Ziarah Imam al-Haddad



Cuplikan Ceramah Habibna 'Omar hafizahUllah
Jalan-jalan yang menyampaikan kepada Allah ta`ala adalah sebanyak bilangan nafas segala makhluk. Semuanya dibina atas dasar al-istiqamah dan menuruti Junjungan Nabi SAW, mendidik jiwa dengan mensucikan dan membersihkannya daripada segala akhlak yang keji serta menghiasinya dengan akhlak - akhlak mulia, sehingga terpancar kepadanya segala anwar dan tersingkap segala asrar, sehingga mencapai setinggi-tinggi martabat ketaqwaan kepada Allah.Semoga kita dimudahkan Allah untuk istiqamah mengamalkan ratib yang banyak manfaatnya ini. Moga-moga dengan sedemikian, sedikit demi sedikit kita dapat menuruti segala jejak langkah Junjungan Mulia Nabi Besar Muhammad SAW. Mudah-mudahan keberkatannya membawa kita lebih dekat dan hampir kepada Allah SWT.
Di antara sebaik-baik jalan yang berterusan diamalkan sejak berzaman oleh para pengamal dengan istiqamah adalah thoriqah para Saadah 'Alawiyyin (jalan para pemuka Bani 'Alawi iaitu anak cucu Imam 'Alawi bin 'Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir rahimahumUllah) yang diasaskan atas dasar ilmu dan amal menurut apa yang diterangkan oleh al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahUllah dalam kitab "Ihya' Ulumiddin", khasnya pada pertengahan yang kedua daripada kitab tersebut, kerana beliau telah menerangkan padanya perkara-perkara yang memusnahkan (al-muhlikaat) dan yang menyelamatkan (al-munjiyyat). Dengan mengetahui perkara tersebut, dapatlah disucikan diri daripada sifat-sifat yang keji dan dihiaskannya dengan sifat-sifat yang mulia.
Di antara zikir-zikir yang paling elok bagi ahli thoriqah ini (yakni Thoriqah Saadah 'Alawiyyin / Thoriqah Saadah Baa 'Alawi) adalah segala zikir yang telah dikumpul oleh Quthubul Haqiqah wal Irsyad al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad rahimahUllah. Antaranya apa yang beliau himpunkan dalam kitab "Miftaahus Sa`aadah", di dalamnya beliau telah menghimpun kebanyakan zikir-zikir yang sahih yang warid daripada Junjungan Nabi SAW, di antaranya "al-Wirdul Lathiif" yang dibaca pagi dan petang, jika tidak berkelapangan maka memadai diamalkan pada waktu pagi sahaja. Faedah-faedah "al-Wirdul Lathiif" ini sangat banyak dan tidak terhingga, sesiapa yang membaca syarahnya dia akan melihat kelebihan faedah-faedahnya dan akan melaziminya dengan bersungguh-sungguh. Dan di antaranya juga adalah ratibnya yang masyhur dengan nama "Ratibul Haddad" yang dibaca orang selepas sholat 'Isya'. Ianya ringkas sahaja dengan bacaan-bacaan yang pendek tetapi mempunyai manfaat besar dan tidak terkira kelebihan dan keajaibannya. Dengan sebab keberkatannya, pengamal-pengamalnya akan menerima berbagai bantuan (madad) dan anugerah daripada Allah SWT yang tidak putus-putus. Ratib ini bermanfaat bagi orang dewasa, kanak-kanak, golongan atasan, golongan bawahan, peringkat muntahi ( peringkat kesudahan), peringkat mutawassith (peringkat pertengahan) dan juga peringkat mubtadi (peringkat permulaan). Sesiapa yang istiqamah mengamalkan ratib ini akan dikayakan Allah (yakni segala keperluannya akan dipenuhi Allah SWT). Demikianlah penjelasan al-'Arif Billah al-Mannan, asy-Syaikh 'Abdullah BaSaudan rahimahUllah ta`ala, yang mensyarahkan ratib tersebut.
Dan daripada zikir-zikir yang terbaik juga untuk diamalkan waktu petang dan pagi, yang mengandungi zikir-zikir yang warid daripada Junjungan Nabi SAW, adalah apa yang terkandung dalam kitab "al-Maslakul Qariib li kulli Saalikin Muniib"susunan al-'Aarif Billah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir Baa 'Alawi. Kitab "al-Maslak" ini mempunyai banyak manfaat dan faedah-faedah yang masyhur. Sesiapa yang berterusan mengamalkannya, dia akan terpelihara daripada gangguan jin dan manusia dan daripada segala yang di langit dan di bumi. Pendeknya segala-galanya itu terletak atas dasar keikhlasan dan niat yang baik, maka apabila baik niat akan terhasillah natijahnya.
Dan telah warid dalam satu atsar daripada Sayyidil Basyar SAW bahawasanya baginda bersabda: " Sesiapa yang menulis sejarah seorang mukmin (yakni seorang yang benar-benar beriman viz. wali), maka seumpama dia menghidupkannya. Sesiapa yang membaca sejarahnya seumpama dia menziarahinya. Sesiapa yang menziarahinya, maka pasti dia memperolehi keredhaan Allah ta`ala dalam kenyamanan syurga dan menjadi hak (yakni kewajipan) bagi seseorang untuk memuliakan penziarahnya."Habib Muhammad bin Salim al-Hafiz, Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syaathiri dan al-'Allaamah Syaikh Saalim bin Sa`id Bukair rahimahumUllah dalam ta'liq mereka atas "Bughyatul Mustarsyidin" menyatakan atsar tersebut turut disebut oleh Imam as-Sakhawi al-Hafiz rahimahUllah dalam karya beliau berjodol " al-I'laan bi at-Tawabikh li Man Dzam at-Taarikh".
"Sesiapa yang melepasi umur 40 tahun, tetapi kebajikannya tidak dapat mengatasi kejahatannya, maka bersedialah dia untuk ke neraka."Hadits yang serupa juga dinukilkan oleh Syaikhul Islam Imam al-Haddad rahimahUllah dalam "Sabilul Iddikar" pada halaman 34. Juga dinyatakan dalam karya tersebut bahawa syaitan menyapu-nyapu wajah orang yang telah mencapai usia 40 tahun tetapi kebajikannya tidak melebihi kejahatannya dan berkata : "Demi ayahku, inilah wajah yang tidak akan berjaya."
Sungguhpun umat Islam di negara ini sejak dahulu lagi menganut fahaman dan `aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, tetapi kini mereka telah banyak diresapi oleh fahaman `aqidah-`aqidah yang berlawanan dan bertentangan dengan fahaman dan `aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, sehingga ada yang sudah dipengaruhi oleh fahaman dan `aqidah Syiah dan Mu'tazilah, bahkan ada pula yang telah terpengaruh dan mengikut fahaman dan `aqidah Ibnu Taimiyyah dan lain - lainnya.