Rabu, Februari 24, 2010

Mawlid Diba`ie

Karya mawlid yang masyhur dengan nama "Mawlid ad-Diba`ie" ini adalah antara karya mawlid yang tua, hampir mencapai usia 500 tahun. Sepanjang masa tersebut, ianya telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia Islam. Dibaca, dihayati, diwirid oleh jutaan umat, yang awam maupun yang khawas antara mereka. Mawlid ini adalah karya seorang ulama besar dan muhaddits yang sebenar, Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i rahimahumUllah. Imam ad-Diba`ie dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H. Beliau adalah seorang ulama hadits yang terkenal dan tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau mengajar kitab "Shohih" Imam al-Bukhari lebih dari 100 kali khatam. Beliau mencapai darjat Hafiz dalam ilmu hadits iaitu seorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Setiap hari beliau akan mengajar hadits dari masjid ke masjid. Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi. Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-
  • "Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul" yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6.
  • "Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma yaduru 'ala alsinatin naasi minal hadits" sebuah kitab yang membezakan hadits sahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • "Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun".
  • "Bughyatul Mustafid fi akhbar madinat Zabid".
  • "Fadhail Ahl al-Yaman".
****************************************
Cuplikan Mawlid ad-Diba`ie bacaan Habib Abbas al-Maliki

video

Tiada ulasan: