Jumaat, Julai 29, 2005

Membumikan Sholawat

Hari Jumaat, kumulakan catatan dengan bicara sholawat. Kenapa bersholawat ? Pertama sudah tentu kerana ianya perintah Ilahi dan ianya merupakan wasilah untuk mendapat rahmat dan kasihsayang Allah s.w.t dan Junjungan Nabi s.a.w. Hadits masyhur lagi sahih riwayat Imam Muslim dan lainnya menyatakan Allah mengurniakan 10 sholawat yakni rahmat kepada orang yang mengungkapkan 1 satu buat hadrat Junjungan s.a.w. Apa nilainya sholawat dari kita berbandingkan sholawat Allah. Sebesar debu pun tidak bernilai, tetapi Allah tetap mengurniakannya bukan kerana dirimu tetapi kerana kekasihNya, Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat juga wasilah untuk menyampaikan diri kita ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. kerana disebut dalam hadits bahawa setiap sholawat dan salam yang diucapkan akan dipersembahkan ke hadrat Junjungan s.a.w. dengan disebut nama kita dan dibalas oleh Junjungan s.a.w., justru apa juga nilai sholawat kita berbanding balasan dari Junjungan s.a.w. Oleh itu wahai saudara, bumikanlah sholawat, jangan dibiarkan ahli langit sahaja mendapat kemuliaan dengan sholawat, sedangkan kita yang di bumi ini diam membisu hatta apabila nama Junjungan s.a.w. disebut atau lidah kita di bumi lebih sering menyebut yang sia-sia berbanding bersholawat. Bumikanlah sholawat, nescaya para ahli langit akan mendoakan kesejahteraan kalian sewaktu kalian berada di atas bumi dan juga di dalam bumi nanti. Insya-Allah, kan kubicarakan berhubung hal ini di lain ketika. Buat khatimah, biar kusebut apa yang ditulis oleh Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":- "Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah s.a.w. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)-Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan s.a.w. seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah r.a., Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah s.a.w. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.

1 ulasan:

syahir suryadi berkata...

SubhanaAllah walhamduliLlah.
Saudara di dalam situs ini dengan ringkas dan padat telah dapat merumus hal-hal khilaf yang sepatutnya tidak perlu di persoalkan. Tetapi memang sudah takdir fitnah akhir zaman.

Syabas, kerana telah memberi rujukan-rujukan yang di nisbahkan kepada para 'ulama arifin dan fuqaha Ahli Sunnah Wal Jamah yang memang sudah teri'tiraf.

Hanya dengan solawat yang banyaklahlah kita dapat merasakan cinta atau mahabbah yang tinggi kpd Rasulullah saw, yang akan menyampaikan kita kpd menyintai Allah Ta'ala.

Sehingga apabila menyebut Rasulullah saw dan ajaran2x dan pekerti beliau, akan berlinanglah air mata kerana rindu kpdnya.

Hanya orang2x yang takabbur saja yang tidak mahu merasakan menyintai Rasullullah, dan mungkin merasa tidak berhajat sangat kpd syafaatnya di Yaumal Akhir. Wal na'udzubiLlah min dzalik.

JazakAllah khairan katsiran
Suryadi