Khamis, April 12, 2007

Perginya Seorang Tokoh

Khamis, 24 Rabi`ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita kehilangan satu lagi tokoh ilmuwan lagi ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka. Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah rahimahUllah cukup besar jasanya dalam memperkenalkan para ulama kita di Nusantara dan karya-karya mereka. Boleh dikatakan umur beliau telah dihabiskannya untuk tujuan tersebut kerana kesedarannya terhadap khazanah yang terkandung dalam kitab-kitab karya ulama silam kita dan jasa-jasa mereka. Semua ini dibuatnya tanpa memikir ganjaran duniawi buat dirinya, semuanya dilakukan dengan ikhlas dan kerana cintanya kepada para ulama tersebut. Beliau mahu agar khazanah peninggalan ulama tersebut terus dihayati oleh generasi kini dan yang akan datang. Agar masyarakat mengenali kehebatan ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap umat Nusantara dalam menyebar dan memartabatkan Islam di rantau ini.

Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu. Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.

Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ....aamiin ...... al-Fatihah.

اقرأوا على موتاكم يس

9 ulasan:

abu zahrah abdullahthahir berkata...

al-Fatihah untuk Allahyarhan Tuan Guru Hj Wan Muhammad Saghir Abdullah.

Ana cukup terasa atas pemergian tuanguru. Banyak maklumat, ilmu dan sejarah ulama yang beliau curahkan. Teringat, setiap kali bermuzakarah bersama tuanguru selalunya lajak sampai jam 2 pagi. Makin larut .. makin bersemangat tuanguru.

Selamat jalan wahai guruku ... kuiringi permergianmu al-Fatihah dan Yaasin serta sekalung doa, semoga tuan ditempatkan bersama-sama dengan para sholihin.

alhusseyn berkata...

Saya mengenali beliau drp beberapa karya bukunya.Semoga Allah tempatkannya bersama-sama para solihin.Alfateha.

alqasam berkata...

Al-Fatihah,

Kesedihan yang tidak terperikan..Namun sudah tiba masanya. Waktu rehat beliau dari dunia fana..

muhammad fakhrul razi berkata...

sungguh usaha beliau amat besar sekali..

KOLEKSI ARTIKEL ULAMA NUSANTARA

abuanis berkata...

Setiap kali ana ikut pengajian Almarhum bersama dua tiga rakan-rakan (semuanya jahil-jahil belaka termasuklah ana), Almarhum raikan kami dengan memaksa kami duduk "bersembang" dengan beliau hingga lewat jam 2 pagi. MasyaAllah.Ana akan kenang detik-detik tersebut sampai bila-bila, dimuliakan Allah untuk duduk bersama seorang ulama' yg sarat dengan ilmu Allah tapi tak terkesan sedikit pun dengan martabat yang mengiringi ilmu tersebut. Ini lah yang ana akan jadikan pedoman..

ariff berkata...

Allahyarham Tuan Guru sememangnya seorang tokoh dan guru yang hebat. Mula2 saya mengenali Allahyarham melalui karya buku2nya. Sampailah saya ditemukan dengan Allahyarham dan mengaji kitab ilmu dengan beliau. Sedih bila Tuan Guru dah pergi...Al-Fatihah.

Ku Keng berkata...

Pesanan terakhir kepada ana tentang bahaya Wahabbiah.

Semoga Allah SWT memberi gantian yang setimpal dengan beliau atau lebih baik lagi.

Oman Fathurahman berkata...

Saya mengenal almarhum melalui buku-bukunya, dan hanya sempat bertemu sekali saja dalam sebuah seminar. Sungguh karya2nya sangat bermanfaat, semoga menjadi amal jariah buat almarhum. Amin

MuhibMahbub berkata...

Assalamualaikum.

Blog yang baik sekali,walaupun Al-Marhoum dah intiqol, karyanya tetap hidup,walaupun cuma sekali sempat bertemu dgn al-marhoum..syukur Alhamdulillah...

ada jugak buat satu blog koleksi karya Syeikh Wan Muhammad, koleksi pribadi...untuk cucunda Syeikh Ahmad Fathoni..Al-Fatihah

Himpunan Tulisan Al-marhoum