Rabu, Februari 25, 2015

Faidhul Qadiir : Khatam Tahlil

Sambungan kepada entri sebelumnya, ese nukilkan satu lagi kisah berkaitan tahlil fida` atau khatam tahlil ini. Tapi sebelum itu, ese sukacita khabarkan bahawa dalam sesetengah kitab fiqh kita yang mu'tabar seperti "Hasyiah Tuhfah Ibnu Hajar rahimahullah", tahlil sekhatam 70,000 ini dikenali sebagai "al-`ataaqatush shughra" untuk membezakannya dengan "al-`ataaqatul kubra" iaitu pembacaan surah al-Ikhlash sebanyak 100,000 kali. 

Berbalik kepada tahlil fida`, kisah kali ini ese nukil dari kitab yang masyhur karangan ulama ternama, sebut saja pasti kome sekalian kenal, kalau kome mengaji le, kalau idak, dak kenal jugok..... maaf cakap. Ulama tersohor ini adalah al-Imam al-`Allaamah Muhammad `Abdur Rauf al-Munawi rahimahullah, murid Imam asy-Sya'raani rahimahullah. Dalam karya beliau, "Faidhul Qadiir". juzuk ke-6, halaman 233, beliau rahimahullah mencatat satu faedah seperti berikut (dengan terjemahan bebas):-
Ibnu `Arabi berkata: " Aku berwasiat kepadamu agar memberi perhatian untuk membeli dirimu daripada Allah dengan membebaskan batang lehermu dari api neraka dengan engkau ucapkan لا اله الا الله sebanyak 70,000 kali. Bahawasanya Allah memerdekakan dirimu atau diri orang yang engkau bacakan kalimah tersebut baginya dari api neraka. Telah warid mengenai kelebihan kalimah thayyibah ini daripada perkhabaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. 
Abul `Abbas al-Qasthalaani telah memberitahuku di Mesir bahawa al-`Arif Abu Rabi' al-Maliqi suatu ketika menghadiri jamuan makan di mana telah disebut mengenai zikir ini. Turut serta dalam jamuan tersebut seorang kanak-kanak daripada ahli kasyaf. Tatkala dia menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan, dia menangis lalu dikatakan kepadanya : "Kenapa dengan kamu?" Dia menjawab: "Aku melihat neraka jahannam dan ibuku di dalamnya." Maka al-Maliqi berkata dalam hatinya: "Ya Allah, sesungguhnya aku menjadikan tahlil ini sebagai permerdekaan ibunya dari neraka." Kanak - kanak itu pun lalu tertawa dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah mengeluarkan ibuku darinya dan aku tidak mengetahui apa sebabnya." Berkata al-Maliqi: "Nyatalah bagiku akan kebenaran hadis tersebut." Ibnu `Arabi berkata: " Telah aku amalkan amalan sedemikian dan telah aku lihat keberkatannya."
Demikianlah kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Munawi rahimahullah, mudah - mudahan dapat kita ambil faedah daripadanya. Semoga berfaedah untuk mempertingkatkan lagi kesungguhan kita dalam beramal mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan keselamatan di akhirat nanti. Di dunia inilah tempatnya kita membanyakkan amal ibadat, manakala akhirat pula adalah tempat kita menuai hasilnya. Tapi ingat bahawa sebanyak mana pun amalan kita, apa yang penting adalah kabulnya amalan tersebut, yakni penerimaan Allah terhadap segala amalan tersebut. Memandangkan perkara kabul ini prerogative Allah semata-mata, maka dalam beramal hendaklah kita sentiasa berada dalam raja` (harap) dan khauf (takut), harap Allah menerima amalan kita dan takut sebaliknya. Oleh itu, tetaplah istiqamah atas beramal tetapi jangan sekali-kali beri'timad atau bersandar kepada amalan semata-mata. Hanya Allah ta`ala sahaja sandaran kita, segala amalan hanyalah wasilah dan wasitah untuk meraih rahmat dan keredhaanNya jua...... Allahu .... Allah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih ust