Kisah Kijang & Anaknya
Bait qasidah yang disusun oleh seorang ulama ahlil bait disudahi di mana Junjungan Nabi disebut sebagai "man kallamahul ghazalah" yakni orang yang kijang berkata-kata dengannya. Mukjizat Junjungan s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aim dalam kitabnya "al-Hilyah", diceritakan bahawa seorang lelaki lalu di hadapan Junjungan s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang telah ditangkapnya. Allah yang Maha Berkuasa telah menjadikan kijang tersebut apabila melihat Junjungan s.a.w. terus berkata-kata dengan baginda, katanya: "Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang ini aku sudah ditangkap, sedangkan mereka sedang kelaparan. Oleh itu, harap perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat pergi menyusukan anak-anakku itu, dan sesudah itu aku akan balik semula ke mari." Bersabda Junjungan s.a.w.: "Bagaimana halnya kalau engkau tak balik ke mari lagi ?" Jawab si kijang: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah ta`ala akan melaknatkan aku sebagaimana Dia melaknat orang yang tidak mengucapkan sholawat kepadamu apabila disebut namamu di sisinya." Lalu Junjungan s.a.w. pun bersabda kepada orang yang menangkap kijang itu: "Lepaskanlah kijang ini buat sementara, dan aku jadi penjamin baginya." Kijang itupun dilepaskan, dan kemudian ia kembali semula ke situ. Melihat mukjizat ini, maka si penangkap kijang tersebut terus membebaskan kijang itu agar ia kembali kepada anak-anaknya. Maka turunlah Jibril a.s. seraya berkata kepada Junjungan s.a.w.: "Wahai Muhammad, Allah mengucapkan salam kepadamu dan Dia berfirman: "Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu, sesungguhnya aku lebih kasihankan umat Muhammad daripada kijang itu kasihankan anak-anaknya, dan Aku akan kembalikan mereka kepada mu sebagaimana kembalinya kijang itu."
Inilah antara mukjizat Junjungan s.a.w., binatang liar berbicara dengan menepati janji yang telah diberikan kepada Junjungan s.a.w. Tidakkah kita merasa malu, mengaku umat baginda tetapi engkar terhadap ajaran baginda serta tidak merasa rindu terhadap baginda dan kurang mengingati baginda. Oleh itu, rajin-rajinlah bersholawat, rajin-rajin hadir majlis-majlis di mana nama Junjungan s.a.w. disebut dan dimuliakan, bukan majlis yang nama baginda disebut seumpama menyebut manusia lain. Sesungguhnya setiap majlis di mana Junjungan tidak dimuliakan, maka majlis tersebut adalah terpotong dari keberkatan. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan