Isnin, Julai 21, 2008

Tawassul - Buya Maliki

Menurut mazhab dan pegangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, perbuatan bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah dibenarkan tanpa mengira sama ada tawassul dengan baginda s.a.w. tersebut dilakukan sewaktu baginda masih berada di alam dunia yang fana ni ataupun setelah keberangkatan baginda ke alam barzakh dan alam baqa. Ini adalah kerana kita Ahlus Sunnah wal Jama'ah beri'tiqad bahawa yang memberi bekas dan yang berkuasa hanya Allah dan orang yang dijadikan wasilah tidak mempunyai kuasa dan tidak memberi bekas, hanyasanya mereka dijadikan wasilah kerana maqam kedudukan dan kemuliaan mereka di sisi Allah yang Maha Berkuasa. Jadi keadaan hidup atau mati mereka, tidak menjadi halangan untuk menjadikan mereka wasilah. Yang penting adalah maqam dan darjat keutamaan mereka di sisi Allah s.w.t.

Telah tsabit bahawa Nabi Adam a.s. bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. sebelum kelahiran baginda di alam dunia ini. Ini adalah kerana yang dijadikan wasilah tersebut adalah keadaan maqam dan darjat Junjungan di sisi Allah s.w.t., maka perkara ini tidaklah bersangkutan dengan kehidupan baginda di alam dunia ini. Baginda adalah seorang nabi dan rasul yang paling utama dan paling mulia hatta sebelum baginda memulakan kehidupan duniawi baginda, dalam kehidupan duniawi baginda dan selepas kehidupan duniawi ini. Tidakkah para nabi dan rasul yang diutuskan sebelum baginda telah menyatakan keimanan mereka kepada kerasulan baginda. Bukankah para nabi terlebih lagi diri Junjungan s.a.w. adalah ma'shum sejak dilahirkan. Bi'tsah dan mulanya turun wahyu hanyalah sebagai titik permulaan menjalankan tugas-tugas kerasulan menyeru umat kepada Allah s.w.t. Maka kata-kata yang mengatakan bahawa sebelum menerima wahyu, Junjungan Nabi s.a.w. hanya seorang "budak kampung" adalah perkataan yang buruk adab dan mencarik kemuliaan Junjungan Nabi s.a.w. Marilah kita renungi firman Allah yang Maha Agung dalam surah ash-Shaff ayat 6:-

"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi 'Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama Ahmad". Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
Sebagai umat Islam, kita tentu beriman dengan adanya kehidupan akhirat, maka maklumlah kita bahawa maqam dan kedudukan serta darjat ketinggian baginda Muhammad s.a.w. tetap tinggi bahkan terus meninggi biarpun baginda telah berpindah ke alam barzakh. Maka apa masalahnya jika seseorang bertawassul dengan baginda setelah kewafatan baginda. Orang yang menegah bertawassul dengan Junjungan s.a.w. selepas kewafatan baginda adalah orang yang tidak tahu ukuran darjat dan maqam Junjungan Nabi s.a.w. 'Allaamah al-Muhaddits Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani rhm. dalam "Mafaahiim yajibu an tushahhah" halaman 50 menyatakan sebagai berikut:-

Beberapa faedah penting dari hadits tawassul Nabi Adam

Dalam hadits tersebut tawassul dengan Junjungan Rasulullah s.a.w. adalah sebelum alam ini menerima kemuliaan baginda dengan kewujudan (keberadaan) Junjungan s.a.w. padanya. Maka sesungguhnya pokok pangkal bagi keabsahan tawassul adalah orang dijadikan wasilah hendaklah ada padanya kadar kemuliaan yang tinggi di sisi Tuhannya 'azza wa jalla. Dan tidaklah disyaratkan keadaan orang tersebut hidup di alam dunia.

Dan dari itu, diketahui bahawasanya pendapat yang mengatakan tawassul tidak boleh dilakukan dengan seseorang melainkan pada waktu hidupnya di dunia, adalah pendapat orang yang menurut hawa nafsu tanpa petunjuk daripada Allah.
Allahu ... Allah, sungguh kalam orang yang menafikan bertawassul dengan para kekasih Allah selepas kewafatan mereka adalah kalam yang bahaya dan itulah sebenarnya yang boleh membawa kepada syirik kerana seolah-olah memberi gambaran orang yang hidup boleh memberi bekas, manakala orang yang mati sudah tidak boleh memberi bekas. Sedangkan di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang memberi bekas hanya Allah 'azza wa jalla. Allahumma, janganlah Engkau jadikan kami dari kalangan orang - orang yang menurut hawanafsunya dan kosong daripada petunjukMu.

*******************************
يا سيدي يا رسول الله


1 ulasan:

KorbanDemokrasi berkata...

Saudara Abu Muhammad,
ASSALAMU'ALAIKUM

Kata-kata ku tentang Imam-Imam Kaum Muslimin;

Keterampilan pengikut yang ramai bukanlah ukuran,
Kesiddiqan yang sepatutnya menjadi teladan dan ikutan,
Harus difahami makna kesiddiqan,
Yang ianya bertaut pula dengan haq yakni kebenaran,
Kebenaran yang berpaksi kepada warisan,
Warisan yang dimaksudkan ialah yang mewariskan,
Dari Nabi Muhammad sallaLahu alaihi wassalam Rasul Junjungan,
Kepada sahabat-sahabatnya yang mengikuti Baginda dalam perjuangan,
Yang bendera mereka pula diambil para ulama insan-insan ikutan,
Ahl Sunnah Wal Jama’ah yang tidak lapuk atau lekang di telan zaman,
Aqidah Al-Asya’irah Al-Maturidiyyah jadi pegangan,
Pembawaan Bermazhab pula tetap digenggam,
Semakin lama semakin indah dan cemerlang,
Kerana dia pasti dirahmati Tuhan sakalian alam,
Siapa yang menentangnya pasti diruntuhkan,
Sebagaimana Baitul Ankabut rumah laba-laba bersarang.

Silalah ke Blog saya untuk menjamu selera Kisah Baitul Ankabut.

Wassalam
AL-FAQIR-ILALLAH KORBAN DEMOKRASI