Ahad, Ogos 05, 2007

Fakir Ilmu

Hujjatul Islam al-Ghazali r.a. dalam kitabnya yang masyhur "Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Aalamiin" menukilkan sepotong hadits Junjungan Nabi s.a.w. yang bersabda:-

اطلعت ليلة المعراج على النار فرأيت أكثر أهلها الفقراء.
قالوا: يا رسول الله من المال؟ قال لا، بل من العلم

"Aku telah diperlihatkan pada malam mi'raaj akan api neraka, lalu aku lihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang fakir. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, fakir harta benda?" Junjungan s.a.w. menjawab: "Tidak, hanyasanya fakir ilmu (agama)."

Fakir ilmu inilah yang paling bahaya dan boleh membawa kepada kedurhakaan bahkan kepada kekufuran. Lihat sahaja Fir`aun, Haaman, Namrud, Qaarun, semua mereka itu kufur dalam kekayaan harta benda. Bukanlah fakir harta yang menjerumuskan mereka kepada kekufuran, tetapi fakir ilmu. Lihat juga berapa ramai kaum fuqara` yang tidak punya apa-apa, tapi keimanan dan ketaqwaan mereka umpama gunung Everest tertancap teguh dalam kalbu berkat ilmu yang diyakini dan dituruti.

Adalah dikhuatiri sesuatu amalan yang dilaksanakan tanpa ilmu akan menjadi amalan yang tertolak kerana mungkin perlaksanaannya tidak menepati segala syarat dan rukunnya sesuatu amalan tersebut. Maka dari sebab itulah telah dinazamkan oleh Syaikh Ibnu Ruslaan dalam "Zubad":-

و كل من بغير علم يعمل * أعماله مردودة لا تقبل

Dan setiap yang beramal tanpa ilmu asasnya
Amalan-amalannya tertolak tidak diterima adanya

Selanjutnya Imam al-Haddad rh,. turut berpesan dalam "Risalatul Mu`aawanah"nya:-
و اعلم أن من عبد الله بغير علم كان الضرر العائد عليه بسبب عبادته أكثر من النفع الحاصل له بها. و كم من عابد قد أتعب نفسه في العبادة و هو مع ذلك مصر على معصية يرى انها طاعة او انها غير معصية

"Dan ketahuilah bahawasanya seseorang yang beribadat kepada Allah tanpa ilmu, maka kemudaratan yang kembali kepadanya sebab ibadatnya itu lebih banyak daripada manfaat yang terhasil baginya. Berapa ramai ahli ibadat yang memenatkan dirinya dalam ibadat sedangkan dia sebenarnya atas maksiat padahal dia beranggapan apa yang dilakukannya adalah ketaatan atau bukannya maksiat....."
Allahu ... Allah. Oleh itu, marilah kita sama-sama menuntut ilmu daripada tuan-tuan guru yang berkelayakan yang mempunyai sandaran kepada ulama-ulama terdahulu sehinggalah kepada salafush sholeh dan akhirnya kepada Madinatul 'Ilm, Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh pada kelazimannya, tidaklah terhasil ilmu itu melainkan dengan belajar, sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w.:
إنما العلم بالتعلم

"Sesungguhnya ilmu itu terhasil dengan belajar."


Tiada ulasan: