Isnin, September 08, 2014

Mustajar @ Multazam Tua

Nabi Ibrahim `alaihis salam sewaktu meninggikan binaan Ka'abah Baitullah telah menjadikan bagi binaan yang suci ini dengan dua pintu. Satu pintu masuk yang menghadap ke arah timur dan satu lagi pintu keluar yang menghadap ke barat. Tatkala kaum Quraisy membina semula Ka'abah yang rosak akibat banjir, maka mereka telah menutup pintu Ka'abah yang menghadap ke arah barat dan menjadikan satu sahaja pintu baginya. Tatkala Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair radhiyaAllahu `anhuma memerintah Mekah, beliau telah membina semula Ka'abah dengan mengembalikannya kepada binaan asal yang dibina oleh Nabi Ibrahim `alaihis salam kerana mengikut hasrat yang pernah diutarakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan daripada Sayyidatina `Aisyah radhiyaAllahu `anha bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
"Wahai `Aisyah, Kalaulah bukan kerana kaummu (yakni kaum Quraisy) masih baru meninggalkan suasana jahiliyyah nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Ka`abah dan dibinakan semula dengan memasukkan bahagian yang telah dikeluarkan oleh Quraisy dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, membuat baginya dua pintu - satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat, binaannya menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim alaihis salam."
Maka Sayyidina `Abdullah radhiyaAllahu `anhuma telah membuka semula pintu Ka'abah yang menghadap ke barat dan memasukkan semula Hijir Ismail ke dalam binaan Ka'abah.  Namun setelah Mekah ditawan semula oleh tentera Bani Umayyah yang dipimpin oleh Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi, mereka telah mengembalikan Ka`abah seperti binaan sebelumnya oleh kaum Quraisy.

Mengenai pintu Ka`abah, maka telah sedia kita maklumi dan kita tahu bahawa kawasan yang berada antara pintu Ka'abah dengan rukun Hajar al-Aswad dikenali sebagai "al-Multazam" yang kemuliaan dan kelebihannya yang telah tersebar dalam pengetahuan manusia. Namun ramai yang tidak tahu mengenai pintu kedua yang telah ditutup tersebut. Para ulama dan sejarawan Mekah menyatakan bahawa kedudukan pintu tersebut adalah kira - kira 4 hasta dari rukun Yamani ke rukun Syami. Kedudukan pintu tersebut kira-kira berada berbetulan di belakang pintu Ka`abah sekarang. Jika kawasan antara pintu Ka`abah dengan rukun Hajar al-Aswad tadi digelar "al-Multazam", maka kawasan 4 hasta tersebut dipanggil sebagai "al-Mustajar" atau "al-Mustajar minadz Dzunub". Ianya juga dikenali sebagai "Multazam 'ajaa-iz Quraisy" dan sebahagian tuan - tuan guru kita memanggilnya sebagai "Multazam tua" atau  "Multazam orang - orang tua atau orang - orang dhaif kaum Quraisy".

Sebagaimana al-Multazam yang dikenali sebagai tempat yang mustajab berdoa, maka kawasan al-Mustajar juga terkenal sebagai tempat yang mustajab untuk berdoa. Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan radhiyaAllahu `anhuma diriwayatkan sebagai berkata: 
"Sesiapa yang berdiri di belakang Baitullah (yakni di belakang pintu Baitullah iaitu di al-Mustajar) lalu berdoa, pasti akan dikabulkan dan akan bersih daripada segala dosanya seperti saat ketika dia dilahirkan oleh ibunya."
Para ulama yang mengomentarkan atsar ini menyatakan bahawa perkara sedemikian tidaklah diketahui oleh Sayyidina Mu`awwiyah melainkan daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ramai para sahabat dan tabi`in yang telah menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk berdoa, antaranya Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair, Sayyidina Mus`ab, Sayyidina Ibnu `Umar, Khalifah `Umar bin `Abdul `Aziz dan Sayyidina al-Qasim bin Muhammad bin Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhum. Imam asy-Sya'bi rahimahullah menyatakan bahawa beliau telah melihat Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair, saudaranya Mus`ab, Abdul Malik bin Marwan dan Sayyidina `Abdullah bin `Umar berdoa di situ dan semua mereka telah mendapat apa yang mereka minta.

Maka jadikanlah al-Mustajar ini sebagai salah satu tempat untuk kita memanjatkan doa kepada Allah `azza wa jalla dengan berwasilahkan tempat yang dimuliakan ini. Mudah-mudahan terkabul segala hajat dan cita-cita, khasnya kepada yang bangsa akhirat berbanding hajat duniawi yang fana tiada kekal.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah....maklumat yg amat bermanfaat

KabarMakkah.Com berkata...

assalamualaikum.. terima kasih, sangat bermanfaat