Berzikir di kuburan
Antara kebiasaan masyarakat kita, selesai pengkebumian jenazah, maka diadakanlah bacaan talqin yang dihukumkan sunnat oleh ulama Syafi`iyyah. Biasanya talqin akan dilanjutkan dengan pembacaan doa tatsbit memohon agar si mati ditetapkan imannya sewaktu menghadapi soal Munkar dan Nakir. Akhir sekali dibacakanlah tahlil yang kandungannya ialah bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tasbih, takbir, tahlil, istighfar, sholawat dan disudahi dengan doa wahbah bagi si mati khususnya dan sekalian muslimin umumnya. Zaman berzaman, inilah amalan ulama dan awam masyarakat kita apabila mengkebumikan jenazah.
Namun kini, timbul golongan yang suka menang sendiri, yang tidak memahami dan menghormati perbezaan pendapat dalam perkara-perkara khilaf, maka mereka ini bersungguh-sungguh berjuang untuk menghapuskan amalan yang telah sekian lama diamalkan ini atas slogan membasmi bid`ah dan sebagainya. Maka ditohmahkanlah bahawa segala amalan yang telah menjadi tradisi masyarakat kita, yang dilaksanakan oleh segenap peringkat, ulama maupun awam, sebagai tidak punya asal dan sandaran pada syarak. Allahu ... Allah, sedangkan jika diteliti, amalan-amalan tersebut punya sandaran dan asalnya pada syarak.
Imam Ahmad dalam musnadnya yang masyhur telah meriwayatkan satu hadits daripada Sayyidina Jaabir bin 'Abdullah r.'anhuma bahawa ketika Sayyidina Sa`ad bin Mu`adz r.a. meninggal dunia, beliau dan Junjungan Nabi s.a.w. telah pergi menziarahinya. Ketika jenazah selesai disembahyangkan, dikubur dan diratakan kuburnya, Junjungan Nabi s.a.w. bertasbih dan diikuti oleh para sahabat baginda dalam masa yang agak lama, kemudian baginda bertakbir lalu para sahabat turut bertakbir. Setelah selesai daripada berzikir, Junjungan Nabi s.a.w. ditanyai oleh para sahabat: "Kenapa engkau bertasbih kemudian bertakbir?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawabnya: "Telah menyempit atas hamba yang sholih ini akan kuburnya sehingga dilapangkan Allah baginya."Allahu ... Allah, Junjungan Nabi s.a.w. berzikir kerana menyempitnya kubur tersebut sehinggalah dengan rahmat Allah kubur tersebut diluaskan bagi penghuninya. Hadits di atas juga turut dinukilkan oleh Imam al-Husain bin Mas`ud al-Baghawi dalam "Misykaatul Mashoobiih" dalam bab " itsbaat 'adzaab al-qabr ". Jadi sabitlah nas yang Junjungan Nabi s.a.w. dan para sahabat pernah berzikir di sisi kubur selesai pengkebumian. Jika pun hadits tersebut dihukumkan "dhaif", maka di sisi mazhab jumhur ulama, hadits dhaif adalah hujjah dalam perkara-perkara fadhail. Dan tidaklah tertentu ucapan zikir tersebut dengan hanya tasbih dan takbir, kerana tidak warid ada tegahan untuk menambah zikir-zikir seumpama tahlil, sholawat dan sebagainya. Junjungan Nabi s.a.w. diberitakan dalam khabar yang shohih sebagai berwudhu` dengan satu cupak air dan mandi janabah dengan menggunakan kadar segantang ke 5 mud air, maka jika seseorang berwudhu atau mandi dengan menggunakan lebih dari kadar yang digunakan oleh Junjungan Nabi s.a.w., maka adakah itu satu kesalahan?? Siapa sekarang yang berwudhu dengan secupak dan mandi dengan segantang ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan