Ahad, November 06, 2005

Perang Uhud

Pada pertengahan bulan Syawwal tahun ke-3 Hijrah berlakunya Perang Uhud. Di mana umat Islam yang pada mulanya menang tertewas akibat perlanggaran sebilangan umat terhadap perintah Junjungan Nabi s.a.w. Tetapi kalah - menang di dunia bukanlah penting kerana kedua-duanya cobaan dan ujian Allah s.w.t. Kalau umat Islam kalah tidak bererti Islam salah, kalau kekufuran menang bukan bererti ianya benar. Hal ini hendaklah difahami, kemenangan hakiki adalah di akhirat nanti, negeri yang kekal abadi. Kemenangan di dunia hanya sementara, silih berganti kerana Allah nak lihat siapa hambaNya yang benar-benar tulus ikhlas kepadaNya. 70 orang sahabat Junjungan gugur syahid di medan Uhud termasuklah Singa Allah, Sayyidina Hamzah r.a. Syahid itu kemenangan hakiki, terus ke syurga dengan rahmat Ilahi. Kiyai Agung ajar anak-anak muridnya berdoa dalam sujud terakhir antara lain mohon "nashran 'adhziman" (kemenangan yang agung) yakni kemenangan di akhirat, lulus ujian dunia, selamat dari siksaan neraka, inilah kemenangan yang agung dan hakiki. Pengajaran Uhud hendaklah sentiasa di benak kita terutama sekali di zaman kita ini yang penuh ujian, di mana umat tertindas dan terhina. Teguhkan iman, teruskan perjuangan meraih ketaqwaan dan redha Ilahi. Kalah menang di dunia, bukan ukuran. Iman dan taqwa yang utama agar mendapat kemenangan sejati di negeri abadi.

Tiada ulasan: