Rabu, Jun 20, 2007

TG Haji Salleh al-Masri

Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri bin Baki bin Lundang dilahirkan dalam tahun 1875 di Rasah, Negeri Sembilan. Setelah meningkat dewasa, beliau melanjutkan pengajiannya ke Bersilam, Langkat, Sumatera dan berguru dengan Syaikh 'Abdul Wahhab. Beberapa tahun menimba ilmu di sana, beliau pulang ke tanahair dengan ilmu penuh di dada sehingga beliau digelar sebagai Faqih Muhammad Salleh. Sungguh pun demikian, dahaganya kepada pengetahuan tidak pernah padam, beliau tetap meneruskan pengajiannya dengan guru-guru lain seperti Tuan Guru Haji Zainal 'Abidin al-Fathani di Sungai Dua, Butterworth dan Tuan Guru Imam Haji Ahmad di Padang Lalang, Bukit Mertajam. Akhirnya, atas galakan dan dorongan Tuan Guru Imam Haji Ahmad, beliau memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya ke Universiti al-Azhar asy-Syarif. Maka dalam tahun 1899 beliau berangkat ke Mesir untuk mengaji di al-Azhar asy-Syarif.

Sewaktu mengaji di sana, beliau menempuh berbagai kesulitan dan pancaroba. Tatkala di sana juga, ayahanda beliau kembali ke rahmatUllah lalu rentetan itu biaya pengajiannya terhenti. Hampir sahaja beliau menamatkan pengajiannya untuk pulang ke tanahair, tetapi hasrat tersebut diurungnya setelah seorang hartawan dari Bukit Mertajam tampil menghulurkan bantuan kepada beliau. Hartawan tersebut adalah Tuan Haji Abbas yang kemudiannya menjadi bapa mertua beliau. Pengajiannya di al-Azhar diteruskannya sehingga memperolehi ijazah B.A. Hons pada tahun 1905.

Sekembalinya ke tanahair, mertuanya tersebut telah mewaqafkan sebidang tanah di Bukit Mertajam kepadanya untuk dibina madrasah. Maka beliau telah mengasaskan Madrasah al-Masriyah dan mencurahkan tenaga dan segala ilmunya di madrasah tersebut. Pelbagai cabaran telah dihadapinya dengan tenang dan sabar semasa penubuhan madrasah tersebut. Akhirnya, berkat kesabaran dan kegigihan beliau, Madrasah al-Masriyah telah berkembang dengan pesat. Bertambah ramai penuntut-penuntut ilmu mendatangi madrasah tersebut dari bebagai pelosok dunia Melayu sehingga dari Kemboja dan Laos.

Pada penghujung Mei tahun 1971, Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri telah berangkat ke Mekah. Setelah 10 hari di sana, beliau diserang penyakit dan pada 11 Jun 1971 beliau kembali ke rahmatUllah. Jenazah beliau disembahyangkan dalam Masjidil Haram yang mulia dan disemadikan di Jannatul Ma`ala. Mudah-mudahan Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tuan Guru Haji Muhammad Salleh al-Masri ...... al-Fatihah.

1 ulasan:

~albazrah~ berkata...

Alhamdulillah dapat kenal. Ini Tuan Guru kepada Tok Wan saya. Syukran..syukran Abu Muhd