Jumaat, Ogos 13, 2010

Lailatul Qadar 2

Di kalangan mereka yang biasa dengan tradisi pengajian pondok dan pesantren, pasti kenal dengan kitab "Hasyiah Ibnul Amir 'ala Ittihaaf al-Murid syarah Jawharah at-Tawhid". Pengarangnya seorang ulama besar bermazhab Maliki dan pengamal thoriqah asy-Syadziliyyah, nama beliau adalah al-'Allaamah asy-Syaikh Abu 'Abdillah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin 'Abdul Qadir bin 'Abdul 'Aziz al-Azhari rahimahumUllah yang terkenal dengan gelaran al-Amir al-Kabir. Beliau menjadi mufti Maliki di Mesir dari tahun 1201 sehingga 1232H. Dilahirkan pada tahun 1154H dan wafat di Kaherah dalam bulan Dzul Qaedah tahun 1232H. Memiliki banyak karya, sama ada yang telah dicetak atau yang masih berbentuk manuskrip. Antara karya beliau adalah:-
  1. المجموع في الفقه المالكي
  2. الإكليل شرح مختصر خليل
  3. حاشية على مغني اللبيب لإبن قاسم
  4. ضوء الشموع على شرح الجموع
  5. النخبة البهية في الأحاديث المكذوبة على خير البرية
Ketokohan beliau dalam ilmu mengkagumkan para ulama sezaman. Dalam usia yang belum menjangkau 21 tahun, beliau telah menghasilkan kitab "al-Majmu'" dalam fiqh Maliki. Mari kita hirup sedikit ilmu yang beliau curahkan dalam satu risalah beliau pada mentafsirkan surah al-Qadr, moga ada manfaatnya. Dalam risalah tersebut beliau menyatakan:-

Dan tersebut dalam "Tafsir al-Khatib" {iaitu tafsir "as-Sirajul Munir" karangan Syaikh Khatib asy-Syarbini rahimahUllah} daripada Syaikh Abul Hasan asy-Syadzili yang menyatakan bahawa jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad, maka Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika awalnya hari Isnin, maka Lailatul Qadr jatuh pada 21 haribulan; jika hari Selasa, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; Jika hari Rabu, Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika hari Khamis, Lailatul Qadr jatuh pada 25 haribulan; jika hari Jumaat, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; dan jika hari Sabtu, Lailatul Qadr jatuh pada 23 haribulan.

Dan telah warid (hadits yang menyatakan): "
Sesiapa yang sholat Maghrib dan Isya` berjemaah, maka dia telah memperolehi bahagian yang besar / banyak daripada Lailatul Qadr". Juga telah warid bahawa: "Sesiapa yang sholat Isya` berjemaah, maka seumpama dia menghidupkan separuh malamnya untuk beribadah (yakni berqiyamullail). Apabila dia sholat Subuh berjemaah, maka seumpama dia telah menyempurnakan keseluruhan malamnya untuk berqiyamullail."

Maka sewajarnya seseorang yang sukar untuk memperbanyakkan qiyamullail, dia memilih beramal dengan bacaan-bacaan yang telah warid ianya menghasilkan pahala besar seperti Ayatul Kursi yang telah warid bahawa ianya ayat al-Quran yang afdhal, membaca 3 atau 2 ayat terakhir surah al-Baqarah yang telah warid bahawa sesiapa yang membacanya nescaya ianya akan mencukupi baginya pada malam tersebut, surah al-Zalzalah yang warid bahawa ianya menyamai separuh al-Quran, surah al-Kafirun yang warid ianya menyamai seperempat al-Quran, surah al-Ikhlash yang menyamai sepertiga al-Quran, surah Yaasin yang warid bahawa ianya hati al-Quran dan ianya dibaca untuk apa yang diniatkan; memperbanyakkan istighfar, tasbih, tahmid, tahlil, berbagai zikir dan bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW; berdoa dengan apa yang disukai bagi dirinya dan orang-orang yang dikasihnya samada yang masih hidup maupun yang telah mati; bersedekah dengan apa yang mudah baginya; dan menjaga segala anggotanya daripada melakukan maksiat. Inilah cara menghidupkan malam Lailatul Qadar yang akan menyebabkan keampunan Allah daripada dosanya dan bukannya dihidupkan malam dengan berhibur - hibur dan bermain-main.

Dan di akhir risalah tersebut, Syaikh al-Amir al-Kabir menukilkan satu lagi faedah berupa zikir yang dikatakan sebagai warid untuk dibaca pada setiap malam dengan harapan memperolehi Lailatul Qadr. Zikir ini adalah serupa dengan apa yang disebut oleh Syaikh Abdul Hamid Qudus @ Kudus dengan sedikit perbezaan. Ianya adalah seperti berikut:-

Dan telah warid (hadits) bahawa : "Sesiapa yang mengucapkan:
لا اله الا الله الحليم الكريم
سبحان الله رب السموات السبع و رب العرش العظيم

tiga (3) kali, maka seolah-olah dia memperolehi Lailatul Qadr." Maka sewajarnya diamalkan bacaan ini pada setiap malam.
Mudah-mudahan kita direzekikan Allah SWT dengan Lailatul Qadr dalam keadaan kita beramal sholeh. Rahmat Allah sentiasa atas kita dan juga atas yang empunya karangan al-Amir al-Kabir dan sekalian para ulama kita yang ikhlas....... al-Fatihah.

********************************************
Halaman terakhir Risalah Tafsir Surah al-Qadr

6 ulasan:

Ayman Rosland berkata...

JazakAllah atas posting yang sangat bermanfaat!Mudah-mudahan kita beroleh peluang menemui malam al-qadr ini, tuan shaykh!

muhsinmajid berkata...

assalamualaikum ust,..artikel y bermanfaat..mohon keizinan copy artikel ini ya..

muhsinmajid berkata...

assalamalaikum uzt.,artikel y bermanfaat..mohon keizinan copy artikel ni ya.

Smsaroni berkata...

salam, Tuan nak minta izin nak buat amalan

Smsaroni berkata...

Salam. nak minta izin di buat amalan pada malam hari bulan ramadhan ni

Insan Pilihan berkata...

Assalamualaikum ust, mohon keizinan untuk amalkan.