Isnin, Januari 24, 2011

Allah Tiada Bertempat - Fatawa Fathaniyah

Kita selaku pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah beri'tiqad dan menyakini bahawa Allah SWT tidak perlu kepada tempat yang merupakan makhluk yang Dia cipta. Maha Suci Allah daripada mengambil faedah daripada ciptaanNya dan Maha Suci Allah daripda mengambil tempat.

Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahUllah ditanya orang sebagai berikut:-

(Masalah) Apa kata kamu pada barang yang telah banyak jatuhnya daripada awam, iaitu apabila ditanyakan setengah mereka itu: "Adakah bagi engkau Tuhan?" Menjawab ia: "Ada." Maka ditanyakan: "Apa dalil adaNya?" Katanya: "Langit dan bumi ini." Dan ditanyakan: "Di mana duduk Tuhan?" Katanya: "Tiada tahu di luar alamkah atau di dalamnya, di atasnya kah atau di bawahnya."

(Jawab) Alhamdulillah wa shallaAllahu 'ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa shahbihi wa sallam. Allahumma hidayatan lish showab, Rabbi zidni `ilman. Bermula jawab orang yang 'aami, tatkala ditanyakan dia di mana Tuhan duduk { "Tiada aku tahu di luar alamkah atau di dalamnya, di atasnya kah atau di bawahnya" } itu, tiada jadi murtad ia dengan sebabnya dan tiada pula haram atasnya kerana muwafaqah perkataannya dengan sebenar, iaitu bahawasanya Allah ta`ala itu tiada bagiNya tempat kerana bersifatNya subhanahu wa ta`ala dengan bersalahanNya bagi segala yang baharu, dan lazim daripada ketiadaan tempat bagiNya itu bahawa tidak diketahuikan tempat bagiNya sekali-kali. Dan bahawa tiada diketahui akan keadaanNya di atas sesuatu atau di bawahnya dan di luar sesuatu atau di dalamnya, maka iaitulah makna katanya: "Tiada aku tahu." WaAllahu a'lam.

- Al-Fatawal Fathaniyah, jilid 1, halaman 2 - 3.

Tiada ulasan: