Selasa, September 05, 2006

Nishfu Sya`baan - Syaikh Ahmad


Kenyataan yang ke-7 pada menyebutkan barang yang dituntut pada bulan Sya`baan yang mulia. Diriwayatkan daripada 'Atha` bin Yasaar r.a. berkata ia: "Apabila adalah malam Nishfu Sya`baan menasakhlah oleh Malakul Maut alaihish sholatu was salam akan tiap-tiap mereka yang lagi akan mati daripada Sya`baan kepada Sya`baan."

Dan bahawasa laki-laki sesungguhnya menzalim ia dan berjahat ia dan bernikah ia akan perempuan dan menanam ia akan pohon-pohon kayu, hal keadaannya telah dinaskhkan namanya daripada orang yang hidup kepada orang yang mati.

Dan tiada daripada satu malam kemudian daripada malam Lailatul Qadar yang terlebih afdhal daripada malam Nishfu Sya`baan.

Kemudian ketahui olehmu bahawasa barang yang menyuruh akan dia oleh Allah ta`ala kemudian daripada menzahir akan dia bagi malaikat alaihimush sholatu was salam tiadalah diganti akan dia dan diubahi, bersalahan barang yang belum dizahirNya bagi malaikat dan adalah ia pada al-Lauh al-Mahfuzh, maka bahawasa Allah mempadam Ia akan dia dan menetap Ia akan barang yang Ia menghendaki.

Dan telah diriwayatkan beberapa atsar dan hadits-hadits ahad memberi faedah ia akan bahawasa me(ng)hukum oleh Allah ta`ala pada itu malam yang diberkatkan akan tiap-tiap ajal dan 'amal dan rizqi hingga kepada seumpama itu malam pula pada tahun yang lain. Dan pada kebanyakan daripada akhbar simpan atas ajal-ajal sahaja.

Dan hikmah menentukan itu malam dengan demikian itu nasakh ialah menggemarkan dan menakutkan bagi mukallaf supaya gemarlah ia dahulu daripada datang itu malam pada membuat kebajikan dan takut ia daripada membuat maksiat-maksiat dan bersungguh-sungguh ia pada itu malam dengan membuat taat supaya mudah-mudahan menulis oleh Allah ta`ala pada itu malam akan bahagianya. Dan demikian juga adalah halnya kemudian pergi itu malam kerana takut daripada bahawa ditulis akan dia pada itu malam daripada orang yang mati itu tahun, maka bersedialah ia bagi berjumpa Allah ta`ala dengan membanyakkan ibadah dan amalan, maka adalah yang demikian kelakuan mereka-mereka yang ditaufiq oleh Allah ta`ala, ja`alanaAllahu minhum aamiin.

Dan berkata di dalam kitab "Tuhfatul Ikhwan" telah bersabda Nabi s.a.w.:- "Bahawasa Allah ta`ala mengampun Ia bagi sekalian muslimin pada itu malam melainkan tiada mengampun Ia bagi tukang kahaanah dan tukang sihir dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati atau orang yang melazimkan minum arak atau orang yang derhaka bagi dua ibubapanya." Kemudian mendatang ia yakni al-'Allaamah al-Fasyani seumpama demikian itu daripada beberapa hadits hingga berkata ia:- "Dan telah berhimpunlah daripada beberapa riwayat bahawa mereka yang didindingkan daripada ampun dan rahmat Tuhan orang yang musyrik dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati dan orang yang mengambil akan cukai dan yang membunuh orang dan yang memutuskan rahim dan yang melabuhkan akan kain hingga melampaukan tumit dan orang yang berzina dan orang yang meminum arak dan orang yang mendua muka dan orang yang membuat tashwir dan orang yang derhaka bagi ibu bapa dan orang yang menipu perniagaan dan orang yang bid`ah dan rafidhi yang adalah pada hatinya benci dan seteru bagi sahabat r.anhum ajma`in." Maka barangsiapa berperangai ia dengan sesuatu daripada ini-ini dosa nescaya luputlah akan dia oleh untung dengan ampun Allah ta`ala pada malam Nishfu daripada Sya`baan, melainkan bahawa kembalilah ia daripada dosanya dan taubat ia kepada Tuhannya dan me(ng)ikhlas ia akan taubatnya dan membasuh ia dengan air kekesalan akan kesalahannya, maka pada ketika itu memasuk oleh Allah ta`ala dengan dia akan sebaik-baik jalan dan memasuk akan dia di dalam jumlah mereka-mereka yang diampun oleh Tuhan akan dosa-dosa mereka itu. Dan barangsiapa taatkan Allah dan rasulNya maka sesungguhnya telah beruntunglah ia akan sebagai untung yang sangat besar.

Dan setengah daripada barang yang beradat pada ini malam bahawa bertambahlah padanya air zam-zam sebagai bertambah yang nyata.

Dan disunnatkan menghidup ini malam dengan beribadah. Telah meriwayat oleh al-Ashfahaani pada "at-Targhiib" daripada Sayyidina Mu`aadz bin Jabal berkata ia telah bersabda Rasulullah s.a.w.:- "Barangsiapa menghidup ia akan malam-malam yang lima wajiblah baginya syurga, malam yang ke-lapan daripada Dzulhijjah dan malam 'Arafah dan malam Raya Haji dan malam Raya Puasa dan malam Nishfu Sya`baan."

Berkata setengah ulama, dilebihkan bulan Rejab pada 'asyarnya yang pertama kerana kelebihan awal malam daripadanya, dan dilebihkan bulan Sya`baan pada 'asyarnya yang tengah oleh malam nishfu daripadanya dan dilebihkan bulan Ramadhan pada 'asyarnya yang akhir oleh kerana Lailatul Qadar padanya.

*****************************

  • Ikhwah, di atas adalah petikan tulisan seorang waliyullah al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaaluddin al-Linqi al-Malayuwi rhm., mantan mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, dalam karangannya berjodol "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" mukasurat 74 - 77. Di sisi ulama kita Ahlus Sunnah wal Jamaah, kelebihan malam Nishfu Sya`baan ini adalah sabit melalui beberapa hadits yang boleh dijadikan dalil dan hujjah dalam bab fadhail. Syaikh Muhammad bin 'Abdur Rahman al-Mubarakfuri rhm. dalam "Tuhfatul Ahwadzi bi Syarhi Jami` at-Tirmidzi", juzuk 3 mukasurat 442 menyatakan antara lain:- "...Hadits-hadits fadhilat malam Nishfu Sya`baan itu secara keseluruhan adalah hujjah yang mematahkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu dalil pun tentang fadhilah malam Nishfu Sya'baan."
  • Buya Habib Muhammad al-Maliki telah menulis karangan khusus mengenai kelebihan dan amalan bulan Sya`baan termasuk malam Nishfunya dengan jodol "Madza fi Sya`baan". Di dalam karangannya tersebut pada mukasurat 100 - 101, Habib Muhammad al-Maliki telah menyatakan bahawa pembacaan doa yang masyhur lagi mujarrab (yakni doa Nishfu Sya`baan yang biasa orang kita baca) yang mana sebahagian besarnya diceduk dari doa yang diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam "al-Mushannaf" dan Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam "ad-Du`a`", bersama-sama tertib susunan pembacaan surah Yaasin telah berlaku sebagai satu adat (yakni kebiasaan umat ini). Walaupun Buya al-Maliki telah memberi komentarnya berhubung penambahan kalimah "fi ummil kitab" dalam doa tersebut yang dianggapnya sebagai kesilapan penyalin, tetapi beliau sekali-kali tidak membid`ahsesatkan amalan tersebut, bahkan beliau menyatakan doa tersebut sebagai masyhur dan mujarrab serta pembacaannya beserta surah Yaasin telah menjadi satu adat kebiasaan. Berhubung dengan komen beliau di atas ianya bertitik tolak kepada pengertian "ummul kitab", sebahagian ulama mengatakan bahawa apa yang termaktub dalam "ummul kitab" atau "lauh mahfudz" itu sekali-kali tidak boleh diubah, manakala sebahagian ulama lain berpendapat apa yang ditulis dalam "ummul kitab" masih boleh ditukar menurut kehendak Allah selagimana ianya belum dizahirkan kepada para malaikat seperti penjelasan Syaikh Ahmad di atas. Di sinilah tempat berlaku khilaf antara dua golongan ulama kita ini. Perbahasan mengenainya adalah panjang, masing-masing punya dalil dan bukanlah ruang untuk orang miskin seperti kita ini mencampurinya. Apa yang penting ialah kedua-dua golongan ulama kita ini tidaklah memandang salah dan serong bagi umat menjalankan kebiasaan mereka membaca Yaasin dan doa Nishfu Sya`baan pada malam tersebut.
  • Rata-rata doa yang diamalkan oleh masyarakat kita mempunyai penambahan "fi ummil kitab" sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab karangan ulama-ulama kita di sini seperti Syaikh Ahmad dalam kitabnya di atas, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam "Badaa-i'uz Zuhur" dan lain-lain ulama Melayu. Bagi diriku yang dhoif, aku lebih suka mengamalkan doa yang tanpa penambahan tersebut kerana riwayat daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud tidak mengandungi penambahan itu dan doa Nishfu Sya`baan himpunan al-Imam al-Habib al-Quthub Hasan bin Syaikhul Islam al-Habib al-Quthub 'Abdullah al-Haddad juga tidak memuatkan penambahan "fi ummil kitab" tersebut. Tetapi tidaklah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk berpegang dengan doa yang dengan tambahan itu kerana ianya juga mempunyai sandaran kepada sebahagian ulama yang 'amilin lagi mukhlishin lagi banyak jasa lagi tak sombong lagi tak ego lagi tak jual agama lagi tak suka membid`ahsesatkan sesama umat lagi tak suka mensyirikkan sesama umat lagi tak suka mengkafirkan sesama umat. Akhirul kalam dengan pernyataan Buya Maliki bahawa amalan membaca Yaasin dan berdoa dengan doa Nishfu Sya'baan telah berlaku menjadi adat kebiasaan umat, maka tertolaklah dakwaan geng Salafi Gadungan yang syok sendiri bahawa hanya orang Malaysia saja dok buat amalan ini. Oleh itu, peganglah panduan para ulama kita dan biarlah geng-geng salafi-wahhabi-asri-thtl-zain.y.s.-wahidah-rasuldahri terojun ngan labu-labu mereka. Allahu a'laam.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wahidah yg disebut ni siapa pula?

Abu Muhammad berkata...

wahidah tu sekolah berorientasikan wahhabi-salafi yang tak mengaku wahhabi kat Kuantan.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih krn maklumat, takut tersalah hantar anak masuk sekolah. kat selangor ada satu, kat Sg Merab dkt Bangi.

Tanpa Nama berkata...

Jom beramai-ramai pakat baca Yaasin malam Nisfu Sha'ban sebagaimana yang diamalkan oleh ulama'-ulama' kita. Pedulikan puak wahabi. Memang zikir depa tu hanya ... salah! bid'ah! dholalah! ... Penuhi majlis kita dengan zikirullah dan membaca al-Quran ......