Jumaat, Disember 23, 2022

Shalawat Fatih - KH Badri

Sekadar berkongsi dan untuk rujukan. Memang bagi pengikut Thariqat Tijaniyyah, Shalawat Fatih memiliki tempat yang istimewa di sisi mereka. Bagi diri faqir yang dhaif lagi dangkal ilmu dan singkat faham, tidaklah berani untuk menyalah - nyalahkan perkataan para ulama dan shalihin, namun tidaklah juga bererti faqir menerima bulat - bulat dengan taksub, sebagaimana segelintir yang melampau sehingga membawa kepada menghina atau merendahkan yang lain. Cukup untuk faqir bersikap sederhana, selagimana ianya tidak bertentangan dengan `aqidah dan syariat. Bagi faqir, keafdhalan sesuatu shalawat itu tidak hanya terikat dengan rupa bentuk shighahnya, faktor kerinduan `asyiq ma'syuq kepada pribadi yang ditujukan shalawat tersebut dan juga kepada Zat yang dipohonkan limpahan kurniaan shalawatNya, itu yang utama. Sesungguhnya shalawat `isyqi (shalawat kerinduan) itu yang paling afdhal, berbanding apa jua shalawat yang diucapkan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun setiapnya ada manfaat dan kesan, cuma bezanya besar atau kecil sahaja. KH Badri Mashduqi rahimahullah adalah ulama dan merupakan salah seorang muqaddam yakni syaikh bagi Thariqat Tijaniyyah yang mempunyai ramai murid di Tanah Seberang. Beliau adalah pendiri Pondok Pesantren Badridduja, Krakasaan, Probolinggo, Jawa Timur. Beliau wafat sekitar tahun 2002, semoga Allah memberikan beliau sebaik - baik balasan dan menempatkan beliau bersama para shalihin.
Shalawat Fatih - KH Badri Mashduqi


Isnin, Disember 05, 2022

Sayyidul Istighfar Penyertu Hati

Kita melakukan dosa maksiat kerana kealpaan hati kita akan Sang Pencipta. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda bahawa syaithan itu sentiasa cuba untuk menggoda dan meniup was - was dalam hati manusia, yang mencegahnya adalah ingat akan Allah. Namun ketika kita lupa, maka berjayalah dia untuk menancap muncungnya ke hati kita dan menjalankan agenda dan tipusayanya untuk menjerumuskan kita ke lembah dosa dan maksiat. Sebahagian ulama memberi tamsilan bahawa syaitan itu seperti anjing yang sentiasa loba untuk menjilat - jilat hati kita agar ianya kotor berlumur dengan najis, lalu mudahlah dia menjalankan segala godaan dan perdayaannya. Bila hati dah kotor bernajis, maka ketika itulah maksiat terasa lazat dan nikmat. Inilah perumpamaan yang diberikan oleh sebahagian ulama. Mereka mengumpamakan syaitan yang datang menggoda hati agar bermaksiat melalui jalan hawa nafsu itu seperti seekor anjing.

`Iqdul Zabarjad adalah karangan al-`Alim al-Fadhil Syaikh Abdul Wahhab bin Ahmad bin Barakaat ath-Thanthawi al-Mishri asy-Syafie al-Ahmadi, seorang ulama sufi kurun ke 12 hijrah. Beliau ini merupakan syaikh Thariqat as-Sajadah al-Ahmadiyyah yang merupakan cabang Thariqah Ahmadiyyah al-Badawiyyah (Thariqah Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu). Pada halaman 127 beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:
Telah berkata Syaikhul Islam Sirajuddin al-Bulqini: Syaitan itu umpama anjing bagi orang mukmin. Ia senantiasa mengintai - ngintai kesempatan untuk menerpa hati sanubarinya. Selagi mana hati si mukmin tadi sibuk dengan mengingati Allah (dzikrullah), maka si syaitan akan menjauhkan dirinya. Tatkala mana hati tadi alpa dan lalai daripada mengingati Allah, syaitan akan menerkam hatinya dengan lahap lalu mengotorinya. Apabila engkau terkena najis anjing (yakni najis mughallazah), untuk mensucikannya engkau perlu membasuh 7 kali. Sayyidul Istighfar itu mempunyai 7 kalimah (yakni pengertian maknanya), maka apabila seseorang mukmin membacanya bersihlah hatinya daripada jilatan syaitan tersebut. Ketika anak beliau, Syaikh Jalaluddin, mendengar perkataan ayahandanya, beliau pun bersyair:

Tika syaitan menerpa hatimu yang alpa;

Lalu si durjana menjilat sekotor - kotornya;

Bersegeralah engkau sucikan dia;

Berpandukan ajaran sunnah sebaik - baik riwayatnya;

Tujuh rangkaian kalimah daripada Sebaik - baik Pemberi Ingatan adanya;

Mentauhidkan Tuhan dan bahawasanya kita hambaNya;

Atas perjanjian patuh mentaati, tiada kita langgar, tidak pula mengubahnya;

Demikian perlindungan dari kejahatan perbuatanmu mohon akan Dia;

Lalu akuilah segala nikmat yang banyak kepadamu dikurniakanNya;

Juga akuilah segala dosa kesalahanmu terhadapNya;

Seraya merendah diri bermunajat kepadaNya;

Katakanlah: Wahai Tuhanku maafkan dosa kesalahanku ampunilah ia;

Ketika itu, dengan taubatmu, engkau mencampak debu ke hidungnya;

Maka itulah sebenar - benar penghinaan baginya;

Dan bagimu satu penyucian adanya.

Yang dimaksudkan 7 rangkaian kalimah yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar adalah intipati yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar ada 7 sebagaimana berikut:- (i) Pengakuan rububiyyah dan uluhiyyah hanya bagi Allah; (ii) Pengakuan bahawa kita adalah hamba yang dicipta Allah; (iii) Pengakuan bahawa kita akan tunduk dan patuh atas segala hukum - hakam yang ditetapkan Allah semampu - mampunya; (iv) Kita memohon perlindungan Allah dari segala kesalahan yang telah kita lakukan (v) Pengiktirafan kita bahawa segala nikmat yang telah kita perolehi adalah anugerah kurniaan Allah (vi) Pengakuan atas segala dosa kesalahan yang telah kita lakukan (vii) Permohonan keampunan daripada Allah kerana hanya Dialah berhak mengampunkan segala dosa.

Maka, hendaklah kita sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Penerima Taubat. Amalkanlah Sayyidul Istighfar ini dengan tulus ikhlas dan penuh penghayatan. Mudah - mudahan segala dosa kesalahan kita diampuniNya.....Allahumma aamiin. 

Rabu, November 09, 2022

Matilah, Jangan Tumbuh Lagi

Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajjar rahimahullah, murid Quthubul Irsyad Habib Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad @ Imam al-Haddad, Shahibur Ratib radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan satu faedah daripada guru beliau tersebut berupa bacaan bagi merawat penyakit "burok" yang tidak kunjung sembuh. Dalam Tatsbitul Fuaad, juz 2, halaman  12, disebut akan faedah yang bagus tersebut sebagai berikut:-  Adalah Imam al-Haddad radhiyaAllahu `anhu pernah membaca kalimat - kalimat ini pada kaki seseorang yang menghidap luka ( "burok") yang tidak dapat diubati oleh para doktor dan perawat. Beliau berkata kepadaku: "Hafalkanlah kalimat - kalimat ini, kerana kami meriwayatkan daripada para pendahulu kami:- Ya dzan nabatil manbuut (atau dengan iqlab, mambuut), mut fi badani man (atau diidghamkan, may)  yamuut, bi qudratil Hayyil ladzi la yamuut. (Wahai yang tumbuh ditumbuhkan Allah, matilah engkau dahulu dari badan orang yang akhirnya pasti mati jua, dengan qudrat Allah al-Hay (Tuhan yang Maha Hidup) yang tidak akan mati selamanya.)"

Kata sebahagian ulama, doa ini juga boleh diamalkan sebagai ikhtiar bagi orang - orang yang terkena ulcer atau apa - apa penyakit yang sifatnya merebak pada badan seperti kudis, kurap, burok yang lambat sembuh, atau penyakit ketumbuhan seperti barah atau kanser dan seumpamanya. Mudah - mudahan penyakit - penyakit tersebut dimatikan Allah dan tidak merebak lagi, juga diberikanNya kesembuhan yang sempurna.

Rabu, Oktober 26, 2022

Tika al-Haddad Masuk Neraka ...

Apabila kita melihat sesuatu, biasanya kita akan membuat persepsi atau tanggapan tertentu daripada apa yang kita lihat. Namun, persepsi atau tanggapan tersebut tidak semestinya benar atau tepat. Adakalanya, ia meleset kerana hakikat sebenarnya mungkin berbeza dengan persepsi kita tersebut. Hal sebegini berlaku hatta pada apa yang kita lihat dalam mimpi. Mimpi itu tidak selalunya benar, ada yang benar dan ada yang hanya merupakan mainan tidur. Dalam mimpi, sebagaimana juga dengan apa yang dilihat ketika jaga, hakikat sebenar tidak semestinya sebagaimana persepsi yang kita lihat. Kata guru, dengan mimpi seseorang berkemungkinan mendapat ilham dan hidayah, namun seseorang juga boleh tersasar dan tersesat dek kerana mimpi. Makanya, mimpi - mimpi yang benar sekalipun mempunyai ta'bir dan tafsirnya, dan tidak semua orang yang mempunyai ilmu mengenainya. Makanya, ketika kita bermimpi, janganlah terlalu "eitok" atau sibuk atau berpegang dengan mimpi - mimpi. Apa pun yang kita mimpikan, serahkan sahaja kepada Allah dan mohonlah kebaikan daripadaNya. Janganlah disibukkan diri dengan mimpi - mimpi tersebut, nanti akhirnya kita akan dibuai mimpi, berfantasi sehingga hilang pijakan realiti.

Berhubung dengan cerita mimpi, faqir ingin kongsikan bagaimana sesuatu yang dilihat dalam mimpi mempunyai pengertian yang berbeza dengan tanggapan orang yang bermimpi. Kisah ini faqir nukil dari kitab Tuhfatul Asyraf, juz 1, yang merupakan himpunan kalam dan ajaran Mufti Seiwun, Habib Muhammad bin Hadi bin Hasan as-Saqqaf rahimahullah, yang dihimpun oleh Habib Ahmad bin `Alawi bin Saqqaf al-Jufri rahimahullah. Pada halaman 139 dikisahkan sebagai berikut:-  ....Diceritakan bahawa pernah di suatu masa, ketika Habib Abdullah Ba`Alawi (yakni Imam al-Haddad rahimahullah) selesai menunaikan Shalat Subuh, beliau bertanya kepada jemaah yang hadir: "Sesiapa di antara kamu yang telah bermimpi, ceritakanlah apa yang telah dilihatnya sebagaimana mimpi tersebut?" Di antara jemaah tersebut, ada yang telah bermimpi melihat Imam al-Haddad berada dalam neraka, namun dia segan untuk berkata kepadanya: "Aku telah melihat engkau dalam neraka." Imam al-Haddad mengulangi permintaannya beberapa kali sehingga dengan kasyaf, beliau berkata: "Ceritakanlah mimpi itu walaupun dalam mimpi itu engkau melihat seseorang berada dalam neraka." Ketika itu, orang yang bermimpi tersebut berkata: "Sesungguhnya semalam aku telah mimpi melihat engkau dalam neraka." Maka Imam Haddad berkata kepadanya: "Benarlah apa yang telah engkau mimpikan, aku telah melihat sebahagian sahabatku masuk neraka, lalu aku pun memasuki neraka untuk membawa mereka keluar darinya."

Allahu .... Allah, si pemimpi memang benar - benar bermimpi melihat Imam al-Haddad dalam neraka, cuma dia tidak mengetahui bahawa Imam al-Haddad di situ bukan untuk menerima azab, tetapi untuk memberi syafaat kepada sahabatnya yang telah dihumban ke sana. Bayangkanlah, tanpa penjelasan daripada Imam al-Haddad, mungkin orang yang bermimpi itu akan membuat persepsi atau tanggapan daripada mimpinya itu bahawa Imam al-Haddad adalah ahli neraka. Begitulah kisah mimpi sebagaimana diceritakan. Oleh itu, jangan mudah - mudah membuat tanggapan atau persepsi negatif terhadap seseorang tanpa bukti atau alasan yang kukuh. Juga janganlah terlalu menyibukkan diri dengan mimpi - mimpi, berpautlah kepada realiti dan teruslah meniti titian kehidupan ini sehingga sampai ke negeri abadi dengan selamat, tanpa perlu singgah dahulu ke neraka. Singgahnya Imam al-Haddad sebagaimana dimimpikan tadi adalah untuk memberi syafaat, kalau kita ??????? Hanya pada Allah kita berserah. Sesekali, jika tidak selalu, elok juga kita baca doa yang diamalkan oleh Sayyidatina `Aisyah radhiyaAllahu `anha sebelum tidur agar direzekikan dengan mimpi - mimpi indah lagi bermanfaat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnus Sunni dalam `Amalul Yawm wal Lailah pada halaman 179 dengan sanad yang sahih dan turut dinukilkan oleh Imam an-Nawawi dalam al-Adzkar pada halaman 164.




Khamis, Oktober 20, 2022

Perarakan Mawlid - an-Nahrawali

Sejarawan, muhaddits dan ulama, asy-Syaikh al-Imam al-'Allaamah Quthbudin Muhammad bin `Alauddin Ahmad bin Muhammad bin Qadhi Khan Mahmud an-Nahrawani @ an-Nahrawali al-Hindi tsumma al-Makki al-Hanafi rahimahullah (917 - 988/990H), dalam karya beliau al-I'laam bi A'laam Baitillah al-Haraam ada menulis sedikit tentang suasana dan kemeriahan sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sempat beliau rakamkan di kota suci Makkah al-Mukarramah. Karangan beliau ini disempurnakan sekitar tahun 979H di kota suci Makkah al-Mukarramah.

Pada halaman 196 kitab tersebut, Imam an-Nahrawali merakamkan, antara lain, sebagai berikut:- ...Dikatakan bahawa antara tempat yang mustajab berdoa adalah tempat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan (Mawlid an-Nabi), tempat masyhur yang diziarahi sehingga sekarang dan di sampingnya dibina sebuah masjid untuk shalat. Setiap malam Isnin, diadakan perhimpunan di situ untuk berzikir kepada Allah ta`ala. Pada malam 12 Rabi`ul Awwal setiap tahun, seusai shalat Maghrib, maka berkumpullah segala fuqaha`, para pemuka Masjidil Haram serta empat qadhi besar yang mewakili empat mazhab di Mekah al-Musyarrafah, membuat lingkaran yang bersambung (barisan perarakan) dengan membawa lilin, lentera dan obor. Turut menyertai perarakan tersebut adalah para masyaikh bersama - bersama kenamaan dan masyarakat awam. Mereka  berarak keluar dari masjid menuju ke Suqul Lail lalu meneruskan perjalanan ke tempat Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan (Mawlid an-Nabi) dengan perarakan yang ramai lagi padat. Di sana seorang penceramah diminta untuk memberikan syarahan lalu mendoakan pemerintahan yang dimuliakan. Setelah selesai, mereka berarak kembali semula ke Masjidil Haram. Di Masjidil Haram, mereka duduk bersaf-saf di tengah masjid dari arah pintu yang mulia (Pintu Baitullah) di belakang tempat pengikut mazhab Syafie (maqam asy-Syafi'iyyah). Kemudian ketua penjaga Telaga Zam - Zam berdiri di hadapan nazir Masjidil Haram dan para qadhi mendoakan sultan, lalu nazir memberikannya satu persalinan dan kepada ketua para petugas masjid satu persalinan. Kemudian azan Isyak pun dikumandangkan, lalu semuanya menunaikan shalat berjemaah sebagaimana biasa sebelum bersurai. Inilah sebesar - besar perarakan yang dianjurkan oleh nazir Masjidil Haram. Pada malam tersebut, ramai orang yang hadir untuk menyertainya, dari berbagai  pelusuk bandar dan desa, termasuklah penghuni - penghuni wadi dan penduduk Jeddah. Mereka bergembira dengannya (yakni dengan mawlid Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam), bagaimana mungkin seseorang mukmin tidak bergembira pada malam yang zahir padanya semulia - mulia Nabi dan Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bagaimana tidak mereka menjadikannya satu perayaan daripada sebesar - besar perayaan mereka tanpa bangkangan, melainkan daripada segelintir yang mempersoalkan perhimpunan / perarakan tersebut kerana pada anggapan mereka dalam perhimpunan tersebut berlaku permainan - permainan yang melalaikan, orang - orang membuat hingar - bingar, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, yang mana semuanya itu membawa kepada perkara yang tidak diharuskan oleh syarak. Maka ianya adalah suatu bid`ah yang tidak pernah diberitakan oleh salaf sesuatu pun daripada yang sedemikian. Yang tepat, sebenarnya perhimpunan tersebut terjaga daripada perkara - perkara yang diengkari oleh syarak, seperti pergaulan bebas lelaki perempuan dan perkara - perkara yang melalaikan sebagaimana yang didakwa. Maka ianya adalah bid`ah hasanah yang menggabungkan perbuatan membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan zikir, doa, ibadah dan membaca al-Quran. Keutamaan bulan yang agung ini (Rabi`ul Awwal) telah diisyaratkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan sabdaan baginda mengenai puasa pada hari Isnin, di mana hari tersebut adalah hari baginda dilahirkan. Pemuliaan hari Isnin sebagai hari baginda dilahirkan, boleh menjamin adanya pemuliaan bulan ini, bulan di mana baginda dilahirkan.  Maka sewajarnya ia dimuliakan dengan setinggi - tinggi kemuliaan dengan menyibukkan diri melakukan ibadah, puasa, membanyakkan shalat - shalat sunnat dan menzahirkan kegembiraan padanya atas kelahiran Sayyidil Anaam (Penghulu Segala Manusia) `alaihi afdhalus shalati was salaam. Adapun perkara bid`ah yang sayyiah dan munkar, maka ianya tetap menjadi tegahan di mana jua, Allah Maha Pelindung bagi sesiapa yang memohon perlindungan. Sebahagian ulama menyatakan bahawa doa di tempat kelahiran Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (Mawlid an-Nabi) itu mustajab ketika waktu zawal........

Begitulah sedikit gambaran kemeriahan sambutan mawlid pada malam 12 Rabi`ul Awwal di kota suci Makkah al-Mahmiyyah dahulu, sebelum pencerobohan puak Wahhabi dari padang pasir Nejd. Setelah penjajahan puak tersebut, tiada lagi sambutan sedemikian, bahkan puak badwi padang pasir tersebut tidak sedikit pun menghargai nilai - nilai sejarah dan keberkatan tinggalan - tinggalan dan tempat - tempat  tersebut. Jika tidak semua, kebanyakan daripada tinggalan - tinggalan yang bersejarah lagi berkat itu sudah mereka binasakan. Rumah kelahiran baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dan masjid di sebelahnya juga tidak lepas dari pemusnahan. Bahkan diceritakan bahawa setelah dimusnahkan, ianya dijadikan kandang dan pasar haiwan sehinggalah seorang ahli Makkah, Syaikh Abbas al-Qaththan, menyelamatkannya dengan mendirikan sebuah perpustakaan di atasnya. Faqir pernah menulis sedikit mengenainya di sini. Akhirul kalam, kata orang, di Timur Tengah hanya dua negara yang tidak bercuti pada hari mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu negara haram Israel dan negara asabiyyah Saudi Arabia..... kata orang leeee, jangan mareeeee..... fikir - fikirkan.

Isnin, Oktober 17, 2022

Fida' Dengan Shalawat Sa'aadah.

Faqir pernah menulis sedikit tentang lafaz shalawat yang berkat yang digelar Shalawat as-Sa'aadah, yakni shalawat kebahagiaan kerana diharap pembacanya akan dikurniakan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan hakiki lagi abadi di akhirat nanti. Di entri kali ini, faqir tambahkan lagi keterangan ulama mengenai shalawat ini. Ini faqir nukil dari kitab `Iqdul Yawaaqit al-Jawhariyyah karya Habib `Aydrus bin `Umar al-Habsyi ( 1237 - 1314H). Dalam juz 1, halaman 342, al-Habib rahimahullah  menukilkan keutamaan shalawat daripada Syaikh Manshur bin Yusuf al-Budairi rahimahullah, seorang ulama Madinah al-Munawwarah yang digelar oleh al-Habib sebagai asy-Syaikh, al-Imam, al-`Aarif, Dzul Asraar wal Lathaaif wal Karaamaat, wali yang diberikan berbagai kekeramatan dan yang terutama adalah direzekikan beliau bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam yaqadzah (secara sedar). 

Dalam nukilan tersebut, dinyatakan, bahawa menurut Syaikh Manshur bin Yusuf al-Budairi, sekali bacaan Shalawat Sa`aadah adalah seumpama bershalawat 600,000 kali dan sesiapa yang membacanya setiap hari tujuh puluh (70) kali, (mudah - mudahan) ia menjadi tebusan si pembacanya dari api neraka. Allahu ... Allah, mudah - mudahan dapat dijadikan amalan buat bekalan menghadapi Hari Kemudian. Ingat pepatah Arab, kullu aatin qariib (setiap yang mendatangi pasti kian menghampiri).

Rabu, Oktober 12, 2022

Qiyam Mawlid Tanda Hormat

Telah menjadi adat kebiasaan orang bermawlid, ketika membaca kisah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan, maka berdirilah mereka sebagai tanda hormat dan takzimkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menzahirkan suka dan gembira atas limpahan kurniaan Allah yang Esa atas kelahiran baginda ke muka dunia. Perkara qiyam atau berdiri ini telah dipandang elok dan baik oleh kebanyakan ulama kita dan ianya telah menjadi amalan umat di berbagai benua. Di Timur Tengah mereka berdiri, di Indo-Pak juga, demikian pula di Nusantara hatta di China dan Russia sekalipun.

Tuan Husein Kedah rahimahullah, ulama terbilang, dalam kitab beliau Tafrihush Shibyan memperi pada halaman 13 - 15 berhubung qiyam dalam mauludnya Rasul Junjungan `alaihish shalatu was salam sebagai berikut:- ....Berdiri olehmu dengan segera di sini, artinya pada ketika disebut akan peranak Sittina Aminah akan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, padahal kamu qasad dengan berdiri kamu itu akan hormat akan beranaknya Nabi dan membesar  akan dia dan memulia akan dia seolah - olahnya adalah ia di hadapan kamu, serta berkata kamu pada ketika itu dengan ikhlas niat yang demikian itu: (Marhaban Ya Nuural `Ayni, Marhaban Jaddal Husaini) atau engkau kata (Ya Nabi, salamun `alaika, Ya Rasul, salamun `alaika, Ya Habib salamun `alaika, ShalawatUllah `alaika) kemudian engkau baca (Asyraqal badrul `alaina ......) hingga akhirnya. 

(Telah berkata Shahibul Barzanji) .......(artinya: "Telah mengelok akan berdiri" artinya "Telah mensunnat akan dia") pada ketika menyebut beranak Nabi yang mulia oleh beberapa imam yang mempunyai beberapa naqal daripada segala ulama dan shalihin yang mutaqaddimin lagi yang mempunyai mereka itu akan beberapa fikir yang sempurna, ( kerana barang yang padanya itu) menambahkan bagi menzahir akan kesukaan dan hormat dan takzim. (Dan kata mushannif) "wa qadis-tahsanal qiyaam" iaitu isyarat kepada bahawasanya pekerjaan berdiri pada ketika itu bid`ah yang hasanah yang tiada asal daripada nas Quran dan hadis, tetapi kerana `illah yang tersebut itu, memperbuat dan mengerja oleh segala ulama akan dia kerana mereka itu sangat kasih bagi zat Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan sangat redha mereka itu dan suka dan terima pemberian dan kurnia Allah ta`ala dengan menzahir Allah ta`ala akan demikian itu zat. (Hai nafsuku) maka janganlah engkau memudahkan perkataan dengan bahawa engkau kata: "Ini pekerjaan bid`ah dan tiada asal daripada nas dan tiada sunnah." Maka jika engkau kata yang demikian itu dan engkau qasad dengan dia mudah - mudahkan dan menghina-hina dan mengurang akan demikian itu zat dan mudah - mudah akan kurnia Allah ta`ala dengan menzahir akan itu zat, padahal Allah ta`ala suruh memulia akan dia, nescaya gugurlah engkau daripada `ainur rahmah. (Dan tiadakah engkau) ketahui akan pekerjaan bid`ah itu terbahagi ia atas lima bahagi. ....... (Dan pada perasaan engkau) segala ulama yang perbuat segala pekerjaan yang tersebut itu dengan sebab jahil mereka itu dengan pekerjaan agama jua dan engkaulah seorang yang alim di dalam dunia ini yang mengetahui pekerjaan agama. (Maka sangatlah keji dan bodoh engkau) dengan perkataan itu dan perasaan engkau itu, dan dengan engkau dengar dan yakin dengan segala fatwa syaikh sebagai dan tiada engkau ikut dengan perbuatannya, padahal syaikh sebagai bangun berdiri ia dengan segera dan demikian lagi segala fudhala` dan ulama yang hadir mereka itu di hadapannya bangun sekalian mereka itu dengan segera dengan tiada enggan dan engkar seperti engkau ........

Allahu .... Allah, keras juga kalam Tuan Husein tersebut. Mudah - mudahan Allah selamatkan kita daripada bermudah - mudah dengan nikmatul kubra anugerah teragung yang telah Allah kurniakan ke atas kita. Dengan nikmat tersebut jadilah kita umat yang mendapat rahmat dan kemuliaan teragung daripada sekalian umat terdahulu, umat yang paling awal menjejakkan kaki ke dalam syurga berbanding umat yang lain. Jika nikmat dunia, yang sebenarnya fitnah ujian, kita besarkan sebesar - besarnya, maka kenapa nikmat teragung ini kita pandang remeh sebelah mata? Jika begitu sikapnya, maka tidaklah hairan jika dikatakan Tuan Husein bahawa orang yang sedemikian itu bakal gugur daripada pandangan rahmat (aynur rahmah) Allah ta`ala. Selain daripada itu, almarhum Tuan Guru Haji Sulong Fathani rahimahullah dalam Cahaya Islam Gugusan Mawlid Sayyidil Anaamsetelah mendatangkan nas - nas mengenai mawlid dan qiyam padanya, pada halaman 11 - 12 dengan nada lebih keras lagi menukil sebagai berikut:- ....Maka tidak patut bagi seseorang daripada orang alim atau orang awam meninggalkan berdiri dan tidak patut menegah daripadanya, itu menghina akan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau menghina perbuatan itu. Dari kerana inilah telah memfatwa oleh al-Mawla Abus Su`uud al-`Imaadi al-Hanafi dengan kufur mereka yang meninggalkan berdiri pada ketika bangun berdiri manusia kerana memberi ketahui dengan lawan demikian itu. Yakni ketika orang- orang pakat berdiri dengan qasad membesarkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, jika ada yang enggan berdiri maka seolah - olah ia menzahirkan lawannya iaitu keengganannya untuk sama - sama membesarkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan perbuatan sedemikian inilah yang boleh menyebabkan gugur keimanan seseorang. Perbuatan menghina akan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah perbuatan yang menyebabkan kekufuran sebagaimana fatwa ulama kenamaan Turki Uthmani tadi, Mawla Abus Su`uud rahimahullah, ulama besar yang menyandang berbagai gelaran kemuliaan, antaranya al-Imamul Kabir, Syaikhul Islam, al-Mawla al-Mu`adzdzam, Muftil Anaam, Muftid Dahr, Mufti at-takhta as-Sulthani, Mufti at-takhta al-Uthmani dan `Aalimur Ruum. Semoga kita termasuk dalam kalangan umatnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mengasihi, menghormati dan membesarkan baginda sepenuh hati, yang akhirnya mendapat syafaat masuk ke dalam Syurga negeri yang abadi, Allahumma aamiin.

Qiyam Di China

Jumaat, Oktober 07, 2022

Wirid Jumaat - Ibnus Sunni

Para ulama kita telah mengajar dan memperturunkan kepada kita beberapa wirid dan zikir yang khusus diamalkan selepas Shalat Jumaat. Wirid atau zikir ini bersumberkan kepada beberapa riwayat yang tidak bermasalah untuk diamalkan dalam bab fadhail. Di antaranya adalah sebagaimana dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah  dalam al-Adzkar daripada Imam Ibnus Sunni rahimahullah meriwayatkan pada halaman .. kitabnya `Amalul Yawm wal Lailah sebagai berikut:- ... Daripada Sayyidatina `Aisyah radhiyaAllahu `anha bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang membaca selepas shalat Jumaat, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Naas, masing - masingnya 7 kali, nescaya dilindungi Allah `azza wa jalla akan dia dari sebarang keburukan / kejahatan sehingga Jumaat berikutnya."

Ini adalah antara riwayat tentang wirid yang dianjurkan untuk dibaca selepas shalat fardhu Jumaat. Ada juga riwayat lain dengan ditambah bacaan surah al-Fatihah dahulu sebanyak tujuh kali juga dan dikatakan si pembacanya akan diberi ganjaran pahala seumpama jumlah bilangan orang - orang beriman. Tapi setakat entri ini, faqir bicarakan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Sunni sahaja kerana riwayat inilah yang telah dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dalam kitab beliau al-Adzkar pada halaman 264. Dalam riwayat ini wiridnya juga lebih singkat, hanya dengan tiga Qul sahaja yang diulang setiapnya tujuh kali. Juga dalam riwayat ini tidak dinyatakan yang bacaannya dilakukan sebelum mengubah keadaan kaki selepas salam (yakni masih tetap duduk tawarruk) sebagaimana dalam riwayat lain. Maka, tiada keraguan bagi kita, selaku pengikut Ahlis Sunnah wal Jama`ah, untuk mengamalkan amalan yang mudah namun besar keberkatan dan manfaat serta ganjarannya. Mudah - mudahan diselamatkan kita dari segala malapetaka dan bala bencana.

Rabu, September 28, 2022

Shalawat Amjad

Ini satu lagi shighah shalawat yang ringkas, memuliakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan panggilan an-Nabi al-Amjad yakni Nabi yang paling mulia lagi terhormat. Shighah shalawat ini amat dekat dengan sebahagian pengamal Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah sehingga menjadi rutinan mereka, istimewa ketika menunggu masuknya waktu shalat Jumaat. Berbahagialah mereka - mereka yang banyak bershalawat ke atas Nabi yang termulia, ingat pesanan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa orang yang paling utama di sisi baginda nanti di hari kiamat, yang paling hampir dan paling dekat dengan baginda nanti adalah yang paling banyak shalawatnya ketika di dunia dahulu. Ingat tu, shalawat shalawat.

Isnin, September 26, 2022

Mawlid - Bustanul Arifin

Bulan Rabi`ul Awwal menjelang tiba, maka pasti menambahkan lagi ingatan kita kepada kekasih Allah, makhluk yang paling mulia dan teragung, Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bertambah shalawat dan kecintaan kita kepada manusia yang paling kasih dan paling prihatin dengan nasib serta keberuntungan kita di akhirat nanti. Bersempena ketibaan bulan yang dimuliakan Allah dengan dizahirkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalamnya, maka faqir mulakan dengan menukil bicara berkaitan mawlid.

Tuan Guru Syaikh Haji Abu Bakar bin Haji Muhammad Yasin al-Firaqi (nisbah kepada negeri Perak, tanah kelahiran beliau) al-Azhari rahimahullah adalah seorang ulama berasal dari Perak. Beliau mendapat pendidikan agama formal di Universiti al-Azhar sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2. Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi mudir Madrasah al-`Ulum asy-Syariah di Bagan Datok. Beliau telah dilantik sebagai mufti Pahang yang ke-4, berkhidmat antara tahun 1951 - 1976. Tuan Guru Shahibus Samahah telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya 5 jilid kitab kisah dan sirah para nabi alaihimush shalatu was salam yang diberi jodol Bustanul `Arifin.

Shahibus Samahah, walaupun tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan manusia ketika mengadakan sambutan Mawlid yang menyalahi syarak seperti pergaulan bebas lelaki perempuan, perarakan yang tak keruan, pembaziran serta perbuatan yang melampau - lampau dan seumpamanya, namun beliau  menyatakan dengan tegas bahawa menyambut atau mengadakan sambutan mawlid tersebut bukanlah satu bid`ah tetapi ianya termasuk dalam sunnatan hasanatan ("sunnah" yang elok baik). Di antara pernyataan beliau rahimahullah, pada halaman 154, juz ke-2, antaranya sebagai berikut: "...Dan pada zaman dahulu adalah ahli Mekah, sebagaimana yang disebutkan oleh setengah - setengah ahli tarikh, mereka itu mengambil berkat dengan ziarah tempat peranakkan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam itu pada tiap - tiap kali hari diperanakkan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu. Ini adalah mengadakan perayaan hari diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam itu bukanlah daripada bid`ah sebagaimana yang dikata oleh setengah mereka itu, bahkan ia sunnah yang baik yang telah diperbuat oleh orang - orang khalaf mengikut jalan orang - orang salaf yang shalih....."

Mudah - mudahan dengan adanya sambutan - sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, kita dapat menghidupkan jiwa kita untuk mengingati dan menjunjung serta menuruti akan teladan dan ajaran yang telah baginda wariskan kepada kita sebagai sebab untuk memperolehi keselamatan dan kejayaan yang hakiki di akhirat nanti. Janganlah hendaknya gemerlapan duniawi menyebabkan kita silau sehingga tak terlihat kegemilangan ukhrawi yang kekal abadi. Shallu `alan Nabiyyi Muhammadi.

Selasa, September 13, 2022

Adab Zikir - Sidi `Abdullah

Faqir pernah menulis sedikit mengenai anak saudara mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan yang bernama `Abdullah bin Shaqadah Dahlan. Sebagaimana yang diketahui Sidi `Abdullah Dahlan rahimahullah pernah merantau hingga ke Tanah Melayu. Beliau pernah  dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah yang kedua, berkhidmat pada tahun 1904 - 1905, sebelum beliau pulang ke Mekah. Beliau merupakan ulama Mekah yang mengajar di Masjidil Haram dan menjadi imam bagi pengikut Mazhab Syafie di sana. Beliau akhirnya berhijrah ke Pulau Jawa dan wafat di sana. 

Di antara tulisan beliau adalah sebuah risalah kecil berbahasa Melayu, yang dinamakan sebagai Majmu` yang menghimpunkan secara ringkas rukun Islam, rukun Iman dan berberapa doa dan zikir. Faqir kongsikan Fasal Ke-3 risalah tersebut yang menyatakan sebagai berikut:  Wajiblah waktu membaca segala zikir - zikir ingatlah pada Allah, jangan ingat pada guru - guru atau pada nafas atau pada lainnya. Dan wajiblah membaca zikrullah dengan huruf yang betul, jangan terpanjang atau terpendek. Dan wajiblah tertib kalimah - kalimah, jangan dibaca ( illa Allah, la ilaaha). Dan jangan dibaca dengan penghabisan huruf hingga mulanya seperti Qulhu Songsang kerana baca macam itu tentulah haram. Dan jangan goyang kepala atau badan atau lainnya.

Menarik apabila Sidi `Abdullah Dahlan menyebut agar jangan diingat guru atau nafas ketika berzikir. Ini mungkin respons beliau terhadap praktik rabithah mursyid yang berlaku dalam sesetengah thariqat. Ada daripada kalangan pengamal thariqat yang salah faham mengenai rabithah mursyid sehingga beranggapan ianya dilakukan sepanjang mereka berzikir. Sedangkan rabithah mursyid itu adalah adab sebelum masuk kepada zikir dan bukan adab ketika berzikir yang sentiasa dihadirkan dalam berzikir. Tujuan rabithah mursyid adalah untuk memperkuatkan azam dan himmah (kesungguhan)  si murid serta mencari limpahan (faydh) keberkatan dan rahmat sebagaimana yang telah Allah curahkan kepada guru mursyidnya, sambung menyambung dengan segala guru mursyid dan masyaikh dalam rantaian silsilah thariqat tersebut sehingga kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan tatkala berzikir, ingatan dan fokus hanya ditumpukan kepada al-madzkur iaitu Allah jalla jalaluh

Sedikit tentang rabithah mursyid sebagaimana yang diamalkan dalam Thariqat Naqsyabandiyyah, nukilan tulisan guru faqir Buya Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah dari risalah karangan beliau yang berjodol: Kaifiyyatudz Dzikri lith Thariqah an-Naqsyabandiyyah al-Waliyyah. Risalah ini beliau tulis dalam Bahasa Arab, kemudian beliau terjemahkan ke Bahasa Melayu. Dalam terjemahannya, Buya Muhibuddin Waly rahimahullah, pada halaman 3, menjelaskan sebagai berikut:- Rabithah Mursyid atau dengan kata lain ingat hati kita kepada guru yang menuntun kita supaya hati kita satu arah dengan hati guru kita. Boleh dikatakan terbayang rupanya. Dan hati kita melihat bahwasanya hati guru kita laksana pancuran di mana turun mengalir limpahan Nur Makrifat dari Allah pada hati Masyaikhil Kiraam turun menurun hingga sampai pada hati guru kita sendiri. Dan melimpahlah Nur tersebut pada hati kita selaku muridnya. Hati kita bermohon kepada Allah SWT agar mendapatkan limpahan Nur itu dan dapat sampai kepada tujuan mulia yaitu zikir yang mantap terhadap Allah SWT, dengan penghayatan Makrifat terhadap-Nya. Karena itu hati kita berkata: "Ya Allah, bantulah aku jalan makrifat kepada-Mu dan limpahkan pula Ya Allah, anwar zikir yang merupakan Nur Makrifat yang telah mengalir pada hati masyaikhil kiraam, mengalir ke dalam hatiku dengan keberkahan zikir makrifat para beliau terhadap-Mu."

Selanjutnya, Sidi `Abdullah menyebut agar jangan diingat kepada nafas kerana yang sepatutnya jadi ingatan dan tumpuan zikir hanyalah Allah semata. Ini mungkin teguran bagi sesetengah pengamal thariqat yang mempraktikkan zikir nafas atau pas anfas, di mana kadang - kadang mereka menumpukan konsentrasi kepada keluar masuknya nafas mereka semata - mata sehingga fokus dan tumpuan yang sepatutnya untuk mengingati Allah terganggu. Bahkan pernah faqir jumpa pengamal thariqat yang mempercepatkan tarik - hembus nafasnya semata - mata untuk memperolehi bilangan zikir nafas yang tertentu. Perbuatan sebegini boleh mendatangkan mudarat dari segi rohani dan jasmani. Tujuan zikir nafas adalah untuk mengingati dan mentaati Allah dalam setiap tarikan dan hembusan nafas seseorang, agar setiap nafas, yang merupakan modal kita mencari bekalan akhirat, tidak dipersia-siakan dalam kelalaian dan maksiat. Maka yang seharus diberi perhatian adalah keluar - masuk nafas kita dalam zikir kepada Allah, ingat pada Allah dan bukannya pada nafas. Bernafas sebagaimana biasa, namun disertakan dengan zikrullah. 

Disebut juga agar jangan dibaca zikir secara songsang terbalik, apatah lagi jika ianya ayat al-Quran. Kita ditegah untuk membaca ayat - ayat dan surah al-Quran secara songsang terbalik yakni memulai bacaan dengan ayat terakhir sesuatu surah menuju ke ayat yang pertama. Perbuatan ini merupakan perlecehan dan penghinaan kepada al-Quran serta boleh menghilangkan i'jaznya (kemukjizatan al-Quran). 

Akhir sekali, Sidi `Abdullah juga menyentuh berkenaan dengan bergerak - gerak ketika berzikir, maka yang dilarang adalah gerak - gerak yang keterlaluan dengan dipaksa - paksa. Jika pergerakan tersebut tidak melampau - melampau, serta menurut kaedah yang diterima dalam sesuatu thariqat, samada yang disebut sebagai daur (pusingan / putaran) atau dharb (palu) dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah. Namun janganlah sampai menimbulkan tohmah dan fitnah.

Sebagai penutup, diingatkan lagi bahawa tujuan berzikir adalah untuk mengingati Allah, dengan tunduk dan patuh kepada segala titah perintahNya, penuh kerelaan dan keikhlasan. Hadirnya hati ketika berzikir itulah adab yang utama dalam berzikir. Imam al-Haddad rahimahullah dalam an-Nashoih ad-Diniyyah menerangkan sebagai berikut:-

(Ketahuilah) - semoga kamu dikasihi Allah - bahawasanya bagi zikir itu ada adabnya dan kehadiran hati (yakni kesedaran hati) beserta lisan ketika berzikir adalah adab yang terpenting dan paling ditekankan. Maka hendaklah kamu menjaga adab ini. Sesungguhnya orang yang berzikir tidak akan mencapai sesuatu dari faedah - faedah zikir dan buah - buah zikir yang menjadi tujuannya melainkan dengan menghadirkan hatinya ketika berzikir.

Mudah - mudahan ada manfaatnya, marilah kita berzikir dengan penuh adab agar dengannya zikir kita tambah bernilai di sisi Allah.
Daa-iratuz Dzikr 
(Thariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah)

Ahad, September 11, 2022

Khasiat al-Qadr -Habib Sa`ad

Habib Muhammad bin `Alwi al-`Aydrus @ Habib Sa`ad rahimahullah, adalah salah seorang ulama Hadhramaut daripada baitun nubuwwah. Beliau adalah seorang ulama ahli al-Quran yang mengajar qiraah sab`ah (qiraah tujuh) di Tarim. Ramai murid - murid yang belajar dan menhafal al-Quran dengan beliau, di antaranya yang masyhur adalah ad-Daie Habib `Umar al-Hafiz dan Habib Kadzim. Habib Sa`ad wafat pada tahun 2011 / 1432 di Tarim ketika sedang mentelaah kitab Ihya` Imam al-Ghazali. Diceritakan bahawa ketika membaca kitab tersebut, beliau rebah dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir sedangkan kitab yang berkat itu masih tergenggam erat di tangan beliau. Semoga Allah merahmati beliau sentiasa. Selain mengajar, beliau juga terbilang sebagai ulama yang produktif menghasilkan berbagai tulisan. 

Dalam salah - satu karangan beliau yang diberi jodol Kaifa Takuunu Ghaniyan, beliau menulis beberapa kelebihan atau khasiat bagi Surah al-Qadr. Pada halaman 36 beliau menyatakan sebagai berikut:-  Surah (al-Qadr), sesiapa yang ada hajat keperluan, lalu membacanya sebelum pergi untuk mendapatkan hajatnya tersebut, dia akan kembali dalam keadaan gembira dengan tertunai hajatnya itu. Sesiapa yang membacanya sekali selepas shalat - shalat fardhu, dijauhkan Allah daripadanya segala kerungsingan dan kesedihan serta  diwariskan (yakni dilimpahkan) keberkatan pada rumahnya (yakni ahli keluarganya). 

Mudah - mudahan dapat kita jadikan amalan agar diperolehi keberkatannya selain menjadi pedoman dalam melayari bahtera kehidupan menuju negeri yang kekal abadi. 

Selasa, September 06, 2022

Selasa, Ogos 30, 2022

Suluh Kemajuan - TG Haji Karim

Syaikh Utsman Sarawak diketahui pernah berkahwin beberapa kali dan dikurniakan dengan 14 orang cahayamata. Di antara anak beliau adalah Tuan Guru Abdul Wahhab Sungkai dan Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai. Mereka berdua adalah saudara kandung seibu sebapa. Ibu mereka bernama Khalijah @ Khadijah puteri Syaikh Muhammad Zain Sungkai yang mengajar di Masjidil Haram. Tuan Guru Haji Abdul Karim dilahirkan sekitar tahun 1916 di Mekah al-Mukarramah dan di situlah beliau membesar di bawah didikan dan asuhan ayahanda dan datuk beliau sebelum mengenyam didikan para ulama kota suci tersebut.

Ketika puak Wahabi menguasai Hejaz, TG Haji Abdul Karim merasa tidak betah lagi tinggal di sana, lalu beliau dan abang beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Melayu. Maka pulanglah dua bersaudara bersama sahabat mereka Tuan Guru Haji Ahmad Badawi bin Mufti Syaikh Abdullah Fahim (ayahanda Pak Lah) ke Tanah Melayu. Mereka berdua pulang ke kampung halaman datuknya, Sungkai, Perak. Di sana Tuan Guru Haji Abdul Karim telah berkahwin dengan sepupu beliau, Hajjah Ainun Fatimah binti TG Haji Ahmad bin TG Haji Muhammad Zain. Sungkai menjadi tempat beliau menjalankan aktiviti dakwah dan mengajar sehinggalah beliau dilantik menjadi penasihat sultan di Kuala Kangsar. Di Kuala Kangsar, beliau mengajar di Madrasah Iskandariah dan di berbagai masjid dan surau sekitar. Di penghujung usianya, beliau pulang semula ke Sungkai untuk tinggal menetap dan berdakwah di sana. Tuan Guru Haji Abdul Karim tutup usia pada tahun 1961 dalam usia muda 45 tahun dan jenazah beliau dimakamkan di Sungkai, Perak. Mudah - mudahan Allah terangkan kuburnya dengan nur yang berpanjangan serta turunkan hujan rahmat yang berkekalan ke atasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Karim rahimahullah meninggalkan sebuah karangan yang penuh tiupan semangat kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan. Karangan beliau tersebut diberi jodol Suluh Kemajuan. Kitab tersebut telah dicetak dan diberi kata pengantarnya oleh dua orang tokoh ulama, iaitu Syaikh Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang) dan Syaikh Zubair bin Haji Ahmad (mudir Madrasah Idrisiyyah, Kuala Kangsar). Tuan Guru Abdul Karim rahimahullah dalam kitabnya tersebut cuba mengobarkan semangat hubbul wathan (cintakan tanahair) dan kemerdekaan daripada belenggu penjajahan. Di antara tulisan beliau dalam kitab tersebut adalah sebagai berikut:- 
"...Maka orang - orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran - ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah - mudahan Allah subhanahu wa ta`ala menggerakkan dan menyedarkan umat - umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kali ....... Adalah kasihkan tanahair itu, ialah memperbaiki keadaan tanahair dengan berusaha bersungguh - sungguh pada memeliharakan dia. Maka orang - orang yang benar kasihkan tanahair ialah mereka yang redhakan mati kerana berkehendakkan hidup dan lepas tanahairnya daripada cengkaman penjajah dan bersusah payah supaya senang lenang dan merdeka umatnya. .... Maka kita umat Melayu sangat berhajatkan kepada perusahaan yang besar - besar kepunyaan bangsa kita, umpama factory - factory yang membuat kain - kain, benang, gula dan pinggan mangkuk, cawan dan lain - lainnya. Dan juga pabrik - pabrik yang membuat basikal, motokar - motokar dan enjin - enjin. Begitu juga berhajatkan kepada perniagaan - perniagaan yang besar - besar, umpama syarikat - syarikat yang besar - besar dan enjin - enjin yang besar dan sebagainya, supaya umat Melayu dapat mencapai kemerdekaan iqtisad (yakni ekonomi) dan pula lepas daripada kehinaan yang bergantung kepada bangsa - bangsa dagang. ....... Maka hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu berusaha dengan bersungguh - sungguh pada memajukan bangsa sehingga beroleh kejayaan dengan berkerajaan sendiri. Maka asas - asas yang melayakkan dan mematutkan kita umat Melayu beroleh kejayaan kemerdekaan yang sempurna ialah mesti mengikut syarat - syarat seperti berikut:- Pertama, hendaklah tiap - tiap orang kita Melayu taat kepada agama Islam dengan mengikut ajaran - ajarannya yang sejati sebagaimana umat Islam di zaman dahulu kala. Yang kedua, hendaklah kita bersatu padu. Yang ketiga, hendaklah ada mempunyai wang yang banyak supaya dapat membeli dengan banyak segala alat - alat, perkakas - perkakas yang moden - moden, bersamaan alatan perusahaan atau pun peperangan."

Begitulah antara upaya Tuan Guru Haji Abdul Karim Sungkai @ Sarawak meniup kesedaran dan semangat kepada anak bangsanya. Beliau menegaskan kepentingan umat Islam untuk menguasai bukan sahaja ilmu - ilmu ukhrawi, tetapi ilmu - ilmu duniawi juga seperti ilmu - ilmu  sains dan teknologi agar umat dapat berdiri sendiri tanpa perlu bersandar kepada orang lain. Sedikit sebanyak beliau telah memberikan sumbangan merintis jalan kemerdekaan. Maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan daripada penjajah British. Sarawak ketika itu masih belum mencapai kemerdekaannya, namun perlulah diketahui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu amatlah signifikan dalam melahirkan negara persekutuan yang bernama Malaysia. Turut membanggakan bahawa dalam catatan sejarah kemerdekaan tersebut, ada anak keturunan Sarawak yang turut sama meniup bara api kemerdekaan. Semoga Allah merahmati para wira yang tidak didendang yang tidak perlukan dendangan. Dirgahayu Tanah Airku.

Sabtu, Ogos 27, 2022

Kasyaf Syaikh Yasin Fadani

Maulana Muhammad Taqi Usmani hafizahullah, salah seorang ulama besar Pakistan, bercerita antara pengalaman beliau bersama ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, keturunan Melayu yang dinobatkan sebagai musnid dunya, Syaikh Yaasin Fadani rahimahullah dan kesaksian beliau bahawa Syaikh Yaasin adalah seorang wali yang kasyaf. Dikisahkan bagaimana keberadaan Maulana Taqi di Mekah pada hari `asyura yang tanpa pengetahuan sesiapa pun telah diketahui oleh Syaikh Yaasin dan beliau dijemputnya untuk menerima ijazah hadis musalsal Hari `Asyura. Ya Allah, berkat Syaikh Yaasin, matikan kami husnul khatimah.



Khamis, Ogos 25, 2022

Nur Muhammad Itu Makhluk

Penjaja ilmu hakikat dan makrifat sering kali membungkus ajaran karut - marut dan sesat mereka dengan menggunakan istilah - istilah atau teori yang muluk - muluk. Ada yang berfalsampah dengan konsep yang mirip ajaran sesat trinity, dengan menggoreng penjelasan hakikat Ahad, Ahmad dan Muhammad, sehingga orang awam terpesona dan terpedaya. Didongengkanlah bahawa Ahad menghembuskan rohNya menjadi Ahmad yang akhirnya melahirkan Muhammad dan sebagainya, sehingga mendakwa bahawa roh yang dihembuskan itu bukan makhluk ciptaan Allah. Konon - konon, inilah ilmu tingkat tinggi hakikat Ruhul A'dzam atau Nur Muhammad. Allahu ...Allah, Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya. Setinggi manapun kedudukan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetap sahaja baginda makhluk ciptaan Allah ta`ala. Jelas ketika kita bershalawat kita mempersaksikan bahawa hanya Allah Tuhan Maha Esa yang kita pohonkan shalawat dan salamNya ke atas hamba dan makhlukNya yang teragung, Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ketahuilah bahawa Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam itu adalah makhluk ciptaanNya. Tidak ada ulama Ahlis Sunnah yang menyatakan sebaliknya. Maka sesiapa yang mengajar bahawa Nur Muhammad itu bukan makhluk ciptaan Allah, atau Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau Nur Muhammad itu bersifat dengan Qadim seperti Allah, maka sesungguhnya itu adalah kesesatan yang nyata.

Di sisi lain, ada juga yang cuba menghubungkan pengajian Nur Muhammad sebagai ajaran pokok bagi perbahasan Ilmu Tawhid atau Akidah. Mungkin mereka lupa takrifan Ilmu Tawhid dan mabadinya yang sepuluh. Sesungguhnya perbahasan tentang konsep awwaliyyah Nur Muhammad itu sama kedudukan dengan perbahasan mengenai qalam atau air atau akal sebagai seawal - awal kejadian yang diciptakan Allah. Perkara ini tidak termasuk dalam perbahasan asas dan pokok dalam akidah. Ianya adalah perkara sam`iyyat yang diketahui daripada nas yang datang daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka nas - nas yang datang itu ada yang mutawatir dengan kesan qathie sehingga diangkat menjadi perkara asas akidah, ada yang shahih namun ahad sehingga kesannya bersifat dzanni dan ada pula hanya riwayat yang dhaif, yang tiada sebarang kesan dalam bab akidah maupun ibadah asas, hanya sebagai pedoman dalam bab fadhail, tarhib dan taghrib. Penentuan kekuatan nas - nas ini juga tidak luput dari perbezaan pendapat di kalangan ulama. Maka awwaliyyah Nur Muhammad hanyalah perbahasan furu` (cabang atau ranting) yang tidak lepas daripada ikhtilaf ulama. Ada ulama yang menerimanya dengan anggapan bahawa nas dan istidlalmya kuat, dan ada pula yang menafikannya. Maka jangan jadikan ia sebagai perkara asas, perkara pokok, perkara usul dalam akidah. Oleh itu, seseorang yang tidak mengetahui atau tidak mempercayai Nur Muhammad yakni ruhul a'dzam iaitu roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai makhluk terawal diciptakan Allah, tidaklah dapat dihukumkan sebagai sesat atau kafir kerana ianya bukanlah asas akidah yang perlu diimani. Begitu pula, jika ada yang percaya bahawa makhluk yang paling awal diciptakan Allah adalah makhluk yang disebut sebagai Nur Muhammad, maka kepercayaannya tersebut tidaklah menjadikan dia sesat atau kafir. Sungguh menghairankan juga ada sesetengah golongan yang mengaku Ahlis Sunnah tetapi cuba menjadikan kepercayaan kepada makhluk terawal diciptakan sebagai asas akidah, yakni mereka seolah - olah mewajibkan kita beriman dan percaya bahawa seawal -awal makhluk yang diciptakan adalah air atau qalam atau akal dan seumpamanya. 

Maka faqir ulang apa yang pernah difatwakan oleh pihak Mufti Negeri Sarawak suatu ketika dahulu, zaman mufti almarhum Datuk Haji Mohamad Mortadza Haji Daud, antaranya, menyatakan bahawa: "Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya ditanggapi, diteima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah." Dengan catatan dan penegasan bahawa sesiapa yang percaya, maka hendaklah kepercayaannya kepada konsep tersebut selari dengan pegangan dan penafsiran para ulama yang muktabar, bukannya digoreng dengan pemahaman sendiri yang tersasar. Juga faqir kongsikan kesimpulan yang ditulis oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni hafizahullah dalam risalah beliau Hadis Nur Muhammad SAW: Antara Pro dan Kontra menyatakan, antara lain:- ....Demikian perbincangan mengenai isu Nur Muhammad SAW dan secara ringkasnya, isu ini bukanlah isu pokok dalam akidah Islam. Jika seseorang meninggal dunia tanpa tahu dan maklum mengenainya, ia tidaklah berdosa sama sekali ..... Sebagai kesimpulannya, penulis melihat isu ini tidak sewajarnya sampai ke tahap sesat menyesatkan antara satu sama lain dek kerana menyangkakan konsep Nur Muhammad SAW adalah termasuk dalam permasalahan pokok (usul) akidah. Bahkan kesemua perbahasan tentang apa makhluk pertama yang dijadikan Allah Ta`ala, sama ada qalam atau `arsy atau air atau lauh mahfuz, hakikatnya tidaklah termasuk dalam bab usul akidah. Perbahasannya sepertimana yang telah diungkapkan di atas masih dapat diterima sebagai satu bentuk perselisihan pendapat dalam permasalahan cabang (furu`) akidah sahaja. Meskipun harus juga terjadi salah satu pihak itu benar, manakala pihak yang lain pula tersalah. Hanya ilmunya yang hakiki ada di sisi Allah SWT. Wallahu a'lam.

Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan al-`Alim al-Fadhil Tuan Guru Kemas (KiMas gelaran kebangsawanan Palembang) Muhammad Zain al-Jawi al-Jambi rahimahullah, ulama Melayu Jambi yang wafat tahun 1815 dalam Qurratul `Ain li Fardhil `Ain pada halaman 3 sebagai berikut:- ...Bermula wajib kita i'tiqadkan bahawasanya segala yang lain daripada Allah ta`ala dan sifatNya, daripada tujuh petala langit dan bumi dan `arsy dan kursi dan segala isinya daripada cahaya dan lainnya (dan) jikalau Nur Muhammad sekalipun sekaliannya baharu, dijadikan Allah ta`ala daripada tiada kepada ada.....

Maka pegangilah i'tiqad ini, al-Khaliq hanya Allah, selainnya adalah makhluk. Jangan terpedaya dengan ajaran bahawa roh atau Nur Muhammad itu bukan makhluk, walaupun yang berkata itu seorang daie atau buya atau kiyai atau gus kondang kerana mungkin sahaja itu ketergelinciran lidahnya atau kurang ketelitiannya ketika bercakap. Jangan tersasar wahai sahabat dan jangan terpedaya dengan kesesatan berbajukan hakikat makrifat.

Khamis, Ogos 18, 2022

Mukaddimah Majmu`ah

Kitab Majmu'ah Maulud Syarafil Anam berisikan beberapa karya mawalid, qashaid dan madaih. Tiga mawlid yang masyhur, Barzanji Natsar, Barzanji Nazam dan Diba`ie juga dimuatkan dalam himpunan ini. Sebagai sambungan bagi entri yang lepas, faqir kongsikan mukaddimah bagi Majmu`ah tersebut yang ditulis oleh Kiyai Muhammad bin Muhammad Said rahimahullah agar berpanjangan jariah beliau dan mudah - mudahan bermanfaat bagi kita.

Maka faqir nukilkan apa yang ditulis pada halaman 2 mukaddimah tersebut yang berbahasa Melayu. Kiyai Muhammad rahimahullah menulis, antaranya, sebagai berikut:- ...Kami nyatakan di sini setengah daripada kaifiat membaca maulud. (Adapun) yang dikehendaki membaca maulud dan tujuan mengadakannya itu di atas tiga perkara. (Pertama) kita syukur kepada Allah ta`ala atas rezeki dan nikmat yang telah dikurniai bagi kita dan bagi anak buah kita dan barang dikurniai di atas kita daripada rezeki yang luas lagi berkat di dalamnya. Firman Allah ta`ala di dalam al-Quran .....(Ibrahim:7).... "Demi jika kamu syukur (berbanyak - banyak menerima kasih) kepada Aku, nescaya Aku tambah atas kamu daripada rezeki." (Kedua) niat kita memperbuat dan membaca maulud itu kerana menghormatkan dan memuliakan hari diperanakkan penghulu kita Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang amat kita kasihi. (Ketiga) kita harap akan syafaat (pertolongan) Nabi kita (kerana bahawasanya) barangsiapa hadir pada majlis maulud Nabi adalah baginya mendapat syafaat (pertolongan) Nabi kita pada Hari Kiamat dan mendapat pahala yang amat besar. Dan barangsiapa memperbuat dan mengadakan membaca maulud Nabi kita walaupun dengan belanja yang sedikit sekalipun nescaya dilepaskan Allah ta`ala daripada bala` bencana dan mendapat syafaat Nabi pada Hari Kiamat. Dan barangsiapa mengeluarkan belanja kerana membaca maulud Nabi kita dengan ikhlas hatinya, apalagi hadir ia pada majlis itu dengan tiada berkata - kata akan hal dunia, nescaya mendapat baginya beribu - ribu kebajikan dan mendapat selamat daripada segala bala`. Dan barangsiapa menghisap rokok atau cerut atau huqqah (syisya / hookah / oga) atau sebagainya di dalam majlis maulud, iaitu pada ketika orang - orang sedang membaca maulud, maka sesungguhnya sia - sialah pahalanya....... Maka bahawasanya roh penghulu kita yang amat suci shallaAllahu `alaihi wa sallam itu hadir ia ketika orang berdiri membaca maulud Nabi, demikian jua hadir ia pada sekalian bacaan kitab Maulud Diba` .......... Adalah yang demikian kehadiran roh penghulu kita Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam iaitu kelebihan daripada Allah subhanahu wa ta`ala didatangkanNya orang yang dikehendaki dan Allah ta`ala jua yang mempunyai kelebihan yang amat besar...

Allahu ... Allah, berhubung dengan kehadiran roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak perlulah kita berdebat panjang mengenainya, para alim ulama dah bicarakan dengan panjang lebar dalam berbagai karangan mereka. Biarlah mereka sahaja yang membahaskannya, sama ada hadir atau istihdhar, samada betul - betul roh atau hanya shurah atau mitsal dan dan dan sebagainya. Yang kita perlu tahu, bahawa ianya urusan Allah dan mengenai kehadiran tersebut ulama berkhilaf tentang kemungkinannya. Namun, kebanyakan ulama kita menyatakan ianya adalah perkara yang mumkin, harus berlaku mengikut Qudrah Iradah Allah yang Maha Kuasa. Mulla `Ali al-Qari rahimahullah memuatkan dalam kitab beliau Syarah asy-Syifa, juz 2, halaman 117 bahawa hikmah kita dianjurkan mengucapkan salam dengan ucapan: "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuh" ketika memasuki rumah kita yang tiada orang di dalamnya,  adalah kerana roh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir pada rumah - rumah orang Islam (yakni pastinya ahli Islam sejati yang baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sentiasa di hatinya). Mudah - mudahan rumah - rumah kita termasuk. Mau percaya sila, ngak mau terpulang. Faqir hanya menukil apa yang ditulis oleh ulama dan ahli hadis ternama, Mulla `Ali al-Qari Sulthan al-Harawi rahimahullah.

Selanjutnya, apa yang dinukilkan oleh Kiyai Muhammad rahimahullah tentang kehadiran roh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis maulud, ianya telah diperkatakan oleh ulama dan awliya` sebelum beliau. Umpamanya, Habib Abu Bakar `Aththas rahimahullah dalam Tadzkirun Naas pada halaman 182 menyatakan bahawa Quthubul Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah pernah menyatakan bahawa Habib Shaleh bin `Abdullah al-`Aththas rahimahullah menyatakan bahawa: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir dalam setiap mawlid ketika berdiri (yakni ketika mahalul qiyam atau marhaban), melainkan pada Mawlid ad-Diba`ie, maka bahawasanya baginda hadir pada keseluruhan bacaannya (yakni dari awal sehingga akhir bacaan). Namun, Habib Ahmad al-`Aththas menegaskan bahawa kalam Habib Shaleh tersebut bukanlah untuk menunjuk bahawa Mawlid Diba`ie sebagai seafdhal - afdhal kitab mawlid, keafdhalan itu tertakluk atau berkisar kepada kehadiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Habib Shaleh mungkin dikasyafkan Allah sehingga dapat melihat "kehadiran" Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis - majlis mawlid beliau adalah seperti yang dinyatakan, sehingga timbul kalam beliau tersebut. Namun, hakikatnya sebaik - baik majlis mawlid adalah yang di"hadiri" atau disaksikan atau dipersaksikan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam secara rohani atau setidak - tidaknya majlis di mana Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam benar - benar diistihdharkan oleh para pencinta dek kecintaan yang mendalam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanpa mengira kitab yang dibaca. Samalah seperti shalawat, seafdhal - afdhal shalawat adalah shalawat yang diucapkan dengan hati yang hadir, khusyuk, penuh keikhlasan dan kecintaan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, baik Shalawat Ibrahimiyyah atau apa jua shighahnya.

Disebut juga dalam al-Mawa`idzul Jaliyyah pada halaman 79, bahawa Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi rahimahullah, pengarang Simthud Durar, menyatakan: Perhimpunan mawlid adalah penghimpunan yang disaksikan (jam`iyyah masyhudah). Tiada keraguan yang al-Habib shallaAllahu `alaihi wa sallam hadir dan ahlul bashair (yakni para wali yang suci bersih hati mereka sehingga tajam matahati atau pandangan batin mereka) boleh melihat baginda dengan penglihatan mata. Tanda kehadiran baginda adalah turunnya sakinah, waqar, haibah, jalal dan `adzamah ke atas mereka yang hadir dalam perhimpunan tersebut.

Allahu ... Allah, begitulah sekelumit yang hendak faqir tulis. Terpulanglah kepada pembaca, tiada bagi faqir melainkan menukilkan apa yang termaktub dalam karangan para ulama silam sahaja. Dan sesiapa yang percaya, janganlah terover perasan yang roh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam pasti mesti wajib hadir dalam majlis - majlis maulud kita. Itu mungkin majlisnya para awliya dan ulama yang telah tenggelam dalam mahabbatur rasul. Majlis kita belum tentu kot, jangan - jangan malaikat rahmat pun segan nak mampir, kotlah. Apa - apa pun, baikkan sangkaan dan harapan. Semoga segala - segala kabul hendaknya.