Pengarang "Khidmatul 'Asyiirah"

Pada tahun 1333H/1913M, beliau belayar menuju Singapura dan seterusnya ke Indonesia. Di Indonesia, beliau mulanya tinggal bersama abang kandungnya iaitu Habib Muhammad bin 'Abdullah bin Muhsin as-Saqqaf yang menetap di Pulau Bali. Setelah melaksanakan dakwah di Pulau Bali untuk beberapa ketika, beliau berhijrah ke Surabaya di mana beliau menjadi perintis pergerakan Islam. Di Surabaya juga beliau dilantik menjadi direktor pertama Madrasah al-Khairiyyah. Beliau juga adalah salah seorang perintis dan pendiri Yayasan ar-Rabithah al-'Alawiyyah dan menjadi penerbit yang bertanggungjawab menerbitkan majalah bulanan persatuan tersebut. Habib Ahmad as-Saqqaf terkenal dengan tulisan-tulisannya yang mengkritik pemerintahan penjajah Belanda. Beliau juga menulis dan menyusun berbagai karangan terdiri dari kitab-kitab agama, buku-buku sastra dan akhlak. Melalui Rabithah 'Alawiyyah, beliau menanamkan kepentingan persatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam dalam menghadapi penjajahan. Semangat juangnya ini dapat dilihat dalam qasidah dan syair yang dikarangnya.

Setelah 40 tahun menetap di Indonesia, menabur jasa menyebarkan dakwah dan ilmu kepada setiap anak negeri yang berhajat, maka Habib Ahmad berniat untuk pulang ke tanah kelahirannya di Hadhramaut. Maka pada 22 Jamadil Awwal 1369H, beliau menaiki kapal dari Jakarta menuju Yaman. Namun, telah ditaqdirkan bahawa beliau dipanggil kembali ke rahmatUllah dalam kapal tersebut pada 26 Jamadil Awwal 1369H. Pada hari Khamis 28 Jamadil Awwal 1369, beliau dimakamkan di laut lepas, sebelum kapal tersebut memasuki perlabuhan Medan.
Mudah-mudahan Allah menredhai Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Muhsin as-Saqqaf serta menempatkan beliau bersama para kekasihnya di samping nenda beliau yang tercinta Junjungan Nabi s.a.w. Moga keberkatannya terus menerus mengalir kepada kita ... al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan