Sabtu, April 14, 2007

Sayyid Ja'far - Mufti Madinah (1)

Antara kitab mawlid yang paling masyhur dan paling terkenal di rantau kita ini dan juga di seantero dunia ialah kitab mawlid karangan Sayyidisy Syaikh Ja'far al-Barzanji rahimahUllah. Kitab mawlid karangan beliau itu dikenali dengan berbagai nama antaranya "'Iqdul Jawhar fi Mawlidin Nabiyyil Azhar", tetapi gelaran yang paling masyhur ialah "Mawlid al-Barzanji". Malangnya ada orang muda zaman kita ini yang tergamak memperlekeh dan merendah-rendah kesarjanaan Sayyidisy Syaikh Ja'far al-Barzanji dan karya beliau tersebut. Mungkin penyakit ujub pada diri menyebabkan seseorang itu menjadi buta dalam menilai ketokohan ulama yang telah diterima umat dan dijadikan ikutan, manakala karyanya dibaca oleh ribuan dan jutaan umat dari dahulu sehingga kini. Bukan sahaja orang awam, para ulama umat ini turut membaca, meneliti, mentelaah dan mewiridkan karya Imam besar al-Barzanji ini. Tiada yang menyalahkannya, apatah lagi mensyirikkan dan mengkhurafatkannya.

Untuk peringatan hari ke-3 pemergian almarhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah rahimahUllah dan sebagai satu upaya menyebarkan ilmu beliau, kunukilkan tulisan beliau berhubung Sayyid Ja'far al-Barzanji dan karya mawlidnya. Mudah-mudahan kalian dapat membacanya dengan teliti dan penuh keinsafan, biar tahu di mana kedudukan kita dan di mana pula Sidi Ja'far berada. Tulisannya ini terkandung dalam buku beliau yang berjodol "Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu". Pada halaman 69 - 71, beliau rahimahUllah menulis, antara lain:-

..... Karyanya yang terkenal ialah Maulid al-Barzanji atau Jawahir 'Iqd atau 'Iqd al-Jawahir dan nama yang lain ialah al-Burud yubaiyinul Murad. Kitab ini telah disyarah oleh ramai orang di antaranya ialah oleh Syeikh Nawawi al-Bantani yang diberi judul Madarijus Shu`ud ila Iktisa` al-Burud. Syarah yang lain pula diusahakan oleh Syeikh 'Abdul Hamid bin Syeikh Muhammad 'Ali Kudus yang diberi judul Maulidin Nabiyi s.a.w. 'ala nasijil Barzanji. Kedua-duanya adalah ulama yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Kedua-dua syarah itu ditulis dalam Bahasa 'Arab. Selain syarah, kitab Maulid al-Barzanji pula diterjemah ke dalam beberapa bahasa. Dalam Bahasa Melayu / Indonesia terdapat cukup banyak. Tidak perlu disebut lagi kerana telah disebutkan pada perbicaraan sebelum ini.

Apabila kita jejaki keseluruhan datuk-nenek Saiyid Ja'far al-Barzanji hingga ke atas adalah terdiri dari ulama-ulama besar yang berjasa sebagai pengarang, pendidik atau penyebar agama Islam yang suci dan benar, yang tiada diragui oleh sekian ramai ulama. Bahkan nasabnya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.

.......Saiyid Ja'far al-Barzanji penyusun Maulid al-Barzanji adalah seorang ulama Madinah dan beliau adalah seorang Mufti Mazhab Syafi`ie di Madinah al-Munawwarah...........

Ulama - ulama besar yang telah diakui oleh ulama sedunia Islam demikian ramai adalah tidak mungkin untuk ditolak dengan propaganda palsu dan tidak berasas oleh orang-orang tertentu, tetapi adalah sebaliknya tokoh-tokoh yang menyalah-nyalahkan ulama itulah mesti ditolak, fatwa dan pendapat mereka tidak dapat diterimapakai
.
Begitulah pesanan almarhum Tuan Guru kita, harap ikhwah dapat fahami dan jadikan panduan dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh fitnah dan pancaroba. Kepada golongan serpihan umat yang tidak sejalan dengan umat kebanyakan, maka pesanku hanya satu. Jika kamu boleh menolak fatwa mufti dan ulama kami, maka kami pun boleh menolak fatwa mufti dan ulama kamu. Jika ulama kami tidak maksum, maka begitulah juga ulama kamu. Oleh itu berlapanglah dada, biarlah bumi ini aman tanpa sebarang kekecohan isu-isu sepele, biar kami aman beramal dengan pegangan kami dan kami akan biarkan kamu aman dengan pegangan kamu. TAPI kalau kamu berani berlaku biadap dengan para Pewaris Nabi yang telah diakui umat ini, kami tidak akan berdiam diri.

عطر اللهم قبره الكريم * بعرف شذي من صلاة و تسليم
اللهم صل و سلم و بارك عليه و على اله و اصحابه


1 ulasan:

abu zahrah abdullahthahir berkata...

وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَاطِلُ إِنَّ ٱلْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً