakaat, manakala Imam Malik berpendapat bahawa ianya dilaksanakan dengan 36 rakaat.

Isnin, Oktober 10, 2005

Haluan @ Aturan Sebelum Mati


Ikhwah sekalian, dalam kitab yang masyhur di kalangan generasi datuk nenek kita ialah kitab "Perukunan", ada "Perukunan Jamaluddin" dan yang tersohor ialah"Perukunan Melayu" atau "Perukunan Besar" yang dikarang oleh Tuan Haji Abdur Rasyid Banjar. Kitab ini masih di pasaran, boleh kata ramai tok nenek kita dulu mengaji menggunakan kitab ini. Di sini, kunukilkan satu ingatan yang menarik untuk tatapan kita bersama. Pada mukasurat 59 - 61 tertera:-
  • Ini kitab menyatakan haluan yakni aturan kepada sekalian yang empunya haq. Ketahui olehmu wahai tholib, hendaklah diketahui sebelum berpindah kita dari dunia ke negeri akhirat:-

  • Adapun aturan kita kepada Malakul Maut itu 4 perkara; (1) taubat daripada segala dosa pada tiap-tiap malam dan siang; (2) suka kita jikalau dihinakan orang, jangan membesarkan dirinya; (3) membayar qadha kita; (4) berkehendak kepada Allah.

  • Adapun aturan kita kepada kubur itu 4 perkara; (1) meninggalkan mengumpat orang dan mengadu-ngadu; (2) jangan dengki dan dendam akan orang Islam; (3) bersuci diri iaitu istinja` daripada kemih dan tahi; (4) sembahyang pada tempat yang suci.

  • Adapun aturan kita kepada Munkar dan Nakir itu 4 perkara; (1) mengucap syahadah pada tiap-tiap malam dan siang dengan suci hati dan fasih lidah; (2) tasdiq akan maknanya di dalam hati kita; (3) jangan berkata-kata dusta; (4) hendaklah memeliharakan segala orang mukmin.

  • Adapun aturan kita kepada timbangan itu 4 perkara; (1) hendaklah berguru ilmu serta mengerjakan dia; (2) hendaklah suci segala pekerjaan; (3) hendaklah berbaik perangai kepada segala makhluk; (4) syukur kepada Allah ta`ala segala pekerjaannya yang baik.

  • Adapun aturan kita kepada surat-surat kira-kira itu 4 perkara; (1) jangan banyak kata yang lain daripada menyebut-nyebut nama Allah; (2) hendaklah memendekan umur yakni bercita panjang umur; (3) hendaklah berbanyak-banyak pujiannya kepada Allah ta`ala; (4) hendaklah berbanyak sedekah.

  • Adapun aturan kita kepada titian Shirathal-Mustaqim itu 4 perkara; (1) hendaklah berkasih-kasihan samanya Islam dengan kerana Allah; (2) berbuat bakti kepada ibu bapa kita; (3) jangan menyembunyikan pengiriman orang; (4) berlaku menurut laku orang kebanyakan, supaya jangan kelihatan orang amalannya.

  • Adapun aturan kita kepada neraka itu 4 perkara; (1) membaca Quran seboleh-bolehnya; (2) menangis pada siang dan malam kerana takut akan Allah ta`ala; (3) meninggalkan segala pekerjaan maksiat kerana menjauhi daripada haram; (4) jangan berbuat zina.

  • Adapun aturan kita kepada syurga itu 4 perkara; (1) buat kebajikan; (2) kasih akan awliya-Ullah; (3) mengerjakan segala suruh Allah ta`ala; (4) memberi orang meminta.

  • Adapun aturan kita kepada Rasulullah s.a.w. itu 4 perkara; (1) kasih akan Rasulullah; (2) mengikut segala perangai Rasulullah; (3) berbanyak-banyak membaca sholawat; (4) kasih akan segala ulama yang mushannif yakni yang zahir pengajarnya segala kitab.

  • Adapun aturan kita kepada Allah s.w.t., maka sekurang-kurangnya itu 4 perkara dan jikalau dinyatakan itu terlebih banyak; (1) menyuruh segala manusia berbuat kebajikan; (2) menegah segala manusia berbuat kejahatan; (3) beri'tiqad yang sempurna kepada Allah ta`ala; (4) syukur dan redha akan barang yang dihalalkan Allah ta`ala dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahkannya.

WaAllahu a'lamu bis showab wa ilaihil marji`u wal ma-ab.

Ikhwah, fahami betul-betul segala aturan di atas. Kalau aturan betul tertunailah segala hak dan selamatlah dari tuntutannya. Kalau ada yang kurang jelas, bolehlah mohon penjelasan kepada tuan-tuan guru kita, atau tanyalah melalui komen.

Ahad, Oktober 09, 2005

Qadha Sholat 5



Sebelum membaca nukilan ini, harap ikhwah sekalian jangan terkejut beruk kerana ianya agak keras. tapi apa boleh buat kerana hakikatnya memang sedemikian. Nukilan dari "Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor", iaitu Almarhum Habib Alwi bin Thohir al-Haddad, jilid 1, mukasurat 30 - 32, terbitan Jabatan Agama Johor :-

Perkara: Tarawih tanpa sembahyang tunai.

  1. Adakah sah tarawih walhal fardhu banyak hutang, tetapi niat hendak membayar ?

Jawab:-

  1. Sah, tetapi yang mengerjakan itu maksiat kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang sunnat meninggalkan fardhu, sedikit harapan diterima tarawihnya, Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "BAHAWA TIDAK DITERIMA SEMBAHYANG SUNNAT SEHINGGA DITUNAIKAN SEMBAHYANG YANG FARDHU."

Perkara: Hukum sembahyang sunnat bagi orang yang banyak meninggalkan fardhu.

  1. Adakah harus seorang sembahyang tarawih pada hal orang itu ada banyak hutang sembahyang fardhu yang ditinggalkannya dengan tiada uzur ?
  2. Tidakkah ada satu jalan lain atau perkataan ulama yang boleh meluluskan mengerjakan sembahyang tarawih dan lain-lain sunnat juga ?

Jawab:-

  1. Yang diwajibkan atasnya sembahyang fardhu sebelum sembahyang sunnat.
  2. Maksud bersembahyang ialah khudhu' kepada Allah ta`ala dan mengerjakan perintahNya, menghampirkan dirinya kepada Allah ta`ala. Allah ta`ala telah menyuruh semua hamba-hambaNya dengan sembahyang lima waktu, Zohor, 'Asar, Maghrib, 'Isya` dan Subuh, maka orang yang meninggalkan dengan tiada uzur kemudian ia sembahyang tarawih atau sunnat adalah maksiat kepada Allah menentangNya, melawan perintahNya, degil atas maksiat, ia dimurkai Allah ta`ala. Allah ta`ala telah berfirman :- "Hanya sesungguhnya Allah ta`ala menerima ('amal 'ibadat) daripada orang-orang muttaqin", maka orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dan mengerjakan sembahyang sunnat ini fasiq, maka sembahyang tarawih atau sunnatnya sebelum qadha sembahyang fardhu tidak diterima oleh Allah ta`ala. Dari sebab itu segera mengqadha sembahyang fardhu lebih awla dan lebih untung bagi orang Islam kerana boleh jadi mati sebelum mengqadhanya. Al-'Allamah asy-Syaikh Ibnu Hajar berkata, menurut pendapatnya iaitu orang Islam hendaklah berusaha mengerjakan kerja-kerja yang mustahak untuk sara hidupnya kemudian di waktu lapang daripada kerja-kerja hendaklah ia mengerjakan qadha sembahyang-sembahyang fardhunya tidak mengerjakan dahulu tarawih sembahyang sunnat.

Hikayat Lelaki Fasiq Dengan Bulan Ramadhan

Ikhwah, rentetan dari posting yang lepas, biar kunuqilkan sebuah cerita yang disebut oleh Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari dalam kitabnya "Irsyadul 'Ibad Ila Sabilir Rasyad" mukasurat 48:-
  • Diceritakan oleh sebahagian ahli ilmu bahawasanya ada seorang lelaki bernama Muhammad yang merupakan seorang yang sering mengabaikan sholatnya. Tetapi apabila menjelang bulan Ramadhan dia menghiaskan dirinya dengan pakaian bagus dan memakai wangi-wangian, serta dia berpuasa dan menunaikan sholat, bahkan mengqadha segala sholat yang ditinggalkannya. Apabila dia ditanya mengenai perlakuannya ini, maka dia menjawab: "Ini adalah bulan taubat, bulan rahmat dan bulan berkat, aku berharap Allah mengampuniku dengan kelebihanNya", lalu dia pun mati (dalam keadaan bertaubat tersebut). Maka aku (yakni ahli ilmu tadi) telah melihatnya dalam mimpi dan aku bertanya kepadanya : "Apa yang telah diperbuat Allah bagimu ?" Dia menjawab: "Allah telah mengampuniku kerana kehormatan bulan Ramadhan."

Moga-moga kita dan sekalian umat Islam mendapat keampunan Allah.

Ikhwah sekalian, jangan pula ada yang sengaja mengikut amalan pemuda Muhammad ini dengan hanya beramal dalam bulan Ramadhan sahaja. Nasibnya baik kerana Allah melimpahkan karuniaNya dengan mematikan dia setelah taubatnya diterima. Tapi kita sendiri belum tahu samada amalan kita diterima atau tidak. Kisah ini kunuqilkan di sini hanya untuk membangkitkan semangat agar kita mengetahui dan menjaga kehormatan bulan Ramadhan ini dengan sebaik mungkin.

Qadha Sholat 4



Ikhwah, dalam kitab fiqh dinyatakan bahawa orang yang sholat qadha boleh berimamkan orang yang sholat sunnat, asalkan kaifiat sholatnya sama walaupun bilangannya tidak sama. Ianya dihukumkan sebagai khilaful awla atau khilafus sunnah, oleh itu ianya tidak sampai ke darjat makruh. Maka, insya-Allah masih mendapat pahala jemaah. Oleh itu, untuk mengamal qawl yang asah dalam mazhab hendaklah ikhwah yang pernah meninggalkan sholat fardhu dengan sengaja tanpa uzur (INGAT: kejahilan bukan satu keuzuran) melakukan sholat qadha berimamkan dengan orang yang sholat tarawih, qadha apa pun boleh, kalau tak mahu orang tahu qadha subuh sahajalah dan bolehlah baca qunut pendek tanpa mengangkat tangan. Tapi ingat hanya niat qadha sahaja jangan disertakan niat tarawih bersama, nanti tak sah pulak sholat. Insya-Allah kalian dapat fadilat berjemaah dan fadilat menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan beribadat, sebagaimana dinyatakan oleh Almarhum Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, mantan Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, dalam jawapannya kepada masalah 22 dalam buku "40 Kemusykilan Agama" antara lain:-
  • ..."orang yang mengqadakan sembahyang fardu di belakang orang-orang yang sembahyang tarawih dalam bulan Ramadan itu dia mendapat fadilat atau kelebihan berjemaah dan pahala menghidupkan syiar Ramadan maka yang demikian memanglah benar kerana beribadat dalam bulan Ramadan dengan apa jua ibadatnya nescaya kita diberi pahala yang lebih istimewa daripada bulan-bulan atau masa-masa yang lainnya...

Jadi ikhwah sekalian, jangan pula menunggu bulan Ramadhan untuk membayar qadha fardhu, kerana asas hukumnya ialah SHOLAT FARDHU YANG DITINGGAL DENGAN SENGAJA WAJIB DIQADHA ATAS BERSEGERA. Kepada ikhwah yang hendak sholat tarawih juga walaupun hutang berkoyan-koyan belum langsai, maka terpulanglah kepadanya untuk mencari aqwal dari mazhab-mazhab lain yang membolehkannya atau berpegang kepada qil dalam mazhab.

Qadha Sholat 3


Syaikh Arsyad al-Banjari dalam kitabnya yang masyhur "Sabilal Muhtadin" juzuk 1 mukasurat 151 - 152 :-


  • (Bermula) barangsiapa ada atasnya sembahyang luput dengan tiada uzur wajib atasnya menyegerakan mengqadha dia. (Dan wajib) atasnya metasharrufkan sekalian masanya bagi mengqadha dia maka tiada harus baginya mengerjakan pekerjaan yang lain daripada qadha seperti sembahyang sunnat atau tawaf atau barang sebagainya dan fardhu kifayah seperti sembahyang jenazah, maka haram atasnya mengerjakan sekalian yang tersebut itu selama ada lagi atasnya qadha melainkan barang tak dapat tiada baginya seperti umpama tidur dan qadha hajat dan menghasilkan nafkah dan belanja yang wajib atasnya dan memperbuat wajib yang lain yang picik waktunya yang takut ia akan luputnya.

Sabtu, Oktober 08, 2005

Qadha Sholat 2

Tersebut dalam kitab "Fathul Mu`in", pada hamisy I`anatuh-Tholibin juzuk 1 mukasurat 23 :-
  • Dan wajib menyegerakan oleh orang yang meninggalkan sholat untuk mengqadha sholat yang luput jika keluputannya itu tanpa suatu keuzuran. Maka wajiblah diqadhakannya dengan segera. Telah berkata guru kami, Imam Ahmad bin Hajar (Ibnu Hajar al-Haitami) : " Dan menurut apa yang zahir, bahawa wajiblah digunakan seluruh kesempatannya untuk mengqadha, melainkan untuk melakukan hal-hal yang tidak dapat tidak, dan haram atasnya melakukan sholat-sholat sunnat."

Jumaat, Oktober 07, 2005

Qadha Sholat

Alhamdulillah, sudah masuk hari ke-3 kita berpuasa. Alhamdulillah, malam-malam berkesempatan untuk bertarawih. Dan bagi sesiapa yang masih mempunyai hutang sholat fardhu, eloklah ditunaikan dengan segera, jika dahulu ianya ditinggalkan dengan sengaja. Mengikut mazhab kita, sholat fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha dengan segera, dan selagi belum selesai diqadha kita tidak dibenarkan bahkan diharamkan sholat sunnat. Kalau dikerjakan juga sholat sunnat, maka dapat pahala mengerjakan sholat sunnat dan dapat dosa kerana melambat-lambatkan qadha sholat fardhu dan segala waktu hendaklah digunakan untuk mengqadha sholat tersebut melainkan untuk perkara-perkara yang tidak dapat tidak. Inilah qawl ashah dalam mazhab kita, walau bagaimana pun ada juga qawl yang muqabil asah yang dipegangi oleh Imam Zarkasyi yang menyatakan jika seseorang punya hutang sholat fardhu yang wajib diqadha dengan segera maka berdosa dan tidak sah sholat sunnat yang dikerjakannya. Di samping itu, ada juga qil yang menyatakan boleh orang tersebut menunaikan sholat-sholat sunnat asalkan tidak mengabaikan qadha sholat fardhunya. TETAPI QAWL YANG ASAH adalah yang pertama tadi.
  • Nashnya boleh kita lihat dalam kitab-kitab mu'tabar mazhab, kali ini biar kunuqil daripada kitab ulama tua kita yang paling tersohor dan produktif, Mawlana Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni dalam kitabnya "Bughyatuth-Thullab" jilid 1 mukasurat 159 yang menyatakan:- " (DAN BARANGSIAPA) ADA ATASNYA SEMBAHYANG YANG LUPUT DENGAN DENGAN TIADA UZUR WAJIB ATASNYA MENYEGERAKAN MENGQADHAKAN DIA DAN WAJIB ATASNYA MENTASHARRUFKAN (i.e. menggunakan) SEGALA MASANYA BAGI MENGQADHA DIA MAKA TIADA HARUS BAGINYA MENGERJAKAN PEKERJAAN YANG LAIN DARIPADA QADHA SEPERTI MEMBAWA SUNNAT DAN SEMBAHYANG SUNNAT ATAU TAWAF SUNNAT DAN SEMBAHYANG JENAZAH, MAKA HARAM ATASNYA MENGERJAKAN SEGALA YANG TERSEBUT ITU SELAMA ADA LAGI ATASNYA QADHA MELAINKAN BARANG YANG TAK DAPAT TIADA BAGINYA SEPERTI UMPAMA TIDUR DAN QADHA HAJAT DAN MENGHASILKAN NAFKAH DAN BELANJA YANG WAJIB ATASNYA DAN MEMPERBUAT WAJIB YANG LAIN YANG PICIK WAKTUNYA YANG TAKUT IA LUPUTNYA."

Ahad, Oktober 02, 2005

Akhir Sya`baan

Dan ketika menyambut Ramadhan Sayyidina Rasulillah s.a.w berpesan :

Sabtu, Oktober 01, 2005

Fadhilatul Ustaz Muhd. Taha as-Suhaimi



(27/7/1916 – 8/6/1999)

He was born Thursday, 27 July 1916 / 26 Ramadan 1334. He received his early education from Raffles Institution in Singapore and later from Al-Attas Islamic College in Johor, Malaysia. After graduating from the College, he pursued his study at Al-Azhar University, Egypt.

Back in Singapore, he was appointed as a lecturer at Ngee Ann College and the first Syariah Court's President. He was instrumental in sustaining Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah financially, through a traveling company he setup. Some of the profits from the company was channeled to the Madrasah’s fund. He also donated the profits from his books to the Madrasah.

Apart from his activities at the Madrasah, he was also active in the now defunt Masjid Ma'rof. He also prepared scripts for religious programmes at Singapore Radio, and taught religious subjects at his house. He was well known as a tariqat syeikh and a martial arts exponent.

Among his published books are:
1) Hakikat Syirik
2) Haji dan Umrah
3) Tauhid
4) Qadha’ dan Qadar
5) Kitab Fiqh
6) Kitab Puasa
7) Bukti-bukti Kebenaran Al-Quran
8) Has the Bible been Altered
9) Muhammad Foretold in Earlier Scriptures.

He died on Tuesday, 8 June 1999 / 23 Safar 1420, at the age of 83 years old.

May Allah bless his soul.....al-Fatihah.

(source: Ustaz Ahmad Harith Suhaimi, Ustaz Taha's son)

Ramadhan Mubarak

Marhaban Ya Ramadhan
Marhaban Ya Syahral Quran
Marhaban Ya Syahrash Shiyam

Dalam hadits yang sudah sedia kita maklumi diceritakan Junjungan s.a.w. telah naik ke mimbar, setiap menaiki tiga anak tangga mimbar Junjungan s.a.w.mengucapkan aamiin. Perbuatan Junjungan ditanyai para sahabat. Junjungan s.a.w. menjawab:-
  • Jibril mendatangiku sewaktu aku menaiki anak tangga pertama, dia berkata:- "Celakalah seorang hamba yang tidak memakmurkan bulan Ramadhan sehingga dosa-dosanya tidak diampuni. " Aku pun berkata:- "Aamiin".

  • Pada anak tangga kedua, dia berkata: "Celakalah seorang hamba yang tidak berkhidmat kepada orang tuanya sehingga dia tidak dimasukkan ke syurga." Aku pun berkata: "Aamiin."

  • Pada anak tangga ketiga, dia berkata: "Celakalah seorang hamba yang mendengar namamu disebut, namun dia tidak bersholawat untukmu." Aku pun berkata: "Aamiin".

Nah saudara, jangan sampai kita terkena malapetaka besar ini. Isikan Ramadhan dengan sebaiknya, hendaklah sentiasa berbakti kepada orang tua kita, dan jangan lupa sentiasa membasahi lidahmu dengan sholawat.

Hukum Menghadiah Pahala Bacaan

Kedudukannya dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah adalah seperti berikut:-

  • Adapun baca Quran, maka telah berkata Imam Nawawi di dalam 'Syarah Muslim':- " Bermula yang masyhur daripada mazhab Imam Syafi`i bahawasanya tiada sampai pahalanya kepada mayyit. Dan berkata setengah Ashabusy-Syafi`i sampai pahalanya bagi mayyit dengan semata-mata diqashadkan dia dengan bacaan itu dan jika kemudian daripada dibacanya sekalipun, dan berpegang atasnya oleh a-immah yang tiga dan memilih akan dia kebanyakan ulama mazhab kita dan dii'timad akan dia oleh Subki dan lainnya.

Ini kunuqil daripada mukasurat 141 kitab "Mathla`ul Badrain" karangan Syaikh Nik Mat Kecik. Bahasan yang panjang akan kupersembahkan di lain ketika. Cuma dikatakan ulama kita bahawa pendapat Imam Syafi`i mengatakan tidak sampai pahala bacaan Quran kepada si mati itu ditanggung maksudnya jika bacaan tersebut tidak dibaca di hadapan mayyit atau di kuburnya; atau dibaca tanpa niat untuk disedekahkan atau dihadiahkan pahala kepada si mayyit; atau tidak didoakan agar pahala bacaan tersebut disampaikan kepada si mayyit.