Ahad, November 18, 2007

Mazhab Saadah Ba 'Alawi

Alhamdulillah, kini setiap tahun apabila menjelang 7 Dzul Qaedah, maka di sesetengah tempat dalam negara tercinta ini telah diadakan upacara memperingati haul Imam Quthubul Irsyad Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad r.a. Beliau adalah seorang ulama dan waliyUllah yang ulung, hanya orang-orang yang buta mati hati sahajalah yang akan menolak dan mempertikaikan keilmuan dan kewalian beliau .... Allahu ... Allah .... moga mata hati mereka dicelikkan Allah, jika itu kehendakNya.

Sempena haul beliau, aku nukillah kalam beliau berhubung dengan kitab-kitab yang dianjurkan untuk dijadikan pegangan kita dalam ilmu agama dan penjelasan beliau mengenai mazhabnya para Saadah Bani 'Alawi. Agar tidak kita termakan dakyah golongan yang cuba menyesatkan para saadah yang kita kasihi dari jalan para leluhur mereka yang mulia. Syaikh Ahmad bin 'Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajaar, murid Imam al-Haddad, dalam karangannya "Tatsbiitul Fuaad" juzuk ke-2, halaman 36, menukilkan kalamnya Imam al-Haddad seperti berikut:-

Telah berkata Imam al-Haddad r.a.: Dalam pandangan kami, (kitab - kitab yang menjadi) tiang atau fondasi bagi ilmu-ilmu agama serta segala kaedahnya ada 4. "Shahih al-Bukhari" dalam ilmu hadits; "Tafsir al-Baghawi" dalam ilmu tafsir; "al-Minhaj" (yakni "Minhajuth Tholibin" karya Imam an-Nawawi)" dalam ilmu fiqh (yakni fiqh Syafi`i); dan di antara kitab yang menghimpun berbagai ilmu agama adalah "Ihya` 'Ulumiddin". Inilah kaedah-kaedah untuk dijadikan landasan bagi memahami ilmu-ilmu agama. Kami telah mentelaah banyak kitab tetapi tidak kami lihat yang lebih himpunan ilmunya berbanding kitab "Ihya` 'Ulumiddin". Waktu sangat singkat dan segala kaedah yang disebutkan tadi itulah yang menjadi landasan bagi pengetahuan agama, itulah tiang-tiangnya pengetahuan agama. Dan tiadalah mazhab kami melainkan al-Quran dan as-Sunnah (yakni mazhab kita semuanya bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, bukanlah ertinya Imam al-Haddad menolak mazhab walaupun beliau dikatakan telah mencapai kedudukan untuk berijtihad). Ketika kami menunaikan haji, sebahagian orang bertanyakan mengenai mazhab kami. Maka aku katakan kepada mereka: "(Kami bermazhab) Syafi`i". Dan hadir dalam majlis itu seorang wali yang kasyaf dari kalangan ahlul khuthwah, dia berkata kepadaku: "Kenapa engkau mengatakan bahawa mazhabmu Syafi`i, sedangkan mazhabmu adalah al-hadits?" Maka aku menjawabnya: "Bagaimana tidak, bahawasanya para leluhur kami semuanya atas mazhab Imam asy-Syafi`i."
Bukanlah sesuatu yang pelik, jika ada ulama yang telah mencapai darjat ijtihad tetapi mereka tetap mengaku bermazhab dengan salah satu dari mazhab yang empat. Ini tidaklah bermakna mereka meninggalkan ijtihad, tapi hasil ijtihad mereka bersesuaian dengan pendapat mazhab-mazhab tersebut. Oleh itu, janganlah terburu-buru untuk menuduh para imam mazhab empat sebagai tidak berpandukan al-Quran dan al-hadits. Sesungguhnya hasil ijtihad mereka pasti disandari dengan dalil yang kuat di sisi mereka menurut ijtihad mereka berdasarkan kaedah-kaedah yang mereka pegangi. Adakah para Imam Mazahib akan berpegang dan beramal dengan hasil ijtihad mereka, jika dalam pendapat mereka dalil bagi perkara tersebut adalah lemah? Sesungguhnya bermazhab bukanlah ertinya kita taksub dengan mazhab tertentu, bahkan sekarang nampaknya golongan yang bebas mazhablah yang selalu taksub dengan pendapat mereka sehingga memaksa-maksa orang lain untuk menerima pendapat mereka tanpa mempedulikan bahawa ianya adalah perkara khilafiyyah. Moga Allah berikan taufiq dan hidayahnya kepada kita dan memberikan sebesar-besar ganjaran bagi para ulama kita. Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada Imam al-Haddad dan sekalian ulama.

1 ulasan:

alburnawi' berkata...

kalaulh aku ni org tnpa mazhab, aku akan malu pd diri sendiri. para mujtahid sendiri pun hormat, mengaku dan mengikut mazhab. inikan pula diriku yg daif, hina dan lemah?