Jumaat, Jun 01, 2012

Salam Jumaat

Alhamdulillah, kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi menambahkan saham akhirat mereka. Pada hari ini ganjaran amalan kebajikan seseorang akan dibalas dengan berganda sebagaimana dinyatakan oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat". Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan bergembira dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan bahawa haiwan dan mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada hari Jumaat akan mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."

Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-


Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).

Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."

Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما

Tiada ulasan: