Selasa, April 10, 2007

Kisah al-'Utbi

Satu kisah yang cukup terkenal, cukup masyhur dan dinukilkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka. Antaranya Imam Ibnu Katsir dalam Tafsirnya, Imam an-Nawawi dalam "al-Adzkar", Imam Ibnu 'Asaakir dalam Tarikhnya, Imam Taqiyuddin as-Subki dalam "Syifa-us Saqam fi Ziyaarati Khairil Anam", Imam al-Mazaali dalam "Mishbahul Dzalaam fil mustaghitsiina bi Sayyidil Anaam fil yaqadzati wal manaam" dan Imam al-Hafiz Ibnul Jawzi dalam "Matsiirul 'Azmis Saakin". Kisah yang menceritakan perbuatan seorang lelaki yang bertawassul dan beristighatsah dengan Junjungan Nabi s.a.w., lalu kemudian dia mendapat bisyarah daripada Junjungan Nabi s.a.w. melalui lidah seorang ulama yang bernama Imam Abu 'Abdur Rahman Muhammad bin 'Abdullah @ 'Ubaidillah bin 'Amr bin Mu`aawiyah bin 'Amr bin 'Utbah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb yang lebih dikenali sebagai Imam al-'Utbi. Untuk teks cerita ini aku nukilkan tulisan Imamuna an-Nawawi rahimahUllah dalam kitabnya "al-Adzkar" halaman 308, di mana Imam an-Nawawi menulis:-

Daripada Imam al-'Utbi di mana dia telah berkata: " Adalah aku satu ketika duduk di samping kubur Junjungan Nabi s.a.w., maka telah datang seorang A'raabi ( 'Arab dusun @ penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi s.a.w. dengan katanya:

"Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar Allah ta`ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوۤاْ أَنْفُسَهُمْ جَآءُوكَ فَٱسْتَغْفَرُواْ ٱللَّهَ
وَٱسْتَغْفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّاباً رَّحِيما
ً
[Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.]
Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan dari segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku."

Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-

يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع و الأكم
نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف و فيه الجود و الكرم


Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya
Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya
Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya
Dalamnya ada (pribadi) yang suci, pemurah lagi mulia

Al-'Utbi meneruskan ceritanya: "Kemudian, dia berpaling meninggalkan maqam Junjungan Nabi s.a.w., tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi s.a.w. dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku: "Wahai 'Utbi, segera pergi berjumpa si A'rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.

Ikhwah, ini bukan hadits Junjungan Nabi s.a.w. sekadar cerita. Walau bagaimanapun, ianya bukan cerita yang dihikayatkan oleh Tok Awang Batil, tetapi cerita yang disampaikan dan dinukil dan dicatat oleh para ulama terbilang umat ini dalam kitab-kitab mereka. Maka terpulanglah bagi ikhwah, sama ada untuk mempercayai cerita ini atau tidak. Para ulama yang menukilkan cerita ini, adakah mereka mengkritik perlakuan si A'rabi tadi ? Adakah mereka mengkafirkan si A'rabi tadi kerana telah melakukan istighatsah dengan Junjungan Nabi s.a.w.? Adakah mereka menghukum si A'rabi sebagai musyrik? Imam an-Nawawi meletakkan cerita al-'Utbi ini dalam kitabnya yang masyhur "al-Adzkar" dalam fasal mengenai ziarah kubur Junjungan Nabi s.a.w. tanpa kritikan apa-apa. Tidak pula Imam an-Nawawi mensyirikkan perbuatan A'rabi tadi dan sebagainya. Dan dalam kitabnya "al-Iidhaah fi Manaasikil Hajj wal Umrah" halaman 454 - 455, Imam an-Nawawi memuji ucapan A'raabi tersebut dan menganjurkan agar ianya diamalkan tatkala kita berziarah ke maqam Junjungan Nabi s.a.w. dengan katanya:-
ثم يرجع الى موقفه الأول قبال وجه رسول الله
صلى الله عليه و سلم و يتوسل به في حق نفسه
و يتشفع به الى ربه سبحانه و تعالى،
و من احسن ما يقول ما حكاه اصحابنا
عن العتبي مستحسنين له قال:..... قصة العتبي


.... Kemudian hendaklah penziarah maqam Junjungan Nabi s.a.w. kembali ke tempat berhentinya yang pertama yang menghadap wajah Junjungan Nabi s.a.w. (yakni setelah dia bergerak kadar sehasta ke kanan untuk memberi salam kepada Sayyidina Abu Bakar r.a. dan sehasta lagi untuk salam kepada Sayyidina 'Umar, maka dia kembali ke tempat awalnya yang menghadap Junjungan Nabi s.a.w.). Dan si penziarah bertawassullah dengan Junjungan Nabi s.a.w. bagi hak dirinya dan dia memohon syafaat baginda kepada Tuhannya s.w.t. Dan daripada sebaik-baik ucapan yang (boleh) diucapkannya (tatkala itu) ialah apa yang telah diceritakan dan dipandang baik oleh para sahabat kami (yakni para ulama Syafi`iyyah) daripada al-'Utbi di mana dia berkata:- ........ kisah al-'Utbi di atas tadi cuma di sini ada penambahan dua bait lagi iaitu:
............................
............................
انت الشفيع الذي ترجى شفاعته * على الصراط اذا ما زلت القدم
و صاحباك فلا انساهما ابدا * مني السلام عليكم ما جرى القلم

Engkaulah pemberi syafaat yang diharapkan syafaatnya
Ketika tergelincir segala kaki tatkala melintas shirath
Dan dua sahabatmu sekali-kali tidak aku lupa
Dariku ucapan salam kepada kamu sebanyak tulisan Qalam
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

رسول الله يا خير البرايا
وسيلتنا لدى وقع البلايا


2 ulasan:

abu zahrah abdullahthahir berkata...

Allahu! Allah
Tertolaklah pendapat golongan Wahabi yang membid'ahsesatkan perbuatan bertawassul, beristighosah.
Sunniyyun, syafiiyyun ... akan terus kukuh bertapak di bumi Malaysia.

abu zahrah abdullahthahir berkata...

Shaikh Zaki Ibrahim رحمه الله تعالى sebut dalam kitab beliau الإفهام و الإفحام bahawa tawassul sedemikian tiada diperselisih oleh ulama tas keharusannya sampai kurun ketujuh hijrah. Ibn Taimiah mula bawa fitnah tersebut tapi tak dilayan sehinggalah puak Wahabi padfa kurun ke 13 menghidupkan balik faham Ibn Taimiah ni ..... atas dasar politik dan sifat asobiah qabilah mereka ....

Benarlah ya Sidi Abumuhd, yang Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang fitnah akan bangkit dari tempat depa tu ... Muhammad bin Abdul Wahab an-Nejd. Tapi Wahabi and the gang cuba menafikan.

Hidup sunniyyun! Hidup syafiiyyun!