Rabu, Disember 31, 2014

Rabu, Disember 24, 2014

Marhaban bir Rabi`

Bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir lagi. Maka patut dan wajar untuk kita memperhebatkan serta menggandakan lagi ingatan kita ke hadrat Junjungan sekalian alam shallaAllahu `alaihi wa sallam. Usahlah dipedulikan suara - suara sumbang yang bencikan umat yang bersyukur serta menzahirkan kesyukuran mereka atas kelahiran nikmat terbesar daripada Allah subhanahu wa ta`ala. Mari kita sibukkan diri menzahirkan rasa syukur kita dengan membesarkan dan memuliakan mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk menambahkan lagi kecintaan dan kerinduan kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Janganlah kita terpedaya dengan tipuan halus syaitan yang mengkehendaki kita supaya hanya tenggelam dalam perdebatan mengenai sambutan mawlid sehingga kita sendiri lalai daripadanya .... Allahu .... Allah. 

Pedulikanlah puak - puak pembenci mawlid ini, tok sah layan sangatlah. Kita ada sandaran yang kuat dan kukuh zaman - berzaman yang terdiri daripada para ulama muktabar yang menjadi sandaran umat. Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam "Husnul Maqshid fi Amalil Mawlid" ketika ditanya tentang hukum sambutan mawlid dalam bulan Rabi`ul Awwal, samada ianya amalan yang terpuji atau keji, dan adakah si pelakunya akan diberi pahala atau tidak, telah menjelaskan, antara lain, sebagai berikut:
"Bahawasanya pada dasarnya hukum amalan mawlid - di mana manusia mengadakan perhimpunann, membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran, membaca riwayat - riwayat mengenai kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta tanda-tanda mukjizat dan kebesaran baginda, lalu kemudian didatangkan jamuan untuk mereka makan sebelum bersurai, tanpa ada tambahan selain demikian, adalah bid`ah hasanah yang pelakunya diberi pahala, kerana terkandung dalamnya pengagungan kedudukan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan penzahiran kesukaan dan kegembiraan atas mawlid baginda yang mulia.
Maka, jelas bahawa mengadakan sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah suatu amalan yang terpuji yang bakal diganjari Allah ta`ala dengan syarat apa-apa yang dibuat dalam rangka mengadakannya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang mulia. Jika saja seseorang tidak dikeji jika dia menyambut ulang tahun kelahiran dirinya sebagai tanda bersyukur dan muhasabah, maka di mana salahnya jika seseorang itu untuk menyambut ulang tahun kelahiran manusia paling agung, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hanya pengikut penggembala unta dari Najd yang otaknya sekadar mampu menerobosi langit - langit khemahnya sahaja yang akan mengeji sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Membid`ahsesatkan sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun yang peliknya, perayaan ulang tahun kelahiran negara, mereka sambut pula dengan meriah. Mana letaknya otak meke - meke ini ......Allahu ... Allah. 

Jumaat, Disember 19, 2014

Shalawat Imam Syaadzili

Ya Allah, jadikanlah shalawat yang paling afdhal, barakah yang paling tinggi, tahiyyah yang paling baik, pada keseluruhan waktu, bagi sebaik-baik makhluk, Sayyidina wa Mawlana Muhammad, penghuni bumi dan langit yang paling sempurna; Juga atas baginda wahai Tuhan kami, salam tahiyyah yang terbaik, pada setiap detik dan ketika.
Ini adalah shalawat yang ke-31 dalam "Sa`adatud Daarain" karya al-`Alim al-`Allaamah asy-Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah. Shalawat ini dinisbahkan kepada asy-Syaikh as-Sayyid Abul Hasan `Ali asy-Syaadzili rahimahullah. Di mana beliau rahimahullah telah memulakan Hizbul Luthf dengannya. Di hari Jumaat yang mulia ini, eloklah kita memperbanyakkan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antaranya dengan shalawat yang mulia ini. 

Rabu, Disember 17, 2014

100 kali haji

Imam at-Tirmidzi rahimahullah telah meriwayatkan dalan "Sunan at-Tirmidzi" pada juzuk ke-5, halaman 288 - 289, sebuah hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang membawa 100 ekor kuda di jalan Allah, atau - sabda baginda - orang yang berperang 100 peperangan (jihad); Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."
Allahu ... Allah, besarnya ganjaran yang disediakan Allah bagi amalan yang ringan ini. Janganlah ragu dengan ganjaran yang disebutkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tersebut. Lebih besar dari itu pun Allah berkuasa mutlak untuk melimpahkan anugerahNya dan sebesar mana pun ganjaran tersebut, tidak luak sedikitpun rahmat dan anugerah di sisi Allah. Maka carilah sebanyak mungkin bekalan untuk kehidupan yang abadi di sana.

Rabu, Disember 10, 2014

Karamah Syaikh Daud Fathani

Antara kitab Tok Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani rahimahullah yang dekat dengan hati kita di alam Melayu adalah "Munyatul Mushalli". Punya dekatnya sehingga ada ustaz yang berfikiran salahpi turut menggunakannya sebagai teks mengajar untuk mengelabui mata masyarakat. Kemudian ustaz ini akan memasukkan jarum - jarum salahpinya dengan menyalahkan atau memperlekehkan isi kandungan kitab ini dengan alasan "tidak selari dengan sunnah" atau "tiada nas" dan dan dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah memberi petunjukNya kepada ustaz ini dan juga kita sekalian agar berpegang dengan ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar.

Berbalik kepada "Munyatul Mushalli", ianya membicarakan mengenai persoalan shalat yang diwajibkan ke atas kita. Nak tahu isi kandungannya yang terperinci, korang belilah sendiri baca dan pergi mengaji. Di sini, kawe nak share satu kisah yang berkaitan dengan penulisan karya ini. Diceritakan bahawa karya yang berkat ini disusun dan ditulis sendiri oleh Tok Syaikh Daud rahimahullah atas  permintaan seorang raja. Maka Tok Syaikh rahimahullah pun  mula menyusun karangannya ini berdasarkan ilmu yang ada dalam ingatan beliau semata-mata tanpa merujuk kepada mana-mana kitab. Melihat kepada hal tersebut, Sang Raja mula meragui kebolehan dan ilmu Tok Syaikh Daud rahimahullah. Namun keraguan tersebut segera hilang apabila pada satu ketika Sang Raja melihat Tok Syaikh Daud rahimahullah menulis kitab ini tanpa menggunakan lampu dan qalam. Ketika menulis di waktu malam, jari-jari Syaikh Daud rahimahullah akan mengeluarkan cahaya meneranginya dan jari telunjuknya pula digunakan sebagai qalam untuk menulis.

Inilah antara cerita karamah Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah yang diceritakan melalui lisan tok - tok guru kita rahimahumullah. Kisah karamah sebegini juga dinukilkan berlaku kepada ramai lagi ulama yang `amilin lagi mukhlisin seperti asy-Syaikhan, Imam an-Nawawi rahimahullah dan Imam ar-Rafi`i rahimahullah. Maka gemarkanlah diri kita hendaknya untuk mentelaah segala kitab turats peninggalan para ulama kita yang ikhlas. Insya-Allah, ilmu dapat, berkat dapat dan doa pengarangnya pun dapat.

Isnin, Disember 08, 2014

Istighatsah: JJ v. Hadhratusy Syaikh

KH Hasyim Asy`ari rahimahullah sebagai seorang ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah memperjelaskan dengan sejelas-jelasnya mengenai keharusan bertawassul, beristighatsah dan meminta syafaat dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, para wali dan para shalihin, samada ketika hidup mereka di dunia ini atau ketika mereka hidup di alam barzakh. Bahkan dalam karya beliau "an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" menyatakan bahawa amalan bertawassul dan beristighatsah ini tidak pernah diingkari oleh mana-mana ulama sehinggalah bangkangan yang timbul daripada Ibnu Taimiyyah al-Harrani, idola dan rujukan utama puak salahpi. Oleh itu, apa yang ditimbulkan oleh JJ ini, tiada lain melainkan sekadar pengulangan fatwa - fatwa puak minoriti untuk menyesatkan golongan majoriti. Jika JJ kata tidak boleh beristighatsah, maka Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari rahimahullah dalam karya beliau"an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" menulis antara lain:-


....Demikian pula permohonan dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, para wali dan shalihin bukanlah meminta kepada mereka, tetapi meminta kepada Allah semata-mata melalui mereka. Maka tawassul, memohon syafaat dan beristighasah melalui mereka tidaklah mempunyai erti lain dalam hati kaum muslimin kecuali sebagaimana yang disebutkan tadi. Dan tiada seorang pun di antara mereka yang bertawassul dan beristighatsah melainkan tujuannya hanyalah untuk memohon kepada Allah semata-mata. Barangsiapa yang dadanya tidak dilapangkan untuk (memahami) masalah ini, hendaklah ia menangisi dirinya sendiri. Kami meminta kepada Allah ampunan dan afiat.

Dan akan datang dalam hadis syafaat di mana manusia meminta perlindungan kepada para nabi pada hari kiamat. Hadis ini adalah dalil yang paling jelas membenarkan bertawassul dengan mereka. Sesungguhnya setiap orang yang berdosa bertawassul kepada Allah `azza wa jalla dengan orang yang lebih hampir kepadaNya daripada dirinya. Perkara ini tidak pernah diingkari oleh sesiapa pun. Tidak ada beza mengenai perkara ini samada ianya dinamakan sebagai permohonan syafaat atau tawassul atau istighatsah. Hal ini tidak sama dengan perbuatan orang - orang musyrik yang kononnya hendak mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah menyembah kepada selainNya, perkara ini adalah kekufuran. Sedangkan kaum muslimin apabila bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan selain baginda daripada para nabi, wali dan shalihin, tidaklah menyembah mereka dan dengan tawassul yang sedemikian tidaklah mengeluarkan mereka dari mentauhidkan Allah ta`ala, hanya Dia sahaja yang memberi manfaat dan mudarat.

Maka berhati-hatilah dari mengeluarkan pernyataan yang membawa kepada menghukum orang Islam sebagai musyrik, tanpa kita memahami dan melihat kepada segala aspek kerana tuduhan syirik itu terlalu amat besar dan dahsyat sehingga tidak wajar untuk dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya. Janganlah hanya kerana seseorang mengucapkan : "Tolonglah aku, wahai Junjungan", maka terus dihukumkan mensyirikkan Allah. Jangan terlalu mudah mensyirikkan orang...... Allahu .... Allah. Jika JJ tidak memahami di mana duduknya persoalan bertawassul dan beristighatsah dan tidak dapat berlapang dada mengenainya, maka seharusnya dia menangisi dirinya sebagaimana anjuran Hadhratusy Syaikh.  Jangan marah ......... Madad, Madad Ya RasulAllah.

Rabu, Disember 03, 2014

Tertib Dalam Jamak Takhir

Berlaku kekeliruan mengenai tertib dalam melaksanakan jamak takhir. Ada yang mendahulukan shalat `Isyak sebelum Maghrib, kerana katanya `Isyak itu yang empunya waktu. Manakala sebilangan lagi mendahulukan Maghrib kerana mengikut tertib.

Apa yang ese ketahui dan pelajari daripada tuan - tuan guru, hukum tertib dalam jamak taqdim adalah wajib, manakala dalam jamak takhir pula adalah sunnat. Yang dikehendaki dengan tertib di sini adalah melaksanakan shalat yang hendak dijamakkan itu mengikut urutan, yakni ditunaikan shalat Zohor dahulu kemudian diikuti dengan shalat `Asar dan ditunaikan shalat Maghrib kemudian baru shalat `Isyak. Sekali lagi ditegaskan bahawa tertib ini dalam jamak taqdim mesti diikut, dan biasanya tidak berlaku kekeliruan dalam perlaksanaannya. Namun dalam jamak takhir, ada yang terkeliru kerana beranggapan shalat yang empunya waktu hendaklah didahulukan, iaitu shalat `Asar dahulu kemudian baru shalat Zohor, maka apa yang mereka lakukan adalah menyalahi tertib. Walaupun hal ini tidak memberi kesan atas keabsahan perlaksanaan shalat - shalat tersebut secara jamak takhir, namun ianya menghilangkan pahala sunnat tertib tersebut. Mengenai sunnahnya tertib dalam perlaksanaan jamak takhir ini, ianya disebut dalam banyak kitab - kitab fiqh seperti "Tuhfah" dan "Nihayah".

Untuk lebih jelas, ambo nukilkan tulisan seorang ulama Sarawak mengenai kaedah perlaksanaan jamak takhir. Syaikh Daud bin Abdul Ghani rahimahullah dalam kitab beliau yang berjodol "Pedoman `Ibadah" Bahagian Pertama, halaman 102 - 103 menulis:-

Conto (nota: yakni contoh dalam Bahasa Malaysia) sembahyang qasar dengan jamak takhir.

(1) Orang yang hendak qasar dengan jamak takhir di antara sembahyang Zohor dengan `Asar itu hendaklah ia berniat jamak takhir di dalam waktu Zohor. Maka setelah masuk waktu `Asar, sunnatlah ia bang dan iqamat. Kemudian lalu mengucap: "Ushalli fardhadz Dzuhri rak`ataini qashran majmuu`an ilal `Ashri adaa`an Lillahi ta`ala", lalu disambungkan nya dengan mengucap takbiratul ihram, serta ingat di dalam hatinya waktu itu: "Sahaja aku sembahyang fardhu Zohor dua rakaat qasar dihimpunkan kepada `Asar". Habis itu lalu teruskanlah sembahyang itu sampai habis (macam gaya sembahyang Zohor jamak taqdim jua). Kemas memberi salam (nota:- perkataan "kemas memberi salam" di sini adalah mengikut pengertian dalam bahasa Melayu Sarawak yang membawa erti setelah sempurna memberi salam), lalu angkat iqamat. Kemas iqamat lalu terus sembahyang `Asar sampai habis (macam gaya sembahyang `Asar di waktu jamak taqdim jua).

(2) Kalau hendak sembahyang jamak takhir di antara sembahyang Maghrib dengan `Isyak, hendaklah ia berniat jamak takhir di dalam waktu Maghrib. Maka setelah masuk waktu `Isyak, sunnatlah ia bang dan iqamat. Kemudian lalu mengucap: "Ushalli fardhal Maghrib tsalatsa raka`aatin majmuu`an ilal `Isyaa-i adaa`an Lillahi ta`ala", lalu disambungkannya dengan mengucap takbiratul ihram, serta ingat di dalam hatinya waktu itu: "Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepada `Isyak", kemudian diteruskan nya lah sembahyang itu sampai habis. Setelah kemas memberi salam, angkat lagi lalu iqamat. Habis iqamat lalu terus sembahyang `Isyak (macam gaya sembahyang `Isyak di waktu jamak taqdim).

Dari contoh yang dikemukakan di atas, mudah-mudahan jelas bagi kita bahawa perlaksanaan shalat - shalat secara jamak takhir juga mengikut tertib tersebut. Namun tertib dalam shalat - shalat ini hanyalah dihukumkan sebagai sunnat sahaja. Formulanya mudah sahaja "tertib dan muwalat" adalah wajib dalam jamak taqdim, manakala ianya adalah sunnat dalam jamak takhir. Mudah-mudahan perlaksanaan ibadah kita dapat diperkemaskan lagi.