Khamis, Mac 20, 2014

Laqad Jaa-akum

Dalam usaha berdakwah atau menyampaikan sedikit ilmu yang ada pada kita, pasti akan ada rintangan yang perlu kita hadapi. Bukan semua yang mendengar akan suka atau menerima apa yang kita sampaikan. Ini adalah sunnah dalam berdakwah dan menyebarkan ilmu. Junjungan Nabi SAW pun ditolak oleh sebahagian kaum baginda, bahkan sebahagian kerabat baginda sendiri lari daripada ajakan dakwah baginda SAW. .Janganlah hanya mengharapkan hamparan permaidani merah untuk menyambut kita, ingat jalan ini penuh dengan onak dan duri. Itulah sunnahnya, lihat sahaja sirah Junjungan Nabi SAW dan para nabi yang lain.

Kita yang mengaku pendakwah seharusnya punya jiwa besar. Jiwa seumpama kolam luas yang sukar untuk diubah oleh nila setitik. Jangan hendaknya kita jadi pendakwah yang kerdil jiwanya, pendakwah yang sikit-sikit saman, sikit-sikit saman. Orang kutuk sikit, kita nak saman. Orang keji, kita maki. Orang tak datang, kita merajuk. Orang tak datang majlis kita, kita tuduh dia boikot dan dan dan sebagainya....Allahu ... Allah. Kembalilah kepada matlamat asal kita iaitu keredhaan Allah, yakni aku buat ini adalah untuk meraih keredhaan Allah dan bukannya keredhaan makhluk. Ingat pesan Imam al-Khathaabi pernah menyatakan bahawa "Ridhan naas ghaayatun laa tudrak - Keredhaan manusia adalah matlamat yang tidak bisa dicapai", yakni kita tidak akan dapat meraih keredhaan semua manusia keseluruhannya. Jika ada yang suka, maka pasti ada juga yang benci. Junjungan Nabi SAW yang merupakan rahmat bagi sekalian alam pun menerima kebencian bahkan dimusuhi oleh manusia-manusia bakal isi neraka. Allahu .... Allah.

Elok kita jadikan ayat terakhir surah at-Taubah sebagai bacaan harian kita untuk direnungi dan dijadikan panduan. Ingatlah bahawa Allah SWT, Tuhan kita yang Maha Mulia, berfirman yang kira-kira bererti: "(Adapun) jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : "CUKUPLAH ALLAH BAGIKU; TIADA TUHAN SELAIN DIA. HANYA KEPADANYA AKU BERTAWAKKAL, DAN DIA ADALAH TUHAN YANG MEMILIKI `ARASY YANG AGUNG." Oleh itu, jika niat kita ikhlas dan amalan kita pula selari dengan kehendak syariat yang mulia, maka tak perlu khuatir dan gusar. Kalau setakat sedih atas penolakan, itu biasa sebagai manusia yang punya perasaan dan pasti kesedihan kerana Allah juga ada ganjarannya.

Di kalangan para asatizah kita, dua ayat terakhir surah at-Taubah ini sudah terkenal dijadikan wirid untuk diraih ganjaran pahala dan keberkatannya, selain dijadikan panduan dalam mengharungi kehidupan di dunia yang fana ini. Berikut dikongsikan tulisan al-Fadhil al-Ustaz Ahmad Haris Suhaimi bin Syaikh Muhammad Taha as-Suhaimi hafizahullah berkaitan dua ayat tersebut. Beliau hafizahullah dalam "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Ayat ini sebagaimana yang telah diamalkan dan dijadikan wirid harian oleh ramai orang - orang soleh, sebenarnya mempunyai banyak sekali berkat dan kelebihannya, di antaranya ialah:-
  1. Ia termasuk zikir bertawakkal....
  2. Ayat ini akan menambahkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah SAW kerana sifatnya yang sungguh belas kasihan kepada umatnya. Ini jelas sebagaimana yang tertera di dalam ayat tadi. Cintakan Rasulullah SAW adalah pembuka pintu kebahagiaan........ Dari itulah, ada yang berpendapat bahawa dengan sering membaca ayat ini, insya-Allah, ia akan menjadi pembuka pintu pertolongan dan pendinding dari musibah yang tidak disangka-sangka !
  3. Ayat ini menyebutkan bahawa Rasulullah SAW amat berasa berat hatinya jika melihat umatnya di dalam kesusahan. Sebenarnya perkara ini bukan sahaja apabila Rasulullah SAW masih hidup, tetapi Baginda tetap merasakannya juga, walaupun setelah Baginda meninggal dunia ! Ini kerana terdapat sebuah hadis sahih bahawa wafatnya Baginda SAW juga adalah baik untuk umatnya, kerana amalan umatnya akan diberitahukan kepada Rasulullah SAW melalui para Malaikat. Jika amalan umatnya kurang baik, Baginda akan meminta keampunan dari Allah untuk mereka ! Mulia sungguh sifat Rasulullah SAW !
  4. Selain ianya sebagai ayat pendinding dan ayat keselamatan, ia juga adalah ayat pembawa rezeki, kerana di dalam ayat ini ada terdapat zikir "Tawakkal" serta zikir menambahkan "kecintaan kepada Rasulullah SAW".
  5. Ayat ini mengandungi bacaan "Laa ilaaha illaLLah (HasbiyaAllahu Laa ilaaha illa Hu)" iaitu zikir yang mengandungi banyak sekali kelebihan dan berkatnya ......
  6. Dan satu lagi ialah pengakuan bahawa Allah memiliki kerajaan yang luas, Tuhan yang memiliki `Arasy yang hebat !
Kesemua kelebihan ini serta kelebihan - kelebihan yang lain yang hanya diketahui Allah Taala, ada terdapat di dalam ayat "Laqad Jaa-akum" ini ! Masya-Allah ! Maka banyakkanlah membaca ayat ini jika anda ada mengalami masalah yang berat atau susah untuk diselesaikan, insya-Allah, mudah - mudahan akan ada pertolongan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Oleh itu, jika dakwah kita ditolak dan majlis pengajian kita tidak menjadi, kembalilah kepada Allah. Muhasabah diri dan katakanlah ... Allahu Allah, Allahu .. Allah, Allahu ... Allah sehingga sebati dengan diri bahawa matlamat hakiki kita hanya Dia yang Maha Esa.Tapi jangan lupa bahawa semuanya kena selari dengan pegangan sejati kita adalah Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan menelusuri jalan syariat yang mulia serta dihiasi akhlak terpuji.

Tiada ulasan: