Ahad, November 01, 2009

Syukur ... Bukan Keluargaku

Imam al-Habib al-'Arif Billah 'Aydrus bin 'Umar bin 'Aydrus al-Habsyi rahimahumUllah, pengarang " 'Iqd al-Yawaqiit al-Jawhariyyah", menceritakan bahawa pernah satu ketika sekumpulan saadah berkumpul sambil membaca kitab "Masyra`ur Rawi" karya Imam asy-Syilli, yang menyebut kemuliaan, kewalian, sirah dan manaqib para pemuka saadah rahimahumUllah. Maka hendak dijadikan cerita, seorang badwi telah turut sama hadir dalam majlis tersebut. Setelah tamat pengajian, si badwi telah bertanya: "Mereka-mereka yang begitu hebat sebagaimana tersebut dalam kitab itu keluarga siapa?" Maka dijawab oleh para saadah yang hadir: "Oh, itu semua keluarga kami." Mendengar jawapan tersebut, si badwi berkata: "Alhamdulillah, syukur yang mereka itu bukan keluargaku." Para saadah merasa hairan, lalu berkata: "Jika sahaja mereka itu keluargamu, sudah tentu ianya lebih baik". Perkataan para saadah tersebut menerima jawapan si badwi dengan katanya: " Seandainya mereka itu keluargaku, pasti aku sangat malu dan bumi ini akan menjadi sempit bagiku, kerana amalanku tidak seperti amalnya mereka."

Ese nukilkan kisah ini agar dapat dijadikan teladan, istimewa buat mereka berketurunan mulia, agar sentiasa menjaga nama baik keturunan mereka tersebut. Jangan sekadar mengharapkan orang untuk beradab dan memuliakan kita, sedangkan dalam masa yang sama kita sendiri tidak menunjukkan adab dan tidak memuliakan orang. Jika orang awam yang jahil lagi rendah keturunan tidak menunjukkan akhlak dan adab, maka itu mungkin dikeranakan kejahilan mereka. Tetapi seorang ulama atau seorang yang berketurunan mulia tetapi kurang adab dan akhlaknya, maka apakah alasan mereka. Perlukah kita menunggu orang untuk berakhlak dan memuliakan kita, baru kita hendak berakhlak dan memuliakan orang???? .... al-'afwu.

2 ulasan:

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy berkata...

Kisah tersebut patut dijadikan renungan kepada kita semua terutamanya para Bani Saadah kerana jangan dikeranakan perbuatan atau sikap kita, seluruh keturunan yang mulia di pandang rendah atau dipersalahkan. Satu posting yang amat baik dan saya mohon untuk di copy ya syeikh..

otam67 berkata...

Salam

Tuan Sheikh

Mohon diposting dalam blog ana


sekian
http://otam67.blogspot,com