Sabtu, September 23, 2006

Waktu Imsak


Aku sebenarnya tak gemar nak berhujah atau bermujadalah dengan orang. Tapi kekadang ianya tak dapat dielakkan. Kalaulah kita nak bersoal jawab ngan geng Ahkam Online, Hafiz Firdaus, THTL, MAZA, dan golongan yang sewaktu dengannya, maka habislah segala umur kita digunakan untuk tujuan itu. Orang lain dah sampai ke bulan, dah lepas pun bulan, kita masih dok bertelagah mengenai isu-isu khilafiyyah remeh-temeh. Kalau ada ikhwah yang bertanya, maka kalau aku ada kelapangan, aku jawablah sekadar termampu untuk menunjukkan pegangan dan hujah kita, jangan sampai ditohmah oleh puak-puak tersebut yang ulama kita tidak mempunyai hujah (macamlah geng-geng tu dan tuan guru mereka dah tahu semua hujah ulama, kena ingat ilmu itu luas bukan setakat yang deme tahu sahaja). Entahlah kenapa puak-puak tu suka sangat menimbulkan isu-isu remeh yang sebenarnya tidak perlu ditimbulkan. Tak dak kojo agaknya atau cari glamour kot (maaf le kalau aku terkasor bahso sinie, nak lepaskan goram sobab hari Ahad dah nak poso). Entahlah, Allahumma 'alaika bi ha-ulaik. Coba ikhwah pikau betul-betul, kalau seseorang mematuhi waktu imsak yang diijtihadkan oleh para ulama sebagai langkah ihtiyath berhati-hati, kira-kira 10 - 15 minit sebelum terbit fajar shodiq (masuk waktu Subuh), adakah ianya menjadikan puasanya rosak ? Sudah tentu tidak. Adakah dengan mematuhi waktu tersebut akan menyebabkan sipelakunya masuk neraka? Adakah seseorang setelah makan sahur, pergi ke masjid 20 minit sebelum waktu Subuh dan membaca Quran, boleh dianggap menyalahi sunnah? Jadi deme nak bising ngan orang yang berhenti makan 10 minit sebelum fajar, apa hal ? Kalau deme tak nak ikut, sudah, mengkedarahlah sampai dengar azan (ops...maaf terkaso bahso laie), taqlidlah kat guru-guru deme di Ahkam Online atau kat Hafiz Firdaus, tapi jangan kutuk orang lain.

Ikhwah, sebenarnya ketetapan waktu imsak sebagai ihtiyath itu punya dasarnya. Habib Hasan bin Ahmad bin Saalim al-Kaaf menyebut dalam "at-Taqriiraat as-Sadiidah fil Masaa-ilil Mufiidah" yang merupakan talkhish daripada ajaran guru-guru beliau terutama sekali al-'Allaamah al-Faqih al-Muhaqqiq al-Habib Zain bin Ibrahim bin Zain BinSmith, pada halaman 444 menyatakan, antara lain:-

و يمسك ندبا عن الأكل قبل الفجر بنحو خمسين آية - ربع ساعة

..."Dan imsak daripada makan (yakni bersahur) itu mandub (disunnatkan) sebelum fajar kira-kira sekadar pembacaan 50 ayat ( sekadar seperempat jam @ 15 minit)". Yakni seseorang itu disunnatkan melakukan imsak sebelum fajar kira-kira 15 minit atau kadar pembacaan 50 ayat yang sederhana dengan kelajuan yang sederhana. Inilah yang dimaksudkan oleh ulama kita sebagai waktu imsak yang disunnatkan sebagai langkah berhati-hati dan mengikut sunnah Junjungan Nabi s.a.w. Sedangkan imsak setelah masuk fajar adalah wajib. Oleh itu seseorang masih boleh makan-minum selepas waktu imsak tadi selagi mana waktu Subuh belum masuk kerana imsak pada waktu itu dihukumkan sunnat. Tidaklah benar dakwaan yang dibuat oleh Hafiz Firdaus & the gang yang menyatakan bahawa menetapkan waktu imsak beberapa minit sebelum fajar itu sebagai bid`ah dan tidak punya dasar dalam Islam. Ukuran minit-minit tersebut diambil daripada kadar pembacaan 50 ayat tersebut, yang merupakan kadar yang dinyatakan dalam beberapa hadits shohih sebagai senggang waktu antara sahur Junjungan s.a.w. dengan masuknya sholat. Antara hadits-haditsnya ialah yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berbunyi:-
عَنْ أنس عن زيد بن ثابت رضي الله عنه قال تَسَحَّرْناَ مع النبي صلى الله عليه و سلم ثم قام إلى الصلاة. قلت: كم كان بين الأذانِ و السُّحُوْرِ؟ قال: قَدْرُ خَمْسِيْنَ آيةً

Daripada Sayyidina Anas meriwayatkan bahawa Sayyidina Zaid bin Tsabit r.a. berkata: "Kami telah makan sahur bersama-sama Junjungan Nabi s.a.w., kemudian baginda bangun mengerjakan sembahyang. Sayyidina Anas bertanya kepada Sayyidina Zaid:- "Berapa lamanya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur itu ?" Dia menjawab: "Kira-kira sekadar membaca 50 ayat."

Hadis ini menunjukkan bahawa jarak atau senggang masa antara bersahurnya Junjungan s.a.w. dan azan Subuh ialah kira-kira 50 ayat. Sekali-kali ianya tidak membawa makna yang Junjungan s.a.w. makan sahur sehingga berkumandang azan Subuh, yang jelas ialah ia menyatakan bahawa Junjungan bersahur dan berhenti kira-kira kadar pembacaan 50 ayat sebelum masuk waktu Subuh. Inilah yang difahami oleh para ulama kita sehingga menetapkan kesunnahan berimsak dalam kadar pembacaan 50 ayat tersebut yang dianggarkan pada kadar 10 - 15 minit. Senggang masa antara sahur dan masuk fajar (azan subuh) yang dinamakan sebagai waktu imsak yang dihukumkan sunnat imsak (menahan diri daripada perkara membatalkan puasa), diperjelaskan lagi dalam sepotong hadits yang juga riwayat Imam al-Bukhari berbunyi:-

عَنْ أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه و سلم و زيد بن ثابت تَسَحَّرَا، فلما فرغا من سحورهما قام نبي الله صلى الله عليه و سلم فصلى. قلنا لأنس: كم كان بين فراغهما من سحورهما و دخولهما في الصلاة ؟
قال: قدر ما يقرأ الرجل خَمْسِيْنَ آية
ً
Daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersahur bersama-sama dengan Sayyidina Zaid bin Tsabit. Apabila kedua mereka selesai daripada sahur mereka, baginda bangun mendirikan sembahyang. Kami bertanya kepada Anas: "Berapa lamakah masa (senggang waktu) di antara selesai mereka berdua daripada sahur dan masuk mereka berdua kepada sembahyang (yakni "berapa lamakah masa antara selesai Junjungan dan Zaid bersahur dan masuknya waktu sholat Subuh"). Dia menjawab: "Sekadar 50 ayat yang dibacakan seseorang."

Begitulah ikhwah, antara dalil yang mensunnatkan penetapan waktu imsak sekadar 10 minit yang jadi amalan umat Islam. Hadits mengenai azan Sayyidina Ibnu Ummi Maktum tidaklah bercanggah dengan hadits - hadits di atas kerana hadits azan Sayyidina Ibnu Ummi Maktum menunjukkan keharusan dan bolehnya makan dan minum sehingga nyata masuk waktu Subuh, manakala hadits-hadits di atas menunjukkan sunnah Junjungan Nabi s.a.w. yang menyelesaikan makan sahur baginda kira-kira selama pembacaan 50 ayat. Oleh itu pernyataan Hafiz Firdaus yang kononnya tidak wujud penetapan waktu untuk imsak 5 - 10 minit sebelum fajar shodiq adalah pernyataan yang gegabah yang dibuat terburu-buru dan terikut-ikut kepada orang yang ditaklidkannya. Mudah-mudahan Allah memberi hidayat dan taufiq kepada Hafiz Firdaus dan kita semua serta membersihkan diri kita dari sifat ego dan ujub kepada diri dan pandangan kita semata-mata sehingga berani berlaku kurang ajar dan kurang sopan kepada para ulama yang amilin....aamiin Ya Rabbal 'Alamin bi barkati Syahri Ramadhanal Adzim.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini lah akibatnya bila yang bukan ahli menyibukkan diri dalam hal2 yg bukan dalam bidangnya.

Tanpa Nama berkata...

mohon pandagan syeikh berkenaan ayat:



وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر


“Makan dan minumlah kamu sehingga nyata benang putih (fajar sadiq- permulaan waktu subuh) daripada benang hitam (penghujung waktu malam) iaitu fajar.” (Al-Baqarah: 187)

Jazakallah

Tanpa Nama berkata...

juga mohon pandangan syeikh berkenaan hadis azan bilal dan ibnu ummi maktum. mungkin syeikh boleh membincangkan nya secara lebih luas.

Jazakallah

Abu Muhammad berkata...

Insya-Allah, nanti le kalu ada kelapangan. Sebenarnya ayat tersebut dan hadits tersebut menyatakan bolehnya makan sehingga terbit fajar. cuma imsak sebelum fajar itu dihukumkan mandub atau afdhal sahaja untuk berhati-hati dan menurut sunnah Junjungan Nabi s.a.w. Sebab itu termasuk bid`ah yang munkarah menurut ulama kita menegah seseorang daripada minum seminit dua sebelum terbit fajar. Inilah yang kita kena faham, tidak ada ulama yang mewajibkan imsak sebelum fajar, kecuali satu qawl dalam mazhab Imam Malik yang mewajibkan imsak sebelum fajar sebagaimana dinyatakan dalam Bidayatul Hidayah. Allahu a'laam.

Tawel Sensei berkata...

Patutnya si pilot Hafiz Firdaus ni buat artikel supaya sound sikit pihak MAS. Aku tiap2 kali nak MAS, mesti nampak pramugari/a Islam yang tuang arak bagi penumpang minum. Sakit mata tengok.

Tanpa Nama berkata...

Jazakallah.

Tanpa Nama berkata...

Wel, hidang arak tu nyata haram, pilot kita cuma reti bab bid`ah sahaja kot.

Abu Muhammad berkata...

Silap bukan bidayatul hidayah tetapi Bidayatul Mujtahid